Saturday, February 4, 2012

Simpang Malam

Jati, Kita Dan Amanah

Dalam tempoh 73 jam lalu banyak perkara yang berlalu termasuk isu-isu yang boleh dikaitkan dengan politik. Sekurang-kurangnya ada tiga perkara atau kejadian yang menyendak dalam minda saya, di mana kalau saya tidak 'kehek' (melepaskannya) menyebabkan saya tak boleh melelapkan mata sampai ke pagi.

Lagipun di dalam PM (personal masej) dan kotak mail saya ada beberapa penjengok yang meminta saya memberi ulasan dan pandangan segera terhadap tiga perkara yang saya maksudkan. Selain dari tiga perkara itu saya juga menerima email yang meminta saya memberi pandangan dan sorotan mengenai Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), perihal khutbah di Kelantan dan tidak ketinggalkan juga fasal pilihan raya umum ke-13. Ramai yang bertanya fasal pilihan raya umum apabila mereka dapat merasakan ia tidak mungkin diadakan pada Mac ini.

Malam ini saya akan ulas mengenai perkara yang terngian-ngian di cuping telinga saya dulu, lagi pun saya sudah janji. Perkara itu ialah mengenai Jati, Kita dan Amanah. Jati adalah sebuah Ngo baru yang akan diumumkan penubuhannya (perlancaran) pada 21 Februari ini. Kita ialah parti Keadilan Insan Tanah Air (betulkah sebutan tu?) dan ketiga mengenai Amanah. Adapun Perkasa(m) saya tidak sudi untuk mengulasnya kerana tersangat busuk kohong.

Jati adalah milik Hasan Akidah. Hasan Akidah membuat pengumuman dia akan menubuhkan sebuah Ngo bernama Jati. Dia akan jadikan Jati sebagai platformnya untuk menggerakan kuasa ketiga seperti mana dimaksudkan itu. Katanya Jati tidak semestinya menyokong UBN. Katanya...

Apakah benda Jati ini? Saya tenguk di dalam wall Fb saya ada ditagkan gambar supik (guni) beras bernama Jati dengan gambar Hasan Akidah. Ngo Jati itu sudah diperli dengan nama beras Jati. Diperlekeh-lekehkan oleh orang. Tidak fasal-fasal pula Hasan Akidah memberi publisiti kepada beras cap Jati.

Ramai yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Jati itu. Akroni Jati ialah Jalur Tiga (Jati). Apa dia jalur tiga. Jalur tiga ialah, 1. Islam, 2. Melayu 3. Raja. Ia juga disebut sebagai IMR - Islam, Malay, Raja. Itu merupakan asas atau prinsip perjuangan Hasan Akidah selepas keluar Pas.

Rupa akidahnya terpesong sebelum ini jadi diperbetulkan dengan memasukkan tiga elemen berkenaan. Sebenarnya website Jalur 3 ini sudah pun beroperasi beberapa hari lalu yang membuat posting di sekitar kegiatan Hasan Akidah menjelajah menghentam Pas. Website berkenaan bukan membawa maksud perjuangan IMR itu tetapi lebih mirip kepada wesite peribadi Hasan untuk membelas dendam.

Tidak mengapa negara ini adil dan mengamalkan demokrasi tulen bukan jati? Hasan boleh buat apa sahaja selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Jalur 3 ke jalur lapan ke atau jalur 17 dia boleh lakukan apa saja. Malahan jalur 1000 pun bisa. Selagi ada orang sedia untuk memberi wang buatlah beberapa jalur pun.

Cuma yang dihairankan dia berpegang kepada tiga jalur - IMR itu tetapi kenapa dalam ceramah-ceramahnya yang dihentam Pas dan Anwar Ibrahim. Rasanya elok kalau Hasan memasukkan dalam Jalur tiga itu dua jalur lagi, Pas dan Anwar Ibrahim, biar jadi IMRPA.

Apapun selamat berjuang duhai si Hasan dengan Jati anda itu. Moga dia akan tidak menjadi jeti yang reput dan hanyut selepas ini ia akan menghanyutkan Hasan bersama beberapa kerat orang yang menjadi mengikut setianya yang tidak sampai 20 orang itu. Sekiranya niat dan nawaitu Hasan betul dan benar nescaya Allah akan memberi kejayaan kepadanya. Dan jika niatnya tidak betul dan busuk sama-sama kita mendoakan agar Tuhan menitik taufik dan hidayah kepadanya. Bersambung. Esok fasal Kita dan Amanah. [wm.kl.1:01 t/malam 04/02/12]

Friday, February 3, 2012

Terkini Malam

Hasan Ali Dipecat Sebagai Timbalan Pengerusi Mais?

Baru sekejap saya menerima panggilan yang bertanyakan apakah saya sudah tahu berita terkini mengenai Hassan Ali (Hassan Akidah). Saya memberitahu tidak tahu menahu sebab saya baru bercadang hendak mengulas mengenai Ngo bernama Jati yang beliau hendak umumkan 21 Februari nanti.

Hari ini dan semalam saya sepanjang hari di Kota Bharu, jadi berita-berita sulit dan maklumat terbaru tidak diketahui.

"Apa dia?" tanya saya penuh suspen.

"Sultan telah pecat Hasan Ali sebagai timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais?" jelasnya. Ha... saya terkejut dan diam seketika.

"Apakah telah diumum?" soal saya meragui.

"Belum lagi, tetapi orang dalam Mais sudah memberi tahu... harap enta siasat sikit.." katanya menyebabkan saya jadi sedikit konfius.

Siasat?

Saya rasa kalau maklumat ini benar lewat malam ini juga berita mengenai pemecatan itu akan memenuhi Fb dan juga blog. Kita tunggu sahajalah... izinkan saya untuk mandi dan menjamah nasi. Soalnya baru tiba dari Kota Bharu. [wm.kl.10:05 pm 03/02/12]

Laporan Lewat

Sokongan Cina Kepada PKR Di Wangsa Maju Tidak Berubah

Kelmarin
dulu (Rabu) Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinan tertinggi PKR telah mengunjungi parlimen Wangsa Maju. Rasanya kunjungan ini adalah pertama kali Anwar sejak PKR Wangsa Maju kehilangan ahli parlimennya apabila Wee Choo Keong telah meninggalkan parti tersebut.

Kunjungan itu adalah sempena rumah terbuka Tahun Baru China bersama Ketua Umum PKR. Majlis itu diadakan di tanah lapang bersebelahan Poling Keong Temple, Taman Teratai mewah Setapak.

Majlis itu adalah anjuran PKR Wangsa Maju.

Saya turut sama menyempatkan diri ke majlis berkenaan untuk melihat mood terkini masyarakat China terhadap Pakatan Rakyat. Ternyata sambutan dan kepercayaan masyarakat Cina terhadap PKR masih belum luntur seperti mana didakwa pihak tertentu.

Kehilangan Wee Choo Keong tidak menawarkan hati masyarakat Cina untuk terus bersama PKR. Sebaliknya tindakan mengkhianati perjuangan itu dibenci oleh masyarakat Cina dan menjadikan mereka menanti masa untuk membalas dendam.

Dengan kehadiran lebih 2,000 itu menjelaskan realiti sokongan dan kepercayaan masyarakat Cina terhadap PKR.

Kaum Melayu dan India juga turut sama hadir. Anwar semasa berucap mengaku kesalahannya kerana memilih Wee Choo Keong menjadi calon PKR dalam pilihan raya 2008 dulu.

"Saya salah dan saya minta maaf," kata Anwar sambil berjanji calon PKR kali ini seorang yang boleh dipercayai. Kata-kata Anwar itu disambut dengan hidup PKR... hidup PKR....

Dalam pada itu PKR dijangka akan meletakkan Dr Tan Kee Kwong dalam pilihan raya akan datang. Dr Kee Kwong merupakan anak tokoh pembangkang yang tidak asing lagi mendiang Dr Tan Chee Koon.

Peluang untuk Tan Kee Kwong memenangi kerusi Wangsa Maju dikira besar apa lagi kalau benar BN akan menyerahkan kerusi itu kepada Umno semula. Umno berangan-angan untuk meletakkan Setiausaha Politik Najib Razak, Shafei Abdullah untuk merampas kerusi berkenaan.

Ura-ura untuk BN meletakkan Shafei dikatakan mendapat tentangan dari MCA yang mahu calon lama dan juga bekas ahli Parlimen Wangsa Maju, Yew Teong Look dicalonkan semula. Sekiranya Teong Look tidak dicalonkan kemungkinan masyarakat Cina terutamanya penyokong MCA akan memprotes.

Tindakan itu sudah tentu akan memberi kelebihan kepada Dr Tan Kee Kwong.

Dalam pilihan umum tahun 2008 lalu calon PKR Wee Choo Keong menang dengan 150 undi, beliau mendapat 19,637 manakala Teong Look mendapat 19,487. Jumlah pengundi 54,509. [wm.kl.9:37 pm 03/02/12]

Perhatian

Maaflah hampir dua hari tidak mengisi blog. Selalunya kalu balik Kelantan tak ada masa langsung untuk menulis, penuh dengan temu janji. Ramai penjengok yang bertanya ada yang menyangka saya tidak sihat. Saya sihat malahan sangat berbahagia apabila menerima banyak ucap selamat hari lahir yang ke 52 hari ini.

InsyaAllah lewat malam ini saya akan membuat pengeposan baru. Saya akan ulas mengenai, Jati, Kita dan Amanah.

Salam.

Wednesday, February 1, 2012

Catatan Khas III Tengah Malam

Apakah Sultan Muhammad Ke V Tahu?
Kelantan Larang Azhar Berkuliyyah Di Masjid


Kematian Shafri Shamsuddin menenggalakan sedikit penulisan saya mengenai Ustaz Azhar Idrus. Kini saya akan cuba meneruskan menyambung catatan khas II setelah terpaksa berhenti untuk bergegas ke HKL. Alhamdulilah kira-kira jam 11:00 tadi jenazah Shafri sudah selamat dikebumikan di perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.

Semasa menyembahyangi jenazah ramai kawan-kawan sekerjanya terutama dari pejabat Harakah datang memberi penghormatan terakhir. Ini termasuklah Pengerusi Harakah, Mustafa Ali.

Tidak ketinggalan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua juga datang untuk memberi penghormatan terakhir. Selain Tian saya tidak nampak wakil rakyat lain baik dari Pas, DAP dan PKR. Apakah Tian Chua sudah dilantik untuk menjadi wakil khas menziarahi jenazah? Kalau begitu moleklah. Cara itu mengejapkan lagi ikatan Pakatan Rakyat?

Kembali kepada mauduk yang hendak saya sambungkan mengenai Ustaz Azhar sebagai fenomena baru merubah minda dan gaya hidup anak muda kini; apa yang tidak sempat saya catatkan dalam Catatan Khas II tadi mengenai kemusykilan menampangi minda yang saya kira anih, pelik dan ganjil sedikit. Ianya adalah mengenai sikap Majlis Agama Islam di beberapa buah negeri yang tidak membenarkan Azhar berkuliyyah dan bermesra dengan anak-anak muda di dalam masjid.

Sekarang ini sudah ada pihak berkuasa masjid melarang Azhar dari memberi kuliyyah dalam masjid. Saya tidak tahu dari sudut mana larangan itu. Apakah kerana masalah ketiadaan tauliah? Atau pun kerana beliau dianggap sebagai penyokong parti politik? Kalau elemen politik, saya tidak nampak apa-apa yang disentuh secara pintas lalu di dalam kuliyyahnya menjadi kesalahan besar.

Setakat ini yang sampai ke telinga saya ada dua negeri yang telah melarang Azhar dari berceramah atau menyampaikan kuliyyah Maghrib. Pertama negeri Hang Tuah yang dikatakan tidak wujud itu, Melaka, dan kedua negeri ulamak bernama Tok Kenali, negeri Kelantan.

Itu Melaka negeri dibawah pemerintah Umno sejak zaman sebelum merdeka yang selamanya tidak begitu senang dengan majlis-majlis pengajian Islam berbaur dengan politik. Atas sifat dan budayanya begitu layak kalau Melaka tidak membenarkan Azhar ia tidak pelik. Sesetengah orang Umno ada berpandangan jika pengajian Islam diberikan kepada rakyat menyebabkan akhirnya rakyat akan sokong Islam (Pas).lantaran itu Umno elergik untuk mengambil pendekatan Islam.

Mungkin kalau Azhar tidak membawa Islam, mendidik anak muda mendekati Nabi dan Allah, kalau hanya menyanyi dan bermain gitar, kerajaan Melaka atau Majlis Agama Islam Melaka (Maim) tidak menjadi masalah dengan Azhar. Mungkin akan dibenarkan. Semisalnya Azhar seorang rocker atau selebriti, Melaka akan membuka pintu negeri itu seluas-luasnya kepada Azhar seperti mana dibukakan pintu untuk Jom Heboh. Malangnya Azhar seorang pendakwah.

Katanya di Melaka program kuliyyah Azhar yang dirancangkan untuk diadakan di masjid ngeri Al Azmin dibatalkan pada saat-saat akhir menyebabkan majlis itu dipinda ke tempat jauh dari bandar Melaka. Pembatalan ini menunjukkan Melaka belum mesra dengan majlis keagamaan dan tidak peka kepada fenomena dicetuskan Azhar.

Saya tidak hairan dengan apa berlaku di Melaka itu. Tetapi saya musykil terhadap apa berlaku di negeri di mana saya dilahirkan, Kelantan. Sebenarnya sebulan lepas lagi saya sudah mendapat maklumat ada tiga buah masjid yang melarang Azhar menyampaikan kuliyyahnya. Sebelum ini Azhar sudah beberapa kali mengadakan kuliyyah di salah sebuah masjid di negeri itu, tetapi tiba-tiba dihalang. Majlis kuliyyah yang sepatutnya berlangsung dalam masjid terpaksa di pindah ke padang Futsal.

Kejadian ini menyentuh hati saya walaupun ketika itu saya belum pernah melihat wajahnya dari dekat dan mendengar kuliyyah Azhar. Sepatut apa yang patut dilarang ialah majlis keramaian seperti Jom Heboh ataupun acara hiburan lainnya. Pertunjukkan-pertunjukkan itu sepatutnya diarah diadakan di dalam bukit atau di gua Hulu Kelantan. Tetapi sebaliknya. Ini menyebabkan saya sedikit tertanya-tanya kenapa.

Mulanya saya tidak percaya dan ingat ia hanya satu gimik saja. Selepas mendapat tahu dan bertanya beberapa sumber mengesahkan perkara itu - Azhar tidak dibenarkan berceramah di seluruh masjid di Kelantan. Alasannya ialah kerana beliau tidak ada tauliah. Ah tauliah lagi?

Rupanya soal tauliah juga menjadi syarat di Kelantan. Malang sekali kalau larangan itu kerana tauliah. Apakah di negeri Tok Kenali juga memerlukan tauliah? Untuk apa tauliah? Apa yang ada kepada tauliah? Bukankah tauliah itu menyusahkan dan secara tidak langsung menghalang kerja-kerja keagamaan? Pihak berkuasa ke atas masjid - Majlis Islam Kelantan (Maik) sepatutnya tidak mempersulitkan dengan mengenakan red tag untuk kerja-kerja Allah.

Memalukan sekali dengan apa yang berlaku. Saya cuba mendapat pekeliling larangan kepada Azhar itu tetapi tidak ada, arah secara rasmi dan dimaklumkan secara bertampal di papan kenyataan. Larangan itu dikeluarkan oleh pihak jawatankuasa masjid berkenaan secara lisan, begitu khabarnya.

Tentu orang ramai ingin kepastian mengenai larangan itu. Apakah ianya dibuat secara lisan atau rasmi. Apa yang memalukan saya lagi ialah tindakan Maik itu seakan kontras dengan asprasi dan iltizam Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan. Apakah Sultan Muhammad Ke V tahu akan halangan ini dan apakah baginda diberikan penjelasan sejelas-jelasnya kenapa Azhar perlu dihalang menaiki masjid? Atau pun tindakan ini adalah atas inisiatif dan kebimbangan beberapa orang ahli Maik saja?

Perkara ini hendaklah jelas. Maik perlu memantau dan membuat laporan mengenai di mana salah dan silap atau bahaya kepada ummah tentang kuliyyah Azhar. Laporan terperinci tanpa prejudis itu hendaklah dikemukakan ke pengtetahuan Sultan. Kalau setakat ilusi saja dan kebimbangan tidak berpangkal hujung ia satu tindakan tidak mengikut peraturan dan boleh dianggap sebagai anti agama.

Saya bimbang halangan yang tidak jelas begini akan mencemarkan nama baik batang tubuh Sultan Kelantan. Maik adalah institusi yang terletak secara mutlak ditangan Tuanku. Tentu kita tidak mahu kalau ada orang bersunggut nanti Kelantan yang rajanya kuat beragama turut sama tidak membenarkan kuliyyah agama di atas masjid. Mendukacitakan lagi tindakan Maik itu akan menjadi ikutan negeri-negeri lain pula.

Sangat malang sekali kalau nama Tuanku digunakan untuk menghalang Azhar berceramah. Di sini bukan bermakna Azhar perlu diberikan keistimewaan. Tetapi Maik seharusnya melihat akan keuntungan kepada umat Islam dengan apa dibuat Azhar. Apakah kuliyyah dan cara beliau mendekati anak-anak muda itu memudaratkan akidah atau sebaliknya? Orang-orang dalam Maik hendaklah terang hati dan suci hati melihat perkara ini dan jangan ada unsur-unsur dengki kerana hendak mempertahankan mana-mana pihak. Ah terus terang.... jangan larangan itu kerana beranggapan kuliyyah Azhar itu menyebabkan anak-anak muda membenci Umno?

Kebijaksanaan perlu diambil oleh Maik dalam hal ini. Setelah Maik dapat melihat sendiri bagaimana Azhar boleh membawa aura dan menjinak anak-anak muda ke masjid sepatutnya Ustaz itu diberikan keistimewaan dengan mengecualikan dia memiliki tauliah untuk membolehkan beliau naik ke masjid, kandati tauliah itu perlu. Apakah surat kebenaran seperti tauliah itu kena memohon dan tidak boleh diberi kepada mereka yang layak. Tidak patut kalau institusi seperti Maik juga ada kerenah birokrasi tertentu.

Sepatutnya dalam hal mengeluarkan tauliah ini Maik bertindak seperti memberi zakat. Maik bukan saja mengumpul zakat tetapi memberi kepada mereka yang termasuk dalam asnaf layak menerimanya. Begitu juga bila dilihat Azhar layak dan kerja-kerjanya menguntungkan, membangunkan Islam sepatutnya ia dianugerahkan tauliah tanpa dipohon. Itulah bijaksana yang dimaksudkan.

Yang menghairankan saya juga kenapa pihak kerajaan negeri (kuasa politik) tidak campur tangan di dalam hal ini? Seharusnya pihak kerajaan negeri memberi cadangan kepada Maik agar tidak mempersulitkan mana-mana orang untuk menggunakan masjid bagi berdakwah. Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku MB Kelantan selalu mengatakan agama dan politik tidak boleh dicampur dan masjid adalah medan berpolitik. Rasulullah juga berpolitik di masjid. Apakah kata-kata ini tidak berlaku kepada Azhar ataupun kerajaan sudah menjadi syaitan bisu untuk mengemukakan permasalahan itu kepada Maik?

Saya sangat berharap posting ini dibaca oleh pihak Maik dan sampai pula kepada Tunku Sultan. Pihak Maik juga hendaklah membuat penjelasan di atas tindakan Maik yang dibawah kuasa sultan itu apakah justifikasinya melarang Azhar. Kita tidak mahu tanpa penjelasan tuntas menyebabkan orang beranggapan bahawa Kelantan yang mana sultannya begitu mengambil berat kepada agama dengan turun sendiri ke majlis-majlis agama siap berjubah dan berkopiah tetapi turut sama melarang program agama dikendalikan Azhar?

Kalau penjelasan itu memuaskan hati dan ada keadilan serta kewajarannya disitu kita boleh menerima larangan ke atas Azhar itu. Kalau tidak ada penjelasan selamanya Kelantan akan dianggap sebagai negeri yang juga lebih kurang Melaka sahaja yang setakat ini turut mengharamkan Azhar naik berkuliyyah di dalam masjid. Setakat ini Kelantan perlu malu kepada negeri Selangor Darul Ehsan yang belum bertindak ke atas Azhar dan masih bersangka baik. [wm.kl.7:41 am 01/02/12]

Tuesday, January 31, 2012

Belasungkawa

Tuhan Agenda-Mu Sangat Pasti
Shafri Shamsuddin Sudah Tiada


Semalam saya menerima sms daripada bekas staf Pn Dang Fatihah memberitahu bekas staf juga sdr Shafri Shamsuddin, 42 (foto) dimasukkan ke hospital. Tidak pasti apakah sakitnya tetapi dari sms itu menggambarkan ia tenat. Pagi ini Dang Fatihah memberi tahu yang Shafri sudah koma dan sakitnya dipercayai kanser hati. Oph...

Tengah hari ini sdr Hafiz Baqi pula memberi tahu perkara yang sama. Saya bercadang untuk menziarahi beliau di wad 25 HKL. Tengah hari terlepas.. kerana di rumah yang tidak dapat dielakkan. Petang saya berhajat untuk ke HKL. Entah macam mana terlepas juga, saya sepatut menziarahinya jam 4:00 petang waktu melawat.

Jam 6:00 petang Dang memberi tahu khabar kedukacitaan, Shafri telah kembali ke Rahmatullah jam 5:15 petang di wad 25. Oph ... saya terluka dan tersendu. Sedih tetapi meredhanya tidak sempat menatap wajahnya semasa hayatnya.

Sebaik tahu saya bergegas ke HKL untuk melihat dan mengiringi jenazahnya dibawa pula ke rumah. Juga terlepas. Sesampai di perkarangan HKL sewaktu hendak parking kereta, saya mendapat maklum jenazahnya sudah bergerak ke rumah emaknya di Gombak.

Dalam perjalanan pulang singgah di restoran Yusuf Haslam untuk minum, (sebenarnya untuk berjumpa kawan-kawan Allahyarham yang juga kawan saya yang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya di Jalan Pahang) untuk bertanya khabar dan mengetahui maklumat lanjut mengenai keadaan Allahyarham sebelum ini. Hanya Aziz Muda dan seorang kawannya singgah dan minum bersamanya. Dari Aziz dapat maklumat lanjut tentang arwah sebelum saat dia ditimpa sakit sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Cerita Aziz, Shafri sakit hanya dua minggu sahaja. Sebelum ini dia masuk ke hospital Selayang tetapi gagal mengesani penyakit dihidapinya. Kemudian ke HKL yang mengesahkan arwah menghidap sakit barah hati - kanser tahap empat.

Biarlah yang sudah pergi, biar ia pergi dengan tenang menanti kita di alam sana. Kita yang akan pasti juga singgah di alam itu untuk menghadapi perbicaraan kemudian akan hidup kekal abadi. Shafri meninggalkan seorang isteri Syarifah Nurhayati Al Yahya dan lima orang anak berumur 8 hingga 16.

Semasa berbual dengan Aziz timbullah cerita ceriti yang tidak sedap didengari. Kematian orang kecil selalunya berlalu begitu saja dan menyepi. Menurut Aziz, semua staf tempat arwah berkerja - Harakah, menziarahi. Malangnya orang besar yang mengurus Harakah tidak sempat menjenguk.

Menurut Aziz hanya dua pemimpin Pas yang menziarahi Shafri semasa sakit di HKL. Mungkin mereka adalah wakil kepada jemaah Pas atau organisasi tempat Shafri berkerja. Mereka ialah Naib Presiden, Sallahuddin Ayub dan Husam Musa. Tidak mengapa bagi saya itu bukan sesuatu yang perlu ditimbulkan. Yang penting mereka sudah pun menziarahinya. Apa-apa bantuan dan kebajikan untuk keluarga arwah boleh disalurkan selepas ini.

Cuma apa saya hendak sebut kalau yang sakit itu pemimpin besar atau pun kematian itu orang besar pasti ianya akan dijenguki ramai. Bagi Shafri tidak menjadi masalah kalau tidak dijenguki, dia sudah terpisah dengan aktiviti kehidupan alam fana ini. Namun hati orang yang masih hidup, keluarga dan rakan-rakan beliau pedulikan, kerana kepedulian itu akan memberi semangat dan perangsang.

Shafri, saya mengenali lebih awal dari staf atau rakanya di Harakah mengenali beliau. Saya mulai kenal tahun 1992. Ketika itu dia berkerja dengan Kamal Koh di Setapak sebagai pereka bentuk buku. Allahyarham sempat membuat layout sebuah buku saya berjudul : Antara Anwar Dollah dan Sanusi: Tuhan Pilih Siapa? Kalau tidak silap buku itu adalah buah tangannya yang pertama.

Selepas itu kami tidak ketemu hinggalah dia muncul pada tahun 2008 berkerja dengan pejabat Siasah. Satu malam saya ke opis tiba-tiba berjumpa dengan beliau, rupanya dia sudah joint Siasah sebagai perekabentuk. Di situ perhubungan sahabat terjalin kembali.

Sebagai seorang adik, dia mengikut perjalanan saya dan juga merupakan pembaca buku saya dan menjadi pengikut blog saya. Kehadiran di Siasah sedikit sebanyak kerana untuk membantu saya. Seorang yang bersifat setiakawan dan suka berterus terang. Dia berani dan mengatakan sesuatu secara bersemuka. Kalau ada apa-apa yang dimusykilkan dalam blog saya dia akan terus bertanya dengan saya tanpa segan silu.

Perhubungan dengan beliau terhenti apabila saya tidak mengendalikan Siasah. Tetapi beliau terus bekerja dengan Harakah. Suatu hari semasa berjumpa di satu majlis saya ternampak dia memegang kamera dan mengambil gambar. Rupanya dia berubah profesyen dari perekabentuk menjadi wartawan. Saya baca tulisan dan laporannya dalam Harakah.

Semoga rohnya ditempat di makam orang-orang soleh. Takziah buat isteri, anak dan keluarganya. Al Fatihah. [wm.kl.8:15 pm 31/01/12]

Catatan Khas II

Ustaz Azhar Idrus
Membawa Anak Muda Menemui Tuhan Selembut Bayu


HARI ini dilaporkan ada kepala babi dijumpai di pintu pagar sebuah masjid di Rawang, Selangor. Saya tidak mahu mempedulikan berita najis itu. Kepada saya ia tidak memberi apa-apa kesan besar kepada jiwa saya yang tahu ada beberapa kerat rakyat negara ini yang mengakui pejuang Islam tetapi sebenarnya mereka adalah berasal dari benih Abu Lahab dan Abu Jahal.

Sekalipun untuk mendapat simpati politik dan memecahkan perpaduan orang lain, janganlah menggunakan kepala babi sebagai modal. Saya cukup yakin dan percaya orang yang suka bermain dengan kepala babi lebih kurang sama dengan orang yang tergamak memperolok-olokkan kepala lembu atau meruntuhkan surau ataupun yang bertindak menutup masjid untuk urusan dakwah.

Hari ini saya lebih seronok menulis fasal Ustaz Azhar Idrus, pembawa fenomena baru kepada anak-anak muda negara ini. Azhar adalah idola baru yang diturunkan Allah untuk menjadi alternatif kepada anak-anak muda yang selama ini dihalakan hanya sejenis idola saja, selebriti.

Azhar tidak payah melaung-laungkan dia hendak menyelamatkan akidah, atau ingin memurnikan akidah atau hendak menentang Kristian atau membuat serbuan tengah malam ke pusat pelacuran dan rumah urut, tetapi cukup untuk menemui anak-anak muda dengan bercakap tentang keagungan Muhammad dan keqadiman Allah.

Azhar menjinak dan memesrakan anak-anak muda dengan Tuhan dan Nabi menurut kaedah dan kepakaran yang ada kepadanya. Saya seronok untuk menulis fasal Ustaz berjambang hitam yang kemas di trim itu. Iya ada perbezaan janggut Azhar sebelum ini dengan apa yang saya lihat malam kelmarin, hitam dan kemas.

Apa saya nak ulas mengenai Ustaz ini bukan soal dia menjadi kegilaan kepada anak-anak muda lagi. Itu adalah realiti. InsyaAllah kegilaan akan meluas dan sedikit masa nanti Azhar mempunyai peminat alias anak murid di serata Malaysia. Tidak mustahil juga suatu hari nanti dia akan berceramah dan memberi kuliah di Bangkok, Manila, Jakarta ataupun Singapura. Tidak ada halangan dan sempadan membatasinya dalam memberi didikan agama kepada manusia.

Sedikit lagi juga bukan saja anak-anak muda Melayu, tetapi India dan Cina juga akan ikut sama mendengarnya. Sebab dia bukan memaksa anak-anak muda menerima terus tentang kesucian Islam tetapi memberi maklumat akan kepentingan Islam yang sesungguhnya diperlui semua orang.

Azhar akan diterima sebagai pembahawa cahaya dan tokoh penceramah agama di negara ini. Sama-sama kita doakan. Ini akan berjaya kalau orang yang mengurus, mentadbir dan mengatur kuliah beliau ikhlas dan bekerja kerana Allah.

Orang yang akan menasihati Azhar agar konsisten dengan keadaan ada hari ini, tidak menonjolkan idealisme politik dalam kuliah, tetapi menongokkan semangat perpaduan dan keagamaan yang tinggi. Azhar akan menjadi pakar dan institusi untuk membaiki hati-hati, perwatakan dan sifat anak muda dan menemuikan anak-anak muda dengan jalan kehidupan hakiki - silatulmuqataim.

Dia akan memecahkan kebuntuan dalam muzik ada Tuhan, dalam merempit ada Tuhan, dalam bola dan futsal ada Tuhan. Malahan dalam bercinta, berkelab pun ada Tuhan dan Tuhan itu berada di mana-mana. Cara dia membawa Tuhan kepada anak-anak muda dengan penuh kemesraan dan bagaikan bayu yang berhembus di waktu pagi, saking lembutnya.

Kita doakan semoga usaha beliau akan berterusan dan berjaya. Dan tidak ada sesiapa yang akan menghalangnya. [Berhenti disini untuk ke hospital menziarahi jenazah bekas staf inysaAllah akan disambung nanti] [wm.kl.6:08 pm 31/01/12]