Sunday, September 25, 2011

Analisa Isu

Timbalan Perdana Menteri Ke II Dalam Pembikinan?

CADANGAN yang dikemukakan oleh Pertubuhan Pasok Memogon (Upko) supaya BN mewujudkan timbalan pengerusi ke II di kalangan parti komponen BN Sabah dan Sarawak membuka perca politik baru di negara ini. Cadangan itu akan mengheret kepada pelaksanaan satu polisi atau transformasi siasah mengejutkan kalau ia berlaku.

Cadangan itu telah pun dimasukkan ke dalam kepala timbalan presiden Umno Udin anak Yassin. Ia juga turut sama mengalir dan terdampar dalam kepala para pemimpin tertinggi BN khasnya Umno.

Sekali dengar cadangan itu remeh dan tidak akan menjadi realiti. Namun tidak dapat ditolak akan jadi permulaan yang mana akhirnya mewujudkan perlantikan timbalan pengerusi ke II yang kemudian pemegang jawatan itu juga akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri ke II yang mewakili kouta Sabah dan Sarawak.

Secara senyap orang Sabah dan Sarawak sudah lama mengidamkan hal-hal seperti itu atau mereka mahukan taraf dan status mereka sama dengan orang Semenanjung. Jadi kalau cadangan itu diterima satu kejayaan bagi rakyat Malaysia Timur itu tanpa mereka mengira masalah yang bakal timbul di sebelah sini.

Pelaksanaan cadangan itu tidak mustahil. UBN dalam keadaan terdesak untuk menang akan melakukan apa saja, lagipun tuntutan berkenaan tidak menjadi kesalahan. Sabah dan Sarawak berhak mendapat kuota itu atas asas mereka juga adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Keperihatinan kerajaan kepada hari penubuhan Malaysia 16 September menunjukkan Semananjung sedia memenuhi apa juga permintaan Sabah dan Sarawak demi mengekalkan kekuasaan. Mintalah apa saja akan dilunasi asal saja jangan minta Rosmah Mansor dan Noraini Abdul Rahman (isteri Udin anak Yassin) untuk dijadikan bini. Kesediaan UBN itu bila dilihat kekuatan dan kegahan Umno sebelum ini menunjukkan semakin naif dan dhafinya Umno.

Saya mengira cadangan itu akan diperpanjangkan. Semua parti komponen di Sabah dan Sarawak akan menyokongnya kerana ia memberi untung dan laba kepada politik Sabah dan Sarawak. Sekiranya semua parti komponen di Malaysia Timur itu bersetuju dan mengambil konsesus bersama cadangan itu akan menjadi sesuatu yang praktikal dan UBN tidak akan dapat mengelak.

Bahana kesedaran tuntutan politik itu bukan saja kepada UBN tetapi Pakatan Rakyat juga yang sedang bersiapa menjadi penggantikan kepada BN turut sama meletakkan diri mereka dalam serba salah. Pakatan Rakyat tidak akan mengenepikan cadangan itu malahan ura-ura mewujudkan timbalan perdana menteri bagi kuota Sabah dan Sarawak mula terbitnya dari lidah pemimpin Pakatan Rakyat.

Melihat tuntutan itu menunjukkan parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak jauh lebih pintar dan cerdik daripada Umno sendiri. Mereka sudah bijak mengambil kesempatan atas keadaan yang ada. Kelemahan Umno pada masa ini samalah keadaan kayu bongkok yang dijadikan tempat kera dan beruk meniti.

Perwujudan jawatan itu juga nanti adalah hasil dari situasi politik orang Melayu hari ini yang lemah disebabkan berlaku perpecahan kerana mengejar kuasa. Walaupun tuntutan itu dihalalkan tetapi tidak dapat dinafikan ia dibuat kerana suasana yang ada kecelaruan dan kelemahan kuasa politik Melayu.

Nampaknya orang Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan peluang ini untuk mendapat seberapa banyak keuntungan buat mereka. Jika diperhatikan perubahan politik atau pun pertambahan kouta dan kuasa untuk Sabah dan Sarawak wujud sebaik saja politik orang Melayu dalam keadaan berkucar 'wak yah'.

Tidak mustahil kalau keadaan politik orang Melayu yang selama ini dianggap sebagai pembimbing politik Malaysia atau menjadi tulang belakang pemerintah dalam keadaan tidak tenteraman kini, bukan saja orang Sabah dan Sarawak mendapat jawatan timbalan perdana menteri ke II, tetapi jawatan Perdana Menteri juga bukan sesuatu yang mustahil untuk digapai oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Apakah senario yang sedang berlaku ini menggambarkan politik kita (Melayu) semakin matang dan dewasa? Atau sebaliknya perubahan demi perubahan dan transformasi demi transformasi yang dilakukan secara terpaksa kerana memenuhi sesuatu tuntutan sebenarnya gambaran kepada politik orang Melayu semakin mengecil dan lemah? Begitulah agaknya duhai Mat Maslan! [wm.kl. 7:34 pm 25/09/11]

1 comment:

KASIHCIKGU said...

tak lama lagi INDON & BANGLA pulak minta jadi calon atau jadi menteri....poning, poning