Saturday, January 31, 2009

Laporan Lewat

Pelancaran GMP di Sogo
Perjuangan GMP Mula Merakyat

SEMASA dalam perjalanan pulang dari menyertai dan menyaksi majlis pelancaran gerakan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matemetik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) - GMP di Sogo beberapa orang penjenguk blog Merah Tinta telah menghubungi saya bertanya kenapa tidak dikemaskan laporan mengenai perhimpunan mini yang diadakan di tepian kompleks itu sore tadi.

Beberapa penjenguk tegar itu tidak sabar untuk membaca ulasan dan pengamatan saya mengenai himpunan berkenaan. Mungkin mereka tidak puas hati mendengar laporan yang dibuat televisyen yang memberi gambaran himpunan berkenaan hambar dan tawar. Sikap rajin dan tidak sabar itu menunjukkan mereka juga prihatin kepada himpunan berkenaan.

Memang hajat saya, sebaik sampai di rumah saya mahu segera kemaskinikan blog dengan peristiwa berkenaan. Tetapi apa boleh buat kerana melencong ke tempat lain jadi masa terbuang di jalanan. Sebaik hendak pulang dua orang anggota polis tiba-tiba telefon minta minum dan makan mee rebut bersama mereka di sebuah kedai mamak di hadapan Sogo.

Agak satu jam setengah juga masa terbuang bersama dua anggota polis itu yang bertanya hal perkembangan politik semasa khasnya berhubung desas desus ada wakil rakyat akan melangkah ke parti lain dan juga minta pandangan dan ulasan mengenai masa depan parti Umno. Jadi hendak tak hendak terpaksa juga melayan pegawai polis berkenaan.

Manakala sebaik sampai rumah hampir Maghrib ada pula kawan datang jemput untuk ke masjid al Ridhwan di Hulu Kelang untuk mendengar syarahan pendakwa tersohor Indonesia, Aa Gymnastiar.

Bagi saya himpunan di Sogo petang tadi walaupun kecil (hambar) tetapi ia memberi erti dan signifiken tersendiri. Himpunan hari ini mencatat sejarah tersendiri kerana inilah kali pertama para pejuang bahasa Melayu turun ke kaki lima bagi menggerakan perjuangan mereka - meraih simpati dan sokongan orang ramai untuk GMP.

Sebelum ini mereka hanya melaungkan di langit biru saja, di dalam bilik hawa dingin ataupun bertengek di majlis-majlis anjuran NGO dan parti politik atau di bilik-bilik seminar atau konvensyen saja. Kali ini mereka sudah tidak boleh sabar dan turun sendiri ke bawah untuk mengajak rakyat bersama mereka. Apabila pejuang bahasa dan sastera sudah hilang sabar ia menandakan keadaan bahasa Melayu sudah begitu parah.

Saya sampai agak awal ke kompleks berkenaan sekitar jam 2:30 petang. Suasana masih lenggang menyebabkan saya melilau dalam kompleks beli belah berkenaan bersama isteri dan anak-anak. Saya sengaja membawa isteri dan anak kali ini untuk memberi peluang mereka melihat bagaimana satu himpunan memperjuangan bahasa ibunda mereka diadakan.

Selama ini anak-anak saya hanya membaca tulisan dan melihat gambar demonstrasi yang saya tulis dan rakam dalam buku-buku politik. Saya mahu biar mereka alami sendiri kehangatan sebuah perjuangan bangsa mereka. Dalam hati kecil saya meminta biarlah perhimpunan tadi ada ketegangan; maksudnya ada larangan oleh pihak polis. Saya mahu mereka - anak-anak saya merasai atau melihat bagaimana suasana perhimpunan yang diganggui polis.

Namun keadaannya sejuk dan dingin saja dan terkawal dengan baik. Jumlah polis hampir sama ramai dengan mereka yang menghadiri himpunan itu. Layanan polis juga baik dan mesra! PDRM telah menghantar dua orang pegawai berbangsa India untuk memantau himpunan tadi. Saya kira polis ada strateginya kenapa tidak hantar pegawai polis berbangsa Melayu.

Mungkin kalau polis mengirimkan pegawai berbangsa Melayu kekok juga untuk mereka bertindak jika perhimpunan itu melarat. Masakan polis berbangsa Melayu bersedia untuk menyuraikan perhimpunan yang bertujuan untuk memperkasakan bahasa mereka!

Dengan menghantar pegawai berbangsa India, mereka fikir tidak timbul masalah sebab polis itu berbangsa India! Tetapi sesuatu yang ironis berlaku petang tadi apabila menurut Hassan kedua pegawai polis berbangsa India itu mengucapkan tahniah kepadanya kerana menjadi penggerak GMP itu. "Polis ucap terima kasih kepada saya, you tulis ini," begitulah bisik Hassan kepada saya.

Dalam pemerhatian saya perhimpunan tadi memang tidak cukup tenaga. Apa lagi kalau dibandingkan dengan siri-siri himpunan tunjuk perasaan yang diadakan di tempat itu pada tahun 1998, jauh bezanya. Nampak sekali himpunan itu tidak diurus dengan baik. Tidak ada apa-apa kain pemindang atau sepanduk yang menjulang slogan membela bahasa Melayu kecuali sekeping Manila kad yang berbunyi "Jangan Bunuh Bahasa Ibunda", yang dibuat secara tergesa-gesa nampaknya.

Masa saya sampai jam 2:45 minit petang keadaan masih lenggang. Lima minit kemudian baru ternampak kelibat Hassan Ahmad sedang menaiki tangga kaki lima Sogo.

Kebetulan hujan turun renyai-renyai, langaknya macam orang larikan daripada hujan sahaja tidak ada gaya pun untuk berdemonstasi! Selepas itu baru kelihatan Ainon Mohamad, Dr Abdullah Hassan, Dr Shahrir Md Zain mendekati Hassan Ahmad.

Wartawan dan jurugambar juga mulai mengerumuni Hassan Ahmad dan ia secara tidak langsung telah membentuk satu kelompok. Polis yang sedia ada sejak dari jam 2:00 petang lagi menambahkan angka dan membesarkan lingkaran himpunan berkenaan.

Tanpa disedari majlis pelancaran GMP itu tiba-tiba diberitahu sudah selesai. Ia berlangsung dalam tempoh tidak sampai enam minit. Hassan sudah menyuraikan diri dan duduk untuk minum di warung berdekatan. Entah apa yang diperkatakan semasa pelancaran itu saya tidak tahu. Cuma sehelai kertas sebagai press release diedarkan kepada wartawan.

Semasa dimeja untuk minum, baru nampak tokoh-tokoh dan pejuang bahasa yang datang duduk mengerumuni meja. Antara mereka, Dr Anwar Ridhuan, Dr Awang Sariyan, Ahmad Razali, A Samad Said, Dinsman, Khalid Salleh, Pyan Habib, juga turut sama kelihatan. Beberapa professor dan mahasiswa dari universiti tempatan juga turut hadir sama.

Dalam pada itu saya tercari-cari pejuang-pejuang bahasa lain, daripada Gapena dan lain-lain tetapi tidak nampak. Mungkin waktu itu mereka belum sampai kerana terkadas dalam kesesakan jalan raya dan hujan. Dan paling mengejutkan apabila persatuan Bahasa Tamil dan Cina juga turut hadir memberi sokongan kepada gerakan itu.

Selepas para himpunan hendak bersurai ahli Parlimen Batu, Tian Chua muncul diikuti oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin dan beberapa aktvis dan reformis reformasi. Kehadiran mereka ini memberi semangat, hajat untuk bersurai tadi tidak jadi. Memang himpunan tadi tidak memuaskan terutama mereka yang pernah menyertai demonstrasi di era refomasi dulu. Tetapi seperti saya katakan, sebagai permulaan ia bolehlah dianggap berjaya. Bagi kelompok yang mahu belajar berdemostrasi dikira berjaya.

Sekurang-kruang himpunan sore tadi menunjukkan pejuang bahasa yang tidak berkepentingan dan mendapat apa-apa kontrak atau berangan-angan untuk menjadi senator dan wakil rakyat menerusi parti kerajaan sudah berani untuk turun ke bawah menggerak perjuangan mereka untuk memansuhkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matemetik dalam bahasa Inggeris. Syabas kepada semua pejuang bahasa ibunda. [wm.kl 11:00 pm 31/01/09]

Merentas Benua

Tahniah Erdogan!
Kerana Sambung Kerja Muntadaz

APA yang berlaku sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzeland semalam dimana Perdana Menteri Turki, Tayyip Recep Erdogan meninggalkan sidang forum itu kerana berang dengan sikap Presiden Israel, Shimon Peres dan pengenalian berat sebelah sidang itu sekurang-kurang mampu mengubatkan sakit hati umat Islam seluruh dunia atas kedurjanaan Israel yang menyerang Gaza selam lebih tiga minggu lalu.

Erdogan bertindak meninggalkan sidang berkenaan apabila beliau tidak diberikan masa secukup dan dilayan tidak adil oleh pengerusi forum, David Ignatius, penulis Washitong Post. Jelas masa untuk Erdogan membalas hujah Peres tidak sampai separuh daripada masa diperuntukan kepada presiden Israel itu.

Bagaimana dalam kesempatan itu Erdogan sempat melemparkan peluru kerasnya kepada Peres dengan mengatakan Israel membunuh rakyat Palestin sebagai membalas penafian Peres yang menegakkan benang basah Israel tidak berbuat begitu.

Tahniah dan syabas kepad Erdogan kerana sikap tegas dan berani itu. Mungkin dunia barat yang bersekutu baik nyata atau tersembunyi dengan tindakan Israel mengganyang Gaza itu akan menuduh Erdogan tidak gentleman dan kurang beradab kerana meninggalkan sidang yang sedang berlangsung.

Biarlah Erdogan mereka nak tuduh apa pun, yang penting apa yang dikau lalukan itu menyeronok dan menggembirakan hati umat Islam. Terasa padan sekali Peres ditempelak sedemikian rupa. Manusia yang kurang ajar dan biadap patut diajar secara kurang ajar dan biadap juga.
Erdogan dalam bercakap mengenai isu serangan Israel ke atas Gaza menegaskan Israel membunuh rakyat Palaestin.

Apa yang Erdogan lalukan satu pembelaan ke atas kedurjanaan Israel ke atas Palestin secara terbuka dan paling berani setakat ini. Serangan Erdogan itu dikira tepat dalam sidang berkenaan yang disalurkan ke seluruh dunia. Shimon Peres yang berada kirinya dengannya juga terkulat dan malu.

Sudah padan muka Press dengan tempelakkan itu. Selaku Presiden Israel kehadiran Peres itu boleh dianggap kehadiran seluruh penjahat dan pembunuh Israel dan juga para pembunuh dari regim zionis.

Keberanian Erdogan itu lebih hebat dan berkesan daripada bom fosfour yang dilontarkan Israel ke Gaza yang membunuh lebih 1,300 nyawa itu. Pantaslah kalau ribuan rakyat Turki menyambut kepulangan Erdogan yang dianggap sebagai wira. Dunia lain juga patut puji keberanian dan ketegasan Erdogan.

Mungkin sebelum menghadiri forum tersebut bila bercakap mengenai isu kejahatan Israel Erdogan sudah dapat membayangkan apa yang akan berlaku. Beliau juga sudah dapat mengagak sidang itu akan berat sebelah dan bias kepada regim Israel. Namun kenapa beliau memberanikan diri untuk hadir juga kerana Erdogan ingin melontarkan kasut ke muka Shimon Peres sebagai menyambung apa yang dilakukan Muntadar al-Zehdi yang melontar kasut ke muka Gegorge W Bush.

Seperti mana kejadian yang dilakukan Muntadar itu dikenang dan menjadi sejarah yang memalukan Bush di sepanjang hayatnya, maka begitulah juga serangan langsung Erdogan ke atas Peres itu akan menjadi sejarah dan satu peristiwa yang cukup memalukan Press.
Bila mengenangkan kejadian itu menyebabkan saya tertanya apakah ada dari kalangan pemimpin negara kita berani melakukan seperti apa yang dilakukan Tayyip Recep Erdogan itu? [wm. kl. 10:50 am 31/01/09]

Tanpa Prejudis

Kenapa Papan Tanda Mulia Ini Sudah Jarang Kelihatan?

TAHUN-tahun awal pentadbiran kerajaan Pas di Kelantan, 1990-an berbagai bentuk objek syiar Islam dipacak atau digantung di serata tempat di negeri itu untuk memberi kesedaran kepada rakyat supaya mendekati Islam secara menyeluruh. Secara tidak langsung syiar itu juga membezakan kerajaan Pas dengan kerajaan Kelantan pimpinan Umno Barisan Nasional sebelum ini.
Lambang dan objek itu juga mecerminkan Kelantan dipimpinan oleh ulama yang mengambil berat kepada perkembangan kegiatan dan roh Islam.

Salah satu yang ketara ialah pemasangan papan tanda yang memuji dan mengagungkan nama Tuhan dan zatnya dengan kalimah, Subahanallah, Allahamdulilah dan Allahuakbar. Boleh dikatakan di semua jalan-jalan yang menjadi pintu masuk ke setiap daerah di Kelantan didirikan papan tanda berkenaan.

Menarik juga bila kita melalui jalan berkenaan kerana secara tidak langsung dapat berzikir dan bertasbeh kepada Allah. Anak-anak dan isteri juga yang tahu membacanya menyebut dan mengulanginya beberapa ketika sebaik melihat papan tanda itu.

Papantanda menggunakan kalimah suci dan agung ini ‘berceretek’ (merata) macam kulat pusu tumbuh di musim hujan.

Masuk dan pergilah ke daerah mana di kiri jalan akan terlihat papantanda ini sekurang-kurang satu atau tiga yang berdiri di tepi jalan. Pasti bagi mereka yang pertama kali ke Kelantan akan teruja dan nampak jelas perbezaan pendekatan Islam digunakan kerajaan Kelantan dengan negeri lain.

Suasana ini juga mengingatkan kepada mereka yang pernah melalui jalan Jeddah ke Makkah atau Makkah ke Madinah semasa mengerjakan umrah atau haji. Mungkin kerajaan Kelantan menceduk idea baik itu dari Arab Saudi?

Bagaimana pun pemandangan itu sudah mulai layu kini dan tidak berapa jelas kelihatan ke belakangan ini. Sudah banyak papantanda-papantanda berkenaan hilang, tercabut atau pun rosak dan tidak berganti. Ada juga yang ditutupi pohon selapuk tunggul dari bawah hingga ke atas. Setengahnya tulisan sudah lusuh dan 'lokah' (tanggal).

Sesetengahnya juga sudah robek dan sengit tidak dipedulikan sejak bertahun-tahun. Manakala yang rebah dan jatuh tentu dicabut untuk disimpan kerana tidak baik membiarkan kalimah mulia itu terbiarkan dalam keadaan begitu.

Sebaliknya apa yang mudah ternampak hari ini ialah papan tanda yang menghebahkan projek-projek rumah kedai atau bangunan kerajaan Kelantan seperti ‘koridor depu’ ‘duit dinar emas Kelantan’ atau pun billboard yang memaparkan wajah pemimpin-pemimpin Kelantan tertentu. Saiz papantanda ini juga ternyata lebih besar dan lebih mahal harganya daripada papantanda kalimah suci berkenaan.

Di empat daerah Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas, yang sempat ditinjau sudah tidak ditemui lagi papantanda-papantanda berkenaan. Mungkin ianya terlindung disebabkan papan projek yang terlalu banyak di pasang di tepi-tepi jalan kini. Ataupun sesetengahnya terlindung disebabkan semak samun yang tidak dirawat dengan rapi.

Di sepanjang melalui daerah-daerah itu hanya terlihat dua papan tanda saja iaitu di lebuh raya Machang ke Tanah Merah. Terdapat dua papan tanda kalimah Subhanallah dan Allahuakbar sebelum melintasi jambatan sungai Kelantan. Itupun papantanda berkalimat Subhanallah sudah sengit dan hampir jatuh.

Di pintu masuk ke daerah Gua Musang, Kuala Krai yang dulu dapat dilihat dengan senang papantanda itu kini sudah tidak ada lagi. Demikian juga di Tanah Merah dan Pasir Mas juga sudah tidak kelihatan lagi.

Apakah papantanda itu kini dalam proses penggantian menunggu versi baru? Ataupun kerajaan sedang menyediakan papan tanda eletronik yang besar lagi canggih seperti mana kedapatan di sestengah tempat di Bandaraya Islam Kota Bharu?

Kepada pihak penguasa tempaat yang bertanggungjawab dengan pemasangan papan tanda itu (Majlis Daerah dan Pejabat Tanah dan Jajahan) dapat memperbaiki ataupun memasang kembali papan tanda yang baru bagi menggantikan yang sudah rosak. Kerana walaupun ianya ringkas dan harganya tidak mahal namun dari segi spiritual dan maksudnya amat bermakna sekali untuk mendamaikan hati dan jiwa bagi setiap mereka yang mahukannya. [wm.kl 1:00 t/hari 30/01/09]

Friday, January 30, 2009

Laporan Petang

Perlantikan Termuzi Sebagai Pengarah DBP Dipertikai?

INSTITUSI kebahasaan dan kesusteraan negara Dewan Bahasa dan Pusata (DBP) sekali bakal dikucah dengan pergolakan. Kali ini berhubung dengan perlantikan Pengarahnya untuk menggantikan Dr Firdaus Abdullah yang bersara tahun lepas.

Khabarnya pengganti Firdaus telah pun dibuat, iaitu Datuk Termuzi Abdul Aziz salah seorang ahli lembaga pengelola badan berkenaan. Bagaimana pun perlantikan itu dipertikaikan oleh kakitangan DBP disebabkan ianya tidak menuruti prosuder sedia ada.

Surat perlantikan Termuzi dikatakan telah pun dikeluarkan pada 15 Januari lalu yang ditanda tangani oleh Datuk Haji Kamaruzaman Haji Mohd Noor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) yang bertindak bagi pihak Setiasuaha Kementerian Pelajaran Malaysia.

Perlantikan Termuzi yang dianggap secara tergesa-gesa dan pentas itu dikatakan bercanggah
dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka serta Pekeliling JPA.

Antaranya ialah;

- Bercanggah dengan Akta A 213 Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (semakan 1978) Bahagian 111 Seksyen 16(a),

- Bercanggah dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil 5 Tahun 1991 - Bahagian 4 Perkara, 4.1, 4.2, 4.3 dan 4.4.

- Bercanggah dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil 2 Tahun 203 - Bahagian 11 (iv) berkaitan dengan had umur. Juga bercanggah dengan Perkara 2.1.1 Bahagian II Panduan Perlantikan Pegawai Kontrak.

Masalah umur Termuzi juga menimbulkan masalah kerana pada tarikh surat perlantikan beliau sudah pun berusia 64 tahun 2 bulan sedang menurut peraturan perlantikan kontrak membenarkan melantik mereka yang berumur 60 hingga 65 tahun.

Disebabkan kontrak Termuzi selama dua tahun bermakna beliau akan berkhidmat hingga berumur 67 tahun.

Surat perlantikan Termuzi itu yang ditanda tangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Maaysia juga bercanggah kerana TKSU tidak mempunyai kuasa untuk membuat perlantikan itu.

Surata perlantikan itu juga dikatakan tidak mengikut prosuder (Pekeliling Bil 2/2003) kerana tidak terdapat salinan sama kepada JPA, Menteri Perlajaran, Pengurusan DBP atau Lembaga Pengelola.

Berdasarkan fakta itulah menyebabkan perlantikan Termuzi itu dipertikaikan. Disyaki adalah permainan oleh pihak tertentu untuk menyokong perlantikan Termuzi itu.

Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein dan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang sepatutnya mengetahui atau dimaklumkan mengenai perlantikan itu dikatakan tidak dimaklumkan berhubung perlantikan itu.

Justeru beberapa dokumen mengenai perlantikan Ketua Pengarah DBP baru ini sudah dihantar kepada pihak tertentu untuk diambil tindakan. [wm.kl 3:00 pm 30/01/09]

Celoteh Murai 30

Perang Hai Sang dan Gee Him di Perak Berterusan

PENYERTAAN Adun Bota Perak, Nasarudin Hashim ke dalam PKR benar-benar memberi impak kepada Umno Perak. Tindakan Nasarudin itu menyebabkan Umno Perak jadi kelam kabut dan huru hara kini.

Walaupun mulanya Umno Perak termasuk ketuanya, Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Setiausahanya, Ramly Zahary cuba melindungi keadaan itu dengan mengatakan Umno Perak stabil, sihat walafiat tidak terjejas namun tidak membuahkan hasil yang baik. Akhirnya apa yang berserabut itu terburai ke luar juga. Semua orang sudah tahu dah berlaku perang Hai Sang dengan Ghee Him di Perak.

Bukan saja Umno jadi kelam kabut gara-gara tindakan Nasarudin itu, tindakan itu juga menyebabkan kedudukan Tajol sendiri sebagai Ketua Umno Perak turut terpelanting ting...ting... Bila ada akhbar membuat spekulasi mengatakan beliau akan diganti, bukan main lagi marah Tajol kepada akhbar berkenaan.

Biasalah orang politik kalau kenyataan mereka menimbulkan masalah mereka akan blame media massa. Kononnya tersalah petik, ada niat jahat dan sebagainya.

Jarang sekali Murai perhati orang politik mahu mengaku kesalahan dan menuduh diri sendiri yang silap walaupun kesalahan dan kesilapan itu nampak tertungging. Akan dicuba juga mengamus kesalahan itu walaupun lagaknya laksana kucing timbus tahi atau seperti burung puyuh menyembunyikan diri kepala terlindung punggung tertungging.

Sepatutnya Tajol sudah lepas jawatan itu sebaik saja beliau menyedari BN kalah dalam pilihan raya lalu. Tiru apa yang dilakukan Khir Toyo. Tengok Khir Toyo tidak tunggu lama dan berdolak dalih, bila Umno Selangor kalah beliau ambil risiko lepas jawatan. Khir Toyo cerdik lebih lapan bulan berbanding Tajol Rosli.

Mengenangkan apa yang berlaku di Perak kini Murai hanya tersenyum saja. Apa yang lucunya dalam Umno tidak henti-henti melepaskan meriam dan membedil kerajaan Pakatan Rakyat, alih-alih yang tumbangnya jenderal dia sendiri. Nizar Jamaluddin masih tetap kukuh. Kalau dilihat kepada serangan ala Israel Umno menyerang Gaza itu patutnya Nizar Jamaluddin sudah lama tersembam dan kerajaan Pakatan juga sudah runtuh.

Nampaknya hari ini dengan kemasukan Nasarudin dan dijangka beberapa orang lagi Adun kedudukan kerajaan Pakatan makin kukuh dan makin kuat.

Walaupun Umno sudah lantik Najib Razak dan Zahid Hamidi sebagai ketua dan timbalan ketua Umno Perak, Murai rasa ia tidak akan menyelesaikan masalah. Mungkin masalah lama akan selesai, tetapi akan timbul pula masalah baru. Ini kerana perlantikan itu hanya diterima oleh pihak yang menyokong kedua-dua orang itu tetapi tidak yang lain. Sebelum ini Umno Perak dikatakan sudah mencadangkan nama lain untuk mengambil alih tenpat Tajol. Jadi bila orang lain yang dilantik tentu ianya akan ditolak.

Katanya Tajol sendiri tidak senang dengan apa yang berlaku itu. Peralihan kepimpinan itu dikatakan memalukan beliau kerana ianya dibuat tidak secara beradab dan dianggap sengaja untuk memalukannya.

Murai tidak mahu kata apa. Cuma Murai nak tenguk sejauh mana Tajol Rosli dapat menahankan ombak di dadanya. Apakah dia seorang pejuang yang tabah dan berjiwa besar atau sebaliknya. Kenapa Murai berkata begini kerana ada maklumat mengtakan kalau silap hari bulan Tajol sendiri akan menyertai Pakatan atau akan melepaskan jawatan selaku Adun? Astagaaa...!

Murai: Tidak pernah meninggal dahan awal persinggahan.

Thursday, January 29, 2009

Menjaring Minda

Apakah Relevannya Masjid Beridentiti Cina di Rantau Panjang?

MAAFLAH sampai sekarang saya tidak berapa faham apakah keperluanya masjid bereka bentuk senibina Cina dibina Rantau Panjang. Reka bentuk masjid berkenaan dikatakan ditiru reka bentuk masjid Beijing Cina.

Apakah tujuan dan maksudnya maka masjid yang bakal menggantikan masjid lama Rantau Panjang itu berkonsepkan seni bina Cina? Saya tidak tahu, tetapi nampakkan kerajaan Kelantan berbangga dengan pembinaan masjid berkenaan dan mereka ada alasannya tersendiri. Sering kali pemimpin Pas Kelantan menguar-uarkan akan peminaan masjid berkenaan dan dijadikan contoh.

Kerana kedudukannya di tepi jalan besar dari Banggol Kulim menunju ke pusat bandar Rantau Panjang, masjid itu akan menjadi mercutanda bandar Rantau Panjang. Pelancong asing yang masuk ke Rantau Panjang akan tersilau melihat masjid berkenaan. Dari pintu gerbangnya hinggalah kepada bumbungnya bercirikan seniubina Cina. Bagaimana kita melihat bangunan tokong Cina atau gedung-gedung perniagaan Cina begitulah jugalah rupa seni bina masjid itu.

Saya tidak fanatik dan ekstrem untuk menolak rekabentuk berkenaan dan reka bentuk bangsa atau budaya kaum apa sekalipun. Tidak salahnya rekabentuk itu kerana yang penting tempat itu bersih dan suci serta sah dijadikan tempat sembahyang. Masjid Nabi di Madinah pun asalnya dibina daripada batang kurma dan adunan tanah saja. Ciri dan reka bentuknya tidak menjadi persoalan.

Sebaliknya pula kalau kita menerima dan berpegang konsep reka bentuk sesebuah masjid itu tidak penting, kenapa kita susah-susah nak mengambil seni bina bangsa lain? Khabarnya sesetengah peralatan untuk membina reka bentuk masjid itu di import dari Cina. Apakah masyarakat Tionghua di Cina atau di mana-mana saja bermurah hati untuk memperkenalkan ciribina Melayu ataupun apa-apa budaya di tempat mereka? Apakah kita pernah berjumpa dengan apa-apa ciri seni bina Melayu di Beijing?

Bagi saya reka bentuk berkenaan tidak begitu tepat. Malahan ia seolah membelakangkan seni bina Melayu. Bangsa Melayu tidak kurang juga menarik dengan seni binanya. Kenapa masjid itu tidak meniru rumah Melayu berbumbung lima misalnya. Sudah banyak senibina dan keunikan bangsa Melayu lupus begitu saja dan tidak dipedulikan.

Rasanya daripada kita membawa seni bina Cina yang sudah berada di merata dunia itu elok kalau kita menampilkan seni bina Melayu yang menarik dan unik.

Saya juga kurang bersetuju kalau alasan pembinaan masjid berimejkan Cina itu untuk menarik perhatian masyarakat Cina mendekati Islam. Saya tidak nampak dengan membina masjid mengikut budaya Cina mereka akan jatuh hati kepada Islam.

Persoalan juga kalau hendak menarik masyarakat Cina, berapa ramai sangat orang Cina di Rantau Panjang. Rasa saya masyarakat Cina di pekan itu tidak sampai 5,000 orang? Jadi matlamat untuk menjadikan masjid itu sebagai objek tarikan kepada Islam mungkin tidak akan kesampaian. Tetapi kalau hendak dijadikan tarikan pelancong mungkin tercapai.

Mungkin kerajaan Kelantan ada motif tersendiri membina masjid bercirikan budaya Cina itu. Yang jelasnya itulah masjid pertama dibina oleh orang Melayu yang mengambil ciri senireka budaya Cina. Mungkin juga kerajaan Pas ingin membuktikan sikap keterbukaan partinya di mana bersedia mengorbankan budaya sendiri dan mengagungkan budaya Cina. Sekiranya benar begitu betapalah Pas rela melakukan apa saja untuk kepentingan politiknya walaupun ia mungkin menjejaskan budaya bangsa Melayu.

Masjid itu kini sudah hampir siap dan akan digunakan pada tahun ini. Kalau setakat hendak berbangga dengan adanya masjid berekabentukkan Cina tetapi Islam tetap ditakak lama ia tidak membawa apa-apa makna. Tindakan atau pembinaan masjid itu tidak lebih daripada untuk menambahkan keunikan negeri Kelantan yang sudah dikenali sebagai sebuah negeri yang unik dengan budaya dan tradisinya. [wm.kl 8:00 pm 29/01/09]

Belasungkawa

Sabri Mohd Zain Kembali Ke Rahmatullah

TOKOH penggerak teater berasal dari Kelantan Sabri Mohd Zain, 54 yang lebih dikenali dengan nama Samoza telah kembali ke rahmatullah jam 2:00 pagi tadi. Menurut anak perempuannya yang dihubungi sekejap tadi Allahyarham meninggal akibat pendarahan dalam kepala.

Sebelum itu Allahyarham dibawa ke hospital dalam keadaan nazar dan meninggal beberapa ketika kemudian.

Jenayah Allahyarham kini dalam perjalanan di Gua Musang untuk dibawa ke kampungnya di Serendah, Kok Lanas Kelantan.

Jenazahnya dijangka akan dikebumikan hari ini.

Samoza sepanjang hayatnya banyak menghasilkan skrip drama pentas, darma tv, drma radio dan beberapa buah novel sejarah.

Di samping itu juga beliau turut berlakon dalam beberapa buah telemove. Antara filem yang dilakoninya ialah Jora arahan U Wei Shaari. Al Fatihah. [d'kota kl 12:20 t/hari 29/01/09]

Pisau Lipat

Umno Perlu Tukar Rasuah Menjadi Babi

ORLA - 'orang lama' Umno Tengku Ahmad Ritahuddeen Tengku Ismail barang kali sudah pening kepala dan tidak tahu apa yang perlu difikirkan lagi untuk membenteras rasuah dalam partinya. Kerana usaha dilakukan kini mungkin tidak membawa kejayaan menyebabkan beliau semalam mencadangkan supaya sayap Umno, Puteri dan Putera dibubarkan. Malahan kalau perlu katanya Pemuda Umno juga perlu dibubarkan.

Semuanya kerana rasuah. Bekas Naib Presiden Umno itu membuat cadangan itu sebagai ikhtiar (terakhir) untuk menyelamatkan Umno. Beliau menyedari bahawa parti Umno semakin sakit, sakit dan sakit dan tidak ada harapan untuk sembuh dari penyakit gila rasuah.

Rasuah sudah berleluasa dan bermaharajalela dalam Umno Baru.

Alasan orla itu, rasuah berlaku disebabkan adanya pertandingan. Dengan adanya sayap Puteri dan Putera menyebabkan wujud pertandingan baru dan ia membuka satu lagi ruang berlakunya rasuah. Katanya beliau ada dengar rasuah dalam Puteri, tetapi tidak ada orang yang ingin melaporkannya.

Petua orla itu nampak tidak disetujui oleh beberapa pemimpin Umno lain termasuk yang spara orla. Kata calon Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin cadangan itu tidak munasabah kerana kalau sayap itu dibubarkan dimana nak letakkan pemimpin pelapis Umno!

Ketua Wanita Umno yang akan ditentang, Rafidah Aziz pula berkata tindakan itu seolah-olah membakar kelambu. Katanya hanya segelintir saja ahli Umno terlibat dengan rasuah mengapa soal politik wang dikaitkan dengan sayap parti itu sedangkan yang melakukanya bukan kalangan ahli sayap itu tetapi para induknya.

Manakala seorang pemimpin puteri Naib Ketua Puteri, Rosnah Abdul Majid menyifatkan cadangan itu tidak rasional dan pembubaran sayap parti itu seolah-olah cuba menjauhkan golongan muda dengan politik.

Muhyiddin, Rafidah dan Rosnah menentang cadangan Tengku Rithauddeen itu dan menolak dakwaan Tengku Ritahuddeen yang beranggapan rasuah sudah parah dalam Umno.

Jelas perbezaan pandangan dan pendekatan mengenai masalah rausah dalam Umno. Bagi orla melihat ianya sudah parah, kerana mengukurnya dengan suasana dan pendekatan Umno lama.

Bagaimana pun keadaan yang kusut masai hari ini masih dapat dimaafi oleh golongan baru. Muhyiddin, Rafidah dan Rosnah melihatnya ianya (rasuah) perkara biasa kerana ia adalah amalan dan budaya sihat di zaman ini yang mana mungkin mereka juga adalah pengamalnya.

Pertentangan ini menjelaskan konflit mengenai penghapusan rasuah dalam Umno. Bagi mereka yang melihat rasuah masih belum parah ialah mereka yang mengamalkan rasuah dan naik menduduki jawatan hari ini dengan rasuah. Bila mereka sudah terbiasa dengan rasuah menyebabkan ia tidak dilihat sebagai jijik dan berdosa lagi.

Adapun kenapa Tengku Rithauddeen sampai tergamak membuat cadangan itu kerana beliau melihat rasuah bakal meruntuhkan institusi Umno. Kita percaya Tengk Ritahuddeen membuat cadangan itu berdasarkan kepada fakta-fakta dan sumber yang beliau perolehi.

Sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno yang bertanggungjawab menyelesaikan aduan mengenai salah laku ahli terkhusus rasuah, Tengku Ritahuddeen mendapat maklumat yang banyak dan tepat. Kita percaya masih banyak aduan yang diterima tetapi disembunyikan kerana untuk menjaga maruah Umno.

Pun begitu cadangan itu mungkin tidak begitu sesuai dan agak melampau. Tidak semestinya bila sayap Umno itu dibubarkan rasuah akan berkurangan. Seperti mana yang saya katakan sebelum ini rasuah sudah menjadi darah daging dan sebahagian idealisme parti Umno. Ia sudah membudaya dan mengakar umbi. Kerana itu ia tidak mungkin dihapuskan lagi kerana penghapusannya menyebabkan dengan Umno itu sendiri akan lenyap.

Rasuah sudah menjadi kepercayaan ahli Umno, di mana jika tidak hulurkan wang mereka akan gagal untuk mendapat tempat - jawatan. Syaksiah dan kredibiliti seseroang tidak menjamin ia dipilih sebagai pemimpin kalau 'kupit' untuk hulur wang. Kerana ia sebuah kepercayaan maka ia disembah dan diagungkan oleh para penyembahnya seperti mana penganut fahamam anamisme menyembah pokok besar atau busut yang dianggap keramat. Keramat dalam Umno ialah kerana rasuah.

Realifnya masalah rasuah akan selesai sekiranya ahlinya tidak menerima dan memberi rasuah. Di sini apa yang Umno harus lakukan ialah mendidik ahli-ahlinya agar membenci rasuah sungguh-sungguh. Jadikan rasuah itu macam babi yang dibenci oleh orang Melayu. Orang Melayu bila tengok babi semua benci dan geli gentleman dan sampai termuntah. Maka Umno kena cari pakar yang boleh menukar rasuah menjadi seperti babi.

Selagi rasuah tidak dibenci seperti orang Melayu membenci babi, maka selama itulah ia hidup dan bertamdun dalam Umno. Jadi kepada Tengku Ahmad Ritahauddeen daripada menyarankan agar sayap Umno dibubarkan bila beliau merantau jauh mencari pakar atau belajar formula bergaimana menukar rasuah menjadi babi. Dan kalau beliau gagal melakukan ini cadangan paling afdal dirasakan perlu dibuat oleh Tengku Ahmad Ritahuddeen selepas ini ialah mencadangkan agar Umno dibubarkan. [d, kota kl 9:45 am 29/01/09]

Wednesday, January 28, 2009

Susupan Petang

Umno Perak Sudah Rosak

UMNO Perak nampaknya semakin goyah dan hilang tumpuan. Semuanya berpunca daripada tindakan nekad seorang Adunya, Nasaruddin Hashim bertindak meninggalkan parti untuk menyertai PKR.

Penghijrahan Nasarudin itu menyebabkan Umno tidak dapat melakukan apa-apa lagi melainkan hanya setakat boleh mengeluh dan menyesalkan saja. Nasarudin sudah tidak dapat berundur ke belakang lagi.

Pagi ini Nasirudin sudah mengunjungi Menteri Besar Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin. Kunjungan tersebut membuktikan bahawa Nasarudin tidak akan terpanggil lagi kepada usaha untuk membujuknya semula. Penghijrahan Adun Bota itu bukan kerana merajuk yang boleh dipujuk tetapi kerana beliau kecewa dan kesal dengan Umno.

Seperti mana jelasnya beliau hijrah ke dalam PKR bukan kerana ingin jawatan seperti mana yang dituduh ke atasnya. MB Perak juga memperakui tidak ada apa-apa jawatan kepada Nasarudin. Bagaimana pun dalam politik adalah biasa kalau seseorang yang baru berhijrah diberikan jawatan setanding dengan kedudukannya. Ia bukan sesuatu yang pelik.

Mungkin kisah Nasarudin menyertai PKR itu tidak perlu difikirkan lagi oleh Umno. Sebalik apa yang mungkin memeningkan kepada ialah ura-ura ada tiga orang lagi Adun BN yang dikatakan berhajat untuk melakukan hal yang sama.

Mereka yang disebut-sebut ialah Hamdi Abu Bakar (Beruas), Ahamad Pakeh Adam (Lintang) dan Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Kubu Gajah). Walaupun dua daripada tiga Adun ini dikatakan ada pergi menghadap Mohd Najib Razak kelmarin untuk menyatakan sikap dan melafazkan ikrar taat setia namun ia bukan perbuatan mutlak menjaminkan mereka tidak akan meninggalkan Umno.

Raja Ahmad Zainuddin dikatakan tidak ikut serta dalam rombongan melafaz ikrar itu konnonya beliau berada di luar negara?

Penghijarahan Nasarudin dan apa lagi kalau diikuti oleh tiga Adun itu ia memberi pukulan maut kepada Umno Perak. Kesan kepada penghijrahan itu menyebabkan maruah Umno Perak boleh jatuh terburai dijalan.

Ia memberi gambaran bukan saja ahli yang kadang kala terlena dengan sesuatu yang baru tetapi pemimpin sendiri sudah hilang kepercayaan. Kalau pemimpin sudah hilang kepercayaan ia bermakna parti itu sudah tidak ada hala tuju dan masa depan yang cemerlang lagi.

Kebetulan Nasarudin dan dua lagi Adun adalah bekas Ketua Umno Bahagian. Mereka kalah dalam pemilihan jawatan Disember lalu. Manakala Raja Ahmad Zainuddin pula sedang berhadapan dengan masalah akan ditentang oleh Hamzah Zainuddin. Apakah Raja Ahmad menunggu dia dijatuhkan baru hendak menyertai PKR?

Jadi dengan situasi itu ada yang mengatakan mereka ini kecewa kerana kalah dalam pemilihan itu maka mereka beralih ke parti lain. Sebenarnya kalau benar disebabkan mereka kalah dalam parti, tetapi tentu ada yang menyebabkan mereka sanggup berpaling tadah dan menukar wadah perjuangan.

Sebelum ini pun ramai ketua bahagian yang kalah, hatta yang bertanding timbalan presiden, naib-naib presiden pun ada yang kalah namun mereka tidak sampai mengambil keputusan untuk meninggalkan parti. Jadi tuduhan itu tidak benar dan cuba merendahkan politik mereka itu.

Jelas mereka mula tidak minat kepada parti Umno ialah kerana budaya dan sistem yang diamalkan parti berkenaan. Sesuatu yang bertentangan dengan budaya dan pemikiran mereka sudah tentu mereka rasakan tidak wajar mengikutinya lagi. Mungkin salah satunya mereka kecewa dengan rasuah yang bermaharaja lela dalam parti berkenaan. Mungkin juga mereka tewas sebagai ketua bahagian kerana mereka tidak mahu rasuah bukan kerana ditolak atas faktor lain.

Ekoran perkembangan itu Umno Perak khasnya dan Umno Malaysia sudah mengambil beberapa langkah drastik untuk menyelamatkan Umno Perak. Antaranya Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Mohd Tajol Rosli Ghazali akan berundur dalam tempoh terdekat. Tempat beliau akan diambil oleh Mohd Najib Razak ataupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Kalau pun Najib mengambil alih mungkin untuk seketika saja kemudian akan diserahkan kepada Zahid sekiranya Zahid menang sebagai salah seorang Naib Presiden. Soalnya apakah peralihan itu akan membawa perubahan dan dapat mengembalikan suasana di Perak?

Apakah tidak mungkin dengan berlakunya peralihan kuasa itu ia menambahkan lagi kecelaruan dan kegoyahan Umno Perak? Dalam keadaan hari ini, apa juga yang diperlakukan kepada Umno ia tidak mudah untuk jadi sempurna semula. Kegoyahan Umno Perak samalah dengan keadaan rumah buruk yang terletak di atas pasir lembut. [d'kota kl 9:15 pm 28/01/09]

Tuesday, January 27, 2009

Gurau Lembu

Awas Pencuri di Majlis Perkahwinan

DUA hari saya tidak mengemaskinikan blog ini kerana balik kampung meraikan anak buah kahwin. Kebetulan pula cuti tahun baru Cina. Tahun baru Cina kali ini jatuh kepada tahun lembu. Menarik juga kalau diulas mengenai sifat-sifat lembu ini.

Selalu orang Kelantan bila ada cuti sikit mereka akan berarak balik kampung. Apa lagi bulan Asyura (Muharram) masih tersisa sehari dua, kalau bernasib baik dapatlah merasa bubur asyura (sura) kaluapun tidak balik untuk hanya membasuh kawah dan menyuraikan api tunggang. Sempena bulan sura ini menyebabkan keinginan untuk pulang menjadi-jadi.

Kenalkah dengan tunggang duhai generasi muda? Tempat memasak asura atau gulai kawah. Orang dulu-dulu tidak pakai tungku tetapi digali lubang dan dimasukkan api dalam lubang. Kawah di letakkan atas lubang (tunggang) berkenaan. Kiri kanan dan dihadapan ada lubang yang dipanggil lubang nyawa api.

Tetapi sekarang ini masak menggunakan tunggang sudah tidak ada lagi. Generasi hari ini sudah tidak kenal dengan tunggang yang unit itu.

Biasa bila berada di kampung terlupa cerita politik dan isu-isu berlaku di sekitar Kuala Lumpur. Suasana hening kampung menutupi segala persoalan hidup modern. TV surat khabar pun tidak tonton dan dibaca lagi. Internet tak usah ceritalah di kampung saya sukar nak dapat line. Pulak, tertinggal boardband, lagi susah. Kena ke Pekan Rantau Panjang untuk layari internet.

Lantaran itu ada beberapa penjenguk blog sudah mula mengirim sms minta ulas isu terbaru, isu kemasukan Adun Bota Perak dari Umno Nasaruddin Hashim ke dalam PKR. Padahal sudah ada dalam blog lain tetapi penjenguk setia blog tunggu ulasan dari Merah Tinta juga.

Di pekan Rantau Panjang hanya ada sebuah saja ciber cafe (CC). Sewaktu hendak posting catatan tengah hari Ahad kelmarin terkejut juga tengok CC berkenaan dipenuhi kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun. Satu perkembangan dan fenomena baru anak-anak zaman ini. CC menjadi tumpuan sekumpulan kanak-kanak berkenaan. Mereka tidak lagi berkeliaran di bendang padi atau mandi sungai sampai hampir Maghrib seperti zaman saya kecil dulu.

Cuma sayang sedikit pengguna CC itu tidak dipantau. Apa yang sempat saya lihat hampir kesemua yang datang itu bermain game, kartun saja manakala yang lain pula jadi tukang tenguk atau tumpang semangkuk. Suasana di CC itu juga kurang teratur dan agak bising di samping baunya yang kurang menyenangkan. Mungkin nasib CC di luar bandar begitulah.

Kenduri apa lagi kenduri kahwin satu pesta dikampung. Ketika ini semua keluarga akan berhimpun dan disaat inilah anggota keluarga jauh dan dekat boleh kenal mengenali antara satu sama lain bagi merapatkan semula tali kekeluargaan. Apabila semua anggota keluarga berhimpun saat inilah mendatangkan keseronokan.

Kerana itu kalau ada jemputan atau kenduri jarang orang Kelantan menguzurkan diri. Budaya dan tardisi itulah juga meyebabkan saya turut sama balik semata-mata untuk meraikan kenduri anak buah itu dan merasai keseronokan dalam majlis itu.

Mungkin juga kerana perubahan masa dan keadaan suasana dan semangat kenduri itu juga sudah berubah. Bukan saja cara masakannya cara modern di mana makanan ditempah atau dibuat secara catering, tetapi ada unsur-unsur lain yang menyilinap masuk ke dalam pesta atau kenduri berkenaan. Ini mengejutkan.

Apa yang saya maksudnya ialah, mengenai sendiket pencurian di majlis perkahwinan. Kejadian ini dilaporkan sudah berlaku beberapa kali ditempat lain di sekitar daerah saya. Dan saya sendiri ini kali pertama mendengarnya dan ia berlaku dalam majlis perkahwinan anak buah sendiri kelmarin.

Dalam keseronokan dan kegembirana itu siapakah menyangka ada penyangak yang menyusup masuk ke dalam rumah. Mencuri masuk ke dalam rumah dan mengelidah bilik dan beg tangan, mengambil wang dan barangan berharga lain, telefon bimbit dan sebagainya.

Dalam kejadian di majlis kenduri anak buah semalam wang tunai RM5,000 lesap bersama dengan tiga telefon bimbit yang berharga lebih RM1,500.

Kejadian itu disedari sesudah majlis makan beradat penggantin selesai apabila si tuan punya beg membuka beg untuk mengambil wang dan mengguna telefonya. Kejadian itu menggempark dan mengejutkan semua anggota kerana ia belum pernah berlaku. Mungkin projek mencuri itu dilakukan sewaktu orang ramai sedang sibuk menerima kedatangan pengantin lelaki dan ketika majlis makan beradap.

Sukar untuk dipercayai kerana disepanjang hayat kejadian begitu tidak pernah berlaku di rumah berkenaan. Inilah yang pertama kali berlaku.

Menurut beberapa anggota keluarga rupanya kejadian seperti itu pernah berlaku beberapa kali di tempat lain. Memang ada satu sendiket yang melakukan kerja terkutuk mengambil kesempatan atas kesibukan menguruskan kenduri itu.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan secara profesional. Berberapa andaian boleh dibuat, mungkin penyangak berkenaan memasuki ke rumah itu bersama dengan para jemputan lain. Tuan rumah atau anggota keluarga tidak dapat mengsyaki kerana menganggap mereka adalah jemputan sama seperti orang lain.

Penyangak profesional ini katanya mempunyai target tersendiri. Selalunya apa yang mereka sasarkan ialah barangan hantaran yang diletakkan di atas par dan juga wang maskahwin. Selalunya barang hantar bernilai, seperti jam tangan, kain songket, cincin, ataupun wang. Barangan inilah menjadi mangsa penyangak profesional itu.

Dari segi logiknya penyangak ini dari kalangan wanita. Kerana kebiasaanya para tetamu wanita dielak masuk ke dalam rumah manakala tetamu lelaki di tempatkan di bangsal atau khemah di luar rumah.

Apa yang berlaku itu satu fenomena baru dalam dunia kenduri kendara di Kelantan. Ia juga menggambarkan manusia sudah menggunakan dan mengambil apa saja peluang untuk melakukan jenayah dan perbuatan jahat. Jenyah hari ini tidak terbatas diluar rumah tetapi ia juga turut berlaku dalam rumah.

Lantaran itu kepada semua pihak dapat mengambil perhatian mengenai peristiwa ini. Sudah pasti kejadian yang menimpa majlis anak buah saya itu akan juga turut menimpa orang lain kerana penyangak ini bergerak secara profesional dan mencuri adalah mata pencarian hidup mereka untuk menyara keluarga! [wm.kl 9:00 pm 27/01/09]

Sunday, January 25, 2009

Ulasan Isu

Siapa Benar: Polis, Peguam Negara Atau Murugiah?

APA sudah jadi? Seorang Senator T Murugiah bercadang untuk menyaman Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menunjukkan dia seolah-olah bertindak ala samseng semasa memasuki rumah mayat hospital Serdang bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri SK Divamany pada 21 Januari lalu.

Kedua mereka bersama sekumpulan (Hindraf) telah dikatakan meceroboh rumah mayat berkenaan untuk mendapat pengesahan atau menyiasat berhubung kematian seorang tahanan polis A Kugen, 22 pada Selasa lalu. Kematian Kugen dikatakan menimbulkan keraguan terutamanya anggota keluarganya.

Kontroversi mula timbul apabila mulanya polis membuat kenyataan kematian itu disebabkan Kugen menghidapi paru-paru berair. Maksudnya kalau mati kerana penyakit itu ia adalah kematian biasa dan tidak ada apa-apa yang disyaki berlaku.

Bagaimana pun bila Penguam Negara, Abdul Ghani Petail membuat kenyataan kematian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh menyebabkan ia semakin menimbulkan kekeliruan. Kenyataan Ghani itu menolak sama sekali kenyataan polis tadi.

Kenyataan Ghani mekain menjadi perhatian umum kini. Apa gambar-gambar mayat Kugen yang menunjukkan kecederaan di beberapa bahagian tubuh disebar dalam internet atau blog. Kecederaan itu menyebabkan kenyataan awal polis kematian itu disebabkan paru-paru berair diragui dan umum mula mengsyaki berlaku sesuatu yang luar biasa keatas Kugen.

Murgiah pula menyatakan untuk saman Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar kerana menuduh beliau bersama mereka yang lain telah menceroboh bilik mayat dan bertindak seolah-olah samseng. Murigah merasa malu dengan tuduhan itu dan menjatuhkan imenya sebagai seorang Senator.

Murugiah mempertahankan kedatangannya dia ke bilik mayat itu atas tanggungjawab awamnya. Dalam hal ini tentu beliau tidak mahu ketinggalan untuk menangani masalah Kugen dan membela keluarganya. Sebagai orang politik Murugiah kena bertanggungjawab kalau tidak beliau tidak akan popular.

Ada sikit persoalan di dalam kes ini? Pertama, kenapa berlaku percanggahan kenyataan mengenai kematian Kugen itu? Kenapa pihak hospital membuat kenyataan demikian. Dan kenapa pula Ghani membuat kenyataan yang kontras dengan kenyataan itu?

Dan keadaan ini dirumitkan lagi dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Musa Hassan hari semalam yang menafikan tidak ada percanggahan antara dua kenyataan itu. Kata Musa kenyataan polis berdasarkan bedah siasat ke atas Kugen. Kalau begitu kenyataan Ghani berdasarkan apa? Apakah Ghani berdasarkan kenyataan dan rumours? Atau cakap-cakap-orang lain?

Selalunya Peguam negara akan membuat kenyataan berdasarkan siasatan polis juga.

Kematian Kugen telah menjadi isu yang mencabar kewibawaan tiga pihak; polis, peguam negara dan Murugiah (orang politik). Orang ramai sedang menanti kenyataan atau cakap siapa boleh didengari dan dipercayai? Apakah pihak polis (Musa Hassan) yang betul, Ghani Petail atau Murugiah? Atau ketiga-tiga mereka ini bersalah!

Menarik, dan isu ini sedang diperhatikan di mana jika gagal diselesaikan ia bakal menjadi isu politik menggemparkan. Adalah diharap semua pihak bertanggungjawab kepada kenyataan masing-masing. Sekiranya Ghani Petail dan Murugiah betul, polis iaini Musa Hassan kena ambil 'tanggung malu' dengan letak jawatan. Kalau Musa Hassan betul maka Ghani dan Murugiah kena letak jawatan?

Apakah mereka akan bersedia untuk menjaga maruah sampai ke tahap itu? Sama-sama kita tunggu kerana selepas Selasa ada Rabu, selepasa Rabu ada Khamis, selepas Kahmis ada Jumaat selepas Jumaat ada Sabtu, selepas Sabtu ada Ahad dan Selepas Ahad ada Isnin. Selepas Isnin ada Selasa dan selepasa Selasa ada pula Rabu. Begitulah seterusnya hari-hari itu bergilir-gilir memenuhi ruangnya. [gn r panjang 12:00 25/01/09]

Friday, January 23, 2009

Selepas Jumaat

Khir Toyo Tidak Perlu Main Sentimen Tun Razak

KEKALAHAN BN di Kuala Terengganu telah memberi ruang untuk mereka yang ingin bertanding merebut jawatan pada perhimpunan agung Umno Mac depan untuk bercakap bagi menjual idea sebagai modal dan daya tarik kempen. Sesetengahnya terpaksa mencari-cari dan menggali idea lama untuk memperlihatkan ada idea unik.

Ada yang pergi sendiri ke pejabat akhbar, televisyen supaya pandangan mereka dipakai, muka disiarkan dalam tv dan gambar dicetak dalam surat khabar. Sebenarnya mereka ini bukan sangat untuk membina Umno yang sudah hampir robek itu tetapi ingin menjual idea dan diri mereka.

Mudah-mudahan idea yang dijual itu tertangkap oleh ahli Umno dan menjadi bahan renungan buat menilai diri empunya idea! Apa yang mereka inginkan mahu ahli Umno yang menjadi perwakilan menganggap mereka ada idea bagaimana untuk memberi bantuan kepada parti.

Salah seorang yang dikira banyak bercakap mengenai kekalahan di Terengganu itu ialah bekas MB Selangor, Mohamad Khir Toyo. Cara Khir Toyo ulas mengenai kekalahan di Kuala Terengganu dan membidas partinya seolah BN masih berkuasa di Selangor. Seolah Khir Toyo masih menjadi YAB di Selangor.

Kalau Khir terlupa ingin diberi tahu bahawa dia ialah ketua pembangkang di DUN Selangor, bukan ketua kerajaan Selangor lagi.

Antara cadangan Khir ialah supaya BN mengikut apa yang dibuat oleh Tun Razak Hussein. Katanya Tun Razak untuk memulihkan semangat dan memperbaharui Umno telah menukar simbol dari kapal layar kepada dacing, daripada nama Perikatan kepada Barisan Nasional.

Geli hati saya mendengar cadangan Khir ini. Teringat kepada penduduk kampung di pedalaman Kelantan ditahun-tahun 60-an dulu yang menukar nama-nama anak mereka kepada nama lain, untuk menghalang penyakit. Misalnya kalau kesihatan budak itu kurus, laih dan tidak gemuk (disebabkan serangan cacing kerawit), nama mereka ditukar. Daripada Mat Kossim misalnya kepada Abdul Jamal. Atau kalau perempuan daripada Mek Nab kepada Siti Rahmah.

Anihnya selepas itu ada juga menjadi, tetapi banyak yang tidak memberi kesan! Mungkin Khir mengambil ilham amalan dan kepercayaan tradisi Melayu ini. Khir memang suka bermain dengan peralatan tradisional orang Melayu. Satu masa dulu beliau memberi penyapu kepada pegawai PBT sebagai simbol atas kelemahana PBT. Akhirnya penyapu terbalik ke mukanya sendiri. Sebuah kerajaan negeri hanyut.

Pada saya cadangan Khir yang membabitkan nama Tun Razak itu tidak lain dan tidak bukan kerana ingin menarik perhatian anak Tun Razak sahaja, itu Najib Razak. Orang Melayu kalau bapanya dipuji dia akan suka. Khir mungkin mengharap Najib akan menyetujui dan menyukainya. Manalah tahu dengan suka itu akan mengalir sikit undi (pengaruh Najib) ke dalam peti undinya yang akan bertanding ketua Pemuda.

Sebenarnya Khir tidak payah mainkan sentimen Tun Razak kerana nak menagih undi dari penyokong Najib. Kalau kita ada kemampuan, wibawa dan bakat sendiri kita gunakan modal sendiri. Khir harus menjual kebolehannya sendiri untuk jadi Ketua Pemuda Umno. Misalnya Khir boleh senaraikan kejayaannya selama lapan tahun menjadi MB Selangor. Modal itu sudah cukup besar untuk Khir.

Jika dibandingkan dengan dua calon lagi, Khir sudah terlebih modal. Khir ada track recordnya sendiri sebab dia berpeluang menjadi pentadbir. Orang boleh nilai kebolehan Khir selama lapan tahun itu. Khiry Jamaluddin dan Mukriz Mahatahir dua lagi calon ketua pemuda tidak ada kesempatan itu. Khairy hanya ada keberanian berhadapan dengan sesiapa sahaja. Manakala Mukriz hanya menumpang tuah dan menggunakan air liur bapanya sahaja.

Jadi Khir yang sudah menjadi MB lapan tahun gunakanlah modal berkenaan. Usahlah memainkan nama Tun Razak kerana nak tagih simpati Najib dan kumpulan-kumpulannya. Seorang ketua pemuda di era globalisasi mesti berani untuk berhadapan dengan sesiapa saja dan sedia menjawab persoalan yang dibangkitkan apa juga mengenai diri kita. Kalau kita penakut macam mana nak jadi panglima? [wm.kl 8:26 pm 23/01/09]

Selepas Subuh

Tindakan Menghapuskan Ethnik Corruptionism Dalam Umno

SEJAK semalam hingga hari ini sudah lima ahli Umno dihadap ke mahkamah kerana rasuah atau melakukan tumbuk rusuk. Kelmarin bekas Adun Semenyih, Ahmad Kuris Mohd Nor (foto) didakwa di mahkamah sesyen Ampang dan Kuala Lumpur kerana tudahan rasuah melibatkan wang sebanyak lebih RM200,000.

Semalam pula tiga lagi ahli Umno dituduh kerana merasuah ahli agar memilih calon tertentu pada pemilihan Mac depan. Paling mengejutkan di Temerloh semalam Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Norza Zakaria disoal siasat selama hampir 10 jam berkaitan dengan rasuah juga.

Sebelum ini, lama sebelum ini sudah berlori-lori orang-orang Umno ditangkap dan dihukum kerana rasuah. Setengahnya masih meringkuk dalam penjara hingga kini. Sekiranya tidak ada perlindungan rahmat daripada dewa-dewa mereka banyak lagi ahli Umno yang dipenjara atau dibicara kerana rasuah. Mungkin sebuah penjara khas menahan para perasuah di kalangan Umno perlu diwujudkan di negara ini.

Sebahagian besar bekas-bekas Adun, ahli Parlimen dan termasuk menteri yang tidak dicalon semula dalam pilihan raya lalu aalah kerana rasuah, mereka terbabit dalam rasuah. Periksa dan selidiklah sendiri siapa mereka. Kalau saya senaraikan nanti dikatakan saya membuat andaian dan fitnah pula! Ada setengahnya mengambil jalan keluar tidak menjadi calon asalkan mereka tidak diserahkan kepada pencegah rasuah.

Macma-macam cerita mengenai rasuah kita dengar. Ada bekas seorang menteri yang dikatakan terbabit dengan rasuah. Kenderaaanya ditahan polis berminggu-minggu tetapi beliau bebas berjalan ke mana-mana. Itu bentuk penyiasatan dan pendakwaan di Malaysia! Kenapa begitu, kerana ada perestuan daripada dewa-dewi Umno sendiri.

Rasuah terlalu banyak dalam Umno. Kerana itu saya mengatakan Umno adalah unversiti rasuah. Sistem, pendekatan, dan politiking melampau dalam Umno menyebabkan rasuah subur dan melebar. Perhatikan apa yang berlaku saat Umno hendak mengadakan pemilihan peringkat cawangan hingga MT.

Apakah kerana menyedari bahaya itu maka kerajaan BN baru-baru telah menggubal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengganti akta pencegahan rasuah sebelum ini. Apakah Abdullah Ahmad Badawi beriya untuk membentangkan akta itu kerana nak cekup dan bencikan orang Umno? Boleh jadi juga, kerana SPRM nampaknya telah memulakan kerja mereka dan mula membuka gari untuk menggari tangan-tangan orang Umno.

Rasuah Umno sudah jadi seperti tahi dengan kentut. Ia begitu intim sekali. Walaupun keduanya busuk tetapi sudah mangli bagi hidung orang Umno. Sudah sinonim bila sebut Umno teringat rasuah, bila sebut rasuah teringat Umno! Kenapa sebab banyak sangat rasuah dalam Umno. Ia berlaku dari peringkat bawah sampai ke peringkat atas.

Rasuah dan Umno juga sama seperti penagih dengan dadah. Ia tidak boleh dipisahkan lagi. Kalau dipisahkan rasuah dengan Umno samalah dengan memisahkan dadah dengan penagih. Penagih akan menggeletar, hilang semangat, bercakap tidak lancar, berjalan mundur mandir dan otak jam sama sekali. Begitulah rasuah dan Umno.

Persoalannya bolehkah Umno diselamat daripada rasuah dan rasuah dihapuskan dalam Umno? Kerja untuk menghapuskan rasuah dalam Umno bukan mudah sebab ia sudah bertindak menjadi satu idealisme... satu fahaman. Kesusahan untuk mengatasinya samalah sukarnya untuk mengikis fahaman sosialis dan komunis dalam kepada manusia.

Rasuah sudah menjadi satu idealisme dan fahaman anamisme dalam Umno. Sudah menjadi matlamat. Semua ini berlaku kerana hasil dari ajaran dan tarbiyah manusia hipokrit dan tamak harta dan kuasa menyebabkan ahli sudah menjadi kebendaan sebagai matlamat hidup dan perjuangan dalam Umno.

Mereka yang menyertai Umno atau sudah berada dalam Umno tidak memikirkan perkara lain, selain berfikir dan berikhtiar macam mana hendak dapatkan kuasa untuk mendapatkan wang. Kerana kepercayaan dalam Umno bila ada kuasa cukup sebagai pemeriksaan kira-kira nombor dua di kawasan menteri atau timbalan ia boleh mendatangkan duit. Sudah cukup untuk dijadikan sumber cari makan anak isteri.

Apabila wang atau kebendaan menjadi matlamat inilah bahayanya. Ahli akan berlumba untuk mendapatkan wang atas kepercayaan parti boleh memberi wang untuk peribadi. Untuk mendapatkan wang mereka berusaha sehingga sanggup memperdagangkan segala prinsip dan matlamat asal parti yang murni dan luhur.

Disebabkan rasuah sudah mengasak setiap sendi dan menyelinap ke dalam setiap pembuluh darah dalam Umno menyebabkan ia bukan sukar untuk diatasi tetapi tidak boleh dinyahkan lagi. Sekiranya Umno menghapuskan rasuah menyebabkan parti itu hilang satu daya tarikan besar kepada partinya. Orang yang meletakkan wang dalam songkok tidak akan menyertai Umno lagi kerana mereka mengira menyertai Umno tidak mendapat manfaat lagi.

Hanya satu kaedah atau mekanisme sahaja bagi Umno menyelamatkan parti itu untuk mengembalikan kegemilangannya sebelum ini. Iaitu Umno kena hapuskan semua generasi Umno yang berumur 23 tahun hingga 86 tahun yang ada kini. Umno kena lahirkan generasi baru yang soleh dalam Umno kemudian tampil ulil amri yang menarik syaksiah dan kejap imannya. Untuk ini Umno kena didik generasi baru kembali kepada perjuangan asal Umno.

Generasi yang ada kini hampir 80 peratus tidak boleh dipakai kerana pemikiran mereka telah rosak. Kepala mereka seperti kepala penagih dadah yang kenyal dengan dadah. Mereka sudah sebati dengan rasuah sebagai satu idealisme.

Mungkin ia memerlukan sedikit masa atau tempoh untuk melahirkan generasi ini. Mungkin mencecah sampai 30 hingga 40 tahun. Ini bermakna Umno kena kalah dalam pilihan raya umum sebanyak empat hingga enam kali. Tidak mengapa, serahkan kepada Pakatan Rakyat mentadbir negara ini. Jika Umno sayang kepada partinya Umno harus berbuat demikian, berkorban demi kebaikannya. Sebabnya, Umno tidak mungkin boleh survive lagi dengan keadaan yang ada. Tidak boleh....! [wm.kl 6:30 am 22/01/09]

Thursday, January 22, 2009

Selang Malam

Mesej Wanita Terengganu Perlu Disambut
Buang Anak Bangsawan

SALAH satu sebab yang dikenal pasti kenapa BN tewas dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu lalu ialah kerana masalah calonnya, Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Kebencian orang Umno terhadap sikap eletis dan sombong Wan Farid bukan saja dari kalangan Umno lelaki, tetapi dari kalangan Umno wanita juga begitu.

Menurut Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad, mereka menyedari kebencian itu ketika merayu undi untuk Wan Farid pada hari mengundi berkenaan. Katanya ada wanita terang-terangan memberi tahu perayu undi BN mereka tidak akan pilih BN kali ini kerana mencalonkan Wan Farid.

“Tak ada calon lain lagi ke nak calon, asyik anak Datuk Wan Salleh saja,” begitulah kira-kira komen seorang pengundi wanita seperti mana dilaporkan kepada perayu undi BN hari itu dan dipetik sebagai dikatakan oleh Ramlah Adam.

Mungkin yang berkata itu tidak ramai dan ini kes terpencil. Namun walaupun begitu alasan itu nampaknya menjadi kenyataan apabila BN kalah alasan dominannya kerana mencalonkan Wan Farid. Memahami kepada protes wanita itu jelas bahawa mereka tidak mahu muka sama yang dicalonkan, iaitu anak-anak Datuk Wan Salleh.

Sebelum ini abang Wan Farid iaitu Wan Hisham menjadi Adun Ladang dan dicalonkan lagi dalam pilihan raya, tetapi kalah. Apakah mesej yang cuba hendak ditunjukkan oleh wanita itu apabila beliau menyebut “tak ada orang lain lagikah selain anak Datuk Salleh?”

Pertama ialah mungkin kerana Wan Farid itu adik kepada Wan Hisham. Mungkin kesalahan dan dosa Wan Hisham menyebabkan Wan Farid yang belum berdosa pun terheret sama. Tetapi di sini ia bukan yang hendak ditimbulkan tetapi protes itu boleh difahami bahawa mereka mungkin tidak mahu Umno kerana asyik mencalonkan mereka dari ‘geluk’ atau kubang yang sama saja.

Mungkin protes itu mereka ingin menyatakan keinginan mereka memilih kalangan mereka bukan anak bangsawan menjadi pemimpin atau wakil rakyat mereka.

Mungkin juga pengundi wanita di Kuala Terengganu sudah muak dengan gelagat anak-anak bangsawan di negeri itu. Maklumlah anak bangsawan mereka tidak pernah turun ke laut. Tidak pernah tarik pukat apalagi untuk menjahit pukat atau mengala perahu rosak. Mungkin kerana keasingan itu menyebabkan mereka merasakan anak bangsawa tidak dapat membela nasib orang miskin macam mereka.

Jadi mereka mahukan orang seperti mereka, yang susah, pernah merasai penderitaan dan kesengsaraan rakyat. Iyalah kalau anak bangsawan mana mereka mereka iitu semua. Kalau mereka tidak merasai jerit perih rakyat macam mana mereka hendak memperjuangkan rakyat kerana mereka tidak merasainya.

Kalau pun mereka melaung ingin membela rakyat, merubah nasib rakyat itu hanya laungan dan slogan saja hakikatnya kosong.

Sekiranya protes wanita itu menjadi satu protes umum ini bermakna kedudukan anak-anak bangsawan di dalam Umno tercabar. Mungkin rasa gah mereka sebagai anak bangsawan tidak akan laku lagi di masa akan datang.

Dalam Umno hari ini bukan saja Wan Farid dan Wan Hisham sebagai anak bangsawan. Tetapi masih ramai lagi. Kakau boleh disenaraikan Najib Razak, Hishamuddin Hussein, Jamaluddin Jarjis, Muhyiddin Yassin, Mukhari Mahathir, Syed Hamid Albar adalah antara anak-anak bangsawan.

Bapak mereka adalah orang kenamaan. Kasut bapa mereka orang tolong lapkan air minum bapa mereka orang tolong tuangkan. Mereka ini di zaman kanak-kanaknya tidak pernah turun ke bendang dan mengharungi selut. Mereka tidak pernah digigit pacat dan digigi nyamuk.

Adalah elok juga kalau para marhaen yang pelahap dalam Umno yang selama ini menjadi abdi bangkit membela diri mereka. Untuk apa mereka mengambalikan legasi orang-orang bangsawan itu memimpin mereka sedang berlambak anak-anak orang miskin yang berbakat dan berkalibar.

Apakah tidak cukup berkampuan orang-orang seperti Mohamad Khir Toyo, Zahid Hamid, Shafei Afdal, Muhammad Mohd Taib, Alwi Che Amat, untuk diangkat menjadi pemimpin. Dari segi status mereka sebagai orang kampung dan latar belakang hidup mereka mereka begitu hampir dengan orang kampung.

Adalah elok kalau dalam pemilihan Umno pada Mac ini kalau ahli Umno yang membuat penilaian semula berhubung ciri-ciri pemilihan pemimpin dalam parti itu. Janganlah terlalu taksub dan memuja kaum bansgawan yang tidak pernah pun simpati kepada nasib kaum marhaen. Saya cukup yakin nasib umat Melayu yang miskin dan melarat akan terubah kalau mereka dipimpin oleh orang yang pernah menghayati denyut nadi mereka. [d’kota kl. 8:15 pm 21/01/09]

Sama-Sama Mahasabah

Penggulungan Ke Atas Segala Komen

JARANG saya melepaskan komen-komen yang kurang sihat ke dalam blog saya. Sedaya upaya saya cuba membersihkan blog saya dengan terlucutnya kata-kata kesat baik dari saya sendiri maupun para pengomen bebas yang bertakhta di seluruh maya pada ini.

Komen-komen sebegini boleh dikatakan masuk setiap hari. Bila penjenguk merasakan sesuatu yang saya kemukakan bertentangan dengan pandangan mereka, mereka akan komen dan beri pandangan dan teguran masing-masing. Komen liar, komen tidak berapa sihat yang dibuat oleh 'badak air' memang banyak. Saya yakin bukan saja ke dalam blog saya tetapi blog rakan-rakan lain juga.

Sebenarnya komen dan memberi reaksi terhadap apa yang dikemukakan bagus dan dialu-alukan, kerana ia boleh memeriahkan blog ini. Kerana tujuan saya paparkan maklumat dan pandangan selain untuk memberi maklumat yang saya rasa eksklusif, yang tidak ada dalam akhbar ia untuk mendapat feed back daripada penjenguk.

Saya cuba mengamalkan kebebasan berbahas dengan menghormati hak asasi yang ada kepada semua orang termasuk penjenguk blog saya walaupun identitinya meragukan.

Positing di bawa agak panas sedikit berbanding dengan posting sebelum ini. Mungkin kerana ada penjenguk merasakan saya bias kepada satu-satu pihak menyebabkan mereka merasakan saya adalah propagandis kepada pihaknya. Jadi apabila saya sesekali keras mengkritik maka mereka terasa, walaupun orang yang menjadi sasaran tidak pun merasai demikian. Mungkin juga kerana mereka tahu apa yang saya perkatakan!

Saya sengaja melepaskan komen-komen yang dibuat terhadap tulisan ini tanpa mensensorkannya. Saya mahu semua orang (penjenguk) mengadili atas apa yang berlaku, bukan untuk mencari siapa yang akan menang, tetapi mencari kebaikan untuk semua dan apakah komen-komen itu menepati tajuk ataupun sebaliknya.

Sesuatu yang sudah lama saya ingin perkatakan mengenai ada sebilangan penjenguk tidak memahami isu yang diperkatakan. Mereka hanya memandang selapis saja tanpa melihat apakah politik di sebalik isu. Ini kelemahan barang kali! Kepada mereka ini perlu belajar memahami ilmu politik dan strategi penulisan.

Saya percaya mereka yang bersikap begini kerana kurang faham politik, kurang faham isu yang dibangkitkan dan melihat sesuatu itu dari kacamata mata 'mata ikan kering' yang mereka miliki.
Misalnya tentang diri saya, pegangan politik dan prinsip diri saya jelas. Kalau mereka membaca tag line blog saya, atau membaca buku-buku tulisan saya; mereka sudah faham siapa saya. Faham akan tujuan dan kenapa saya berblog atau menulis. Tuduhan mencari makan dengan penulisan sudah lali dan menjadi senjata bagi mereka yang tidak mempunyai kekuatan akal untuk beragumentasi secara rasional.

Tetapi kerana ada setengah melihat dengan emosi dan nafsu meluap termasuk kebencian kerana saya tidak sedia menuruti naluri mereka, atau mendokong tokoh sanjungan mereka, maka falsafah saya itu tidak kecapaian dihayati maka timbullah kekeliruan dalam gelap malam.

Misalnya mengenai mauduk posting di bawah, “Perangai jelek pemimpin Pas di Kuala Terengganu”, ramai yang tidak tahu apakah mesej yang ingin disampaikan di sebalik cerita berkenaan. Masing-masing membedil dari rasa hati sendiri yang bertolak dari rasa amat sayang kepada perjuangan Pas. Sayang itu pula dibumbui oleh rasa taksub melampau tanpa berpijak ke bumi nyata kepada setengah pemimpin tertentu yang saya percaya mereka hanya mengenal dari jauh atau hanya membaca catatan profile mengenai mereka di dalam akhbar. Jauh sekali untuk berkesempatan duduk sekali, tidur sekali dan makan sekali apa lagi mengetahui apa yang ada dalam kain palikatnya!

Saya bersetuju dengan komen seorang penjenguk yang beranggapan saya menyayangi perjuangan Pas tetapi tidak menyayangi pemimpin (individu)nya. Pandangan itu tepat. Sebenarnya bukan saja saya, tetapi orang lain juga harus bersikap begitu. Pemimpin politik walaupun siapa bukan wali atau seorang mutaqqim. Justeru Nabi Muhammad s.a.w. sendiri melarang mengasihi dirinya lebih daripada perjuangan, adden.

Dalam posting dibawa penjenguk tidak dapat menggali maksud dan intipati cerita itu. Kerana itu ada yang tersasar meluaskan fasal kewangan, ada yang menyebut kewangan Pas bukan macam Umno dan segala macam. Cerita Pas Terengganu ketiadaan wang dan pemimpin yang kaya tidak membantu itu hanya sampingan sahaja. Apa yang hendak diceritakan ialah sikap, fill, perangai sesetengah pemimpin tertinggi Pas yang tidak serius membantu Pas dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu itu kerana ia sesuatu yang tidak sejiwa dengan mereka.

Saya menyebut itu dengan memberi bukti dan perbadingan jelasnya dengan apa yang mereka lakukan semasa di Permatang Pauh. Ini mauduk utamanya kalau kita ikhlas untuk memberi komen demi kebaikan bersama dan tidak menghukum orang secara rambang. Bagi orang yang dirahmati Allah rasanya sedar hakikat ini.

Jadi tidak perlu ulas soal Pas tidak ada wang, perlu buat tabung, tanam ubi kayu dan sebagainya. Tidak perlu juga sebut kewangan Pas ada dalam setiap poket ahli dan penyokongnya. Bukan berada dalam akaun berjuta-juta ringgit seperti Umno atau sebagainya. Ingin saya mencabar kepada mereka yang mengakui membantu Pas, berapa banyakkah nilai derma mereka?

Saya berani menulis atau mendedahkan sikap pemimpin Pas itu kerana saya mengetahui apa yang berlaku. Saya tahu dari A sampai Z. Mungkin inilah keistimewaan saya, maka saya berani menulis mengenai isu ini. Saya tidak akan mendapat apa-apa keuntungan mendedahkan ini melainkan demi kebaikan parti Islam itu. Saya mendedah segala itu atas satu tujuan untuk kebaikan Pas, sebab saya tidak ada kepentingan dalam Pas. Dan untuk berbuat demikian juga tidak perlu saya mendapat lampu hijau daripada mana-mana pihak sebab mendedahkan keburukan dalam apa saja adalah satu kewajiban terpuji.

Misalnya apa yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan semasa pilihan raya kecil di Ijok, saya tahu sebab saya turut memegang beg berwarna hitam yang mengandungi wang. Bagaimana pun sebagai penulis yang masih tersisa etika tidak baik kalau saya mencerita semuanya sekali yang akan menambahkan keburukan dan kebusukan. Itu pun masih ada yang prejudis mengatakan saya membenci pemimpin berkenaan. Saya membenci apa yang buruk dilakukannya tetapi akan puji apa yang baik dilakukannya.

Kepada yang teralpa ini sila baca kesemua posting saya dalam blog saya dan carilah makrifat kenapa ia berlaku seperti hari ini.

Apa yang saya ingin bangkitkan dalam posting di bawah ialah kenapa ada sikap begitu di kalangan pemimpin Pas. Di mana prinsip dan akhlak mereka sebagai seorang pemimpin Islam? Ada yang bangkit dengan buta membela golongan ini, mendakwa dia pergi merata di Kuala Terengganu dengan pemimpin itu. Ke mana? Saya tidak marah sebab mereka berkata berpandukan dengan bukti yang mereka ada kepada mereka dan sepatutnya juga mereka tidak prejudis kepada saya sebab saya mendedahkan berdasarkan bukti yang ada kepada saya. Kenapa sesetengah penjenguk harus melenting dan merasa sakit dan benci?

Ada mengatakan saya hanya berandaian dalam membuat pendedahan itu. Sebenarnya mereka itulah yang berandaian kerana taksub melulu atas sebab-sebab mungkin kerana mendapat benefit dari pihak tertentu maka keburukan yang terpamer di hadapan mata pun dibiarkan. Ada mengatakan saya hanya round-round saja di Kuala Terengganu, saya tidak mahu komen hanya ingin mengatakan kalau setakat apa yang dianggapkan maka naiflah tulisan saya ini. Apakah saya perlu menceritakan segala-galanya sampai hal dalam kelambu yang banyak orang tidak tahu? Misalnya saya belum nukil macam mana Tok Guru Nik Abdul Aziz diberitakan telah memarahi seorang Exconya baru-baru ini! Itu bukan jenis saya. Maaf!

Ada yang menghina kerana saya mengkhianti perjuangan. Siapa menghkianati perjuangan sebenarnya. Saya juga sangat benci kepada orang yang mengkhinati perjuangan, menggunakan perjuangan untuk mengembungkan perut sendiri. Perjuangan sesuci Pas seharusnya tidak dijadikan bahtera untuk kesejahteraan diri di dunia ini. Ataupun bersikap tidak bertanggungjawab kepada parti dan pengikut.

Ketegasan saya jelas dan tidak berganjak dalam soal ini. Mana-mana prinsip atau pandangan politik yang tidak menempati prinsip saya, saya akan tentang, walaupun Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri pun saya sedia dan telah menegurnya lebih dari sekali dalam hal-hal bersifat politik bukan keilmuan agama.

Ada yang meminta saya hentikan mendedah hal-hal buruk dalam parti Pas itu kerana ia boleh menimbulkan porak peranda dan memberi ruang kepada musuh. Saya berpandangan tidak ada gunanya kalau Pas diberikan peluang untuk berkuasa kalau dengan kekuasaanya itu nanti ia juga berperangai dan membawa stail politik sekular seperti Umno.

Dan mengenai teguran terhadap orang politik, ingin dijelaskan sudah menjadi lumrah orang politik mereka perlu ditegur secara terbuka, sebab mereka juga berbuat demikian terhadap lawan mereka. Pentas ceramah adalah medium bagaimana orang politik membelasah lawannya. Teguran secara baik tidak akan diendahkan, dan kesannya tidak ada. Saya telah melalui banyak sejarah mengenai ini.

Saya rasa dengan 'penggulungan' yang tidak diminta ini, penjenguk blog saya yang tidak memahami prinsip, falsafah saya dan tujuan saya berblog dapat mengerti. Saya selalu mengatakan kalau ada yang tegar untuk memahaminya dan hanya ingin kepada retorik, rasanya elok abaikan blog saya dan lebih baik layarilah blog-blog yang sebulu dan sejiwa dengan kita. Jangan rosakan hati dan buang masa anda dengan sesuatu yang kita tidak suka. Membazir itu adalah perbuatan syaitan.

Apapun kerana kita sama-sama mendokong kebebasan mengkritik, saya tetap berterima kasih atas segala komen yang masuk baik nakal, keras dan kurang beradab. Di sebalik pandangan dan teguran jauh tersasar itu dapat saya kutip rahmat dan nikmatnya. Setidak-tidaknya saya boleh sejukkan hati dalam menerima kritikan itu dengan berangapakan mereka yang cuba menjadi guru itu sebenarnya masih belum memasuki pra sekolah baik Taski anjuran Pas maupun Tadika anjuran Kemas kepunyaan Umno. [d’kota kl 21/01/09]

Tuesday, January 20, 2009

Terkenang Kuala 2

Perangai Jelek Pemimpin Pas di Kuala Terengganu

TUHAN telah mengatur segala-galanya. Nasib baik Mohd Abdul Wahid Endut menang dalam pilihan raya 17 Januari lalu. Kalaulah Abdul Wahid kalah banyaklah orang yang jadi duka nestapa kerananya. Bukan Abdul Wahid seorang akan merasa malu dan wibawanya sebagai Adun Wakaf Mempelem terjejas, tetapi orang lain juga turut sama tercalar dan menanggung risiko malunya. Ini kerana ada orang yang menanti untuk bersorak kalau Pas kalah.

Disebabkan Abdul Wahid membawa kemenangan maka maruahnya dan maruah orang lain juga terselamat. Barang kali Tuhan membela orang-orang yang suci dan ikhlas hati. Orang yang menanti untuk bersorak itu pun akhirnya yang terkena sorakan sendiri!

Sebenarnya pilihan raya kecil Kuala Terengganu banyak menyimpan cerita suka dan duka. Ia terselindung kerana tidak ada sesiapa yang mungkin akan membukakannya. Pas Terengganu sendiri mungkin tidak akan membukanya sampai bila-bila dan kenangan pahit itu ditelan bersama asin air laut Cina selatan itu.

Orang hanya melihat Abdul Wahid tersenyum sambil mengangkat tangan melambaikan penuh keinsafan dan kesyukuran kerana kemenangan, tetapi ramai yang tidak tahu apa yang berlaku sebelum kemenangan itu, sebaik pilihan raya bermula. Kerana Wahid gigih dan tabah maka sukaduka itu pun berlalu begitu saja.

Biarlah di sini saya melukis serba sedikit kedukaan atau apa sebenarnya yang berlaku pada pilihan raya itu yang tercuit pada akal saya. Di sebalik kemenangan itu ada kepelikan yang berlaku kepada Pas, di kalangan pemimpin Pas sendiri.

Bagi Abdul Wahid, sebaik namanya disebut dan parti menaruhkan amanah perjuangan kepadanya, Abdul Wahid dikatakan mengalirkan air mata mengenangkan apa yang ada kepada dirinya. Beliau tidak bersedia dan tidak ada niat pun untuk menjadi calon. Beliau juga dikatakan menolaknya, namun kerana dipaksa oleh parti beliau tidak ada pilih lain untuk melainkan kena memikulnya. Begitulah seorang ahli yang berwala' dan tahu menghormati keputusan ketua rela menanggung dan memikul apa saja. Terima kasih Abdul Wahid.

Menjadi calon bukan senang. Tidak semua orang tergila untuk menjadi calon. Bagi mereka yang tahu mengukur baju di badan sendiri berfikir panjang untuk menerima tanggungjawab ini. Calon dalam konteks Pas adalah amanah parti untuk menjadi khalifah menjaga agama, bangsa dan negara dan bukan bermain dengan kuasa apabila sudah menang atau setelah memilik jawatan tinggi.

Dua kali Abdul Wahid dikatakan menangis, pertama bila dipaksa jadi calon kedua kerana beliau tidak mempunyai kewangan cukup untuk menempuh pilihan raya itu berhadapan dengan calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang terkenal dengan kebangsawanan dan kekayaannya.

Pas Terengganu juga tidak ada wang. Abdul Wahid tahu sangat sebab beliau adalah Bendahari Pas Terengganu. Lagipun kalau ada sedikit sebanyak masakan duit itu perlu dihabiskan kerananya. Namun perjuangan harus diteruskan juga. Apa lagi perjuangan Pas di mana kemenangan demi kemenangannya sebelum ini pun bukan kerana wang tetapi kerana semangat, komitmen dan pengorban para ahli dan para penyokongnya.

Mungkin Abdul Wahid merasa bersemangat dan duka sedihnya terubat apabila beliau diberi jaminan oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali yang mengatakan, jangan risau soal wang kita akan hadapi dengan wang setakat yang kita ada. Mustafa berkata begitu kerana beliau tahu bahawa pilihan raya itu tidak akan mewah dengan wang seperti di Ijok atau Permatang Pauh dan Pengkalan Pasir.

Megenang dan menghayati bicara dan suasan itu dapat dibayangkan betapa perit dan susahnya Abdul Wahid dan Pas Terengganu menghadapi pilihan raya berkenaan. Namun cerita ini tidak diketahui sesiapa kecuali di kalangan pemimpin Pas Terengganu saja, Presiden Abdul Hadi Awang serta timbalannya Nasharudin Mat Isa yang bertindak selaku Pengarah Induk pilihan raya kecil berkenaan.

Sepatutnya keadaan itu tidak wujud. Pas sebagai parti Islam seharusnya semua pemimpinnya bersatu dalam saat berhadapan dengan musuh. Tidak ada wang sama-sama cari wang. Lagipun maruah perlawanan itu adalah maruah Pas juga. Sebaliknya di Kuala Tertengganu lain jadinya. Abdul Wahid dan Pas Terengganu macam anak yatim menghadapi pilihan raya berkenaan tanpa kepedulian tinggi oleh segelintir pemimpinnya yang bangga dengan status profesionalisme.

Ini semua kerana sikap tidak profesional beberapa kerat pemimpin Pas atasan yang pernah saya golongkan sebagai klon ini. Mereka tidak memberi kerjasama penuh kepada pilihan raya itu. Sebabnya terlalu kecil, iaitu kerana calon fraksi mereka tidak dipilih menjadi calon. Rupa-rupanya di dalam Pas juga ada kroni dan fraksi tersendiri dan sentimen keakuan yang panjang.

Sepanjang sejarah parti Pas yang dalam pemerhatian saya, (40 tahun) suasana begini tidak pernah berlaku. Walaupun sebelum pengumuman calon timbul berbagai kekalutan namun ia terhenti bila nama calon sudah diumumkan. Bahkan sampai ada tumbuk menumpuk kerana berebut calon tetapi mereka berbaik dan salualanabi semula sebaik hari penamaan calon tiba.

Semua melupa kesilapan masing-masing dan menumpukan kepada pilihan raya. Tetapi semangat dan budaya itu nampak tidak berlaku pada pilihan raya keci di Kuala Terengganu. Emosi dan rajuk terbawa-bawa sampai ke sudah. Apakah begini bentuk kepimpinan profesional yang dicanangkan sebagai bakal membawa perubahan?

Misalnya ada pemimpin yang terkenal sebagai pintar dan tahu mencari wang dan berada dalam lubuk wang dengan jawatannya dan dianggap sebagai banker dikatakan tidak menghulurkan bantuan satu sen pun kepada Pas Terengganu. Datang ke Terengganu hanya hanya melabuh senyum ambil gambar dan singgah seperti kereta yang menggunakan kad touch and go saja kemudian lesap. Pemimpin ini juga telah mengunci rapat peti besinya untuk Pas Terengganu menghadapi pilihan raya berkenaan.

Semangatnya juga kontras dengan apa yang ditunjukkan pada dua pilihan raya yang melibatkan calon PKR sebelum ini, di Ijok Selangor dan di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Bukan main lagi pemimpin ini membantu dan menyokong demi kemenangan calon PKR. Bukan saja tenaga tetapi wang dihulur dalam beg besar berwarna hitam membantu pilihan raya berkenaan. Nombor Rexston yang membawa beg itu masih dalam ingatan saya.

Yang menghairankan kenapa untuk pilihan raya kecil melibat PKR boleh dibantu tetapi tidak dengan Pas? Mungkin pemimpin ini bebas menggunakan wangnya. Namun beliau kena ingat beliau berada di kerusinya sekarang ini bukan kerana orang PKR yang menyokong tetapi kerana orang Pas menyokongnya. Wang 'komisyen' yang dipunggut dari berbagai sumber itu tidak akan hadir kalau bukan kerana kedudukan itu.

Sepanjang kempen pemimpin ini dan golongannya tidak turun berkempen sesungguh hati seperti berlaku di Permatang Pauh. Mereka hanya datang sekadar menunjukkan muka saja tanpa mencemarkan tangan. Berlainan dengan Permatang Pauh semasa Anwar Ibrahim bertanding. Mereka bertumas dan menunggu Permatang Pauh berhari-hari macam menunggu isteri atau ibu nak bersalin. Seorang pemimpin betina Pas (pinjam istilah orang) sanggup masuk ke dalam pasar dan naik pejabat berkempen meraih undi untuk Anwar. Tetapi sebetina ini tidak kelihatan di Kuala Terengganu!

Di malam pengumuman kemenangan Abdul Wahid juga kumpulan ini tidak datang? Boleh dikatakan kemenangan Abdul Wahid itu disambut oleh pemimpin Terengganu saja bersama Presiden dan Timbalan Presiden. Seolah kemenangan Wahid tidak diikhtiraf oleh golongan ini. Hanya seorang sahaja Naib Presiden hadir manakala yang dua lagi entah menghilangkan diri ke mana. Kenapa jadi begini?

Suka diingatkan kepada golongan ini mereka jangan jadi sombong. Mereka kena ingat giliran mereka suatu hari nanti tetap akan ada. Bagaimana kalau kena giliran mereka, mereka diperlakukan hal yang sama? Saat itu baru mereka menyedari betapa perlunya khidmat seorang bernama kawan atau sahabat.

Tidak tahu apakah pendekatan dan ilmu politik yang digunakan oleh orang-orang ini. Cuma perbuatan dan aksi kumpulan ini mengesahkan tafsiran saya bahawa mereka hanya klon Pas sahaja. Sebagai klon mereka tidak ada semangat dan daya tahan perjuangan tinggi menurut sunnah Pas.

Kerana sebagai klon mereka tidak merasai bagaimana semangat ukhwah dan rasa tanggungjawab sebagai ahli Pas kepada perjuangannya yang berteraskan Islam. Barang kali adalah elok kalau para muktamir Pas tahun ini memberi ingatan kepada golongan ini supaya mereka sedar diri dan tidak begitu sombong dengan angan-angan mereka. Atau barangkali kalau mereka sudah tidak cocok dengan Pas berhijrah sajalah kepada parti satu lagi, rasanya itu lebih senang dan tidak menyerabutkan. [wm.kl. 6:00 pm 19/01/09]

Kilau Mengilas

Keanihan Undang-Undang
Apa bezanya Serban Singh Dengan Serban Anak Pondok?

KELMARIN seorang anak pondok Pasir Tumbuh di Kelantan, Ahmad Nasir Darus 28 tahun telah dijatuhi hukum denda sebanyak RM90 atau penjara dua hari oleh Majistret Kota Bahru kerana kesalahaan tidak memakai topi keledar semasa menunggang motisikal tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhi oleh Majistret, Tengku Amalin A’Ishah Puteri Sultan Ismail.

Ahmad Nasir tidak membayar denda berkenaan sebaliknya memilih untuk dipenjara. Alasan beliau ialah kerana ingin menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam ‘kepercayaan’nya serban itu ialah pakaian Rasulullah dan tidak menjadi kesalahan malah wajib baginya mempertahankan pakaian berkenaan.

Sekali pandang hukuman ke atas Ahmad Nasir itu seperti zalim dan tidak menghormati sunnah Rasulullah seperti mana diyakini oleh anak pondok berkenaan. Ia juga menggambarkan Majistret itu lurus dan menjatuhkan hukuman berdasarkan peruntukkan undang-undang yang ada tanpa langsung menggunakan budibicaranya sebagai seorang Islam. Mungkin itulah tanggapan ringkas.

Tetapi apa yang perlu disedari, Majistret atau hakim akan membuat keputusan berdasarkan fakta dan menggunakan perundangan yang ada. Kebenaran hakikat bagi mereka bukan perhitungan. Mereka tidak dapat melencong jauh dari itu. Soal budibicara, sentimen tidak merupakan keutamaan dalam membuat sesutau keputusan.

Jadi Majistret bukan bersalah dalam hal ini kerana beliau menuruti dan mematuhi undang-undang yang tersedia.

Manakala dari pihak Ahmad Nasir menerima hukuman itu sebagai satu penganiayaan dan keputusan yang tidak menghormati sunnah yang diyakininya itu. Sebagai seorang muslim beliau berhak mempertahankan pakaian Rasulullah atas kepercayaan sesiapa mempertahankan pakaian Rasulullah ia akan mendapat rahmat dan keberkatan.

Sebab itulah Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan para ustaz, alim ulama mempertahankan pakaian serban dan sering mengenakan jubah dalam kehidupan seharian mereka.

Apakah kita boleh mengatakan kata-kata (keyakinan) Ahmad Nasir itu karut? Bahawa serban itu tidak ada kena mengena dengan Rasulullah? Kalau Ahmad Nasir karut maka karut dan kurafatlah sekalian orang yang pakai serba dan jubah atas alasan kerana mempertahankan sunnah Rasulullah?

Di sini apa yang menjadi masalah kerana undang-undang yang digunakan pakai dalam mahkamah jahil terhadap apa itu sunnah? Mungkin juga undang-undang kita tidak memandang dan melihat ada apa-apa nilai pun ke atas pakaian berkenaan. Dalam kata-kata lain sunnah bukan sesuatu yang perlu dipertahankan. Sebaliknya mahkamah kita lebih menghormati turban (serban Singh) daripada serban anak pondok.

Dalam kes Ahmad Nasir tadi Majistret memberi alasan dia tidak menemui apakah ciri-ciri menandakan Ahmad Nasir sebagai lebai. Pihak pembelaan mungkin gagal mengemukakan bukti menunjukkan Ahmad Nasir seorang lebai. Sebab kalau Ahmad Nasir lebai dia dikecualikan daripada mengenakan pakaian serban. Begitulah peraturan dan penilaian perundangan kita.

Jika hendak dikira soal lebai ini pun subjektif. Tidak ada tanda-tanda khusus kepada seseorang yang boleh dikatakan lebai. Istilah lebai itu ia berasal daripada perkataan 'la'baik' iaini baik atau mulia. Di sini boleh difahamkan lebai itu orang yang baik dan mulia. Baik kerana dia mengamal hukum Allah dan menuruti ajaran Rasulullah. Dan orang yang begitu ia dianggap mulia.

Jadi kerana polis yang menyaman Ahmad Nasir itu tidak nampak tanda yang dia baik atau mulia maka dia tidak dianggap lebai. Kalau Ahmad Nasir dilihat lebai pasti dia tidak akan disaman dan dibawa ke mahkamah sehingga Majastret membuat penghukuman Ahmad Nasir tidak seorang lebai maka beliau tertakluk dengan undang-undang yang sedia ada itu.

Soalnya di sini apakah setiap warganegara singh negara ini yang mengenakan terbannya itu adalah orang yang secara automatik 'lebai' ataupun ada istilah lain untuk singh maka mereka tidak berani disaman oleh polis? [wm.kl. 2:00 pm 19/01/09]

Monday, January 19, 2009

Terkenang Kuala

Kekalahan BN di Kuala Terengganu
Halang Agenda Najib

BAKAL Perdana Menteri dalam penantian, Mohd Najib Razak mungkin sedikit terhibur dengan pandangan dan pembelaan ala 'ada udang sebalik batu' oleh Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa Najib tidak bersalah terhadap kekalahan Wan Farid Wan Salleh dalam pilihan kecil P36 Kuala Terengganu kelmarin. Alasan Mahathir ialah kerana Wan Farid itu bukan calon pilihan Najib sebaliknya calon pilihan Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir boleh berkata apa-apa saja yang beliau suka kerana lidahnya tidak bertulang seperti juga lidah para pendeta politik lain. Namun hakikatnya Najib mengerti dan memahami mesej yang dihantar oleh lebih 63,000 pengundi yang keluar mengundi kelmarin. Najib tentu tidak boleh melarikan diri dan mencampakkan beban dan kebusukan kekalahan itu ke dalam raga sayur orang lain.

Kenapa saya berkata begitu, kerana Najiblah yang menjadi enjin turbo kepada pilihan raya berkenaan. Tanggunjawab pilihan raya itu terletak dibahu Najib. Najib begitu bernafsu mengharapkan kemenangan. Setiap hari Najib turun ke Kuala Terengganu dengan jet eksekutifnya. Jet itu tersadar dari jam 2:00 petang hingga menjelang tengah malam di lapangan terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Bagi saya pandangan dan kata-kata Mahathir itu tidak adil dan bermotif. Saya jamin kalau tertakdir Wan Farid menang Mahathir akan menukar nada bicaranya dengan mengatakan kerana Najiblah BN menang. Dia mungkin menambah kalau bukan Najib suami isteri bertungkus lumus di Kuala Terengganu mungkin BN akan kalah. Kalah besar...!

Memang Najib sangat yakin BN akan menang. Di awal kempen beliau meletakkan BN ada kelebihan berbanding dengan Pas. Mungkin ukurannya kerana Kuala Terengganu adalah kerusi milik BN dan jarang dalam sejarah pilihan raya kecil Parlimen BN kecundang. Kuala Terengganu bukan Permatang Pauh di mana kerusi asal PKR tambahan yang mempertahankannya sultan PKR, Anwar Ibrahim. Kerana itu Najib begitu yakin.

Sebab itu nampak jelas Najib dan sepupunya memonopoli kempen, menguasai jentera pilihan raya dan juga poster yang memaparkan wajah dan personalitinya mereka yang anggun dan kebangsawannya di kawasan pilihan raya berkenaan. Kerana bimbang BN akan kalah maka peranan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin diminimumkan begitu sekali sehingga ia menampakkan Khairy tidak berperanan langsung berbeza di Ijok dan Permatang Pauh. Selepas mengatakan Pas parti klu kelik Khairy pun bersampan untuk kelek.

Kerana keyakinan itu setip hari sepupunya itu bukan main lagi ikut sama bertungkus lumus dan dengan gah menjanjikan akan mengeluarkan 10,000 para pemudanya untuk membantu kemenangan BN.

Najib memerlukan kemenangan di Kuala Terengganu sebab beliau mahu menjadikan kemenangan itu sebagai modal awalnya sebelum beliau mengangkat sumpah menjadi PM. Najib mahu menunjukkan kepada dunia bahawa dia ada aura; belum jadi PM, BN sudah menang gemilang. Najib mahu buktikan bahawa peralihan kuasa dari Abdullah kepada beliau tidak semena-mena semangat dan sokongan kepada BN bertambah dan membuak-buak. Itulah harapan dan impian Najib.

Tiba-tiba keadaan jadi sebaliknya ia bukan menjadi gelombang tetapi sokongan kepada BN membueh saja. Kerusi yang dalam genggaman pun terlepas kepada Pas. Ia sungguh merawankan Najib. Keputusan malam kelmarin sungguh mengecewakan Najib.

Memang kekalahan itu perlu dirasai Najib dan mengecewakannya. Ini kerana ia memberi berbagai impak buruk kepadanya. Kekalahan BN di Kuala Terengganu itu juga secara langsung menimbus kecemerlangan Najib yang mendapat pencalonan hampir seratus peratus untuk jawatan Presiden Umno. Kegembiraan Najib dalam Umno dibunuh oleh pengundi di Kuala Terengganu.

Kekalahan itu juga menyebabkan orang membuat tanggapan bahawa demokrasi dalam Umno berbeza dengan demorkasi diluar Umno yang tidak bersimpati langsung dengan Najib. Yang mengenang jasa Tun Razak ialah orang Umno yang didik dan diberi makan tetapi bukan rakyat bebas di luar!

Tidak semena-mena juga kegagalan Najib membawa kemenangan atas kapastitinya bakal perdana menteri itu menyebab orang akan mengesahkan rasuah benar berlaku dalam Umno semasa pemilihan lalu sehingga memberi kemenangan besar kepada Najib dan calon lain Tengku Razaleigh Hamzah tidak mendapat satu undi pun selain dari bahagiannya sendiri. Belum tentu Najib mendapat pencalonan hampir seratus peratus kalau tidak ada sogokan wang, tawaran projek dan jawatan semasa kempen pemilihan itu. Ertinya kemenangan besar Najib itu adalah palsu.

Kekalahan dengan kekurangan 2,631 itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada Najib. Bahawa beliau tidak popular dan tidak boleh menjadi pemangkin kepada kekuatan Umno di masa akan datang. Bahawa beliau begitu naif untuk berhadapan dengan pengaruh Anwar Ibrahim yang bersaing untuk merebut kerusi PM bersama beliau. Bahawa BN naif untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat yang semakin diterima dan meyakinkan rakyat.

Perkembangan-perkembangan dan petunjuk itu menampakkan masa depan Umno dan kerajaan BN ditangan Najib makin suram dan longlai. Kedudukan Najib sebagai PM dengan hanya kelebihan 29 kerusi di Parlimen kini sangat-sangat membimbangkan. Apa yang berlaku kini seolah memberi signal awal bahawa dalam pilihan raya umum ke-13 nanti kerajaan BN seakan mahu lenyap di bumi ini.

Barang kali, (diulang) barang kali betul juga saranan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang meminta agar Abdullah Ahmad Badawi terus memimpin negara ini dan tidak mudah menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Najib. [wm.kl 11:00 am 18/01/09]