Wednesday, February 13, 2008

Analisa

Lincahnya Politik DUN Kijang!

SALAH satu DUN yang menjadi tumpuan dan perhatian ramai di Kelantan ialah DUN Kijang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa. DUN ini menjadi sedikit kontroversi apabila ada pihak tertentu yang dikatakan kurang senang dengan wakilnya sekarang ini. Sudah lama berita ini tersebar. Seolah ada grand desing untuk menghalau Adun Kijang keluar dari Pengkalan Chepa.

Khabarnya masalah Adun berkenaan sampai dibincang dalam mesyuarat sebuah cawangan. Satu usul dikemukakan agar Adun berkenaan tidak lagi dikekalkan bertanding di situ alasannya beliau orang luar - kawasan lain. Bila ia sudah menjadi usul maka ianya tentulah perkara serius.

Apa sebenarnya yang tidak kena sampai terjadi begitu sekali. Apakah salah dan dosa Adun berkenaan.?Walhal Adun berkenaan digembar gemburkan sebagai tokoh baru Pas yang bakal mewarnai di masa depan dan banyak membawa perubahan fizikal Pas Kelantan. Beliau juga disebut-sebut akan menggantikan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.
Sekali fikir tidak sepatutnya berlaku demikian. Masakan tokoh yang menjadi impian rakyat diperlakukan begitu sekali! Maruah politik Adun berkenaan perlu dijaga. Apakah keadaan sekarang tidak boleh diselamatkan lagi. Apakah tidak ada mana-mana pihak menenangkan keadaan dan memastikan Adun berkenaan terus kekal di Dun berkenaan?

Adalah malang sekali kalau apa yang didesas desus itu menjadi kenyataan. Perpindahan segera Adun berkenaan boleh menimbulkan masalah. Sudah pasti pihak Umno akan mengambil kesempatan atas pertukaran itu dengan menyebabarkan fitnah kononya Pas bermasalah. Tentu sekali Umno gembira melihat keadaan ini.

Saya kurang faham mengenai masalah ini. Paling memeningkan lagi, khabarnya seorang wanita telah disebut-sebut untuk diletakkan bertandign di DUN Kijang menggantikan wakilnya sekarang. Manakala wakil Kijang itu pula akan pulang ke kawasannya.

Apakah munasabah dan logiknya bagi Pas Pengkalan Chepa khasnya, menghalau wakil berkenaan dan diganti dengan seorang wanita? Apakah pengisian itu memenuhi tuntutan perjuangan dan aspirasi parti? Apakah tuntutan yang tidak syarie atau utama itu wajar dipenuhi? Khabarnya wanita itu seorang janda.

Pada saya kalau setakat hendak menyusahkan Adun yang sedia ada, rasanya tidak begitu bijaksana. Bukan masanya untuk berbalah dan membalas dendam dalam keadaan sekarang. Apa-apa sengketa dan rasa tidak senang kepada sesuatu keadaan perlulah disembunyikan buat sementara. Keputusan itu siapa pun yang memutusnya tidak fatanah dan perlu dikaji semula.

Dan sekiranya muslimat berkenaan sudah tahu desas desus ini beliau hendaklah menolaknya dengan penuh hormat dan sukarela. Beliau jangan terperangkap dengan manipulasi politik dan perlu meletakkan kesejahteraan parti di hadapan. Lagipun wanita berkenaan dikatakan sudah mempunyai kedudukan yang selesa dan sudah mendapat anugerah daripada parti menurut koutanya.

Apakah kerana ada janji calon perempuan akan ditambah dan seorang wanita akan dilantik menjadi Exco maka Adun Kijang menjadi korbannya? Apakah kerana cadangan itu diumumkan oleh wakil Kijang itu maka Pas (Pengkalan Chepa dan sekitarnya) beranggapan orang yang mencadangkan itu perlu berkorban?

Kalau pun orang Kijang tidak suka kepada wakil Kijang, kenapa mereka tidak memilih di kalangan mereka untuk mengisi tempat itu. Apa lagi calon wanita yang disebut itu tidak pun tingal di Kijang. Rasanya masih ada lelaki kalau tidak hebat Adun sekarang pun dari segi pemikiran dan merancang untuk perubahan parti, sekurang-kurang masih ada yang mempunai janggut dan misai di Kijang yang boleh diletakkan menjadi calon menggantikan wakilnya yang dihalau itu.

Kesimpulannya persoalan di Kijang ini perlu dilihat dengan rasional. Jangan campurkan masalah peribadi dalam DUN Kijang dan perjuangan. Belajarlah menjadi bijak di mana pandai mengasingkan antara antah dengan beras sebelum ianya ditanak! Untuk itu orang Pas umumnya dan Tok Guru khasnya kenalah 'ayak' badang sebaik mungkin untuk menyelesaikan persoalan ini. [wm.kl 3:45 pm 12/02/08]

No comments:

Post a Comment