Wednesday, November 21, 2007

Susupan Pagi

Sedikit perihal anak Musa Umno dan anak Musa Pas
Jangan janji tapi buktika
n

MANIFESTO dalam definasi mudahnya ialah janji-janji politik. Setiap pilihan raya parti politik akan mengeluarkan manifesto masing-masing. Manifesto inilah akan dibaca dan dikaji oleh rakyat apa-apa yang akan hendak dilaksana ataupun dirancang oleh sesebuah parti politik terhadap kerajaan yang bakal diterajuinya kelak.

Sebagai manifesto atau janji ia tertentulah bersifat muluk-muluk atau yang indah-indah. Sememangnya tidak ada parti politik akan menjanjikan – menghidangkan manifesto yang sesuatu yang akan ditolak atau dibenci oleh rakyat.

Misalnya, tidak ada parti yang berkata; kalau parti saya menang saya akan naikkan harga barangan keperluan sepuluh kali ganda, akan naikkan minyak sehingga RM5 satu liter, akan menarik balik segala kemudahan asas untuk rakyat. Ataupun akan mengenakan cukai pintu atau cukai tanah yang tinggi.

Tidak ada parti politik yang akan menjanjikan begitu kepada rakyat. Sebaliknya apa yang mereka akan janjikan yang indah dan menarik atau ada kalanya sesutau yang tidak terfikir oleh akal budi rakyat. Seperti berusaha menurunkan harga barangan keperluan, mengurangkan cukai, menyediakan kemudahan asas ataupun menghapuskan cukai-cukai klasik yang konversional dan menggantikan dengan kaedah baru yang lebih kondusif.

Justeru kerana demikian sifat dan sikap manifesto maka orang ramai (rakyat) kena faham. Mereka jangan mudah terpedaya dengan apa yang dibentangkan itu. Rakyat kena ingat apa yang dihidangkan itu sebagai sebuah hidangan indah yang lazak seperti 'janji-janji' (tamsilan) yang dibuat di dalam Syurga.

Rakyat juga kena ingat janji di dunia ini tidak tepat dan sebenar janji di dalam syurga. Belum tentu apa yang dijanjikan di dunia ini akan dilaksanakan, berbeza dengan apa yang dijanjikan di syugra, kerana ia janji daripada Allah. Hakikat ini boleh dilihat kepada janji-janji si pemenang dalam pilihan raya lalu setengah masih tidak ditunaikan lagi!

Jangan lupa

Jangan mudah terpesona dan sebelum menerimanya kena kaji sejauh mana kemampuan parti berkenaan, rasional di sebalik janji itu. Jangan lupa tenguk juga kepada sejarah apakah yang telah dijanjikan dan telah dibuat sebelumnya. Rakyat harus cerdik setelah melalui 11 kali pilihan raya.

Bila bercakap soal janji atau manifesto ini, hari ini orang politik mula membuat janji-janji peribadi masing-masing. Waktu ini diumpamakan sudah tiba musim membajak; di mana kalau petani mereka sudah mula menabur benih, tetapi orang politik mula menabur janji.

Mereka yang bergelar pemimpin dan berpotensi menjadi pemimpin mula bercakap yang lunak dan manis. Masing-masing bercakap ke arah untuk membawa sesuatu yang baik kepada rakyat. Tidak cukup itu mereka juga mula menampilkan sahsiah yang menarik dan boleh mengelirukan orang ramai.

Misalnya Pengerusi Umno Kelantan, Annuar Musa semasa merasmikan Liga Sukan Komuniti Peringkat Negeri Kelantan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Panji telah berjanji untuk membina kompleks sukan bernilai RM500 juga sekiranya partinya menang dan menjadi kerajaan kelak.

Tidak mustahil janji itu akan dilaksanakan sekiranya BN menang. BN cukup keupayaan untuk melaksanakannya. Dan apa yang dijanjikan itu juga sangat diperlukan oleh rakyat Kelantan terutamanya untuk memajukan bidang sukan.

Bagaimana pun ia perlu diteliti dengan penuh menghalusi apakah janji itu akan terlaksana sekiranya BN memang. Apakah ia merupakan suatu keperluan mendesak untuk rakyat Kelantan.

Kita tidak menolak janji itu boleh dan mampu dilaksanakan memandangkan track rekod pemerintahan kerajaan BN di negara ini. Projek atau kompleks suka lebih besar daripada itu pun mampu dilaksanakannya seperti stadium Bukit Jalil, Litar Lumba Sepang dan sebagainya.

Annuar sendiri pun ada track rekod dan jasa dalam bidang sukan. Beberapa projek pembangunan dan prasarana sukan dibina semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan. Kejayaan paling besar ialah sukan Aisa (Sea Game) dan pembinaan kompleks stadium Bukit Jalil itu sendiri adalah idea dan semasa beliau menjadi menteri berkenaan.

Apabila beliau melemparkan janji untuk membina kompleks sukan yang lengkap dengan kolam renang dan stadium tertutup ia sesuatu yang idea yang hebat. Persoalannya di saat ekonomi negara meleset dan sukan pula tidak termasuk sebagai salah satu pembangunan yang difokus dalam Ecer bolehkah ianya dilaksanakan?

Pada saya janji itu terlalu besar dan sukar untuk direalisasikan. Rasanya lebih baik kalau hari ini Annuar Musa yang baru menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi tumpuan kepada bidang berkenaan dulu. Beliau harus buktikan kemampuanya mentadbir dan mengembalikan era kegemilangan Kafa khasnya sukan bola sepak yang pernah dicatat sebelum ini.

Hari ini Annuar sudah menjadi Presiden Kafa. Adalah elok kalau beliau memberi tumpuan lebih dan memanfaatkan budaya kerja rajin dan kerja bersungguh yang diamalnya untuk memajukan sukan berkenaan. Beliau boleh menjadikan Kafa sebebagai projek khasnya dalam hasrat beliau hendak mewarnakan semula politik beliau dan menunjukkan ideanya di Kelantan.

Saya cukup yakin kalau Kafa melalui era perubahan, dalam tempoh terdekat ini orang akan nampak sejauh mana kemampuan dan komitmen Annuar. Orang akan menilai tahap pencapaian dan kemampuannya di situ. Kejayaan pasukan bola sepak Kelantan dalam apa juga tournament, ia akan dilihat sebagai kejayaan dan kepantasan politik Annuar Musa.

Kalau anak Musa Pas menggunakan atau menampilkan berbagai projek ringkas untuk menawan rakyat dan menunjukkan kebolehannya seperti projek pohon depu, barang kali tidak salah kalau anak Musa Umno itu menjadikan bola sepak yang sebenarnya merupakan satu produk atau industri kepada sesebuah negara ia boleh digunakan bagi menunjukkan kehebatannya kepada rakyat Kelantan.

Kalau keduanya berjaya, iaitu pohon depu dan bola sepak ia akan lebih menguntungkan lagi rakyat Kelantan. Pohon depu rendang akan menjadi tempat nyaman untuk rakyat Kelantan bermain bola sepak. Namun bagi saya secara peribadi tidak suka bola sepak dan tidak ingin berteduh di bawah bayangan depu. [wm.kl. 9:00 21/11/07]

No comments:

Post a Comment