Sunday, November 25, 2007

Ulasan Peristiwa (2)

Demonstrasi
Keganasan Dapat Dielakkan Kalau Polis Bermurah Hati

MSO

HIMPUNAN kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sudah pun selesai dengan penuh tragik. Walaupun himpunan itu tidak mencapai matlamatnya - untuk menyerahkan memorandum kepada Kedutaan British, namun perserta himpunan itu yang kebanyakan kaum India sudah boleh berpuas hati.

Hari ini beberapa lokasi di ibu kota terutamanya di sekitar berhampiran kedutaan British khasnya di Jalan Ampang, perkarangan bangunan KLCC dan Batu Cave sepeti berlangsung satu pesta kaum India. Puluhan ribu masyarakat India berhimpun bagi menyampaikan hajat mereka; menuntut pampasan daripada kerajaan British yang didakwa tidak bertanggungjawab ke atas kaum itu.

Masyarakat India boleh berbangga sesama mereka kerana semangat mereka kuat. Walaupun diugut, disekat dan diancam dengan tindakan mahkamah namun mereka tidak peduli, itu semua sedikitpun tidak mengecutkan perut mereka. Apa yang dijamin oleh Perlembagaan nampaknya benar-benar dihayati. Tangkapan bukan senjata ke atas beberapa orang pemuka Hindraf juga bukan senjata menghalang mereka.

Sekatan jalan raya yang dibuat polis di semua jalan menunju masuk ke ibu kota sejak kelmarin lagi (sehingga menyusahkan pengguna lain) semacam menjadi pendorong pula kepada mereka untuk terus berusaha menyusup masuk menghampiri ke destinasi yang dirancangkan.

Semacam himpunan Hindraf hari ini kesenimbungan kepada himpunan 100,000 rakyat 15 hari lalu. Cuma bezanya kebanyakan peserta mengenakan baju putih dan hitam.

Rasa cemas

Bagaimana pun tidak seperti semasa himpunan rakyat yang bertemakan warna kuning itu, demonstrasi Hindraf ini ada sedikit rasa cemns. Melihat kepada gambar-gambar (visual) yang dipamirkan di tv, menunjukkan ada peserta yang luka dan ada darah yang mengalir.

Sedih juga apabila melihat beberapa orang anggota polis terlentang cedera diusung ke ambulan akibat dipukul dan dibaling objek keras oleh peserta tunjuk perasaan. Mungkin mereka tidak berdosa, sebalik hanya menjalankan arahan tuan mereka yang di atas.! Namun saya percaya apa yang berlaku kepada para demonstran mungkin lebih teruk daripada apa yang menimpa polis.

Kalau polis setakat bengkak, penunjuk perasaan pasti luka, kalau polis luka, pasti penunjuk perasaan berdarah. Kalau polis berdarah pasti ada penunjuk yang patah tangan atau kaki atau pecah muka dan pecah lutut. Kalau ada polis yang patah, mungkin ada penunjuk perasaan yang maut!

Logiknya, penunjuk perasaan tidak membawa senjata secanggih polis. Tidak ada penangkis, tidak ada belantan dan tidak ada senjata. Berbeza dengan polis yang serba lengkap dan penuh tektikal pula. Dalam pertempuran itu pasti dalam kelam kabut mempertahankan diri polis akan menggunakan senjata.

Tengkuk apa yang berlaku di Batu Burok, Terengganu bila anggota polis terdesak dan dalam bahaya mereka tidak teragak-agak melepaskan tembakan sehingga ada peserta tunjuk perasaan di Batu Burok itu hampir maut.

Keadaan ini tidak boleh dinafikan. Dalam keadaan kelam kabut dan masing-masing diruapi emosi semuanya boleh berlaku. Inilah bahayanya kalau berlaku sesuatu demonstrasi yang tidak boleh dikawal! Ini juga menyebabkan kita mendesak agar polis memberi permit untuk berhimpun!

Apa yang berlaku hari ini agak merbahaya. Kita tidak mahu tenguk aksi-aksi begitu. Kita tidak mahu tenguk ada darah tumpas di atas jalan raya. Soalnya apakah dengan cara dan tindakan sekarang polis boleh menjamin selepas ini tidak akan ada himpunan lagi?

Jumlah mereka yang ditangkap kira-kira lebih 100 menunjukkan apa yang berlaku di Jalan Ampang, KLCC, Jalan Yap Kwan Seng dan sekitarnya siang tadi tentu panas dan ganas. Sama-sama kita tunggu laporan rasmi daripada pihak rakyat pula berapa mereka yang tercedera parah atau maut.

Turut terjejas

Kesal memang kesal dengan apa yang berlaku. Sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan ketenteraman orang ramai. Para peniaga juga turut terjejas. Mereka yang ingin bersiar-siar dan melepak dan melaram untuk membuang masa di pusat membeli belah juga terganggu.

Secara langsung orang akan marah kepada kumpulan Hindraf itu. Merekalah yang bertanggungjawab. Tetapi apakah tak terfikir bahawa mereka bukan segaja mahu berbuat demikian. Mereka juga tidak mahu kalau berlaku pertempuran sehingga ada yang luka dan berdarah.

Dalam hal ini mereka tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Apa yang perlu disedari himpunan itu menjadi ganas kerana ianya disekat dan dihalang. Diugut dan diancam. Cuba kalau himpunan itu disusun dan dikawal dengan baik, keganasan itu tidak akan berlaku.

Saya penuh yakin kalau mereka dilayan dengan baik, permit himpunan diberi mereka akan berhimpun secara aman. Tidak ada sebab untuk mereka menjadi emosi kalau mereka dibenarkan berhimpun. Dalam hal ini saya rasa polis sudah tidak bertindak betul seperti mana semasa himpunan 100,000 rakyat dulu.

Kalau mereka diberikan permit himpunan itu mungkin tidak akan melarat. Para peserta tidak akan merasa tertekan sehingga memungkinkan mereka membuat persediaan, membawa senjata ringan. Bila mereka sudah diasak sejak awal-awal lagi menyebabkan mereka membuat persediaan menghadapi kemungkinan.

Pihak polis harus sedar bahawa rakyat negara ini semakin berani kerana mereka celit undang-undang. Ugutan, asakan dan halangan tidak akan membawa bekas lagi. Polis perlu menukar tektik untuk masa akan datang melayani mana-mana kumpulan seperti Hindraf itu dengan lunak dan diplomasi.

Lagipun trend menggunakan ugutan, ancaman untuk mendakwa itu sudah tidak berkesan lagi. Trend itu mungkin berkesan semasa kebanyakan rakyat negara ini masih buta huruf dan jahil murakab mengenai undang-undang. Trend itu mungkin masih berkesan untuk menghadapi orang kampung.

Maka dimasa akan datang polis boleh mencuba melayan dengan baik mana-mana pihak yang ingin berhimpunan. Izin dan berikan permit kepada mereka. Lagi pun hak berhimpun itu dibenarkan Perlembagaan dibawah Bahagian Ke 2 Perkara 10 mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan! (Foto Bernama) [wm.kl. 9:30 am 25/11/07]

1 comment:

Anonymous said...

Tak ada standard operating procedure kah? Pihak polis telah cemas dan panik. Seharusnya, mereka perlu mengawasi keadaan dan bukan memburuk-burukan keadaan lagi. Perarakan damai seperti ini memang berguna untuk melepaskan ketidak-puasan yang selama ini terbenam dalam hati masyarakat India. Samy Vellu patut meletak jawatan demi kegagalan beliau dan mengakui kelemahannya.