Tuesday, September 18, 2007

Ulasan Berita

Terima Kenyataan Takiyuddin Sebagai Suara Kerajaan Kelantan

MSO

KENYATAAN Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan Kerajaan Kelantan bersedia berkerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Koridor Pantai Timur walaupun Kerajaan tidak pernah diajak berunding hendaknya bukan kenyataan peribadi beliau. Kenyataan itu biarlah ianya menggambarkan kenyataan rasmi Kerajaan Negeri Kelantan.

Kesediaan itu biarlah bukan kesediaan Takiyuddin sebagai ahli politik, tetapi sebagai suara dan nurani Kerajaan Kelantan.

Satu hakikat yang perlu diterima untuk memaju dan mensejahterakan rakyat Kelantan ia bukan menjadi hak satu-satu pihak saja. Ia bukan saja hak mutlak baik oleh Umno ataupun Pas semata-mata. Ia adalah kewajiban kedua-dua pihak dan pihak-pihak lain juga.

Kebetulan Pas menjadi Kerajaan maka Pas diberikan peluang mengatur dan menguruskan negeri Kelantan. Dan Umno yang menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah membantu memberi idea dan juga sokongan moral serta kritikan konstruktif.

Disebabkan Umno di peringkat Pusat menjadi Kerajaan, maka eloklah kalau Umno Kelantan berusaha menyakinkan Kerajaan Umno (BN) agar turut sama membangunkan Kelantan sejajar dengan negeri-negeri lain. Umno Kelantan boleh memainkan peranan itu dengan jujur dan ikhlas.

Umno tidak perlu menanti mereka dapat menguasai Kelantan baru hendak membawa pembangunan ke Kelantan. Keikhlasan Umno dalam membela nasib rakyat akan terserlah kalau mereka berusaha membangunkan Kelantan meskipun tanpa kuasa seperti hari ini.

Amalan dan stail politik menindas sebelum ini perlulah dihentikan. Pemimpin Umno perlu kena ketepikan sentimen dan juga rasa marah kepada Pas, sebaliknya lebih meletakkan kepentingan rakyat lebih diutamakan.

Kalaupun sebelum ini ada suara-suara nyaring di kalangan sesetengah pemimpin Pas Kelantan yang mengkritik kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi namun realitinya mereka tidak boleh menolak akan prerogetif dan hak yang ada kepada Abdullah selaku Perdana Menteri dalam memajukan Kelantan.

Kerjasama

Abdullah berhak untuk sama-sama membangunkan Kelantan, cuma dalam konteks hari ini beliau memerlukan kerjasama Kerajaan Kelantan misalnya dalam soal mendapatkan kelulusan tanah dan sebagainya. Sekiranya kenyataan Takiyuddin itu menjadi kenyataan, sudah pasti ia melegakan Abdullah sendiri.

Kuasa dan tanggungjawab Abdullah hendaklah diterima sebaik mungkin. Sudah sampai masanya kalau Pas dan Umno (di Kelantan) bersikap profesional dan liberal dalam perjuangan membela rakyat dan menjaga kedaulatan negeri dan agama.

Politik tuduh menuduh, balun membalun di antara satu sama lain lebih merugikan daripada menguntungkan rakyat Kelantan dan bangsa Melayu. Sebenarnya juga Pas dan Umno (di Kelantan) tidak perlu mendabik dada akulah yang benar dan betul kerana jika diukur dan dinilai kepada perangai beberapa kerat pemimpin Pas mereka salin tidak tumpah dengan Umno sahaja.

Jika boleh diambilkan contoh politik wang yang sangat dibencikan oleh semua orang itu, dan selama ini ia terpandang kepada Umno saja, namun fenomena itu juga kini sudah mula tumbuh yang dicambahkan oleh pemimpin tertentu di dalam Pas Kelantan.

Pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir dua tahun lalu mengesahkan bahawa amalan politik wang dan rasuah pengundi berkembang dengan meluasnya yang turut sama melibatkan Pas. Walaupun ia bukan arahan Pas namun gejala ini berlaku secara terang-terangan dan dilaksanakan sendiri oleh pemimpin kanannya?

Alasan

Manakala keterlupaan atau kesengajaan Umno Kelantan tidak mengundang atau menjemput Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghadiri majlis-majlis kerajaan Persekutuan yang dihadiri Abdullah di Kelantan tidak sepatutnya dijadikan alasan dan penyebab untuk Pas terus berperang dengan parti pimpinan Abdullah itu. Anggap sahaja keadaan itu sebagai perkara remeh.

Lagipun jika dihalusi dan ditilik, memang wajar juga kalau Umno Kelantan merasa kekok untuk menjemput pemimpin Pas dalam majlis dihadiri Abdullah. Kerana tidak kurang teruk dan buruk juga sesetengah pemimpin Pas yang mengata dan mengumpat Abdullah Ahmad Badawi.

Misalnya terdapat salah seorang pemimpin telah menjadikan Abdullah sasaran utamanya dalam mengodam Umno pada ceramah-ceramah dan tulisannya. Kepada pemimpin ini seolah tidak ada secalit pun kebaikan pada diri Abdullah, sedang beliau sendiri 'berporah' dengan kekotoran yang lebih busuk daripada tahi kambing jamnapari!

Pemimpin-pemimpin seperti inilah yang bersikap sebagai kuman di sebarang nampak tetapi gajah di hadapan mata tidak kelihatan.

Kalau pun Abdullah seorang kaki tidur, hanyut dan mudah lena, namun bukan pemimpin yang berkedudukan setinggi beliau itu untuk mencaci dan mencela Abdullah. Soal-soal peribadi dan sifat semula jadi Abdullah itu (suka tertidur) cukuplah kalau ia menjadi bahan syarahan dan bahan ocehan pemimpin Pas di peringkat cawangan saja.

Berbalik kepada kenyaatan Takiyuddin tadi hendaknya ia dijadikan permulaan untuk sesetengah pemimpin Pas yang pongoh (emosi) membuat koreksi diri dan kata-katanya. Jagalah kata-kata dan sahsiah masing-masing. Pas sebagai parti Islam yang perlu mengutamakan akhlak yang mulia; tidak sombong, mudah mendekati orang hendaknya senantiasa menunjukkan sikap dan sifat demikian.

Betapa pun kita pandai dan pakar dalam bidang tertentu seperti ekonomi, menguruskan kewangan (termasuk menangguk kewangan juga) namun kalau akhlak kita buruk, hendak menghulur salam pada orang pun susah, nak jumpa terpaksa tunggu berjam-jam dan apa lagi menepis tangan orang yang hendak bersalam, ia tidak akan menjamin pemimpin begitu akan dihormati dan dimuliakan oleh rakyat.

Sekali lagi sesungguhnya apa yang ditunjukkan Takiyuddin itu adalah akhlak dan politik profesional yang wajar ditiru kerana ianya baik dan sesuai dengan sikap dan sifat sebagai pemimpin dalam sebuah parti Islam bernama Pas. [pjaya.6:40 18/09/07]

1 comment:

  1. Apakah hobi mengumpul pelbagai jenis kenderaan, seperti Toyota Harrier dengan plet TAK 11 atau Honda Gold Wing dengan plet WDS 55 adalah "akhlak dan politik profesional yang wajar ditiru kerana ianya baik dan sesuai dengan sikap dan sifat sebagai pemimpin dalam sebuah parti Islam bernama PAS"? Begitu juga dengan hobi mengumpul pelbagai jenis isteri (setakat ini baru tiga sahaja) yang kini mula dicontohi ADUN muda dari Salor, Meranti, malah Kelaboran pun? Begitupun, beristeri ramai tidak salah, yang salahnya ialah tanggungjawab sebagai pemimpin parti dan kerajaan atau sebagai wakil rakyat terabai kerana beristeri ramai. Apa khabar projek lot kedai di Wakaf Che Yeh? Apa khabar juga Abang Jak?

    ReplyDelete