Monday, March 17, 2008

Rencana Khas

Mahathir Juga Perlu Bertanggungjawab Atas Kekalahan BN?

MSO

KEGAGALAN Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen seperti disepakati disangkutkan atas bahu Abdullah Ahmad Badawi sepenuhnya. Berat Abdullah memikulnya. Seolah hanya beliau seorang yang sepatutnya bertanggungjawab dan mngambil risiko hingga perlu melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Bagaimana pun beliau telah tegaskan yang beliau tidak akan lari dan tetap memikul tanggungjawab. Apakah ketegasan itu positif atau dibuat atas rasa degil dan ego sebagai manusia politik, hanya beliau dan Tuhan saja yang tahu.

Apabila beliau degil mengakui BN masih mendapat majoriti besar dan hanya memerlukan lapan kerusi saja untuk meraih 2/3 seperti beliau kurang faham politik dan tidak tahu menghitung ilmu hisab. Begitulah kalau orang mempunyai maruah diri yang rendah, maka segala-gala yang ada dalam mindanya juga rendah.
Biarkanlah...

Pun begitu meletakkan kesalahan ke atas Abdullah 100 peratus tidak adil juga. Begitu juga kepada menantu dan anak-anaknya, juga tidak adil. Kekalahan BN harus diterima secara kolektif, dan semua pihak harus bertanggungjawab.

Tinggi rendah

Menantu Abdullah yang galak macam anak lembu jantan sebelum ini, kini senyap tupas, membisu seribu bahasa. Barang kali Khairy baru tahu tinggi dan rendahnya langit politik!Khairy tidak galak macam selalu. Apakah beliau sedang menghitung hari-hari terakhirnya sebagai menantu PM kemudian terpaksa berundur daripada menjadi CEO konsultan PM?

Khairy kena bertanggngjawab. Kelancangannya untuk merampas Kelantan dengan kempen “18 Tahun Pade Dah” perlu dipertanggungjawabkan. 18 tahun pade dah, sudah bertukar menjadi dah padan muka. Politik gasan dan tidak kenal hati budi orang Kelantan yang dilakukan Khairy telah meracun diri sendiri. Penolakan BN di Kelantan oleh golongan muda sedikit sebanyak kerana kesombongan politik kebaratan yang dibawa Khairy.

Selain Khairy banyak lagi yang kena bertanggungjawab. Dalam hal ini bekas Presiden Umno dan
juga bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga kena bertanggungjawab.

Disebabkan Dr Mahathir awal-wal lagi menyeru agar Abdullah melepaskan jawatan dan diserahkan kepada Najib menjadikan orang tidak nampak di mana kesalahan Dr Mahathir dengan kekalahan BN 9 Mac lalu. Mahathir ada saham besar dalam kekalahan BN itu.Usaha menjatuh dan memalukan Abdullah ini awal-awal dilakukan oleh Dr Mahathir sendiri. Siapakah yang memperlecehkan Abdullah kalau tidak Dr Mahathir? Ia bermula dengan kritikan pedas Dr Mahathir ke atas Abdullah apabila membatalkan projek jambatan bengkok menghubungikan tambak Johor dengan Singapura.

Selepas itu Dr Mahathir terus mempersedakan Abdullah ianya diikuti pula dengan menuduh pentadbiran Abdullah dipengaruhi oleh budak-budak tingkat empat yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin.

Tidak cukup dengan itu Dr Mahathir secara beterus terang menyebut pula beliau mahukan Abdullah jadi PM sepenggal saja dan pilihan beliau ialah Najib. Permainan Dr Mahathir itu menyebabkan orang melihat Abdullah bukan perdana menteri sebenar.

Kualiti dan wibawa

Aksi dan tindak tanduk Dr Mahathir itu memberi imej buruk kepada Abdullah. Ia melihat Abdullah tidak mempunyai kualiti dan wibawa sebagai perdana menteri. Jadi bola tanggung yang dilambung Dr Mahathir itulah dismash kencang oleh pembangkang.

Usaha Dr Mahathir memperleceh dan menganggui Abdullah tidak bersendirian. Ia disambung pula oleh anaknya, Mukhriz Mahathir. Tindakan Mukhriz yang menulis surat peribadi meminta Abdullah berundur kemudian disebarkan kepada internet dan bloggers sesuatu tindakan terancang dan tidak berdisiplin.
Penyebaran surat itu samalah dilakukan Dr Mahathir ke atas Tunku Abdul Rahman 1969. Dr Mahathir menulis surat terbuka mengkritik pentadbiran Tunku Abdul Rahman kemudian disebarkan kepada umum. Modus oprandi sama nampaknya digunapakai oleh Mukhriz untuk menrghancurkan Abdullah.

Dalam hubungan ini Abdullah tidak perlu bersikap baik tunggu dan lihat dalam hal ini. Kalau Tuanku Abdul Rahman mengambil tindakan memecat Dr Mahathir daripada Umno kerana penyebaran surat layang, maka tindakan serupakan juga perlu diambil ke atas Mukhriz. Barulah adil!

Mukhriz kini sudah menjadi duri dalam daging kepada Umno. Hishamuddin Hussein Ketua Pemuda Umno tidak boleh diharap lagi. Kepondanannya tidak akan memeranikan beliau untuk mengambil apa-apa tindakan ke atas Mukhriz.ataupun Hishamuddin juga turut sama bersubahat dalam hal ini di mana secara diam beliau mendoakan agar Abdullah turun dan dalam masa sama mengharapkan abang sepupunya Najib naik.

Kesimpulannya kekalahan BN sehingga hilang majoriti 2/3 bukan sahaja perlu dipertanggungjawabkan oleh Abdullah seorang diri, sebaliknya semua kumpulan dalam Umno patut memikul masalah itu. Kalau ada orang mendesak Abdullah berundur, maka orang itu juga perlu ikut sama melepaskan jawatan.

Ditegaskan, memang perkembangan dan senario yang berlaku hari ini membuka ruang luas kepada Abdullah untuk berundur. Soalnya kalau Abdullah bersedia berundur dan jawatan itu dilepaskan kepada Najib apakah Umno akan pulih dan kembali stabil? Di mana dan apakah pula peranan Tengku Razaleigh Hamzah yang kahabrnya telah meminta agar Umnp mengadakan perhimpunan khas menjelang Mei depan?

Jawabanya sesudah setengah abad berkuasa Umno kini sudah tidak relevan lagi. Umno perlu dimatikan selama 50 tahun sebelum ianya boleh dibangkitkan semula dengan semangat dan cita rasa baru! [wm.kl 9:00 am 17/03/08].

No comments:

Post a Comment