Monday, July 16, 2007

Politik Pemuda Umno

Mukhriz Harus Tegas Untuk Lawan Khairy

MSO

ANAK bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahatir telah membuat penafian yang beliau akan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno yang bakal dikosongkan oleh Hishamuddin Hussein pada perhimpunan agung parti itu tahun hadapan.

Mukhriz membuat penafian itu ekoran sebuah berita disiarkan dalam akhbar The Star yang ‘meramalkan’ beliau akan bertanding merebut jawatan itu. Katanya ketika menafikan kenyataan itu, beliau tidak pernah membuat kenyataan yang ingin merebut jawatan berkenaan.

Akhbar itu membuat spekluasi itu berdasarkan percakapan Mukhriz kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pemuda Umno Bahagian Sungai Siput, Perak kelmarin.

Melihat kepada ketergesaan Mukhriz membuat penafian itu menggambarkan Exco Pemuda Umno itu seperti ketakutan dan orang yang 'menasihatnya' agar tidak membuat kenyataan seperti itu. Mungkin juga orang yang melihat kenyataan Mukhriz itu sebagai satu kekhilafan adalah 'hantu' Khairy.

Spekulasi semata-mata

Sebenarnya Mukhriz tidak wajar membuat penafian itu kalau sekadar untuk menjelaskan beliau tidak berminat untuk merebut jawatan itu tahun hadapan. Beliau sepatutnya serahkan saja berita (tidak benar) itu kepada media massa. Lagipun bentuk berita itu hanya spekulasi semata-mata, tidak perlu dibimbangkan.

Media massa bebas untuk membuat apa juga spekulasi dan telahan mereka berdasarkan kepada perkembangan dan senario semasa politik. Bukan sahaja pada kaca mata pemberita akhbar berkenaan tetapi pemerhati juga melihat wajar kalau Mukhriz mencuba untuk bertanding merebut jawatan itu.

Sekiranya sah Hishmuddin mengosong jawatan itu untuk berganjak ke Naib Presiden, ia terbuka untuk semua ahli Pemuda Umno bertanding, termasuk Mukhriz dan sesiapa sahaja. Jadi sesiapa pun tidak boleh menafikan 'lokus standy' yang dimiliki oleh Mukhriz.

Jawatan itu bukan milik mutlak Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda hari ini. Sesiapa pun tiak dapat mengesahkan kedudukan itu dan bukan secara automatik Khairy boleh mengambil alih jawatan itu.

Hakikat ini patutnya disedari oleh semua ahli Pemuda Umno termasuk Khairy dan Mukhriz. Sebaik sahaja Hishamuddin melepaskan jawatan itu ia terbuka untuk ditandingi oleh sesiapa sahaja. Bahkan jawatan itu pernah ditandingi oleh calon di luar pergerakan itu.

Justeru Khairy dalam hal ini tidak boleh merasakan sedap hati bahawa jawatan itu akan disalinkan secara automatik kepadanya. Khairy tidak ada apa-apa kelebihan. Kedudukan dan hubungan beliau sebagai menantu Perdana Menteri bukan first class atau jaminan untuk beliau terus naik ke tempat jawatan nombor wahid dalam pergerakan pemuda itu.

Dalam hal ini Mukhriz tidak wajar merasa inferiorti kompleks untuk merebut jawatan itu. Kalau diukur kepada senioriti dan pengalaman, rasanya Mukhriz lebih berhak berbanding Khairy. Khairy hanya baru muncul dalam pergerakan itu bermula selepas bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri.

Sedangkan Mukhriz sebelum itu lagi sudah menyertai Pemuda Umno. Kedudukan beliau sebagai bekas anak Perdana Menteri juga tidak perlu disegansilu untuk meletakkan dirinya sebagai layak dan boleh dijadikan aset semasa kempen kelak. Mukhriz anak kepada bekas Perdana Menteri yang berkhidmat selama 22 tahun sedang Khairy adalah menantu kepada PM yang baru tiga tahun setengah berkhidmat.

Begitu juga undi tertinggi yang diterima oleh Mukhriz di dalam permilihan dua tahun lepas menunjukkan beliau ada pengaruh dan penyokong di dalam pergerakan itu. Khairy sendiri belum dapat mengetahui sejauh mana kekuatan dan pengaruhnya kerana beliau menduduki jawatan berkenaan tidak menerusi pertandingan. Dalam erti kata lain Khairy belum diuji di atas gelanggang.

Kedudukan yang diraih Khairy kini bolehlah dikatakan sebagai anugerah oleh beberapa pemuda Umno miskin yang tidak mempunyai telor kepada Khairy, apabila beberapa pemuda itu masing-masing menarik diri seorang demi seorang di saat akhir dengan berbagai alasan semata-mata ingin memberi laluan kepada Khairy.

Pada hemat saya kalau Mukhriz benar-benar ingin menawarkan diri untuk berebut jawatan itu beliau tidak perlu bersikap terlalu lembut dan bersikap lunak serta mengambil hati mana-mana pihak. Beliau harus ambitious didalam hal ini di samping membuat persediaan serapinya.

Terlalu diplomasi

Sekiranya beliau bersikap terlalu lunak dan mengamalkan politik terlalu diplomasi beliau akan ketinggalan nanti. Perlu diingat di dalam politik tidak ada amalan ingat mengingat antara satu sama lain seperti mana disarankan Allah dalam surah A-Ansr. Sebaliknya di dalam politik masing-masing menghayati ketegasan/sikap seperti di dalam surah al-Kafirun yang bermaksud; agamamu untukmu dan agamaku untuku.

Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan itu jangan terlalu takut dalam hal ini dan perlu memerhati jauh. Beliau juga perlu sedar bahawa Khairy sudah bergerak jauh untuk merebut jawatan itu dengan membuat persiapan dan strategi awal. Tindak tanduk dan sikap Khairy kini yang sedang mengadakan hubungan diplomatik dengan Najib adalah strategi ke arah itu.

Khairy seorang yang bijak dan berpandangan jauh. Dia tahu dalam keadaan sekarang beliau memerlukan sokongan semua pihak. Walaupun jawatan itu kacang baginya namun strategi kena kemas dan smart.

Apa yang sangat diinsafi Khairy ialah sekiranya perjalanan politik Umno bergerak atas landasan dan tradisinya, Najib Razaklah yang akan mengambil alih jawatan bapa mertuanya. Jadi demi untuk tidak mengerhanakan bulan politiknya maka Khairy perlu bernaung di bawah sinar nasib Najib Razak.

Seandianya Mukhriz diam-diam berfikir untuk berada di belakang Khairy ataupun dikompromikan demikian itu adalah satu formula dan keputusan yang amat silap psekali!

Dalam politik jangan sesekali menjadi budak kepada seseorang, tetapi bersedialah untuk mati syahid di atas gelanggang. [seremban]


No comments:

Post a Comment