Mencari Makna di Sebalik Kata-kata Seorang Tokoh
MSO
BARU-BARU ini tiba-tiba sahaja seorang pemimpin kanan parti Islam di Kelantan menyuarakan dia bersedia untuk bertanding di mana saja. Antara kerusi yang disebutkan ialah Putrajaya dan juga kerusi di mana menjadi kampung halaman saya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. (Jangan lawan saya sudahlah..) Dia juga dipetik sebagai berkata bersedia untuk bertanding di Kepala Batas menentang Abdullah Ahmad Badawi. Hebat!
Sekali dengar kesediaan dan kesanggupan itu sebagai suatu gimik politik sahaja. Ia juga sekaligus sebagai gurau untuk menunjukkan kehebatan tokoh berkenaan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada tokoh penganjak paradigma parti Islam ini. Tokoh seperti beliau yang tidak tahu memilih kawasan sebegitulah tokoh sengoti (jati).
Seorang pejuang sebenar tidak akan memikirkan keselamatan diri sendiri. Dia akan meletakkan kepentingan perjuangan lebih besar daripada kepentingan diri dan kroni. Semisalnya kalau ada sesuatu yang hendak diberikan kepada rakyat, dia akan mengutamakan rakyat dulu. Dia akan mengorbankan keinginannya dan akan mengutamakan keperluan rakyat.
Tapak perjuangan tidak kira di mana. Berjuang dalam parti Islam kemenangannya bukan kerusi dan kuasa, tetapi dapat menyebarkan risalah Allah. Selama ini pun parti Islam itu tidak pernah menang di seluruh Malaysia, namun risalah Allah tetap juga tersebar di tangannya. Sebaliknya kalau perjuangan itu akhirnya menatijahkan kuasa ia lebih bermakna dan bererti.
Sewajarnya mereka yang hendak bertanding dalam pilihan raya akan datang mengambil iktibar daripada tokoh berkenaan. Jangan hanya cari kawasan selamat, tetapi harus juga menerobos ke kawasan kebal musuh. Kesediaan tokoh itu untuk beradu tenaga dengan Perdana Menteri menunjukkan dia adalah pejuang yang tidak memilih lawan!
Begitu pun ada yang bimbang dengan kenyataan tokoh berkenaan. Setengahnya merasakan ia hanya guruan sahaja.
Masakan tokoh berkenaan sedia keluar dari tanah tumpah darahnya, kerana beliau dilihat berpotensi untuk menerajui Kelantan di masa akan datang. Kerja dan politiking yang dilakukannya juga selama ini tidak sedikit bagi meletakkan beliau atas ‘cagak’ kekuasan dalam partinya dewasa ini.
Tangkas
Rata-rata mata pemerhati politik dari luar Kelantan melihat beliau paling berpotensi, berbakat dan anggun. Politic gamenya hebat, halus dan tangkas. Kalau umpama pesilat dialah pesilat yang menjatuhkan lawannya bukan menerusi langkah licit silatnya tetapi dengan jampi serapah sahaja. Di sinilah kehebatannya.
Dia juga seorang yang pandai membina imej dirinya. Hasil pembinaan imej itu menerusi media massa kini imejnya cukup tinggi sekali. Dia kelihatan tidak ada apa-apa masalah dan kecacatan, mulus! Kedudukan dan kekuasaanya juga begitu tinggi dan sasa melebihi kehebatan dan kesasaan seekor jamnapari jantan dari Kaligeseng, Yogyakarta.
Demikian panorama luaran tokoh ini. Dan ia diyakini akan mengambil kekuasaan Kelantan daripada pemerintah yang ada kini. Jadi apabila tiba-tiba beliau bersuara untuk bertanding di luar, ia boleh menyebabkan orang yang menyangkutkan harapan dan menjaga perut dengannya merasa bimbang. Kenyataan itu lalu diselami dan dicari apakah hambatan di sebaliknya.
Dalam masa sama para pengutip syiling (dinar) dan pemungut tol peribadi daripadanya juga akan turut merasa cemas. Mereka yang mengharapkan baksis daripadanya ‘sama dua’, (dua tiga puluh sen) tentu tidak senang dengan langkah itu.
Kalau tokoh itu benar mengambil keputusan itu, ia boleh menggelapkan bulan kehidupan para pembodek dan pembibit beg perjuangan tokoh berkenaan.
Mereka yang selama ini hidup seperti beruk penaik kelapa – bekerja dengannya, di mana akan diupah setempurung air kelapa tua setelah turun tentu akan resah dan gelisah kalau kenyataan tokoh berkenaan benar-benar menjadi kenyataan.
Justeru mereka mendoakan ianya sebagai gimik dan gurauan sahaja.
Tetapi soalnya kenapa tokoh berkenaan sampai menyuarakan keinginan yang luar biasa itu? Apakah ada sebab-sebab terdesak maka beliau mengemukakan cadangan itu? Tentu ada sesuatu maka beliau menyuarakan rasa hatinya itu. Mustahil beliau hanya bergurau atau saja-saja bercakap demikian bagi menggambarkan kehebatan dan keberaniannya. Atapun beliau berbuat begitu untuk menunjukkan bahawa dia sudah sampai ke level setinggi Perdana Menteri?
Harapan
Sebenarnya di samping semua orang meletakkan harapan tinggi kepada tokoh ini untuk menerajui Kelantan, tetapi ada sedikit masalah yang terselit dalam kerjaya politiknya khas di Kelantan. Rupanya di Kelantan tidak semua beranggapan dan merasai seperti mana yang disuluh oleh orang di luar Kelantan.
Dalam rata-rata rakyat ghairah menunggu dia naik rupanya di kalangan parti sendiri tidak menyokong sepenuhnya. Tidak semua 14 kawasan partinya di Kelantan berpihak kepadanya. Begitu juga dengan anggota Exco, tidak semua lapan Exco menyokong dan berkerjasama dengannya.
Paling mengejutkan lagi di kawasannya sendiri juga tidak bulat menyokong atau bersamanya. Hakikat ini boleh dibayangkan, kerusi yang dimenanginya kini bukan berada di dalam kawasannya. Ketiga-tiga kerusi yang berada dalam kawasannya tidak bersedia memberi laluan kepadanya. Sekiranya beliau seorang yang disenangi, dihormati dan dimuliakan, beliau akan diserahkan kerusi dan bukannya terpaksa meracau-racau ke sana ke sini untuk mendapat kerusi seperti mana pilihan raya umum 2004 lalu. Inilah ukuran bukti bagaimana sang tokoh ini ada masalah dalam daerah politiknya sendiri.
Hal ini perlu diberesi oleh tokoh ini. Mungkin juga menyedari bahawa beliau dipulau oleh kawasannya sendiri menyebabkan beliau mula sedar dirinya siapa dan mencari kerusi yang jauh dari kampung halamannya.
Daripada apa yang diketahui dan diberi tahu, apa yang menyebabkan ada pihak yang kurang senang dengan tokoh ini ialah perwatakan dan pembawaan dirinya. Sikapnya yang begitu laju dalam mengemuka dan melaksanakan ideanya untuk rakyat antara puncanya. Setengahnya beliau dilihat mengambil alih kuasa atau menganggui tugasan Exco lain.
Ini menyebabkan Exco lain merasakan mereka tidak dihargai ataupun dipandang rendah oleh tokoh ini. Rasa marah dan kurang senang ini tidak dizahirkan tetapi dipendam dalam hati. Sebagai simboliknya ada Exco yang langsung tidak memberi kerjasama dengan beliau ataupun tidak datang ke pejabat kerana ia terletak bersebelahan dengan tokoh berkenaan.
Bagaimana pun di pihak rakyat memang sukakannya. Rakyat dapat menilai kecekapanya dalam berfikir dan mencari wang untuk negeri. Program atau projek kilat yang dibuatnya benar-benar mempesonakan rakyat Kelantan, walaupun setengahnya tidak lebih daripada projek plastik saja yang bersifat memperdayakan rakyat menjelang pilihan raya.
Tokoh ini tidak ubah sebuah lukisan cat minyak atas kanvas. Ia kelihatan indah dan berseri kala dilihat dari jarak 20 kaki atau 40 kaki. Tetapi bila dijenguk dari dekat akan nampaknya tompok-tompok dan kerikil di permukaaannya. Ia bukan saja buruk dan huduh tetapi ada kala cukup memualkan.
Dan mungkin bagi mereka sudah mengenali dan bercinta dengannya akan ketahuilah kecurangan serta ketidaksempurnaan diri tokoh ini di atas ranjang 'persahabatan'. Apapun masa dan waktu masih ada. Banyak orang mengharap agar beliau akan berusaha membaiki perwatakan, sikap dan sifat dirinya yang sukar untuk difahami. Beliau perlu mengorbankan banyak prinsip dan polisi dirinya yang bersifat individualistik kalau beliau benar-benar mahu jadi ketua.
Kalau tokoh ini berdegil, saya yakin beliau akan berhadapan dengan masalah suatu hari nanti. Mungkin disebabkan masalah serta kelemahan inilah juga menyebabkan peneraju Kelantan hari ini tidak pernah menyebut secara pasti bahawa dia adalah bakal pengganti sang peneraju itu di masa akan datang. [kl 04/09/07]
mso, tahukah anda bahawa PAS pengkalan chepa dalam mesyuarat agung tahunannya baru-baru ini telah meluluskan usul tidak membenarkan mana-mana pemimpin PAS yang bukan berasal dari kawasan itu (termasuk dari kubang kerian!) untuk diletakkan sebagai calon di mana-mana kawasan dewan undangan negeri di Pengkalan Chepa (Kijang, Panchor dan Cempaka)atau sebagai ahli parlimennya. Ini bermakna ADUN Kijang sekarang terpaksa mencari kawasan baru untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, jadi sebab itu beliau sibuk mengumumkan nak bertanding di luar kelantan. Tapi bacaan saya ialah beliau berkata begitu kerana beliau merajuk dan mahu dipujuk. Ada juga kawan saya yang berkata kecaman ke atas ADUN Demit yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dalam Sunday Star Ahad lalu adalah usaha awal bagi membolehkan ADUN Kijang bertanding di Demit nanti. Wallahua'lam.
ReplyDeleteSyabas MSO! Saudaralah pejuang Islam dan Melayu sebenar. Pendedahan bersiri saudara tentang isu jamnapari ternyata memberi kesan amat besar kepada PAS sehingga PAS menggeletar lutut dan terpaksa memanggil secara tergempar seluruh jentera pimpinan peringkat negeri dan kawasan berkumpul di PUTIK Khamis 30 Ogos lalu untuk menjelaskan isu ini di samping isu BPR menyiasat AKSB dan tiga ADUN PAS di Macang. Teruskan usaha murni saudara walaupun orang berbaju petak merah ini menganggap saudara penulis picisan murahan. Dia sebenarnya tidak dapat menjawab persoalan yang saudara bangkitkan, untuk menutupnya dia berkata hanya menjatuhkan martabatnya yang kononnya tinggi untuk menjawab dakwaan saudara. Dia juga kata PAS perlu saman TV3 kerana menuduh 3 ADUN PAS rasuah untuk menjaga maruah ADUN2 terbabit, tetapi di mana maruah dia sendiri kerana tidak berani menyaman pihak terbabit dalam isu AKSB dan jamnapari? Dengar kata dia sendiri pun ada tuduhan rasuah yang telah diadu kepada BPR, harap saudara dapat selidik juga. Tahniah dari sahabatmu dalam PAS.
ReplyDelete