Wednesday, July 11, 2007

Pengawal MB Terengganu Kurang Ajar?

Idris Perlu Tamadunkan Anak Buahnya

MSO


TANGGAL 31 Ogos nanti genaplah 50 tahun negara kita tercinta ini Merdeka. Merdeka
bermakna kita bebas dan lepas dari belenggu penjajah. Kita bebas mengatur kehidupan bernegara menurut naluri dan idealisme kita sendiri. Kemerdekaan juga mengajar kita supaya lebih maju, berminda terbuka dan progresif. Paling penting dan perlu diingati kemerdekaan menjadi lambang ketamadunan sesutau bangsa.

Setelah setengah abad merdeka sepatutnya rakyat negara ini yang berbilang kaum sudah bertamadun. Tamadun bermakna mempunyai akal budi yang tinggi dan luhur. Memiliki sahsiah atau keperibadian yang terpuji dan mulia serta menjadi bangsa yang dihormati dan sifatnya diteladani oleh dunia luar.

Rakyat yang bertamadun juga mendokong prinsip hidup yang liberal, tahu menghormati hak dan profesyen orang lain serta senantiasa berfikir secara profesional. Mengamalkan sikap bermesyuwarah, bersedia mendengar pandangan orang lain dan menilai dan mengkaji idea-idea para ilmuan.

Dengan cara itulah baru kemerdekaan atau ketamdunan sesuatu bangsa itu bertambah berbobot atau bernilai seperti mana sewajarnya.

Mengapa negara-negara Eropah, Amerika Syarikat atau Korea dan Jepun maju? Antara faktornya ialah kerana masyarakatnya berminda terbuka, liberal serta bersedia ditegur dan mahu belajar daripada sejarah orang lain. Senantiasa menghormati pandangan dari semua pihak dan tidakbersikap seperti 'kadok naik junjung'.

Setengah apa yang diajar dan dituntut oleh Islam – yang menjadi kepercayaan dan pegangan kita dipraktikan oleh mereka. Sebab itulah mereka jauh maju serta memiliki sahsiah berbanding dengan penganut agama Islam itu sendiri.

Malang sekali, setengah daripada kita yang mengaku bertamadun, apa lagi menjadi dan mendewakan Islam Hadhari sebagai pegangan, tetapi berperangai lebih buruk dan huduh berbanding dengan masyarakat yang belum bertamadun. Bahkan setengahnya lebih buruk dan jelek berbanding dengan makhluk berkaki empat di hutan rimba di Hulu Terengganu.

Dianggap biadab

Apa yang berlaku semasa sidang akhbar yang diadakan oleh Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh (foto) selepas merasmikan mesyuarat agung Umno Bahagian Cheras, Ahad lalu (8 Julai 2007) adalah antara ciri-ciri kebobrokan ketamdunan bangsa Melayu. Kejadian yang tidak sepatutnya dan diangap biadab itu bukan saja mengaibkan tetapi menjatuhkan maruah Menteri Besar itu sendiri yang menjadikan Islam Hadhari sebagai slogan pemerintahannya.

Kejadian yang dimaksdukan itu ialah tingkah laku seorang pemuda bernama Saiful yang tiba-tiba bertindak menyentak baju penulis politik veteran Syed Hussein Alattas (Pak Habib) yang sedang mengemukakan beberapa persoalan dan pertanyaan kepada Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh.

Dengan tiba-tiba sahaja pemuda yang didakwa selaku 'Setiausaha Politik' MB Terengganu itu beperangai macam 'beruk gila putus tali' menyentak sambil menarik baju Pak Habib dari belakang sehingga membuat Pak Habib dan beberapa wartawan yang ada di sidang akhbar berkenaan terkejut.

Mulanya mereka yang berada di situ mengira lelaki itu tidak siuman, tetapi setelah menyedari ianya antara 40 orang yang dibawa khusus Idris Jusoh ke mesyuarat itu ia adalah satu kejadian serius. Perbuatan itu ternyata sekali biadab, kasar dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana sidang akhbar baik yang diadakan oleh menteri, Menteri Besar ataupun Perdana Menteri.

Mungkin pemuda itu tidak senang persoalan yang dikemukakan Pak Habib dan cuba menyelamatkan bosnya daripada terperangkap atau malu dengan persoalan itu. Tetapi cara tindakan itu tidak profesional dan tidak sopan dan menggambarkan bahawa ianya satu perbuatan yang tidak bertamadun dan jauh daripada ajaran Islam Hadhari yang mengelirukan itu.

Kata ancaman

Kejadian pagi itu bukan setakat itu saja, tetapi ia bersambung di luar majlis itu apabila Pak Habib mencari dan memanggil pemuda itu untuk mendapat penjelasan kenapa ia dilakukan begitu. Tanpa menjelaskan persoalan Pak Habib, lelaki itu dikatakan telah mengeluarkan kata-kata beruapa ancaman kepada Pak Habib.

Beliau mengancam akan 'membaham' (memukul) Pak Habib kalau Pak Habib pergi ke Terengganu dengan berkata; nanti mu gi Tranggu aku baham!" Kenapa begitu sekali celupar dan rendahnya moral pegawai MB Terengganu itu? Kalau benar beliau berani kenapa tidak membaham Pak Habib di situ juga, dan kenapa tunggu Pak Habib ke Terengganu?

Biasanya orang yang berani memukul orang di hadapan halaman rumahnya adalah orang pengecut dan dayus!

Mungkin beliau tidak kenal dengan Pak Habib. Pak Habib bukan sembarangan orang yang boleh jadi seribu kali baik kalau hendak baik dan boleh menjadi seribu kali jahat kalau hendakkan jahat. Pengalaman dan usianya memberikannya selaut ilmu yang tidak mungkin tergapai pemuda berkenaan yang baru mengenal alif, bha, tha politik itu. Saya percaya pemuda itu belum lahir lagi Pak Habib sudah menulis buku-buku politik.

Kalau Saiful ini benar Setiausaha Politik, Idris Jusoh ternyata dia masih belum lengkap segala ilmu politik. Lelaki ini bukan saja tidak mempunyai akal budi, tetapi ilmu diplomasi yang seharusnya dimiliki oleh pegawai sepertinya. Mungkin Idris Jusoh khilaf besar kalau beliau memelihara orang seperti itu yang boleh menjatuhkan reputasinya sendiri.

Idris Jusoh hendaklah beri perhatian kepada apa yang berlaku tempoh hari. Ia bukan insiden kecil yang boleh dianggap sebagai satu kesilapan tidak disengajakan. Tetapi ia mencerminkan mengenai tohor atau dalamnya ilmu politik dan diplomasi Idris Jusoh sendiri. Kejadian itu juga tentu diperhatikan oleh para penulis (blogers) dan pengamal media. Apa yang berlaku itu boleh menjejaskan hubungan baik MB Terengganu itu dengan pihak media.

Sebenarnya saya tidak hairan kalau apa yang menimpa kepada penulis veteran itu. Saya sendiri pernah mempunyai pengalaman peribadi yang masam dengan Idris Jusoh. Peristiwa ini berlaku ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan.

Kejadian ini berlaku sewaktu dalam penerangan balik ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu. Kebetulan saya duduk satu baris dengan Idris Jusoh di kelas perniagaan. Seperti biasa selepas beberapa minit kapal terbang take off, pramugari akan menanyakan penumpang untuk memesan apa-apa makanan atau minuman.

Naik muak

Penerangan dalam negeri menunya sama saja ketika itu. Penumpang kelas perniagaan itu disediakan makanan ringan berupa nasi lemak dan satay berserta dengan jus. Pramugari di kelas itu dengan lemah lembut bertanya kepada Irdis untuk makan atau minum apa. Beliau lantas bertanya balik apa yang ada (menu). Setelah pramugari itu menjawab satay dan nasi lemak, Idris dengan ‘ringus’ membalas dengan berkata; Tak dak makanan lain dah ke, hak tula (sama) saja, dah naik muak tengkak saya..”

Herdikan Idris Jusoh itu menyebabkan pramugari itu yang cantik molek bernama Shila (kalau tak salah ingatan) terkejut dan malu sendiri. Merah pada mukanya sambil cuba tersenyum menyembunyikan perasaan malu.

Saya jadi kesian melihat kepada pramugari itu yang dijerkah demikian rupa secara tidak beradab. Sebaik pramugari itu berlalu saya berpaling ke arah Idris Jusoh sambil berkata kepadanya; lain kali kalau nak makan sedap atas kapal terbang bawalah bekalan dari rumah, bubuh dalam mangkuk tingkat!

Dia berpaling ke arah saya dan mengerling dengan ekor mata. Beliau tidak kenal atau cam saya walaupun pernah berjumpa di lobby Parlimen atau di pejabatnya di bangunan MARA Jalan Raja Laut sebelum itu.

“Awak ni siapa?” tanyanya kurang senang sambil mempamirkan kehebatannya selaku seorang timbalan menteri. Saya tidak menjawab pertanyaan itu sebaliknya mengeluarkan buku baru saya dari beg dan menunjukkan kepadanya. Buku yang saya tunjuk itu berjudul: Tuanku Ismail Putera: Idealisme dan Keprihatinan Kepada Agama, Bangsa dan Tanahair.

Begitu dia melihat cover buku itu dan membaca nama saya dia bertanya; awak (Mohd) Sayuti Omar, penulis buku politik? Saya tetap tidak menjawab dan mendiamkan diri saja. Selepas itu beliau tidak berkata apa-apa dan tidak pun menjamah hidangan (jus jambu batu) yang diletakan pramugari di hadapannya.

Itu adalah kisah dan pengalaman saya hadapi sendiri dengan si bos Saiful itu. Sikap dan perangainya (ketika itu) tidak mengarcakan sifat beliau seorang pemimpin Melayu yang berlemah lembut dan berkarismatik. Ada elemen kesombongan dan ego tinggi mengunung di dalam jiwanya.

Jadi kalau ada pengawainya atau anak buahnya yang bersikap biadab, kurang ajar dan sebagai seperti menyentak baju penulis/wartawan itu, saya tidak sedikitpun merasa hairan. Kerana pepatah Melayu ada mengatakan, kalau guru kencing berdiri maka muridnya tentulah akan kencing berlari. Bapak borek tentulah anaknya rintik.

Kata orang tua-tua di kampung saya pula, kalau ekor ibu/bapak (biawak) keras dan bergeligis, ekor anaknya kelak akan mengerutu dan bangkang bengkok lebih teruk lagi.

Catatan: Orang yang bernama Saiful itu disahkan bukan Setiausaha Politik MB Terengganu. Setiausaha Politik MB Terengganu bernama Dr Ramdzi Datuk Zubir. - mso.



No comments:

Post a Comment