Hayati Dan Laksana Saranan Presiden
SARANAN presiden Pas, Abdul Hadi Awang agar parti itu menang dengan kekuatan sendiri dan bukan kerana kelemahan Umno adalah tepat, dan perlu dihayati seterusnya dilaksanakan oleh semua ahli. Sebagai parti Islam terbesar dan tertua (masih hidup) di negara ini seharusnya Pas mempunyai keyakinan diri yang kuat untuk merealisasikan perjuangannya.
Menurut Abdul Hadi ada tiga asas penting bagi Pas untuk muncul sebagai parti terkuat kemudian memungkinkan Pas menerajui pemerintahan Malaysia di masa akan datang.
1. Kekuatan aqidah di kalangan ahli.
2. Mempunyai cawangan yang banyak dan ahli yang ramai, dan
3. Strategi yang berkesan dan digerakkan kepada peringkat akar umbi.
Beliau menegaskan demikian ketika berucap merasmikan seminar "Pas Sedia Ganti Umno" di Shah Alam hari ini. Seminar itu dihadiri para pemimpin Pas di semua peringkat dari seluruh negara. Dengan adanya seminar berkenaan ia menunjukkan iltizam dan keazaman Pas untuk mengambil alih teraju pemerintahan negara ini.
Tiga asas demikian hendaklah difahami serta dilaksanakan oleh ahli Pas sungguh-sungguh. Terutama mengenai aqidah dari kalangan ahlinya. Dalam sudut ini ada dua aspek, akidah agama (Islam) yang menjadi pegangan Pas dan aqidah (pegangan, prinsip dan dasar) perjuangan Pas. Dasar atau prinsip ini termasuk uslub yang diterima pakai oleh Pas yang bersesuaian dengan siasah Islam.
Ahlinya hendaklah senantiasa memperkukuhkan aqidah Islamiah mereka dan tidak lari dari matlamat asas Pas yang ditubuhkan untuk membangunkan Islam. Tidak mudah hanyut atau tergadai dengan keadaan-keadaan ataupun anjakan politik baru. Disebabkan kelonggaran pegangan aqidah ini kekuatan Pas yang dibina atas prinsip Islam dan ukhwah itu akan longgar dan runtuh sejak akhir-akhir ini. Satu sisi yang dapat dilihat kepada hubungan sesama pemimpin Pas kurang mesra ataupun wujud gap tertentu.
Jika ini tidak diatasi macam mana Pas akan lahir sebagai parti tonggak untuk menerajui kerajaan kelak. Lantaran itu Pas perlu kembali ke zaman silam (ukhwah) di samping mengaturkan strategi canggih dalam politik tetapi tidak lupa membawa ahli ke dalam usrah atau memperbanyakan majlis berbentuk ilmu meningkat iman dan takwa. Pas perlu sedar bahawa parti itu adalah warsatu ambiak.
Peranan ini boleh dimainkan oleh Dewan Ulama. Banyak para agamawan muda yang menyertai Pas kini mereka boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan ilmu mereka kepada ahli Pas dan menyuburkan semangat wasatan ambiak dalam Pas.
Medan atau majlis ceramah hari ini nampaknya mengasingkan ahli dengan ilmu. Ceramah lebih kepada penjelasan isu politik dan dalam masa sama menjadi medan mengintrodinasi ke atas orang ramai agar menyokong Pas secara ekstrim dan membenci musuh juga secara ekstrim. Ada sesetengah penceramah yang diundang langsung tidak mempunyai knowledge Islam atau siasah Islam.
Penegakkan dan pengukuhan aqidah agama dan perjuangan ini bukan saja dari kalangan ahli tetapi pemimpin tertinggi juga. Ada sesetengah pemimpn kelihatan longgar dan rapuh aqidahnya sedia menukar ataupun menerima konsep matlamat menghalalkan cara untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan. Fenomena atau pun sindrom ini perlu dibendung oleh Pas.
Perkara kedua juga penting. Pas perlu menubuhkan seberapa banyak cawangan dan memiliki ahli seberapa banyak yang boleh. Tetapi malang kepentingan ini nampaknya tidak diambilkan oleh Pas. Pas tidak melihat keperluan untuk memiliki cawangan seberapa banyak yang daya. Walhal dengan ada cawangan yang banyak ia mudah menggerakan parti berkenaan dalam menghadapi pilihan raya.
Negeri-negeri di sebelah Selatan, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ternyata Pas tidak mempunyai cawangan yang banyak. Kekurangan atau ketiadaan cawangan ini menyebabkan Pas tidak dapat menyalurkan maklumat atau propaganda mereka kepada orang ramai kerana tidak ada saluran.
Jadi saranan presiden itu hendak diambil tindakan segera. Pas perlu menubuhkan jawatan kuasa kempen penubuhan cawangan baru dan menambah keahlian secara menyeluruh. Peruntukan juga perlu disediakan untuk tujuan ini.
Manakala strategi yang berkesan seperti mana disarankan itu sukar untuk dilaksanakan. Presiden atau Pas sendiri perlu menggariskan strategi yang hendak dilakukan. Harus ada blue print berhubung perkara itu. Apakah keberkesanan yang dimaksudkan itu. Ini memerlukan...garis panduan jelas. Dan strategi ini pula biarlah berbagai-bagai.
Lazimnya untuk mendapatkan idea dalam menuangkan startegi ini ia memerlukan pemimpin yang kreatif, inovatif dan rajin. Sudah sampai masa bagi Pas menukar perlahan-lahan beberapa pemimpin tua dan lapok di dalam parti berkenaan yang sudah kekeringan idea. Pemimpin yang bulu hidung dan bulu telinga sudah beruban perlulah ditukar atau berundur secara terhormat.
Sikap malu alah atau masih menggunakan perkakas lama tidak sesuai dan memberi kebaikan kepada Pas. Pas perlu mengorbankan pemimpin yang demikian. Mereka juga sepatutnya insaf dan sedar dengan berundur sebelum mereka diminta berbuat demikian. Biarlah golongan muda atau pelapis berada di barisan hadapan. Mereka sebenarnya tidak boleh membuat ukuran dengan mata sendiri tetapi harus menerima pakai kritikan umum sebagai kayu pengukur.
Presiden perlu memantau dan menilai ini semua. Kalau presiden sendiri bersikap melindungi pemimpin tua yang tidak dapat memberi atau menyumbangkan idea kreatif apa yang disarankan itu akan menjadi sia-sia saja.
Banyak pemimpin muda dalam Pas yang datang dari berbagai profesyen yang boleh dimanfaatkan. Mungkin mereka tidak mempunyai kekuatan dari segi pemahaman konsep kepimpinan ulama dan sukar mengekalkan Pas sebagai parti Islam progresif. Ini bukan alasan untuk tidak menggunakan mereka. Mereka boleh dijana dan dicetak fikrahnya seperti mana dikehendaki Pas.
Adalah sesuatu yang merugikan Pas kalau pemimpin muda yang bersemangat dan sedang ghairah untuk berbakti kepada Pas tidak dimanfaat sepenuhnya. Lama kelamaan kalau mereka dihalang dengan berbagai alasan yang remeh, mereka akan menjadi mandul atau pun secara perlahan akan mendiamkan diri.
Saranan presiden itu baik dan boleh dijadikan cetusan ke arah menjadikan Pas sebuah parti pembinaan agama, bangsa dan negara sebagai mengganti atau mengambil alih tugas Umno yang telah lebih setengah abad memerintah negara. [wm.kl 10:00 pm 12/11/10]
Salam. Tuan, kita baru saja tewas di Galas. Ini menunjukan kekuatan kita semakin merosot. Kita kena kaji kelemahan yang ada pada kita dengan sedalam-dalamnya dan bertindak mengatasinya secara bijaksana. Jika tidak bagaimana kita nak mengantikan UMNO?
ReplyDeleteSalam...hakikatnya, seperti sesuatu kaum...ada ajalnya, begitu juga UMNO. Tambah lagi dengan janji bahawa 'parti Allah' akan menang... Sekiranya PAS bersatu teguh dengan dasar dan aqidah serta aqidah perjuangannya...ahli dan pimpinan ikhlas, PAS akan dibantu / ditolong Allah untuk menguasai Malaysia. Sejak puluhan tahun merdeka dan PAS memperjuangkan Islam kini baru 'terbuka dan lembut hati DAP' untuk cuba memahami / mendengar 'minda PAS'...syukur... atas kesudian mendengar. PAS tentu sedar, jika 'keterbukaan' DAP untuk mendengar PAS suatu 'strategi' mereka maka PAS perlu berstrategi... Hala tujunya, PAS menyeru kepada ALLAH. Tentu, setiap gerak kerja dan penerangan ISLAM sebagaimana yang difahami PAS adalah berserampang 2 mata, iaitu; [1] sasaran untuk menggilap hati memahamkan UMNO yang berkarat kotor dengan dunianya dan [2] untuk 'membukakan dan mencuit minda' DAP yang sosialis dan sekular terhadap ajaran Islam. Kesudian DAP mendengar penerangan PAS adalah suatu pertolongan Allah. Ingat !! pasti Islam memimpin dunia ini...jangan resah jika nampaknya PAS semacam jadi 'pak turut'....ini adalah sikap sederhana PAS demi kelangsungan dan kesinambungan dakwah di bumi Malaysia. Pandangan sederhana, pada PRU 13 nanti... jika tak dapat tawan Putra Jaya, saya bersyukur jika PAS dapat mempertahan '2K' iaitu Kelantan dan Kedah. Setelah 20 tahun memerintah Kelantan, amat bersyukur jika dapat kekalkan '1 K'...Kelantan dan tentunya sangat amat, jutaan syukur jika dapat tawan Putra Jaya.... Yang pentingnya ahli dan pendokong PAS perlu bersatu hati dalam setiap perkara atas nama dan cara Islam demi untuk menegakkan Islam tercinta. PAS perlu hentikan polimik terbuka. PAS perlu elakkan 'kem / rakit' yang ketara perbezaan pandangan antara pimpinan kerana ia merosakkan. Terima kasih atas budi bicara baik Tuan Haji MSO mengizinkan buah fikiran saya bersama saudara dimedan ini. Wallahu A'lam.
ReplyDeleteSyabas dan terima kasih Tinta Merah saranan anda perlu difikirkan oleh semua pemimpin dan ahli pas dan semuanya perlu sedar bahawa kemenangan tidak akan tercapai atas kelemahan lawan sekiranya kita juga lemah.
ReplyDeleteSelamat berjuang kerana Allah