Wednesday, April 23, 2008

Lukisan Jiwa

Ingatan Kepada Karpal
Pas sendiri sudah tidak berminat dengan Negara Islam?

PENENTANGAN yang bersifat kebencian melampau Kapal Singh kepada Negara Islam tajaan Pas nampaknya konsisten. Ahli Parlimen Bukit Gelugur itu langsung tidak bertolak ansur atau pun bersikap diplomasi dalam agenda ini. Mungkin sikap inilah menjadikan beliau berjaya sebagai seorang peguam pembela yang hebat dan terkenal.

Mungkin juga kerana sikap dan sifat degil berbatu kerikil inilah menyebabkan beliau pernah ditumbuk oleh Kiai Arshad kira-kira 25 tahun lalu.

Dari dulu lagi Karpal Singh menentang perjuangan (Pas) untuk mewujudkan negara Islam. Islam bagi Karpal Singh macamlah babi bagi orang Islam berfahaman konservatif. Berbagai alasan yang beliau berikan, termasuk bahawa perjuangan itu tidak akan tercapai kerana negara ini negara sekular dan perlembagaan negara ini tetap menghalangnya.

Saya tidak tahu macam mana kalau Karpal Singh sudah menjadi timbalan TPM kedua atau ketiga kelak. Apakah semua aktiviti menjurus kepada Islam akan disekat dan dihalang? Beliau nampaknya tidak ada pengertian langsung dan kadang-kadang buta kepada reality politik dan perkembangan semasa atau sengaja memicingkan matanya daripada melihat kebenaran dan kepentingan orang lain!

Akan bingkas

Asaal sahaja bunyi hukum hudud atau Negara Islam beliau akan bingkas dan menentang dan melawannya. Belum tahu ke mana hujung jatuhnya beliau sudah mengaum macam harimau tua yang lapar. Akan dibuat berbagai provokasi agar isu itu melarat dan kelihatan mencemaskan.

Beliau seakan lupa kepada orang yang memperjuangkan agenda itu yang juga duduk bersama dengannya kini. Yang menyokong dan memberi kemenangan kepada partinya sehingga mendapat sebuah negeri dan menjadi anggota Exco di Perak dan Selangor.

Dalam benak Karpal Singh tidak ada ruang langsung untuk umat Islam memikirkan pendaulatan Islam. Tidak tahu kenapa beliau jadi sepongoh itu mengenai Islam. Beliau sendiri tidak mempamirkan beliau seorang pejuang keagamanya (Interfaith) yang tulen dan ekstrim. Karpal nampak biasa sahaja mengenai agamanya.

Juteru saya nampak Karpal Singh ada motif lain di sebalik beliau terus beramin api dengan isu negara Islam. Semacam beliau mahu pintu masuk ke dalam rumah perlembagaan negara tidak akan dikunci dan terus terbiar seperti hari ini. Sebagai pengamal undang-undang Karpal faham bahawa perlembagaan negara hari ini cukup liberal kepada perjuangan partinya. Begitukah?

Dengan membuat asakan begitu rakyat Islam negara ini terus menjaga pintu-pintunya yang ada dalam perlembagaan negara hari ini. Mereka tidak akan cuba menambahkan mangga kunci sehinggakan Karpal dan kuncu-kuncu tidak akan dapat masuk lagi. Bagi mereka tidak payah untuk menguncikan pintu mereka kerana menyangka dengan gertakan Karpal itu pintu mereka sudah kukuh dan kemas. Walhal Karpal dan kuncu-kuncunya sebenarnya sudah pun berada sebelah kaki dalam rumah umat Islam.

Inilah taktik dan strategi Karpal memainkan isu negara Islam berterusan.

Tidak perlu bimbang

Sebenarnya Karpal Singh tidak perlu bimbang kepada negara Islam ala Pas. Karpal Singh perlu sedari apa yang berlaku sekarang ini. Yang berlaku dewasa ini tidak membimbangkan Karpal. Siapa yang menguasai Pas kini? Kini Pas bukan lagi dikuasai oleh golongan serban dan berjubah yang ortodoks dan fanatik! Pemakaian serban hanya menjadi lambang kepada identiti asal Pas sahaja. Karpal harus pandai menilai ini.

Idealisme dan minda Pas kini sudah mula ditawan oleh golongan berbaju kot dan bertali leher dan yang berkepala bolong – tidak berkupiah alias bersyariat Islam.

Golongan ini amat apologik kepada Islam dan negara Islam. Dan dalam Pas kini agenda mengenai negara Islam ia dilihat berbagai-bagai dan pro-kontra. Cuba selidik siapa kalangan pemimpin Pas yang bercakap soal murtad, soal masjid, soal mazhab, atau soal-soal jihad? Sudah berkurang sekali suara dan slogan itu. Semua itu sudah diasosiasikan dengan berkebajikan!

Memang ada yang menjadikan negara Islam sebagai matlamat, tetapi ada juga yang langsung tidak menyentuh soal negara Islam. Dalam setengahnya menolak Islam Hadhari tetapi bersikap lebih daripada itu. Bahkan soal air sembahyang, puasa dan zakat pun ada yang takut-takut untuk menyentuhkan kerana bimbang Karpal dan rakan-rakannya akan menyinga. Wajah-wajah Pas juga ditukar misalnya tarbiah kepada kursus, markaz kepada balai atau pun hall dan sebagainya. Anjakan paradigma sendang berlaku!

Pemisahan agama dan politik yang suaatu masa dulu diratib Pas juga sedang berlaku secara senyap dan penuh taktikal didalam Pas kini.

Dengan senerio dan realiti itu Karpal Singh tidak perlu takut kepada Negara Islam. Tidak payah buang masa dan menyibuk menggesa Pas membuang agenda itu. Gabungan Pakatan Rakyat di mana Pas diikatkan dengan DAP oleh PKR menerusi tangan Anwar Ibrahim menyebabkan negara Islam tidak akan dapat berkiuk – bergerak lagi. Dan saya yakin Karpal dapat membaca ini semua.

Adapun kenapa beliau terus bernyanyi dengan negara Islam kerana untuk mengekalkan status quo hari ini di mana ia telah memberi ruang dan oksijen perjuangan yang banyak kepada kelestarian perjuangan Karpal dan juak-juaknya. [wm.kl 10:30 22/04/08]

2 comments:

  1. Assalamualaikum..
    Saya salah seorang penyokong pas sejak dulu hinggalah sekarang. Semakin hari saya lihat, PAS semakin hilang semangatnya untuk memperjuangkan negara Islam. Keadaan ini kita dapat lihat selepas PRU 12 baru-baru ini. Mungkin kerana inginkan kuasa, Pas sanggup mengorbankan perjuangan ini. Percayalah, kalau keadaan ini berterusan, PAS lama kelamaan akan semakin dijauhi. Saya sendiri pun sedikit sebanyak rasa serba salah untuk bersama-sama PAS yang semakin lebih daripada UMNO. Lihatlah sendiri website Harakahdaily yang langsung tidak menyiarkan keceluparan Karpal Singh dalam isu negara Islam ini. Dulu kata akhbar arus perdana yang double standard, kan sekarang dah kena batang hidung sendiri. Berubahlah sebelum anda direbahkan dalam PRU 13 nanti...

    Ikhlas dari Penyokong PAS...

    ReplyDelete
  2. Saudara Sayuti,

    Dalam soal ini baik Karpal mahu pun PAS sering mahu bertindak sebagai "hero" dalam satu-tau isu.

    PAS cuba menjadi "hero" dalam soal-soal yang memperjuangkan Islam dan Karpal pula ingin menjadi "hero" kepada penentangan Islam.

    Tetapi kedua-duanya tidak mendatangkan kebaikan kepada kehidupan masyarakat di Malaysia.

    Sepatutnya dalam kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama ini, PAS lebih berhati-hati dalam urusan untuk memenangi hati masyarakat bukan Islam.

    PAS harus meletakan kepentingan menyampaikan Islam itu lebih dari politik kepartian. Politik kepartian hanyalah salah satu dari jalan untuk menyampaikan Islam.

    Karpal pula sebagai rakyat yang telah ditakdirkan oleh tuhan lahir dan menjadi rakyat Malysia, yang majoriti rakyatnya beragama Islam dan bertunggak kepada sistem raja berpelembagaan, haruslah tahu menghormati sensitiviti masyarakat lain.

    ReplyDelete