Sunday, June 8, 2025

Siapa akan ganti Rafizi dan Nik Nazmi?

Nik Nazmi dan Rafizi pohon
tinggalkan kabinet.
RENCANA KHAS

SIAPA akan ganti tempat Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad kalau mereka tetap memgambil keputusan untuk kekal dengan kandungan surat permohonan cuti dan perletakan jawatan mereka. 

Saya yakin sebagai pamimpin yang cintakan damai Anwar Ibrahim tidak tergesa gesa untuk menerima permohonan kedua mereka kekal melepas jawatan. Anwar telah menerima permohonan cuti mereka sehingga 16 Jun, tetapi belum mengenai menjelaskan status permohonan melepas jawatan.

Rafizi telah menghantar surat bertarikh 28 Mei memohon cuti sehingga 16 Jun dan akan melepaskan jawatan Menteri Ekonomi pada 17 Jun. Hal sama dikuti oleh rakannya Nik Nazmi akan melepaskan jawatan Menterin Sumber Asli dan Kelestarian Alam. 

Sampai kini Anwar tidak membalas permohonan untuk melepaskan jawatan mereka berdua. Saya yakin Anwar akan biarkan mereka berdua untuk memegang jawatan itu sekurang kurang sehingga atau sampai rombakan kabinet besar besaran setelah tiga tahun usia kerajaan Madani yang dijangka hujung tahun ini. 

Katakanlah Rafizi kekal dengan keputusannya, dan Nik Nazmi setia mengikuti Rafizi, Anwar tidak ada pilihan lain melainkan mencari individu atau pemimpin lain sebagai ganti. Di sini saya tidak fikir Anwar akan segera melantik seorang naib presiden yang baru menang dalam pemilihan baru baru ini sebagai pengganti walaupun dari segi konvensyen parti ia layak.

Ekoran masih ada rasa tidak senang dari kalangan penyokong Hiruk yang masih panas jiwa dan tidak boleh menerima kekalahan kerana dianggap berlaku penipuan, menyebabkan PM akan membuat keputusan yang munasabah, bijaksana dan mendamaikan semua pihak.

Kekosongan yang bakal dtinggalkan Tengku Zafrul Aziz tidak menjadi masalah kerana ia quota Umno. Umno boleh mencari sesiapa saja penggantinya kalaupun tidak untuk memegang portfolio Zafrul selaku menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia itu. Naib presiden Umno Johari Ghani yang kini menteri Peladangan dan Komoditi adalah tokoh layak untuk mengganti tempat bakal dikosongkan Zafrul hatta memegang portfolio ditinggalkan Rafizi itu.

Kalau mengikut amalan parti parti yang berkuasa sebelum ini, timbalan presiden akan dilantik memegang jawatan kementerian penting. Bagaimana pun untuk berbuat begitu Nurul Izzah Anwar yang menang bergaya dalam pemilihan baru baru ini ada sedikit halangan, beliau bukan seorang ahli Parlimen. Jika beliau perlu dilantik juga, maka Nurul Izzah terlebih dahulu akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara.

Sekali lagi saya tidak fikir Izzah akan dibawa menyertai kabinet. Anwar tidak sedia menambahkan persepsi nepotisme yang hangat berkumandang kini. Apa lagi semasa kempen Damai, Izzah mengatakan dia bertanding menegaskan ia demi tanggungjawab bukan untuk kepentingan peribadi. Pengakuan itu benar kerana sebelum ini Izzah dikatakan beberapa kali menolak tawaran jawatan kepadanya.

Apabiula beliau bertanding demi tanggungjawab, maksudnya ada hambatan dan keperluan lain kenapa beliau berbuat demikian. Mungkin umum tampak apa ditekan Izzah ialah memang beliau hendak perkuatkan parti. 

Kenyataan Izzah itu ikhlas apabila beliau dilaporkan menawarkan jawatan dalam parti kepada Rafizi selepasa usai pemilihan. Ini menunjukkan Rafizi ada nilai dan aset buat Keadilan. Dan Izzah sendiri masih menghormati persahabatan dengan Rafizi dan melihat pertandingan itu sesuatu yang normal bukan patut didendami. 

Selama ini mungkin kerana Rafizi dan lain lain pemimpin yang dilantik menjadi menteri sibuk dengan tugas dan ganggungjawab menyebabkan parti dan organisasi parti tidak terkendali, terabai, justeru Izzah obses kepada masalah parti. Tindakan Izzah itu jelas merupakan kepekaan tanggungjawab dan masa depan parti.

Molek benar kalau timbalan presiden baru bekerja ke arah itu menampong kecacatan sebelum ini. Keadilan perlu diperkukuhkan bagi memastikan tetap jadi tulang belakang kepada kerajaan Madani hari ini. Kerja dan tanggungjawab Izzah bukan mudah apa lagi apabila beliau terus diejek dan dipersendakan oleh netizen menyokong kumpulan yang kalah, ia suatu cabaran besar buatnya. 

Kemenangannya cuba dinafikan dengan emosi. Mereka melihat Izzah musuh bukan kawan kepada tokoh yang mereka taksubi. Penyokong Rafizi tidak dapat move on. Timbul juga kemusykilan dalam hal ini apakah netizen penyokong puak yang kalah itu adalah dari kalangan musuh kerajaan Madani. Bahawa musuh kerajaan Madani dan musuh peribadi Anwar telah mengeksploitkan sutuasi ini tanpa disedari? Jika mereka seratus peratus orang parti mereka tidak akan terus hanyut dengan emosi kekalahan.

Jadi siapakah yang akan menjadi pengganti tempat Rafizi dan Nik Nazmi itu. Dalam hal ini bukan "ketanggungan" untuk memegang jawatan itu diutamakan. Mungkin sosok yang dirasakan perlu tidak berkeupayaan dan rendah ketimbang Rafizi dan Nik Nazmi. Mereka pengganti itu sekadar untuk mengekal status quo Keadilan dalam kabinet maka mereka perlu diangkat menjadi menteri.

Dua sosok yang saya nampak boleh diangkat dan sesuai dibawa masuk ke dalam kabinet menjadi menteri atau timbalan timbalan, seorang ialah Dr Mazlee Malik yang menang sebagai MPP baru baru ini. Beliau ada sedikit pengalaman sebagai menteri pendidikan sewaktu era kerajaan PH lampau. Untuk itu beliau boleh dilantik sebagai ahli Dewan Negara.

Rodziah Ismail
pelantikannya boleh jadi 
bukti politik matang.
Selain itu ialah ahli parlimen Ampang Rodziah Ismail. Walaupun beliau tewas sebagai ketua wanita, tetapi bukan alasan untuk dia dialpakan. Dengan pengalaman yang dimiliki, pernah menjadi Exco di Selangor dua penggal, pernah menjadi setiausaha dan timbalan ketua Wanita, Rodziah boleh dibawa masuk ke dalam kabinet atau sekurang kurangnya dilantik jadi pembantu menteri.  

Sekiranya Dr Fuziah Salleh yang kini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dinaikkan pangkat jadi menteri Rodziah boleh jadi timbalan menteri.

Bukan itu saja pelantikan Rodziah ini juga akan memperlihatkan bahawa, Keadilan parti yang profesional dalam membuat lantikan. Selain itu ia boleh dijadikan iktibar kepada ahli parti bahawa jika kamu memenangi jawatan dalam parti belum pasti diberi jawatan menteri, yang penting ialah kredibiliti dan kompentesi seseorang. Tindakan sebegini juga ia boleh mengurangkan nafsu untuk merebut jawatan sehingga sanggup main politik wang.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Ramanan Rsmsnkrisnan yang memenangi kerusi naib presiden dan dikecam disepanjang pemilihan boleh bersabar dan bertenang, tidak perlu diangkat menjadi menteri. Keadilan khasnya presiden Anwar kena buktikan bahawa beliau dalam memilih anggota kabinet bukan saja berdasarkan senioriti dalam parti, tetapi kemampuan, intergriti dan kebolehan bekerja serta track record. Paling mustahak pelantikan tidak menjadi masalah.

Bagaimana pun sebaik baiknya untuk memulihkan semangat dan mengharmonikan keadaan Keadilan akibat pertandingan baru baru ini, adalah afdal kalau Rafizi dan Nik Nazmi dikekalkan sebagai menteri, kecualilah mereka tetap bersikeras dengan keputusan mereka maka pandangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan. Penolakan Rafizi dan Nik Nazmi itu nanti kandatipun dibuat kerana prinsip, tetapi ia tetap disimpulkan sebagai berprinsip yang tidak mengundang kebaikan kepada parti. [wk.kl. 10:06 pm 08/06/2025]



3 comments:

Anonymous said...

Maaf tuan ...Kalau prinsip yg baik tidak mengundang kebaikkan kepada parti...apa beza keadilan dgn UMNO. Apa guna kami turun kejalanan melaungkan reformasi. Jikalau lepas berkuasa mengulangi apa yg sama dilakukan umno. (Mencari dalil untuk menghalalkan apa yg dirancang atau dibuat - apa beza dengan PAS) Sayanglah harapan nak tengok malaysia baru dalam berpolitik masih jauh. Betullah maksud HIRUK berkenaan dipilih. Ini semua ujian kuasa dan terbukti bila di beri kuasa hawa nafsu menguasai sang penguasa. Lupa pada penderitaan dan pengorbanan....maaf saya berbeza pendapat..bercakaplah benar atau diam sahaja. No more vote next GE biarlah jadi lipatan sejarah yg PMX sama saja. Sedih bila tgk video ni rasa hampa semua hipokrit...
https://youtu.be/aQ0bAUZdR8c?si=c1ExxAHNAf9iG_Hp

Anonymous said...

pandangan saya sebagai non partisan yang menyokong reformasi semenjak tahun 1998 dan sekarang dah umur 54 tahun adalah memberi keutamaan dalam memperbaiki dan memajukan negara setelah pelbagai kerosakan dan kebobrokan dari pemerintah terdahulu.lupakan soal rafizi dan nurul tetapi terus berkerja dalam memakmurkan negara.biar rakyat melihat bahawa kerajaan yg ada ketika ini adalah lebih baik ketimbang sebelum ini.apa pun satu tiupan semangat mesti diserapkan dalam ahli parti keadilan khususnya bahwa perjuangan mereka bukan sia-sia dan jerit perih merekalah yg menyelamatkan negara ini dari sang penguasa yg rakus melanun.walaupun saya kecewa melihat kekalahan rafizi dan team tetapi demi kebahagiaan negara tercinta dan amanah diberikan kepada yg hak dan adil insyaallah saya kekal mengundi pakatan harapan pada pru16.

Anonymous said...

RAMANAN LAH SESUAI.... TAK KAN NAK BAGI HARUN PULAK ....😂😄😁🤣