Friday, November 28, 2008

Sayang Islamku

Masjid RM10 Juta Jemaah Empat Orang!

SESAMPAI di pekan Bentong, Pahang waktu azan Maghrib berkumandang. Niat untuk meneruskan perjalanan dan melakukan jama' taqdim di pertengahan jalan menuju ke rumah terbatal. Saya dan dua lagi kawan singgah menunaikan sembahyang jama' ta'khir, Maghrib dan Islam.

Dalam lembayung senja bayangan masjid itu masih kelihatan. Sebenarnya keindahan dan kehebatan masjid itu yang menggamit kami untuk singgah. Masjid yang terletak di atas bukit itu adalah antara majid yang tebaru di negeri Pahang Darul Makmuar dan begitu artistik. Bentong adalah Parlimen yang mana merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri Pelangai di mana MB Pahang, Adnan Yaacob bertakhta di situ.

Sembahyang di mana-mana pun boleh dan sah. Dari sebuah masjid besar bernilai jutaan ringgit atau pun di sebuah surau yan diperbuat daripada kayu hutan, nilai dan maksudnya sama saja. Darjah dan pahalanya tidak berbeza kecuali di tiga buah masjid, masjidil Haram di Makkah, masjid Nabawi di Madinah dan masjid al-Aqsa di Baitumuqadis.

Apa yang penting ialah sembahyang yang merupakan ibadat wasilah (penghubung) hamba dengan penciptanya (Allah) dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Atau dalam erti kata lain sembahyang itu sampai mencecah dasar hakiki falsafahnya.

Tidak ada erti apa-apa pun kalau sembahyang di sebuah masjid yang indah dan gah namun sembahyang itu tidak sampai kepada hakikatnya. Ibarat memakan sebiji buah hanya diluaran saja tetapi tidak merasai kelazatan di dalamnya.

Sembahyang seumpama itu hanya tidak lebih daripada melaku ritual ibadat sahaja bagi mengelakkan daripada tidak diprejudiskan orang yang kita mengabaikan sembahyang. Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, sembahyanglah seperti mana aku sembahyang; sama dari segi fiilinya dan sama dari falsafahnya.

Kebetulan pula semalam betis dan paha terasa sakit dan pegal-pegal. Dalam keadaan terhinjut-hinjut menaiki tangga ke halaman masjid saya memerhati hampir ke seluruh laman masjid. Ianya indah sekali. Di langit juga sudah mengerdik beberapa bintang kejauhan dan kesayupan. Pemandangan di lembayung senja di masjid itu akan menjadi lebih indah lagi kalau bulan sudah bersembur dari atas langit menjamah menaranya yang tinggi. Begitu fikir saya...

Dalam suasana berbalam masjid itu kelihatan putih dan bersih. Ketinggian dari paras jalan raya berhampiran di sisinya saya mengira hampit 60 kaki. Ketinggian ini menjadikan kedudukan masjid itu sungguh strategik dan nampak kehebatannya. Ia memberi gambaran seolah seluruh penduduk di pekan itu sangat megah dan bangga dengan kewujudannya.

Manakala begitu menjenguk ke dalamnya melihatan ruang yang luas dan lapang, hati terus disuapi sebuah kepuasan membanggakan. Terasa hati menjadi dekat dengan kaki Tuhan dan sebuah ketenagan menggolek ke dalam diri. Memang tidak ada tempat yang boleh memberi ketenangan segera melainkan berada dalam sebuah masjid. Di sinilah mahalnya nilai sebuah masjid yang dianggap sebagai rumah Allah di mana rahmatNya melimpah-limpah kepada seseorang yang melangkah masuk ke dalamnya.

Apa tidaknya surau adalah bayangan kepada sebuah masjid, masjid pula adalah bayangan kepada tiga masjid teragung di dunia; masjidil Haram, masjidi Nabawi dan masjid al-Aqsa.

Jika jiwa resah, perasaan diganggu masalah duniawi, masuklah ke dalam masjid. Ambil wuduk dan masuk dan beriktikah di dalamnya selama yang mahu. Tuhan berada di mana-mana, tatapi mata Tuhan sangat hampir pada mereka yang berada di dalam rumahNya. Masjid adalah tempat perlarian daripada kesibukan duniawi yang paling aman dan menenangkan.

Entah, bukan magic... sebaik melangkah ke dalam masjid indah itu rasa pegal di betis dan paha hilang secara tiba-tiba. Inilah istimewanya rumah Tuhan ia memberi semangat anih yang menyebabkan kita menjadi kuat dan gagah dengan tiba-tiba.

Menurut seorang teman yang tahu seluk belut dan memilik ilmu binaan, kos masjid itu katanya sekitar RM10 juta. Tetapi saya percaya kos itu lebih daripada anggaran beliau itu. Jika diperhatikan kepada proses pembinaan sesuatu projek diamalkan oleh kerajaan BN.

Biasanya harga di make-up sampai 30 persen hingga 50 persen kerana untuk dibayar kepada beberapa tol (penyangak dan penyamu) yang sedang menanti. Nilai tol alias rasuah itu pun diberi mengikut kelas-kelasnya. Keadaan inilah menjadikan harga sesebuah projek itu menjadi bertambah dan berlipat kali ganda. Contoh paling klasik ialah bagaimana jambatan di Tendong Pasir Mas harga sebenar RM80 juta kemudian menjadi RM160 juta!

Apakah amalan itu juga berlaku dalam pembinaan rumah Allah?

Sesudah selesai mendirikan soal jama' taqdim dan meratahi ketenangan dan terulik dengan rasa kegum dengan masjid itu baru tersedar apa yang berlaku. Ini diluar logik kalau hendak diceritakan, namun itulah hakikatnya. Jemaah yang sedang mengikuti imam solat jemaah semalam hanya tujuh orang saja. Tiga daripadanya ialah termasuk saya dan dua orang teman. Bermakna jemaah asli ialah empat orang saja. Imam juga saya percaya diimport dari luar berdasarkan kepada pelek sebutan dan bacaannya.

Saya tidak percaya dan mengira salah pandang. Lama saya memerhati ke segenap penjuru masjid bimbang takut pandangan terlindung. Sah jemaah hanya empat orang saja. Angka ini kontras dengan pembesar suara yang dipasang dan juga keluasan masjid yang dianggar boleh memuatkan 5,000 jemaah.

Rasa hiba dan pilu tiba-tiba menghimpit tangkai hati. Kenapalah jadi begitu. Untuk apa masjid dibina sebesar dan semewah itu kalau jemaahnya hanya empat orang saja? Apakah itu bukan pembazir namanya ataupun umat Islam hanya mahu menjual syiar Islam saja tetapi umatnya kering dan kontang dengan air keimanan?

Fikiran berputar mencari penyebabkan kenapa masjid itu miskin dengan jemaah. Mungkin sifir atau kesimpulannya bias! Tetapi inilah yang berlaku. Saya kira kalau Adnan Yaacob turun menjadi imam ia tentu akan ramai dan bilangan jemaah itu akan bertambah. Apabila pemimpin berada di hadapan maka akan ramailah pengikutnya. Pengikut akan melihat kepada tindak tanduk pemimpin kerana mereka menjadi ikutan dan dan idolanya.

Apa lagi disaat Umno sedang dalam edah memilih pemimpin kini. Jika Adnan Yaacob turun mungkin kesemua kumpulan G7 dan jawatankuasa Umno bahagian akan turun. Kalau mereka ini ikut menjadi jemaah pasti bilangan jemaahnya melebihi 30 orang. Pemandangan seperti semalam tentulah tidak akan berlaku dan mencalitkan sebuah keaiban di hati.

Kenapa masjid Pulau Melaka senantiasa penuh sesak dengan jemaah. Jawabannya gampang kerana orang yang menjadi imam ialah pemimpin nombor satu negeri. Orang ramai berebut untuk menjadi makmum kepada pemimpin seperti mana Tok Guru Nik Abdul Aziz itu.

Jadi untuk menyelesaikan masalah kekurangan jemaah di masjid Bentong yang indah dan besar itu, cuba-cubalah Adnan Yaacob naik ke masjid itu dan berada di hadapan menjadi imam, sebagai imam Islam Hadhri pun tidak mengapa. Tentu jemaahnya akan bertambah dari bilangan yang saya lihat semalam, hanya empat orang dan lima termasuk imam. (Saya harapan apa yang saya lihat semalam hanya kebetulan saja dan tidak pada hari sebelum dan selepasnya). Khlas! [wm.kl. 6:00 am 28/11/08]

3 comments:

  1. Kami juga mengalami perkara yang sama iaitu di Masjid Wilayah Persekutuan, hanya terdapat 2 jemaah saja yang duduk berdekatan ustaz mendengar ceramah selepas solat maghrib itupun suami dan anak saya (kami ke sana pun untuk meraikan majlis akad nikah) manakala selebihnya jemaah yang hadir berada di persekitaran masjid, itupun majoriti jemaah yang singgah ke masjid tersebut untuk menunaikan solat.
    Bila hampir waktu isyak barulah ramai jemaah lelaki yang hadir itupun majoriti jemaah yang hadir untuk meraikan majlis nikah.
    Masa permulaan ustaz menyampaikan ceramah, saya ingatkan ceramah tersebut dilakukan diluar dewan solat, rupa-rupanya bila ternampak suami dan anak saya berada di depan, barulah saya perasan bahawa ceramah tersebut diadakan di ruang dewan solat.
    Saya sangat terharu dengan usaha ustaz tersebut walaupun tiada ramai jemaah yang hadir namun beliau masih meneruskan usaha2 dakwah beliau. Semuga beliau terus kekal menyampaikan dakwah beliau. Ameen.

    ReplyDelete
  2. kawe setuju doh dgn demo..kalu TGNA nak bagi pun bleh doh lani...lagipun pengganti MB ada dah..tunggu masa jah..kawe rasa Pas Kelantan pun perlu berubah..Kepimpinan Ulamak molek doh..tapi kalau di ganti dgn kepimpinan Islam lagi cantet..sbb Ulamak tu masuk sekali dalam Islam dah..bila letak Islam kira universal lah kironyo..sape2 yg mampu dan layak biar je jadi pemimpin..x semestinya ulamak..tapi kalau ada ulamak yang mampu jadi pemimpin silakan..no problem...

    ReplyDelete
  3. Inilah salah satu tanda akhir zaman. Masjid yang tersergam indah dibina hanya untuk tujuan bermegah-magahan tetapi jemaah yang mengerjakan solat di dalamnya teramatlah sedikit. Masya Allah...

    ReplyDelete