Monday, January 28, 2008

Penyendal Ruang

Cerita Negeri Berkebajikan

MSO
MAAF kerana tidak dapat menempati janji untuk memulakan 'kerja' dengan segera selepas berihat lama. Jetlag - perbezaan waktu nampaknya sikit menganggui saya untuk berkerja. Beberapa kali mencuba namun aliran pemikiran tidak begitu licin, tersekat-sekat kekadang tertidur di hadapan laptop.

Kesayuan semasa hendak meninggalkan Kaabah dan makam Rasulullah masih menyilang silau dalam mata!

Kelmarin (26 Januari) sebaik saja menaiki pesawat untuk ke Kota Bharu (bagi menghantar ibu pulang kampung selepas selesai menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai ibu/nenek, menjaga cucu-cucunya yang sudah besar selama saya dan isteri berada di Makkah) saya bercadang untuk rihat, tidur di sepanjang perbangan itu.

Kalau bukan kerana ibu, saya tidak akan terbang ke mana-mana lagi, mahu duduk rumah dan habiskan penat dan cuba sesuaikan diri dan minda dengan keadaan semasa. Namun kerana kesihankan ibu yang sudah rindukan kampung halaman dan haiwan ternakannya, terpaksa keraskan juga diri untuk pulang.

Sudut dapur

Akhbar pun masih belum dibaca semuanya, bertimbun di sudut dapur. Hanya senaskah dua sahaja dibelek sebagai melepaskan gian tersumbat. Keinginan untuk membaca akhbar masih belum ada. Berita mengenai budak Sharlinie yang hilang masih tidak membuka selera untuk menatapnya walaupun kejadian itu mengundang simpati yang tinggi, seperti kes Nurin Jazlin. Cuma tenguk begitu sahaja.

Niat untuk tidur dalam penerbangan selama 55 minit itu tidak tercapai apabila penumpang sebelah tidak menghentikan bicaranya. Sejak mulai duduk dan bersalam dengannya dia terus berceloteh. Hendak tak layan tidak boleh. Saya tidak mahu jadi sama dengan kebanyakan penumpang kapal terbang (demosteik) lain yang sombong dan merasakan megah sehingga tidak mahu bertegur sapa bila berada atas kapal terbang.

Jadi saya layanlah penumpang berjanggut dan berserban itu. Dia orang dakwah, isterinya di sebelahnya juga berbungkus - pakai purdah. Penumpang ini kebetulan mengenali saya - kami pernah kenal mengenali sejak rambut masih hitam dan giginya masih penuh lagi.

Sejak mula bersalam dia tidak begitu cerap mengenali saya. Namun selepas beberapa patah berbicara baru dia terperasan. Dia adalah kenalan lama saya pada tahun 80-an lagi. Kebetulan saya berkawan baik dengan aruah kakaknya seorang peniaga kosmetik dari Indonesia yang ketika itu membuka kedai kosmetik di Kota Bharu. Dia juga adik kepada seorang Ketua Umno bahagian bergelar Datuk.

Lebih bersimpati

Watak dan syaksiahnya mirip kepada seorang dakwah dan perjuang Islam, tetapi sedihnya bila dalam pilihan raya dia dikhabarkkan tidak pernah memberi sokongan kepada parti berlambangkan Islam sebaliknya lebih bersimpati kepada abangnya yang menjadi ketua Umno.

Walaupun ceritanya ingin memberitahu yang beliau baru pulang dari oversea, di mana cerita ini tidak lebih untuk menunjuk-nunjuk, tetapi topik yang dibicarakannya ada sesuatu yang menarik perhatian. Itu menyebabkan saya memaksa telinga mendengarnya dan menongkatkan kelopak mata daripada tertidur. Meskipun beberapa kali saya memberi signal dengan menguap tetapi dia seakan tidak faham dan terus bercerita.

Cerita ialah mengenai negeri/kerajaan New Zealand dan Austaralia yang beliau baru lawati itu sambil berdakwah - tabligh. Ada manfaat juga mendengarnya. Menurutnya kedua negara itu jauh lebih maju daripada negara Malaysia dari segi kebajikan kepada rakyat. Walaupun negara itu bukan negara Islam Hadhari seperti Malaysia namun kebajikan dan kepeduliannya kepada rakyat sungguh tinggi.

Kerajaan itu juga katanya ikhlas dalam membantu rakyat. Mereka membantu rakyat kerana tanggungjawab dan bukan kerana mengharap apa-apa balasan daripada rakyat seperti mengharapkan undi dalam pilihan raya. Rakyat diberi kebebasan sepenuh dalam pilihan raya dan kerajaan tidak mengungkit apa yang mereka berikan. Rakyat kedua negara itu bebas menentukan parti mana yang bakal menjadi kerajaan tanpa ditekan dan diugut.

Ceritanya, cara kerajaan itu lakukan kebajikan kepada rakyat samalah dengan seorang bapa memberi makan minum kepada anak-anaknya di mana ia adalah satu tanggungjawab dan kewajiban.

Tiga aspek yang sangat dijaga oleh kedua negeri itu kepada rakyatnya dalam pemerhatian pendakwah ini, ialah pertama mengenai kebajikan rakyat miskin, kedua kanak-kanak dan ketiga orang tua.

Patut dicontohi

"Apa yang berlaku di sana sheikh sungguh molek dan mengkagumkan sekali. Kerajaan di sana jauh berbeza dengan kerajaan kita dan ia patut dicontohi. Kerajaan benar-benar bertindak menjadi penjaga (ibubapa) kepada rakyat. Keadaan berlainan dengan apa yang berlaku di negera kita di mana rakyat kena menjaga kerajaan, bukan sebaliknya," katanya.

"Macam mana boleh kata begitu," tanya saya.

"Mereka jaga kanak-kanak, orang tua dan juga mana-mana rakyat miskin di sediakan rumah, sheikh. Misalnya kalau ada rakyatnya sakit kerajaan mereka akan menjaga rakyat yang sakit itu dari awal hinga akhir termasuk menyediakan peruntukan perubatan dan tempat tinggal sekali," katanya.

"Orang miskin pula diberikan bantuan perumahan dan juga diberi elaun khas," tambahnya lagi.
Menurutnya apa yang berlaku di Australia dan New Zealand, setiap rakyatnya semua mendapat kemudahan pencen apabila sudah sampai tahap umur tertentu. Kemudahan pencen ini bukan saja terhad kepada mereka yang berkerja kerajaan tetapi termasuk mereka yang tidak bekerja juga, tambahnya lagi sambil mengkagumi apa yang berlaku di Australis dan New Zealand itu.

Mendengar itu saya terus teringat apa yang pernah dijanjikan dalam manifesto parti Semangat 46 kira-kira 15 tahun lalu. Di mana antara lain manifesto itu menjanjikan kalau Semangat 46 menjadi kerajaan ia akan memberi elaun kepada semua warga tua di negara ini.

Apabila pendakwah itu menceritakan apa yang berlaku di Australi dan New Zealand itu maka jelas idea dan cadangan yang disurakan Tengku Razaleigh Hamzah dulu itu adalah pratikal dan relevan dan bukan suatu khayalan seperti mana dakwaan sesetengah pemimpin Umno.

Apa pun yang dikagumi oleh pendakwah itu mengenai Australia dan New Zealand itu sebenarnya sudah pun berlaku di Kelantan. Kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah pun melaksanakan apa yang dibuat oleh Australia dan New Zealand yang diceritakan itu.

"Sheikh sebenarnya juga apa yang berlaku di Australia dan New Zealand itu juga sudah berlaku di negara kita sheikh," kata saya sengajakan mengantungkan kata-kata. Dia menjadi terkebel-kebal mungkin hairan.

"Maksud anta? tanyanya terus kehairanan.

Mengerutkan wajah

"Kebajikan yang anta sebut yang dibuat oleh Australia dan New Zealand itu, memang setengah belum dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia, tetapi bagi kerajaan Kelantan sudah pun memulakannya," balas saya. Pendakwah itu jadi tersenyum dan mengerutkan wajahnya.

"Misalnya bantuan kepada orang tua, kerajaan Kelantan sudah perkenalkan skim Kifalah, armalah dan sebagainya. Perubatan percuma juga sudah disediakan seperti rawatan buah pinggang percuma, di mana sebuah pusat rawatan hemodialisis di wujudkan di Kota Bharu. Begitu juga dengan penyediaan rumah untuk orang miskin, semua sudah ada dengan mewujudkan rancangan rumah Daifah - rumah orang miskin.

Bukan itu sahaja, bahkan kerajaan negeri juga bermurah hati memberikan haiwan ternakan kepada rakyat seperti kambing Jamnapari yang sempat menjadi isu baru-baru ini. Pendekanya apa yang dilaksanakan di Australia dan New Zealand yang dikagumi pendakwah itu sudah pun dilaksanakan di Kelantan.

Kata saya cuma mungkin anta (pendakwah itu) tidak nampak semua itu kerana ianya dilakukan dalam kapasiti atau kuantiti yang sedikit dan hebahannya pula terbatas.

"Mungkin kalau Pas memerintah Malaysia, model Kerajaan Kelantan itu akan digunakan pakai. Dan saat itulah baru kebajikan itu dapat dilaksanakan dengan seluasnya kerana waktu itu kerajaan sudah mempunyai kewangan yang banyak. Hari ini apa yang dilakukan di Kelantan itu sudah sepadan dengan tenaga kewangan yang dimiliknya," ujar saya.

Pendakwah itu terdiam dan merenung lama ke dalam mata saya.

"Justeru itu bagi rakyat Kelantan kita berbangga dengan apa dilakukan oleh Kerajaan Pas kini walaupun ia kecil, tidak menyeluruh namun pokoknya kerajaan Kelantan telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerajaan seperti mana dituntut oleh agama," sambung saya lagi seakan bertindak sebagai seorang propagandis Pas pula.

"Inilah baiknya kerajaan yang memegang prinsip Islam, tidak banyak sikitpun akan dilaksanakan tuntutan Allah itu," bisik saya dalam hati. Pun begitu masih ada juga beberapa kecacatan kesil di dalam proses perlaksanaan itu dimana kalau ia dibaiki ia akan menjadikan segala perancangan itu lebih indah dan sempurna lagi.

Sebelum kami berpisah pendakwah itu meminta kad nama saya dan berjanji akan menghubungi saya. Katanya, seronok berbicara mengenai tajuk negara berkebajikan itu. [kb.11:30 26/01/08]

No comments:

Post a Comment