Saturday, November 24, 2007

Koreksi

Senda Khairy Ada Juga Benarnya!

RAMAI yang kecewa dan marah apabila mendengar komentar Khairy Jamaluddin yang mengajak rakyat Kelantan membandingkan antara Koridor Depu dengan plan Wilayah Pembanguna Ekonomi Pantai Timur (Ecer) yang dilancarkan oleh bapa mertuanya baru-baru ini.

Sudah pasti apa yang menarik perhatian Naib Ketua Pemuda Umno sehingga beliau membuat ajakan itu ialah apabila melihat papan tanda gergasi Koridor Depu yang terpasang di beberapa tempat strategik di sekitar Kota Bharu.

Khairy nampaknya menyinis dan menyindir projek penanam debu berkenaan. Katanya rakyat Kelantan boleh memilih sama ada hendak menjaga pohon debu ataupun plan Ecer yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.


Dalam soal ini saya tidak mahu duduk di belah sesiapa; baik di belah Khairy ataupun di sebelah orang yang mengilhamkan projek pohon kayu hutan berkenaan. Sebenarnya kedua projek itu, depu dan Ecer sama-sama bertujuan baik untuk membantu rakyat.

Matlamat yang sama

Kerajaan Pusat buat Ecer untuk pandu dan kembangkan ekonomi orang Pantai Timur termasuk Kelantan. Begitu juga dengan projek penanam pohon depu atau karas itu juga bertujuanan dan matlamat yang sama, membela dan memperbaiki ekonomi rakyat.

Bagi rakyat Kelantan antara depu dan Ecer sama sahaja. Keduanya projek politik dan ia perkara baru. Walaupun depu sebelum ini sudah lama wujud namun tidak dikomersilkan. Rakyat Kelantan kena berterima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana telah mengkomersilkan depu sekurang-kurang satu lagi mata pencarian rakyat Kelantan bertambah.

Pemimpin yang kreatif akan mampu mengolahkan sampah untuk menjadi wang. Dan dalam keadaan Kelantan dianaktirikan pemimpin demikian diperlukan! Masih banyak lagi ‘sampah’ dan barangan terbuang lain untuk diolah menjadi dinar di Kelantan.

Kedua projek dan plan itu masih belum membawa hasil kepada rakyat. Depu memakan masa lima hinga 10 tahun untuk matang dan memberikan hasil. Manakaa Ecer pula memakan masa 12 tahun. Dari segi jangka masa, depu lebih cepat mengeluarkan hasilnya berbanding dengan Ecer.

Cuma apabila memperkatakan soal depu ini, apa yang sedikit merujakan dan membingungkan ialah untuk apa papan tanda gergasi itu dipasang. Apakah keperluan papan tanda berkenaan ditebingkan di sekitar Kota Bharu. Apakah sebenarnya yang hendak dipamirkan?

Memanglah kita tahu ia adalah untuk propaganda politik, di mana sifatnya untuk menarik perhatian rakyat. Papan tanda itu pun dipasang menjelang pelancaran Ecer. Namun begitu biarlah kalau boleh ianya rasional dan munasabah. Tidak baik menipu rakyat dengan cakap-cakap kosong!

Kalau niatnya hendak melawan Ecer kerja itu samalah seperti gelagat kancil yang cuba bertewas dengan gajah. Gajah berak besar kancil pun nak berak besar juga. Kancil terlupa dia punyai dubur yang kecil. Hendak tak hendak terpaksalah kancil berak atas pusu ...

Seperkara lagi kenapa papan tanda itu memapangkan gambar Tok Guru Nik Aziz? Tindakan ini rasanya tidak wajar. Nampak semacam ada niat tidak baik di sebalik pemasangan gambar Tok Guru bersama pohon depu itu.

Mungkin niat orang yang mengilhamkan projek itu hendak menterjemahkan sayangnya kepada Tok Guru. Tetapi bagi saya cara itu salah sebab ia memberi kesan tidak elok kepada Tok Guru. Orang boleh beranggapan dan menyindir Tok Guru dengan papan tanda murahan itu dengan mengatakan apakah selama 17 tahun mentadbir Kelantan Nik Aziz hanya mampu membina papan tanda Koridor Depu? Lainlah kalau tujuan signboard itu untuk membodek Tok Guru dan Raja Perempuan!

Pada saya sepatutnya kalau hendak berterima kasih dan menyanjungi Tok Guru kenapa tidak pasang papan tanda Koridor Islam? Tunjukkan ciri-ciri atau signifiken Kelantan dengan pentadbiran Islam. Ataupun boleh dipasangkan madah-madah dan nasihat Tok Guru di papan-papan tanda untuk dijadikan iktibar dan panduan.

Pemerintah minyak attar?

Macam-macam orang akan tafsirkan terhadap Tok Guru dengan papan signboard korido depu itu. Apakah kerana depu itu akan menghasilkan minya wangi, maka papan tanda itu ingin mendedahkan bahawa pemerintah Tok Guru selama 17 tahun lalu adalah pemerintahan minyak attar?

Secara peribadi saya tidak setuju dengan papan tanda berkenaan. Bukan bermakna ia tidak wajar dan salah atau memedih mata merenungnya, tetapi cata persembahannya kurang tepat dan tidak profesional.

Bagi saya adalah lebih baik kalau papan tanda itu menjelaskan mengenai projek berkenaan secara sepintas lalu. Misalnya mengenai tarikh pelancarannya, berapa keluasan projek itu, berapa ramai melibatkan rakyat dan apakah manfaat yang bakal diperolehi rakyat Kelantan dengan korido pohon kayu itu.

Dengan memaparkan papan tanda kosong begitu, orang akan mengira ia lebih kurang sama saja dengan apa yang dilakukan oleh nelayan yang suka melindungi mata joran dengan cacing kemudian mereka lempar ke laut bagi mengelirukan ikan. Kalau sebelum ini pemimpin Pas menempelak orang BN yang suka memacak signboard berbunyi “Ini Satu Lagi Projek Barisan Nasional”, apalah kurangnya dengan papan tanda gergasi itu.

Sebenarnya sudah banyak projek-projek murahan dan segera diwujudkan di Kelantan sejak akhir-akhir ini. Kalau hendak bilang lengguh juga jari. Sayang kebanyakan projek berkenaan hanya gah di telinga sahaja atau indah atas kertas, sedangkan hakikatnya hidup segan mati tidak mahu, seperti projek TvPas Kelantan, Darul IT, animasi, kambing dan lain-lain.

Jadi kalau papan tanda itu tidak mahu diubah, saya cadangkan turunkan saja. Lebih afdal taruhlah gambar orang yang mengilhamkan projek berkenaan. Kenapa tidak berani untuk tanpil ke hadapan dan bertanggungjawab? Seorang yang bercita-cita hendak jadi pemimpin seharusnya tidak bersifat dan bersikap demikian, berani buat beranilah memanggungnya dan tidak mengecerkan risikonya kepada orang lain. [wm.kl 7:00 24/11/07]

No comments:

Post a Comment