Tuesday, May 15, 2007

Untuk Apa Membelek Luka Lama!

PETIKAN SIASAH




MSO

SEJARAH adalah cermin kepada kehidupan. Ia bertindak menjadi penunjuk dan pemandu kepada perjalanan hidup sesuatu bangsa. Sekiranya bangsa itu berjalan tanpa petunjuk atau tidak mempunyai papan tanda (cermin) pastilah perjalanan bangsa itu akan tersesat dan menyeleweng.

Sebagai cermin ia akan menunjukkan (reflash) semua benda termasuk objek dan juga perasaan yang pernah dirakamnya. Bagaimana ia dicatat atau dilukiskan itulah juga yang akan dinilai dan dihayati. Sejarah sebenarnya tidak berbohong.

Generasi yang mahu berkembang ialah generasi yang tidak melupai latar sejarah. Generasi atau masyarakat yang senantiasa mengingati peristiwa lampau sebagai teladan dalam hidup, pasti akan berjaya dan selamat apa lagi kalau ianya bukan setakat mengingati saja tetapi mempraktikan sesuatu yang baik dalam kehidupan yang digali dari sejarah itu.

Atas perinsip dan kepentingan itu maka apa juga peristiwa yang berlaku perlu dirakam untuk dijadikan bekalan kepada masyarakat akan datang. Dan dokumen sejarah itu perlu dihayati untuk diambil iktibar. Itulah sepatutnya berlaku.

Dalam hal ini peranan penulis sebagai perakam sejarah sangat penting. Mereka perlu menulis dengan penuh keadilan berlatarkan kebenaran tanpa cuba membuat andaian atau pun analisa bagi kepentingan mana-mana kelompok. Perakam atau penulis demikian boleh mengundang bahaya kepada bangsa dan negaranya!

Justeru peranan perakam dan penulis sangat besar sekali. Ditangan merekalah hitam atau putihnya sejarah itu. Sebagai orang yang mendapat sumber dan penyalin peristiwa ke atas kertas mereka bertanggungjawab sepenuhnya. Kejujuran dan keikhlasan sangat diperlukan.

Bohong kepada diri sendiri.

Sekiranya perakam itu mahu mengolah mengikut sentimen naluri dan apa yang diingini ia akan terbawa ke arah itu. Sejarah itu akan dibaca mengikut cerita dan lukisannya sehinggakan menyimpang jauh dari hakikatnya. Dari segi etika penulis berkenaan sudah berbohong kepada dirinya sendiri kerana tidak menulis sesuatu yang benar.

Pun begitu kalau ia menulis sesuatu yang benar namun natijahnya boleh mengundang bencana ia juga dianggap sebagai penulis yang tidak mempunyai kebijaksanaan. Penulis yang bijaksana itu ialah yang menitik beratkan apakah manfaat kepada umum daripada apa yang ditulis atau dicatatkan itu.

Sejauh manakah penulis itu harus berbudi kepada dirinya sendiri dengan bersikap benar? Apakah kerana semata-mata mahu menjaga kebenaran itu maka ia rela membakar dirinya, bangsanya dan negaranya sendiri? Di sinilah dilema dan juga peranan besar kepada penulis yang memerlukan kebijaksanaan untuk menghuraikannya.

Saya terpanggil untuk mengungkitkan ini ekoran muncul sebuah buku yang mengulas dan menganalisa berhubung peristiwa 13 Mei yang berlaku hampir 40 tahun lalu. Buku ini kononnya mendedahkan maklumat terbaru berhubung tragedi itu yang tidak pernah dipecahkan sebelum ini.

Penulis berkenaan telah mendakwa menumui beberapa maklumat baru di London mengenai tragedi itu yang sebelum ini tidak didedahkan kepada umum. Ia baru diperolehi selepas 30 tahun tragedi itu bila mana maklumat itu dihalalkan untuk tatapan umum. Segala maklumat itu diperolehi di Pejabat Rekod Awam di Landon.

Berlandaskan kajian penulis itu yang disandarkan kepada maklumat terbaru itu, beliau telah mengandaikan punca tragedi yang meragut 196 naywa itu berlaku ialah kerana adanya pakatan untuk merampas kuasa oleh Tun Abdul Razak Hussein daripada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Dengan menimbulkan spekulasi itu penulis berkenaan menafikan bahawa tragedi itu berpunca dari gelagat pembangkang (Cina) adalah karut marut.

Walaupun ia tidak menyimpulkan secara tegas, tetapi gambaran yang diberikan daripada maklumat itu menunjukkan ada perancangan untuk rampas kuasa yang dilakukan oleh apa yang dinamakan sebagai kapitalis di kalangan Umno.

Bagaimana pun tidak disebut secara jelas dan spesifik siapakah kapitalis atau tokoh kapitalis itu. Daripada apa yang diketahui andaian itu semata-mata berdasarkan kepada maklumat berupa catatan wartawan asing yang memerhati kejadian berkenaan.

Melemahkan bukti rasmi

Maklumat berupa andaian itulah yang diperbesarkan oleh penulis berkenaan. Agak bahaya apabila dalam masa sama ia cuba memadam ataupun melemahkan bukti rasmi yang telah tiga dekad diterima oleh masyarakat Malaysia mengenai bagai mana cetusan tragedi berkenaan.

Apa yang menjadi pengetahuan umum tragedi itu meletus apabila orang Cina dari parti pembangkang (Gerakan) berarak selepas mereka menerima kemenangan besar dalam pilihan umum 1969. Dalam perarakan itu juga orang Cina telah menunjukkan sikap yang tidak manis dan bersemangat Malaysia sambil berarak atas lori mereka membawa penyapu sebagai simbul untuk menyapu (bersih) orang Melayu sambil mengejek-ejek!

Itu yang diterima. Tetapi apa yang dibawa oleh penulis berkenaan yang didakwa sebagai penemuan baru ialah, tragedi itu bermula daripada orang Melayu yang berselidung di sebalik hajatnya untuk merampas kuasa dengan menjadikan orang Cina sebagai mangsa.

Kesimpulan ringkas yang dapat dibuat dari pendedahan atau versi terbaru tragedi 13 Mei itu ialah ianya berpunca daripada sikap tamak orang Melayu (Tun Razak) untuk memiliki kuasa dengan memperalatkan bangsa lain sebagai alat mencapai tujuannya!

Sekali lagi dijelaskan, kita menghormati penulis dan perakam sejarah. Tetapi dalam konteks penulis dan pendedahan seperti tadi yang boleh menyebabkan timbul rasa kurang senang pihak tertentu apakah erti dan untungnya?

Dalam konteks tragedi seperti 13 Mei itu kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana penulis dan pengkaji sejarah seperti itu. Mereka mungkin bercakap benar, tetapi mereka tidak tidak peka kepada suasana semasa dan kerencaman warganegara ini. Apakah penulis tidak memikirkan kesan dan implikasi daripada tulisan itu?

Bersifat provokatif.

Pada saya apapun alasan bentuk yang dipaparkan itu bukan tulus dan ikhlas mendedahakan sejarah tragedi itu namun ianya ada motif lain di sebalik penulis bersifat provokatif itu.

Lantaran itu timbul tanda tanya untuk apakah catatan dalam versi sebegitu rupa? Kalau ianya boleh menimbulkan suasana tidak elok adalah baik kalau sejarah yang cukup sensitif dan nostalgik itu tidak ditulis lagi. Bukan saja sejarah seperti itu namun sejarah-sejarah lain juga.

Kebebasan dalam bentuk apa pun tetap ada sempadannnya. Agama adalah sempadan kehidupan zahir dan batin manusia. Undang-undang sivil adalah sempadan kehidupan manusia sesama manusia di dunia. Bayangkan bagaimana kalau sempadan itu tidak ada semuanya akan hancur!

Jika kita melewati mentara atau batas-batas tadi jelas kita bergerak melampaui batas-batas normal. Dan apabila kita sudah melanggar kebiasaan, maka kita tidak dihormati lagi. Lebih jauh apabila kita melanggari batas-batas itu menyebabkan kita menjadi semakin tidak normal yang akhirnya menjadikan kita tidak siuman. Bila kita sudah gila, apalah erti dan makna hidup ini?