Sunday, March 30, 2008

Susupan Pagi

Mustapa Mohamed Pula Nak Pelihara Kambing

SAYA tersenyum simpul sendiri apabila membaca cadangan Musatapa Mohamed hendak tingkatkan pengeluaran daging kambing dalam negara dan melihat gambarnya sedang melawat kandang kambing di Negeri Sembilan Darul Khusus.


Dua perkara yang mengamit kepala saya tatakala membaca kenyataan itu dan melihat gambar Mustapa bersama kambing itu; pertama mengenai nasib seseorang menteri yang saling tidak tumpah seperti robot.


Mereka akan berkerja di mana saja yang tuan mereka letak. Dipulas spring maka mereka pun bergerak. Sebelum ini Mustapa berkerja di universiti jaga mahasiswa. Belum selesai di universiti kini diletak di padang pula untuk menjaga kambing dan sayur-sayuran.


Walaupun kerja Mustapa tetap sama iaitu menjaga mahkluk yang hidup, namun naluri dan nafsu mahluk itu sangat berbeza.


Sekali imbas lebih senang jaga orang daripada mengawal binatang berjanggut itu. Yalah orang ada otak dan akal, manakala binatang hanya ada otak saja tetapi tidak ada akal.


Tetapi jika dihalusi, menjaga orang lebih susah sebab dia ada akal, di mana ada kalanya ia bertindak jauh daripada orang lain. Berbeza dengan kambing yang hanya fikir soal, makan, seks dan tidur sahaja. Namun ada kalanya kambing lebih jujur dan ikhlas berbanding manusia!


Sebagai menteri alias robot pula, Mustapa akan bergerak ke mana sahaja. Apakah pertukaran kementerian itu daripada Menteri Kewangan, selepas itu Pembangunan Usahawan, selepas itu Pengajian Tinggi dan terbaru Pertanian, Industri Desa dan Asas Tani untuk melatih dan memberi cukup pengalaman kepada ahli Parlimen Jeli itu? Kalau untuk melatih apa tujuanya?


Mustapa yang jujur dan agak ikhlas dalam politik selamanya akan menjadi mangsa politik rakus dan gila kuasa di Kelantan. Secara nisbinya Mustapa jauh lebih baik daripada Annuar Musa, namun di Kelantan mereka yang buruk kepala menjadi pemimpin Umno.


Perkara kedua yang tergamit dalam kepala saya bila melihat Mustapa di kandang kambing, saya jadi teringat kepada kisah yang saya alami sendiri berkaitan kambing ini. Ia berlaku kira-kira 22 tahun lalu. Saya juga pernah melawat dan melihat kandang kambing seperti itu bersam seorang yang kalau tidak sikap saya bernama **** yang gemar pakai baju petak-petak merah.

Orang itu berminat dengan binatang berjanggut itu dan memasang angan-angan untuk menjadikan negerinya Darul Kambing. Semacam Mustapa duduk dengan kambing itulah orang berkenaan duduk di birai kandang dan mendukong anak kambing berwarna putih bertompok hitam, hidung mancung bermata sepit macam Cina.


Dipendekkan cerita dibuatlah ladang bintang berjanggut di suatu tempat di sebuah daerah dalam negerinya. Bukan main gah lagi seluruh rakyat ditabuh dan diwar-warkan dengan projek berkenaan. Seolah jumlah kambing akan melebihi dari jumlah penduduk negeri berkenaan sebanyak kira-kira 1.5 juta nyawa itu.


Dipendekkan lagi cerita, ladang itu berjalan hanya beberapa ketika saja. Menteri Besar pun tidak sempat menjenguknya! Hasilnya tidak sebesar yang dihebuhkan. Ladang itu musnah atas alasan kerana kambing yang dibeli untuk ladang itu mahal. Ekoran itu bergaduh pihak ladang dengan pembekal kambing itu dan semuanya jadi terburai.


Hari ini ladang yang seluas bertus ekar sudah kosong. Yang tinggal hanya rangka kandang kambing berkenaan bersama dengan monumen-monumen tertentu. Projek nak nak jadikan negeri berkenaan Darul Kambing pun hilang dalam buku cerita.


Kepada Mustapa Mohamed ambillah iktibar atas apa yang berlaku di negeri berkenaan. Beringat-ingatlah dengan binatang berjanggut itu. Ia adalah haiwan peliharaan Rasullulah s.a.w. tidak sesuai untuk dijadikan gimik dan modal politik. Setakat projek itu musnah tidak mengapa, apa yang dibimbangkan lagi kerjaya politik mereka yang terlibat menganiayakan kambing juga bimbang turut termusnah! [wm.kl. 8:00 am 30/03/08]

No comments:

Post a Comment