Monday, October 1, 2007

Jawab Pak Habib

Ketam Walaupun Berkaki Lapan Jalannya Tetap Mereng

MSO

MENJADI rutin sebelum dan selepas Subuh saya akan menerawang ke alam maya menerusi internet. Membaca berita dan bahan-bahan yang dipostingkan oleh rakan-rakan bloger. Dari satu laman ke satu laman dari satu blog ke satu blog. Biasanya saya akan berhenti selepas jam 8:00 apabila surat khbar dilemparkan Cina ke dalam pagar rumah.


Tadi tidak semena-mena terbuka blog, Norzah Kepol. Tenguk di sidebar ada gambar saya, dan gambar Syed Hussein Alattas (Pak Habib). Tiba-tiba tangan menjadi ringan untuk klik di tempat gambar Pak Habib!

Keinginan itu sebenarnya didesak apabila mengingatkan kata-kata Kamal Amir Kamal Hijar malam kelmarin ketika minum tea tarik di Taman Seri Gombak. “Oh bukan main lagi Pak Habib puji Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sampai makan ubi kayu,” kira-kira begitulah kata Kamal dengan maknanya tersendiri tanpa saya mempedulikan sangat. Nada dan mimik muka Kamal Amir seolah dia merasa anih dengan sikap Pak Habib itu. Sebenarnya saya tidak gemar kalau ada orang cuba memburuk dan mempertikaikan Pak Habib.

Saya tidak jawab atau ulas sebab saya cukup kenal akan sikap Pak Habib sebagai penulis yang sangat mengamalkan etika freedom of the press.

Cerita khinzir

Bila blognya dibuka, terbacalah satu tulisannya di bawah tajuk : Antara Yang benar dan Separuh Benar Stop Press. Tajuk itu mengusik naluri untuk membacanya. Tajuk tidak akan memberi gambaran dan kesimpulan tepat apa yang terkandung di dalamnya. Kadang kala tajuk mengenai hal lembu tetapi di dalamnya cerita khinzir, begitulah selalu berlaku dalam tulisan atau buku Pak Habib! Jadi suka tidak suka kena baca.

Di bawah tajuk itu tertera gambar Pak Habib sedang menghadapi juadah bersama Perdana Menteri, Abdulah Ahmad Badawi. Kurang pasti pula siapa di sebelah kanannya! Gambar itu saya percaya diambil pada majlis berbuka puasa Media dengan PM.

Cerita dalam tulisan itu bertabur dan bukan hal PM saja. Gambar yang di insertkan itu tidak ada kena mengena dengan keseluruhan tulisan itu. Foto itu cuma nak buktikan (tunjuk) yang Pak Habib sedang makan semeja dengan Perdana Menteri. Jarang penulis berpeluang seperti itu!

Saya tidak akan memberi reaksi kepada tulisan Pak Habib ini, kalau di dalamnya tidak ada nama saya dan hal-hal bersangkutan dengan saya. Nama saya sering disebut oleh Pak Habib di dalam buku-bukunya. Ada tujuannya untuk menguatkan hujahnya dan ada pula dijadikan sandaran sehinggakan boleh menjejaksan nama baik saya.

Misalnya pernah di dalam sebuah bukunya (1980-an) disebut dan dikaitkan nama saya dengan sebuah institusi agama yang menyebabkan institusi berkenaan memandang serong dan kakitangannya marah kepada saya. Walahal apa yang dicatat oleh Pak Habib itu tidak pernah berlaku.

Begitu juga Pak Habib acap menuduh sayalah yang memberi nama Mahafiraun kepada Mahathir Mohamad. Beliau tidak teliti. Kalau beliau teliti dan cerah mata, Mahafiraun itu diakui sendiri oleh Mahathir. Apa yang berlaku saya hanya mengulangi apa yang Mahathir sendiri sebut.

Begitulah kita ini kerana kurang berani kita sering menggunakan kayu atau batu untuk memukul ular bagi melindungi diri.

Sebelum ini saya tidak kisah walaupun banyak kali Pak Habib menyebut dan eksploitasikan nama saya. Sebab saya tahu, ikan keli yang tahu menggunakan sengatnya, dan ikan sepat yang tidak tahu menggunakan janggutnya!

Kecenderungan

Kerana tulisan di dalam blognya itu kali ini nampak kecederungan untuk menghentam saya (bukan kritik) maka saya mengambil kesempatan pada hari ke 19 Ramadan ini untuk berpolimek, menjawab beberapa fakta yang beliau timbulkan dalam buku bekenaan dan boleh mengeliru dan menjejaskan saya sebagai penulis.

Bila menjawab tentulah, hal-hal yang remeh juga akan turut dijawab sama. Kalau hendakkan madu lebah pastikan sedikit sebanyak akan terkena sengatnya! Kalau sudah bertumbuk, kalau tidak patah, pastilah ada yang luka dan bengkaknya.

Pertama, mengenai saya tidak duduk di meja media massa kerana saya dijemput khas oleh Khalid Nordin dan kerana saya ada surat khabar sendiri. Tuduhan itu tidak betul. Apa yang saya ucapkan malam itu sebenarnya gurauan saja, apabila Pak Habib tanya kenapa tidak duduk di meja itu. Tetapi sayang Pak Habib tidak memahami erti dan bahasa gurau. Biasalah bila manusia dalam tension ia akan membuat tafsiran yang salah. Tidak ada maksud saya nak membesarkan diri dan meminggirkan diri daripada wartawan, lagipun di meja itu sudah penuh.

Yang jemput saya bukan Khalid Nordin, tetapi Rosli Mat Hassan, Pengerusi YPM. Jadi bila saya tidak dijemput sebagai wartawan, saya tidak akan duduk di meja wartawan. Macam Pak Habib juga kalau dijemput atas nama jawatankuasa Penerangan Umno, tentu Pak Habib akan duduk di meja Ketua Penerangan Umno!

Jadi telahan dan (gurauan yang boleh menjejaskan itu) tidak betul. Lain kali cubalah menulis dengan berlandaskan sifat investigatif sikit. Jangan pakai mudah dan mengira orang tidak ambil kisah dan segala sampah sarap perlu dimasukan dalam bakul bernama penulisan.

Selalunya kita akan dihadap ke mahkamah bukan kerana fakta yang besar, tetapi kerana kekhilafan yang kecil. Dan mahkamah pula melepaskan orang dituduh bukan kerana fakta tetapi kerana teknik. Kerana silap titik (.) sebutir pun kita boleh kena. Dan selalunya juga mata kita menjadi terang sehingga nampak kuman di sebarang tetapi tidak nampak gajah di depan mata.

Kedua, mengenai cerita Ahmad Zahid Hamidi yang pukul duda yang mengorat (melarikan) anaknya. Bila Pak Habib sebut fasal Siasah maka ertinya sebut sayalah tu. Dalam hal ini saya percaya Pak Habib tidak mengetahui kesemua cerita dan hanya mengetahui dari satu pihak saja. Kalau beliau menuduh saya (Siasah) tidak mendapat berita sepenuhnya berhubung cerita Zahid itu saya kira Pak Habib juga macam saya.

Tak elok kalau ketam hendak mengajar ketam!

Kebodohan manusia itu akan menyempurnakan manusia. Kelalaian manusia itu menyebabkan akhirnya manusia itu ingat dan mengenal. Dan bagaimana gerak dan lagaknya maka begitulah rupa diri manusia. Bagaimana tahi begitulah ususnya. Kata orang ular ekor itu hampir serupa dengan kepalanya.

Ada beberapa tuduhan dan maklumat mengenai kejadian melibatkan Zahid itu tidak diketahui sejelasnya oleh Pak Habib. Beliau tidak boleh mengira Zahid akan jujur dan sanggup menunjukkan kemaluan kepadanya. Jangan harap kejujuran dan keikhlasan daripada orang lain kerana kita sendiri kadang-kadang tidak jujur dan ikhlas pada diri sendiri.

Bila kita sudah terlalu rapat apa lagi boleh masuk ke dapur rumah seseorang, kita jangan buat-buat tidak nampak kesalahan dan ketidaksempurnaannya lagi. Umpama diri kita sendiri, sebijak mana kita, kita tidak tahu membaca berapa biji tahi lalat di tubuh kita tanpa cermin.
Maknanya orang lain perlu mencermin dan menjelaskan kepada kita.

Menggemparkan

Pak Habib baik dengan Zahid. Saya juga bukan tidak kenal dengan timbalan menteri penerangan itu, kenal. Saya rasa saya juga berhak untuk mengatakan saya baik, bahkan ada cerita menggemparkan mengenai Zahid yang saya simpan sampai kini. Cerita ini menggambarkan akan baiknya saya dengan Zahid.

Namun saya jenis orang yang bukan boleh buat baik, kerana saya akan ‘makan’ orang yang baik kalau dia sudah tidak baik. Saya tidak boleh kompromi dengan kejahatan tidak kira sapa. Kebenaran tidak boleh ditukar dengan ringgit! Dan saya tidak pernah bergantung nyawa dengan orang politik.

Kalau saya boleh ‘bergaduh’ dengan Husam Musa, orang yang saya kira paling saya hormati dan baik dengannya di era tahun 2000 ini, apalah dengan orang seperti Zahid.

Tetapi kerana orang baik sudah tidak baik lagi, maka kita kena bersikap seperti mana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang dipetik Pak Habib itu;

"Katakan yang benar sekalipun pahit." Dan "Seandainya puteri kesayanganku Fatimah Az-Zaharah didapati salah mencuri akan ku potong tangannya."


Pada saya dalam kes duda bernama Amir Bazli ini, Zahid sudah melakukan kesalahan. Benar manusia ada amarah tidak kira siapa. Tetapi persoalan apakan orang seperti Zahid harus menyelesaikan kes itu dengan cara itu, tumbuk sampai penyek muka? Di manakah kesopanan dan kemuliaan Zahid Putra Kraton seperti kata Pak Habib itu dalam melayani rakyat marhaen?
Putra Kraton tidak bertindak begitu dia akan berhemah dan senantiasa menghormati hak orang lain.

Tentu semasa berjumpa dengan Zahid, Zahid akan mencerita kebaikannya saja dan memburukkan Amir Bazli. Apakah Pak Habib sebagai penulis hebat dan senantiasa bersikap adil sudah berusaha untuk berjumpa dengan Amir Bazli bagi mengetahui cerita sebenarnya. Hakim yang menerima bukti sebelah pihak tidak ubah seperti hakim beruk!

Tentang menuduh laporan Siasah separuh masak (half-true) dan menimbulkan fitnah, saya rasa saya sudah cukup adil dalam membuat laporan (sebenarnya bukan saya lapor, tapi kerana Siasah saya punya saya bertanggungjawab). Jadi tidak timbul saya hendak memfitnahkan Raden Zahid.

Kalau saya ditempat Pak Habib saya akan tulis lebih daripada itu. Saya akan menyiarkan gambar-gambar yang boleh menjejaskan Zahid dan sangat buruk etikanya. Namun kerana saya hanya berkawan dan tidak pernah terpengaruh dengan gaya penulisan, pemikiran dan budaya Pak Habib saya tidak tergamak lakukan.

Untuk pengetahuan Pak Habib tiga bulan sebelum isu itu meletus, saya sudah pun cuba menghubungi Zahid menerusi beberapa pihak untuk mengetahui kedudukan sebenarnya dan menyelesaikan cara baik. Ini termasuk juga manusia bernama Sheikh Hussein itu. Namun semua usaha itu gagal dan Zahid telah mendabit dada tidak kisah apa yang akan berlaku. Seolah isu itu tidak akan menjejaskannya.

Alih-alih selepas isu itu meletup barulah Sheikh Hussein beriya untuk temukan saya dengan Zahid bagi mendapat penjelasan. Untuk apa? Ia sudah terlewat! Tidak ada gunanya penjelasan dan pertemuan selepas isu itu terbongkar. Nampak sangat cara Sheikh Hussein hendak temukan saya itu menunjukkan Zahid dalam keadaan terdesak dan beliausendiri hendak berbudi dengan Zahid.

Ia rekaan

Cerita Zahid kononnya Amir Bazli menggunakan ilmu hitam dan sebagainya ia adalah tahyul. Saya percaya ia rekaan saja. Dan kalau ada, dan Zahid serta Pak habib memprcayaianya ia sesautu yang anih. Apakah benda tahyul, karut marut dan syirik itu masih menjadi kepercayaan orang-orang bersifat AhliLah (hakikat) seperti Pak Habib dan seorang agamawan seperti Zahid?

Seorang yang sudah sampai kemaqam “hakikat” dan “marifat” dia tidak akan mempercayai kepada mana-mana kuasa ciptaan manusia lagi. Soal-soal syirik, tahyul, kufur dan segala macam sifat mazmumah sudah tidak ada lagi pada hati mereka. Orang hakikat hanya berpegang kepada Allah semata-mata. Lahualawakuwabilahiazamim!

Bukan main lagi dalam buku-buku Pak Habib penuh dengan istilah kerohanian dan tasauf. Seolah penulis sudah masuk ke dalam ketujuh-tujuh maqam nasfu itu. Namun kalau hal-hal duniawi itu masih lagi dipercaya dan diambil kira maka kesufian Pak Habib itulah boleh diragui!

Saya sarangkan supaya adil, Pak Habib berjumpa dan berbicara sendiri dengan Amir Bazli. Dapatkan cerita darinya dan bandingkan dengan apa yang Zahid ceritakan. Kalau tidak Pak Habib juga akan bersifat seperti ketam. Kaki lapan tetapi jalan tetap mereng!

Apapun saya ucapkan terima kasih kepada Pak Habib kerana mengajar akhbar nyamuk saya (Siasah) agar bertanggungjawab dan mebuat berita yang benar.

Bagaimana pun ingin saya katakan kepada Pak Habib kaedah atau teori kewartawanan seperti mana yang disebut itu; where?, when?, why?, whom?, how? Di mana? Bila? Mengapa? Siapa? Bagaimana? – saya rasa saya juga sudah belajar dan memahaminya sedikit sebanyak!

Apapun terima kasih Pak Habib kerana mengingatkan saya. Orang tua umpama kelapa, makin tua makin bersantan, tetapi iangatlah santan kalau tidak disimpan di tempat elok ia akan basi dan hanya layak di curah ke dalam longkang saja. “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beramal dengan penuh kebenaran dan berpesan (berdakwah) dengan penuh kesabaran.” [wm.kl 7:42 01/010/07]


No comments:

Post a Comment