Sunday, August 19, 2007

Catatan Dini Hari

Alahai Abdullah Perdana Menteri Islam Hadhari

MSO

Yang saya kesal ialah yang melaung itu bukan pemimpin Melayu? Manakala yang menurutinya pula anak-anak orang Melayu. Laungan itu menjelaskan orang Melayu begitu setia dan sayang kepada pemimpin mereka tidak kira apa warna mereka.

SEPERTI selalu anak-anak saya, begitu masuk ke rumah terus buka tv. Sudah jadi tabiat yang sukar untuk dibetulkan. Belum apa-apa, tvlah yang dihadapkan. Jam 9.00 malam tadi, (18 Ogos) sesampai dari Kuantan, Pahang kerana menghadiri majlis perkahwinan anak buah, anak bongsu saya terus membuka tv. Entah apa yang hendak ditenguknya?

Lepas satu chenal, satu chenal di tekan. Selalunya dia akan cari chenal kartun yang disukainya. Tekan punya tekan, tertekan saluran Astro Ria. Di kaca tv tersembur seorang perempuan putih melepak sedang berucap. Bahagian perut perempuan itu buncit – berbadan dua. Baru mata hendak memerhati lanjut ke arahnya, dia menamatkan ucapannya dengan memberi salam, assalamualaikum warahmatulahi wabrakatuh!

Perempuan itu ialah Nori Abdullah, anak Perdana Menteri yang juga isteri pertama Khairy Jamaluddin. Dia berucap selaku Pengerusi Yayasan Penyayang, yang menggantikan arwah ibunya Hendon. Rupanya di chenal itu sedang disiarkan secara langsung konsert “Warna-Warna Gegar-U” dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Mata jadi tertumpu kepada acara berkenaan. Anak bongsu saya terlepas peluang untuk tengok kartun kegemarannya.

“Biarkan, ayah nak tenguk,” kata saya kepadanya melarang daripada menukar chenal tv itu.

“Gemuknya...!” terpantul kata-kata itu dari mulut saya sambil menatap wajah Nori yang ketika itu sedang berjalan menuruni pentas. Kandungan nampak sudah sarat benar, menanti hari saja untuk melahir.

“Dia mengandung!” celah isteri saya yang juga turut melihat wajah Nori. Perempuan sama perempuan mudah memahami akan pembawaan diri keperempuanan.

“Mengandung? Oh.. patutlah perutnya buncit,” balas saya baru mengerti. Hati tiba-tiba rasa lega apabila mengetahui anak perempuan kesayangan Perdana Menteri itu mengandung. Ternyata Khairy benar-benar jantan, bisik hati kecil saya lagi. Sebelum ini saya sudah beberapa kali mendengar cerita liar, yang Nori tidak akan mengandung. Kenapa? Tahniah Bro..

Sungguh menarik

Lenguh mulut saya berdebat dengan seorang manusia di sebuah Starback mengenai Nori beberapa bulan lalu. Lupa macam mana terbit cerita fasal Nori hari itu. Tetapi topik mengenai Nori hari itu sungguh menarik sekali.

Orang yang bertubuh gempar dan mulut luas itu sungguh-sungguh mengatakan Nori tidak akan mengandung. Bila saya tanya kenapa, dia tetap mengatakan, dia tidak akan mengandung, tenguklah nanti.

Terfikir juga ketika itu, barang kali si Nori atau Khairy ini mandul tak?

“Sebabnya?” tekan saya lagi benar-benar ingin penjelasan berhubung dakwaanya itu.

“Takkan you tidak tahu. Sepatut penulis macam you tahu akan sebab-sebabnya,” balas lelaki itu tetap enggan menjelaskan sebab musababnya dan membiarkan saya tergaru-garu kepala sendiri.

Selepas berbual dengan lelaki itu fasal Nori, cerita-cerita liar mengenai Nori dan Khairy sebelum ini turut meliar semula dalam kepala. Tetapi saya cepat-cepat memadamnya dan menganggap semua itu fitnah semata-mata untuk memburukkan Nori dan keluarganya.

Selepas Nori selesai berucap tampil Mustapa Mohamad, Menteri Pengajian Tinggi. Bukan main lagi segak dan bergaya Mustapa malam tadi. Selama ini itulah pertama kali saya mendengar dan melihat Mustapa berucap tanpa menggunakan teks. Walaupun ringkas tetapi ia padat dan menggodakan.

Tebetik di hati kalau itulah penampilan Mustapa memang layak kalau beliau dilantik menjadi MB Kelantan kalau BN menang dalam pilihan raya umum yang dulu.

Tetapi Umno Kelantan tidak nampak kehebatan tokoh keturunan Tok Bachok ini. Umno Kelantan silap sakan kerana memfitnah Mustapa sehingakan dia tidak dilanjutkan untuk menerajui Umno Kelantan. Hairan juga macam mana Abdullah boleh termakan dengan hasutan dan fitnah ke atas Mustapa itu. Paling pelik dan menghairankan lagi Mustapa diganti pula dengan Annuar bin Musa, yang mana kalau mengikut adatnya Annuar perlu digantikan dengan Mustapa!

Kira-kira 10 minit Mustapa berucap, tibalah pula giliran Koh Tsu Koon, (foto) Ketua Menteri Pulang Pinang untuk berucap. Mulanya saya tercari-cari apakah relevannya KM Pulau Pinang itu berucap di masjlis itu. Tidak ada kena mengena? Lepas teringat majlis itu diadakan di USM, negeri Koh Tsu Koon, baru saya sedar kenapa beliau perlu berucap.

Bahasa Melayunya fasih sekali. Lebih fasih daripada Rais Yatim! Mungkin wakil rakyat seperti inilah yang dikehendaki oleh Rais Yatim. Bukan itu saja, Koh Tsu Koon ini pandai pula berintraksi dengan para hadirin yang terdiri daripada mahasiswa.

Bukan main lagi para mahasiswa memberi tepukan dan sorakan kepada ucapan Ketua Menteri itu. Bersedia pula bertempik dan menjerit mengikut apa yang dilaung oleh Koh Tsu Koon.

Melihat itu rasa teralat di hati saya. Saya percaya sebahagian daripada kira-kira 5,000 mahasiswa yang hadir malam tadi datangnya dari kampung dan desa di seluruh pelusuk negara. Melihat kepada wajah mereka itu, ramainya yang datang dari Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Jadi terkilan

Rasanya rata-rata mereka anak petani, nelayan dan buruh, termasuk pengayuh beca dan penjuluk atau penaik buah kelapa (pakai beruk). Apabila mereka bersemangat dan bersungguh melaungkan “Malaysia Boleh” dan “Merdeka”, menuruti laungan Koh Tsu Koon, saya sungguh jadi terkilan dan sedikit kesal.

Yang saya kesal ialah yang melaung itu bukan pemimpin Melayu? Manakala yang menurutinya pula anak-anak orang Melayu. Laungan itu menjelaskan orang Melayu begitu setia dan sayang kepada pemimpin mereka tidak kira apa warna mereka. Baguslah, itulah generasi merdeka yang kita mahu mempunyai semangat intergrasi yang cukup tinggi.

Tetapi apa yang ingin saya tahu ialah, apakah keadaan sama berlaku kalau seorang pemimpin Melayu berucap pada majlis yang didominasikan oleh mahasiswa China atau bangsa lain? Apakah mahasiswa akan bertindak seperti mahasiswa Melayu itu bersorak dan memberi tepukan gemuruh kepada pemimpin Melayu seperti mana mahasiswa di USM itu berikan kepada Koh Tsu Koon?

Mahu rasanya diadakan satu majlis di Universiti Tun Razak (dulu TAR Kolej) ataupun di Limkokwing dan panggil pemimpin Melayu berucap di majlis itu. Kita mahu tenguk apakah mahasiswa bukan Melayu itu akan bertepuk dan menyokong dengan penuh bersemangat terhadap pemimpin Melayu berkenaan.

Mahu benar saya mengetahuinya. Apakah perpaduan dan semangat seperti itu hanya wujud di kalangan mahasiswa Melayu saja? Dan mengapakah pemimpin bukan Melayu tidak mengadakan majlis seumpama itu dan panggil pemimpin Melayu seperti Hishamuddin atau Khairy Jamaluddin atau orang berbaju petak merah untuk berucap.

Akhirnya giliran Abdullah Ahmad Badawi mengambil pentas dan menyampaikan ucapan. Ucapannya seperti di Melaka pada majlis pelancaran Kemerdekaan malam semalam, Abdullah menjerit dan melaung-laung kalimah keramat “merdeka”. Bukan main lagi bersemangat dan bertenaga Perdana Menteri kita melaungkan merdeka dengan isterinya berdiri di samping.

Mungkin kalau isterinya lebih muda daripada Jeanne, laungannya juga mungkin makin kuat dan dan lebih bertenaga lagi.

Sebaik Abdullah habis berucap dan melaungkan merdeka dan pakai gelang getah perpaduan di legan (macak budak rock) dan anak saya sudah pun tidur, saya menekan chenal lain. Teringat siaran langsung Tilawah membaca al-Quran di RTM 1. Sewaktu menukarnya majlis berhenti rihat. Masa rihat itu diisi dengan bacaan qasidah.

Mendayu-dayu saya mendengar bacaan kasidah ataupun berzanji itu. Mereka memuji kebesaran Allah dan keagungan Muhammad s.a.w. Sambil menghayati kasidah itu fikiran saya terleret kepada siran langsung di Astro Ria sekejap tadi. Ternampak-nampak batang tubuh Abdullah Badawi, yang pakai sedondong dengan isterinya Jeanne, dan Koh Tsu Koon yang sedang menjerit melaungkan merdeka... merdeka... merdeka... kemudian sama-sama menonton konsert Warna-warna Gegar-U!

Perdana Menteri Islam Hadhari tidak mengikuti siaran langsung tilawah membaca al-Quran! [wm.1.45 19/8/08]

No comments:

Post a Comment