Talib Akan Rebah Bersama Rumahnya
SAYA sengaja memaparkan gambar warga emas bersama cucunya yang duduk di bawah rumah mereka yang robek (seperti di atas) itu beberapa hari lalu. Tidak ada laporan atau penghuraian mengenai mereka melainkan tertulis perkataan "Selamilah Rahsia Dalam Gambar ini."
Saya mahu menguji sejauh mana sensitiviti kita semua dengan keadaan begitu. Apakah kita mempunyai jiwa yang halus atau pun sebaliknya. Melihat sesuatu peristiwa itu dengan keinsafan dan bersedia untuk melakukan apa-apa. Ataupun melihat sekadar imbasan-imbasan seperti mana kita melihat gambar-gambar dalam laman web atau portal berita tanpa bertanya lebih jauh.
Saya yakin ramai yang melihat gambar berkenaan. Mungkin yang baru pertama kali ataupun yang berulang kali sampai ada sudah merasakan muak.
Ternyata dalam ribuan pasangan mata yang menatapnya tidak ramai yang memberi atau bertanya lanjut mengenainya. Hanya beberapa kerat saja bertanyakan mengenai warga emas berkenaan dan mengakui untuk memberi sumbangan bantuan. Terima kasih. Apakah kita yang lain kurang peka?
Apa yang dipaparkan itu adalah kebenaran. Satu realiti yang sebuah kehidupan dihadapi oleh warga emas bersama seseorang cucu dan seorang anaknya. Warga emas itu ialah Talib Che Din berusia 57 tahun yang tinggal di Kampung Sungai Kecil, Pulau Pangkor Perak.
Keadaannya sungguh daif dan menyedihkan sekali. Saya tidak mahu menambah kesengsaraannya dengan kata-kata atau lukisan emosi yang menyayatkan hati para penjenguk. Tetapi penjenguk dapat membayangkan sendiri betapa sulit hidupnya dengan memerhati suasana rumahnya itu.
Keseluruhan rumah itu; lantai, dinding dan atap sudah robek dan sudah bocor. Saya tidak dibenarkan naik bimbang takut runtuh. Bayangkan bagaimana beliau bersama tiga beranak dan bercucu itu melindungi diri dari hujan dan panas.
Rumah itu sudah berusia dan di mamah waktu. Tapak tempat ianya berdiri kepunyaan orang Cina! Dalam keadaan yang uzur hari ini tidak mungkin beliau dapat membaiki keadaan rumah dan kehidupan dia bersama seorang anaknya, Kamaruzaman 15, yang terencat akal dan cucu, Awi 5, yang ditinggalkan ibunya. Apa yang boleh dilakukan hanya pasrah kepada keadaan.
Menurut Talib Adun Pangkor, Zamry Abdul Kadir dan ahli Parlimen Lumut, Kong Cho Ha pernah menjenguk rumah itu dua kali dan menjanjikan untuk menghulurkan bantuan. Mereka datang sebelum pilihan raya 2008. Kini sesudah lapan bulan berlalu, janji belum ditunai dan bayangan mereka sudah tidak nampak lagi.
Talib tidak akan meminta dan merayu kepada sesiapa. Katanya; "Saya tidak akan meminta dan merayu lagi, sudah cemuh..." Menyelami perasaan itu beliau redha akan rebah bersama rumahnya itu.
Kebetulan kerajaan Perak kini dibawah Pakatan Rakyat yang menjadikan Kebajikan sebagai slogan. Tanggungjawab menjaga orang-orang seperti Talib itu berada dalam tanggungjawab mereka. Apakah Menteri Besar, Mohammad Nizar Jamaluddin yang berkunjung ke Pulau Pangkor dua minggu lalu tidak terbias dengan gambaran kehidupan rakyat seperti itu.
Tidak ada guna kita melaungkan slogan Kerajaan Berkebajikan kalau kehidupan rakyat terbiar dan melarat?
Secara peribadi besar harapan saya kalau Muhammad Nizar atau setiausaha dan pegawainya melihat dan membaca kisah ini... mereka bukan saja mengeluh dan marah dengan apa yang berlaku, tetapi buatlah sesuatu untuk meringankan warga emas bersama seorang anak dan cucu berkenaan.
Kita mahu tengok apakah ada perbezaan relatif antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan kerajaan Barisan Nasional! [wm.kl. 7:15 am 20/12/08]
kalaulah rumah Talib ini terletak di kawasan Kuala Terengganu. Bukan setakat rumah, tanah, duit je dapat malah banyak lagi saluran akan menyumbang bertali arus siap lengkap dengan rtm dan tv3
ReplyDeleteJKKK lama (praPRU12) pernah cuba membantu Talib Che Din. Syarat untuk membina/memperbaiki rumah PPRT perlu ada tapak, dalam kes Talib tapak rumah adalah hakmilik orang lain yang tentu sekali tidak akan memberi kebenaran untuk mendirikan rumahnya di situ. Kalau tuanpunya tanah itu tidak berhati perut sudah lama Talib diusir dari situ.
ReplyDeleteTalib belum memenuhi syarat menerima bantuan PPRT kerana dia tidak dikategorikan sebagai miskin tegar. Dia belum berusia 60 tahun, tidak cacat dan boleh bekerja. Sebelum ini pun beliau pernah bekerja. Semasa beliau memohon bantuan daripada ADUN beliau bekerja sebagai pekerja am di hotel. Semasa muda beliau bekerja mengambil upah menebang pokok dan lain-lain kerja. Dia seorang yang kuat dan berani.
Dia mungkin melalui banyak rintangan dalam hidupnya tetapi banyak kesusahannya hasil daripada kesilapan (dan perkara tidak elok yang dilakukan) diri sendiri. Maafkan saya kalau bunyinya seperti tidak bersimpati dengan nasib yang menimpa Talib malah saya sedar perkara ini boleh berlaku kepada sesiapapun termasuk diri saya. Tetapi MSO hanya menulis berdasarkan apa yang dilihat dan mendengar daripada Talib seorang sahaja.
Cerita sebaliknya adalah lebih banyak dan buruk yang mana saya tidak boleh menyampaikannya semuanya di sini.
Tahukah MSO yang isteri Talib (sekarang bekas isteri, khabarnya) bekerja sebagai ulat (agen pelancongan haram) di Lumut yang boleh dapat pendapatan lebih RM3000 sebulan, biasanya, kalau cekap dan rajin.
Mana cerita tentang isteri... dan anak-anaknya yang kononnya lari meninggalkan cucunya? Ada cucu mana menantunya?
Tahukah MSO yang isteri Talib, iaitu Normah, pernah beberapa kali wajah dan ceritanya terpapar di dada akhbar dan di kaca tv kerana cerita palsu dan sensasi kononnya anak dilarikan pendatang Indonesia, misalnya?
Tidak lama lagi mungkin kisah keluarga ini dipaparkan dalam rancangan Bersamamu... mungkin itu yang mereka mahu?
Sedikit klu yang saya beri sudah cukup untuk menjelaskan banyak perkara, usahlah paksa saya menceritakan lebih banyak lagi.
Hakikatnya...
Di Pulau Pangkor tidak ada orang yang mati tidak makan. Tidak perlu mengadu pada ADUN pun ramai yang prihatin dan sedia menolong orang susah, tak kira bangsa - Melayu, India atau Cina.
Di Pulau Pangkor tidak ada alasan untuk seseorang menganggur kerana ada pekerjaan untuk sesiapa saja tak kira usia di sektor pelancongan mahupun perikanan. Kecuali terlalu tua dan terlalu uzur. Lebih daripada separuh jumlah tenaga kerja dalam Pulau Pangkor adalah orang yang datang dari luar termasuk pendatang asing.
Di Pulau Pangkor ramai keluarga yang ada anak cacat tetapi tidak sampai melarat seperti keluarga Talib ini.
Di Pulau Pangkor ramai orang tua, ada yang hidup sebatang kara, tetapi kebajikan mereka terpelihara.
Kalaupun Kerajaan Nizar tidak dapat membantu Talib, jangan salahkan Kerajaan Nizar kerana keluarga ini memang susah untuk dibantu. Kita dulu berusaha untuk membantu mereka, termasuk bantuan untuk anak mereka yang cacat, tetapi mereka sendiri yang tidak beri kerjasama.
Walau pedih mata melihat atau ngilu hati mengenangkannya, kadang-kadang kita terpaksan menerima sesuatu keadaan itu seperti adanya, kerana mungkin itu kehendak Allah.
Sedikit tambahan dan pembetulan fakta:-
ReplyDeleteAntara agenda ADUN Pangkor semenjak 5 tahun mewakili Kawasan Pangkor memfokuskan kepada pembangunan modal insan, pembasmian kemiskinan, kebajikan, meningkatkan kualiti hidup penduduk termasuk menyelesaikan masalah perumahan. Sebahagian besar peruntukan beliau disalurkan ke arah itu. Untuk itu berpuluh-puluh buah rumah dibina di bawah skim PPRT dan lebih banyak lagi yang menerima bantuan membaiki rumah di kampung-kampung seperti Sg Pinang Besar, Kg Tengah, Kg Masjid, Teluk Kecil dan Teluk Gedung. Sehingga sekarang program tersebut masih berjalan. ADUN memaklumkan Talib bin Che Din juga penerima bantuan (saya ingin membetulkan fakta yang saya beri sebelum ini) dan bantuan itu akan sampai kepadanya.
Selain merancang pembangunan yang lebih besar, banyak masa beliau digunakan untuk memastikan penduduk kawasan yang beliau wakili mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Beliau begitu mengambil berat peri kesusahan masyarakat desa dan sentiasa memastikan berada di ground zero jika berlaku bencana seperti kebakaran, banjir dan sebagainya, walaupun di tengah-tengah kesibukan bekerja.
Masalah rumah di atas tapak tanah milik orang Cina di kampung Melayu (dalam kes Talib ini sebenarnya Kg
Sungai Pinang Besar, bukan Kg Sungai Kecil) adalah masalah yang dikongsi 60 buah keluarga lain, bukan Talib seorang sahaja yang terlibat.
Tanah yang menjadi sebahagian besar kawasan Kg Sungai Pinang Besar ini telah melalui konflik hakmilik yang kompleks dengan terdapat perjanjian-perjanjian pemindahan milik yang tidak diketahui orang ramai termasuk penduduk kampung sendiri. Atas daya usaha ADUN Pangkor dan sokongan Kerajaan Negeri terdahulu, Kerajaan akan membeli tanah tersebut daripada pemilik sahnya supaya Kg Sungai Pinang Besar dapat dikekalkan. Saya tidak dapat mengesahkan status tanah tersebut pada hari ini dan saya berharap usaha tersebut tidak terbantut hanya kerana Perak telah bertukar Kerajaan.
Merujuk kembali masalah Talib sekeluarga, ADUN telah banyak membantu keluarga ini secara peribadi termasuk menghantar anak yang cacat ke sekolah khas. Saya tidak dapat memberi fakta yang lebih tepat, tetapi saya akan berusaha untuk mendapatkannya.
Maafkan saya kalau komen terdahulu agak keterlaluan, tetapi sila anggap itu komen peribadi saya sahaja dan bukan mewakili ADUN atau JKKK sebelum ini.
Salam Sejahtera..... ADUN Pangkor dah banyak majukan tempat-tempat di pangkor, seperti hal Talib ini pun pernah banyak pihak yang ingin membantu tetapi dia tidak memberikan kerjasama. Sebaliknya mengatakan orang yang tidak membantunya. Memang talib orang susah dan perlu menjaga seorang anak yang bermasalah dan seorang cucu yang ditinggal oleh anaknya berumur 5 tahun, tetapi umur dia belum sampai 60 tahun, dan dia masih boleh bekerja.
ReplyDelete