Sunday, November 11, 2007

Kronologi Himpunan Rakyat

Rakyat Sahut Cabaran Abdullah Ahmad Badawi

MSO

KINI jam sudah pukul 2.45 pagi. Hajat sudah mahu melabuhkan mata, membuang penat, namun tidak berkeupayaan. Seluruh tubuh sakit dan kaki terasa pegar, lutut juga terasa longgar semacam sudah lus beberapa skeru.
Tetapi mata dan hati keras dan degil tidak mahu lelap. Di telinga semacam ada suara memanggil-manggil dan membujuk jangan tidur dulu. Datanglah ke Dataran Merdeka, datanglah ke Dataran Merdeka...! Suara itu bersahut-sahutan pula bagaikan suara halumanan yang laparkan sesuatu...

Bayangan gelombang kuning yang menjajar di jalan-jalan utama menuju Dataran Merdeka dan perkarangan Istana Negara sekejap tadi terus menabiri di birai mata. Terasa bayangan itu mara dan mara menyambar segala hadangan dan kuasa yang tegak berdiri di hadapannya. Gelombang itu menjadi semakin besar, dan semakin besar kemudian seolah-olah akan mengganas dan membakar Kuala Lumpur...

Iya untuk apa tidur dulu! Tugasan untuk agama, bangsa dan negara masih belum selesai. Perarakan dan himpunan 100,000 rakyat petang tadi masih belum usai dan muktamad. Terasa ia akan disambung pada bila-bila masa saja. Terasa seperti esok pagi akan bermula lagi satu perarakan raksasa. Saya percaya bukan saja saya, tetapi orang lain juga merasai apa yang sedang bergelora dalam jiwa saya saat ini.

Sore tadi kira-kira lebih 70,000 rakyat baik yang sempat berhimpun di hadapan Istana Negara, yang terkandas di Jalan Raja Laut, yang tersekat di Jalan Masjid Jamek, yang berselindung di belakang masjid negara, yang bercemperaian di Pasar Seni, yang terkurung di Sogo dan yang datang dari berbagai arah seperti kelkatu keluar dari lubang selepas hujan merasa puas dan bangga kepada apa yang sudah berlaku.

Tidak siapa mempercayai kepada apa yang berlaku di siang tadi. Ia bagaikan mimpi dari sebuah tidur yang panjang. Namun ia bukan mimpi tetapi sebuah hakikat dan raliti yang baru terjadi di tanah air ini.

Bahawa satu episod kebangkitan rakyat sudah berlaku. Apa yang berlaku kira-kira enam atautujuh jam tadi seperti sambungan kepada gelora rakyat semasa reformasi dahulu. Semacam sambungan kepada perarakan kabir di Kesas Highway sembilan tahun lalu. Tiba-tiba sahaja bandaraya Kuala Lumpur yang sepi dan nyaman selepas Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Mahathir Mohamad, hari ini menjadi hangat dan panas.

Rakyat yang selama ini terdodai dan merasa sejuk dengan karektor Abdullah yang berlatar belakangkan agama, hari ini bangkit meraung bagaikan harimau lapar. Mereka mulai sedar bahawa mereka tertipu dengan segala janji dan kata manis. Harapan yang mereka sangkutkan kepada pemimpin selepas Mahathir rupa-rupanya palsu belaka. Nampaknya rakyat sudah hilang sabar dan telah tampil menunaikan sumpah untuk menyahut cabaran Abdullah.


Untuk pagi ini saya tidak mahu mengulas panjang mengenai apa yang berlaku siang tadi. Cuma saya akan bentangkan jadual harian saya untuk hari yang amat bermakna ini.

Insya-Allah esok akan saya ulas dan rumuskan apa natijah dan kesan disebalik kebangkitan rakyat itu. Apakah yang seharusnya orang yang mencabar itu lakukan setelah cabarannya disahut puluhan ribuan rakyat.

Jam: 12:45 tengah hari saya turun dari rumah di hantar isteri ke setesen teksi dengan harapan dan doa semoga apa yang bakal berlaku kelak berhasil. Saya sebenarnya bimbang dengan kedatangan orang ramai. Saya kurang percaya kalau rakyat terpanggil dengan suara himpunan itu. Sepanjang perjalanan saya menghitung dan mengira-ngira kemungkinan itu.

Selepas mengambil tikit LRT di setesen Wangsa Maju bernilai RM2.10 saya menuju ke Masjid Jamek. Penumpang tidak begitu sesak. Keadaan itu membimbangkan. Hati bertanya, apakah himpunan 100,000 tidak mendapat sambutan?

Jam 1:25 sampai di setesen Masjid Jamek. Di perkarangan masjid sudah nampak orang ramai. Sekelompok Unit Amal sedang mendirikan solat. Begitu juga di kaki-kali lima orang sudah penuh. Kenderaan polis, trak, lori juga sudah berjajar di jalan. Anggota polis memenuhi segenap kaki lima dan sepanjang jalan. Jumlah mereka hampir suku daripada orang ramai.

Saya bergerak ke Dataran Merdeka di pinggir bangunan mahkamah. Di hadapan mahkamah anggota polis sudah memenuhi rung. Jalan Tuanku Abdul Rahman di tutup, dan kenderaan masih dibenarkan bergerak untuk ke PJ dan Bangsar menerusi Jalan di hadapan Bank Rakyat dan naik ke jalan atas di Masjid Negara.


Beberapa kelompok orang ramai terdapat di simpang jalan. Kelompok itu terbentuk dengan sendiri apabila seorang demi seorang menyertai kelompok ramai. Seorang perempuan Cina telah mempamirkan kertas (sepanduk) yang meminta pilihan raya diadakan secara bersih.

Kertas itu di tunjuk ke arah kenderaan yang lalu lalang. Kenderaan membunyikan hon tanda sokongan. Kelakuan perempuan Cina itu menarik perhatian ramai, menyebabkan kelompok yang tadi antara 10 hingga 30 sudah mula berkembang menjadi lebih 50 orang.

Anggota polis yang siap siaga di sepanajng jalan sudah mula di kerah bersiap sedia. Ketika ini juga dua buah helikeptor berlegar di ruang udara memantau setiap jalan utama menuju ke Dataran Merdeka.

Jam 1:55 Ketua Polis Dang Wangi memperkenalkan dirinya dan minta kelompok itu bersurai. Amaran itu tidak dihiraukan. Polis sudah berada dalam keadaan siapa sedia. Anggotanya semakin ramai berbaris di jalan. Ketika ini juga trak membawa FRU dan track water cannon bergerak masuk ke jalan raya menghala ke araha Masjid Jamek.

Pukul 2:00 petang semua anggota polis sudah siap sedia. Mereka akan bertindak pada bila-bila masa sahaja.

Pukul 2:02 amaran kedua di keluarkan meminta orang ramai bersurai. Sebaik selesai amaran itu polis mula bertindak menyerang dua kelompok yang berada di persimpangan jalan Tunku Abdul Rahman.

Seorang wanita Cina ditangkap dan diberkas. Keadaan mula menjadi sedikit kelam kabut apabila wanita itu meronta dan minta dilepaskan. Ketika ini juga ketumbukan yang berhimpun di perkarangan masjid mulai bergerak masuk menuju ke Dataran Merdeka.

Beberapa buah lagi trak FRU dan track water cannon dari arah bulatan di hadapan Bank Rakyat atau Bank Negara mulai bergerak masuk. Sekejap sahaja jalan sudah dipenuhi dengan anggota FRU.

Jam 2:15 ketika pasukan polis berhadapan dan menahan ketumbukan daripada Masjid Jamek bergerak menuju ke Dataran Merdeka, ketika inilah tiba-tiba kelihatan pergerakan raksasa daripada ketumbukkan dari Jalan Kucing bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

Pasukan polis ketika ini menjadi kelam kabut, dan sedikit keliru, menyebabkan mereka tidak pasti ketumbukan mana yang hendak dihadangkan. Sorakan dan jeritan dari ketumbukan dari Masjid Jamek yang tersekat menyebabkan pasukan polis seakan membiarkan sahaja ketumbukan dari Jalan Kucing menuju ke Dataran Merdeka.

Benteng kebal di Dataran Merdeka, menyebabkan ketumbukan itu melencung ke arah masjid negara.

Jam: 2:30 ketumbukan dari Masjid Jamek yang tersekat akhirnya mengaku kalah. Mereka disembur dengan water cannon dan gas pemedihan mata dilepaskan. Keadaan menjadi kelam kabut. Beberapa orang dibelasah dan ditangkap.

Ketumbukan ini berpecah dan berundur. Setengahnya lari mencari jalan belakang untuk bergabung dengan ketumbuhan di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sekejap sahaja tiba-tiba muncul ketumbukan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Keadaan itu menyebabkan anggota FRU mengalih tumpuan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Beberapa buah trak membawa anggota FRU dan dua trak water cannon bergerak masuk ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di sini sekali lagi polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan water cannon. Wap dan gas pemedihan mata sempat juga singgah di mata kami para wartawan.

Empat orang anggota himpunan juga turut tangkap.

Untuk seketika keadaan tenang sekejap. Polis tidak membuat apa-apa tindakan begitu juga dengan anggota himpunan. Masing-masing seakan melepaskan penat dan mencari helah.

Jam 2:55 satu ketumbukan kecil terbentuk. Mereka datang dari berbagai arahan dari celah bangunan dan lorong. Ketumbukan ini menuju ke arah bulatan Bank Negara kemudian di lencungkan ke jalan menunju ke Masjid Negara. Sekejap sahaja tiba-tiba deretan manusia memenuhi jalan ini dan mereka bergerak menunju ke Istana Negara.

Jam: 3:00 petang hadapan Istana Negara sudah penuh dengan anggota himpunan. Lagak seperti kebun bunga matahri penuh kekuingan. Mereka datang dari berbagai arah dan sudut. Kelompok yang berkumpul di Pasar Seni yang mana disuraikan awal, dipercayai sampai dulu ke perkarangan istana.

Jam 3: 15 petang semasa di hadapan Istana Negara para himpunan mendengar ucapan beberapa pemimpin termasuk Abdul Hadi Awang, Muhammad Sabu dan Anwar Ibrahim. Dua buah helikeptor terus berlegar di atas menganggui ucapan mereka itu.

Jam: 3:45 petang para wakil Bersih masuk menyerahkan memorandum kepada pihak Yang di-Pertuan Agong.

Jam: 4.10 petang perhimpunan di hadapan Istana Negara bersurai dengan aman dan selamat. Semua para himpunan bergerak menuju ke Masjid Negara dan ada yang mencari jalan sendiri untuk pulang.

Jam: 4:40 petang perkarangan Masjid Negara penuh sesak. Para himpunan beragama Islam bercadang untuk menunaikan solat Asar, malangnya masjid dijaga dan dikawal oleh polis.

Jam 5:20 petang Masjid Negara lengangang para himpunan berjabat salam antara satu sama lain dan berjanji akan berjumpa lagi di himpunan lain.

Dan saya pula, selepas bergerak dari Masjid Negara terus berjalan kaki ke Chow Kit, tidak terus ke rumah untuk mengisi blog, sebaliknya bergegas ke Taman Melewart kerana di sana kepimpinan Bersih akan menyampaikan sedikit ceramah bagi menggulung peristiwa hari ini.

Jam: 2:35 pagi sampai di rumah, anak dan isteri sudah lama tidur, tinggallah saya sendiri dengan rasa amat gembria dan bangga mengenangkan kepada perisitiwa sore tadi. Terima kasih dan syabas rakyat. Selamat pagi. [wm.kl 3:45 am 11/11/07]

No comments:

Post a Comment