Sunday, February 3, 2008

Sebelum Lelap

Ezam Terjerut Dalam Jerat

WAH berang betul bekas Ketua Angkatan Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Noor dengan laporan berita 'sensasi mengatakan dia memohon untuk bertanding atas tikit PKR dalam pilihan raya akan datang.

Marah pemuda teras reformasi itu bukan main-main siap dengan membuat kenyataan akhbar sekali. Nasib baik tidak sampai saman menyaman, kalau tidak kena bersusah payahlah laman protal yang menyiarkan berita berkenaan.

Menjelang pilihan raya ini ahli-ahli politik mudah melenting dan sensitif sekali. Jadi para penulis kena hati-hati dan waspada kalau tidak mahu ulang alik ke mahkamah!

Menurut Ezam berita disiarkan dalam protal berita itu sebagai fitnah dan berniat untuk menjatuhkan maruahnya. Ianya didalangi oleh pemimpin oportunis dan hipokrit dalam PKR. (Siapa agaknya tokoh yang dimaksudkan Ezam itu, apakah 'saingannya' dalam PKR selama ini? Harapnya jangan beliau tundingkan kepada bekas bossnya).

Uzlah

Ezam seperti masih belum puas denga tokoh berkenaan yang melukakan hatinya itu sehinggakan akhirnya menyebabkan beliau terpaksa beruzlah dari PKR.

Berita yang membuat Ezam tersinggung itu ditulis oleh Zulkfeli Mohamad yang didakwa Ezam juga ahli PKR. Penulis itu mengambil sumber daripada orang dalaman. Menurut sumber itu kononnya perihal Ezam itu dibincang peringat jawatankuasa tertinggi parti.

Penasihat Umum PKR, Anawar Ibrahim turut dikaitkan sebagai dikatakan memberi syarat bersedia menerima Ezam asalnya dia (Ezam) memohon maaf kepadanya. (Bak inilah mungkin yang menyebabkan Ezam melenting). Dalam kenyataannya ketika hendak keluar PKR dulu Ezam menuduh Anwar sebagai diktator dan PKR dikuasai oleh tokoh tertentu sahaja dan itulah menjadi sebab beliau tidak betah dalam PKR. Tuduhan itu dan sikap Ezam itu mengilankan Anwar.

Saya membaca kedua berita itu, berita yang melaporkan niat Ezam itu dan juga kenyataan balas Ezam menafikan laporan berkenaan.

Semasa membaca berita itu saya sudah merasa ada sedikit tidak kena. Ada semacam tidak masuk akal dengan berita laporan Zulkefli itu. Ilusi saya tidak mempercayai serapuh itu prinsip Ezam, baru keluar dan nak rujuk balik. Ezam bukan begitu. Beliau ada prinsip dan konsisten dengan keputusannya. Siapa boleh lawan keberanian Ezam dalam mempertahankan Anwar? Bukankan beliau sanggup meringkuk dalam penjara?

Apabila dipetik Anwar sebagai memberi isyarat kepada Ezam, agar memohon maaf kepadanya ternyata sumber berita itu tidak tepat dan kurang berwibawa. Kalau pun nak mengusik Ezam ianya tidak profesional langsung.

Tidak logik juga kalau benar Ezam ingin kembali semula kepada PKR dan Anwar pula mengenakan syarat berkenaan. Itu juga bukan sifat Anwar apa lagi dalam saat pilihan menjelang tiba di mana Anwar memerlukan sokongan rakan-rakannya. Mustahil Anwar hilang akal terus-terusan bergaduh dengan sesiapa saja. Lagipun Ezam bukan sembarangan bagi Anwar!

Kerana itu saya lebih merasakan laporan itu sebagai gimik saja dan tidak pun berhajat untuk menanyakan Ezam sendiri mengenai kesahihannya. Mungkin orang lain juga merasakan demikian. Ia bukan serius, seperti mana seriusnya kenyataan-kenyataan mengejek Dr Mahathir kepada Abdullah Badawi.

Desas desus

Saya mengkelaskan berita itu hanya gimik dan usikan politik kepada Ezam saja. Usikan begitu mungkin timbul apabila ada berita dan desas desus (juga gimik) sebelum ini mengatakan Ezam akan bertanding atas tikit BN dalam pilihan raya akan datang. Berita ini sampai tersebar di Madinah! Khir Toyo juga turut sama menyentuhnya.

Kalau itulah tujuan dan motif penulisan berita itu ia berbaloi apabila Ezam membalas 'fitnah' itu dengan kenyataan yang memberang. Ekoran berita itu juga Ezam turut menjelaskan memang ada parti politik yang mempelawanya tetapi dia tidak berminat. Belau juga mengatakan kalaupun beliau ingin bertanding, beliau akan bertanding sebagai calon bebas.

Apa yang ingin diketahui oleh pihak tertentu dalam PKR terjawab sudah. Dan penjelasan Ezam berhubung desas desus beliau akan bertanding atas tikit Umno itu adalah tidah benar dan disahkan sendiri oleh Ezam. Jadi apabila beliau menjawab dan menjelaskan tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang atas mana-mana parti, perangkap itu mengena!

Tegasnya jawaban Ezam itu memuaskan mereka yang ingin mencungkil rahsia siasahnya. Orang ramai juga tahu mengenai pendirian Ezam kini. Dalam kata lain jawaban dan kenyataan Ezam itu benar-benar memuaskan hati orang dan memenuhi hajat orang yang merekakan berita berkenaan.

Moral of the story mengenai laporan dan kenyataan Ezam itu ialah, sekiranya Ezam bertanding atas tikit BN / Umno dalam pilihan raya akan datang bermakna beliau melanggar prinsipnya dan berbohong kepada umum. Kini Ezam tidak boleh berdolak dalih lagi.

Kedua, tujuan 'fitnah' itu juga untuk memintas Ezam agar tidak berbuat demikian - bertanding atas tikit Umno ataupun menyokong secara senyap mana-mana tokoh tertentu dalam Umno pada pilihan raya akan datang. Kerana sebelum ini juga terdengar riak yang beliau akan membantu seorang tokoh Umno dalam pilihan raya akan datang!

Kesimpulannya kenyataan balas Ezam itu menyerlahkan sikap kurang fatanahnya dan ia secara tidak langsung menyerlahkan hakikat sebenar dirinya yang dalam dilema sejak meninggalkan PKR dan politik organisasi. Gerak yang dipengerusikan kini hanya sementara sahaja sebelum terjumpa wadah sebenar! [wm.kl 11:30 pm 02/02/08]

No comments:

Post a Comment