Wednesday, April 16, 2008

Pandangan Tulus

Polis Tidak Sepatutnya Menanam Saham Menyulitkan Abdullah

(kemaskini) IYA undang-undang tetap undang-undang. Ia tidak mengira siapa dan tidak mengenali keturunan, bangsa dan agama. Tidak kira rakyat biasa atau menteri. Tidak mengenali adik abang, isteri atau suami! Kalau seseorang itu didapati bersalah melanggar undang-undang yang dikanunkan, mereka harus diambil tindakan dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Namun ada satu 'difinasi' berhubung ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang ini. Di mana tindakan (perlaksaan undang-undang) itu tidak sekejam undang-undang itu dikanunkan. Misalnya kalau undang-udang yang didapati seseorang itu bersalah dan hukuman diperuntukan 10 tahun maka pesalah itu selalunya tidak dihukum semaksimunya, 10 tahun.

Di sini budi bicara dan ehsan manusia penggubal dan perlaksana undang-undang itu senantiasa wujud beriringan dengannya. Pesalah itu selalunya dihukum paling rendah atau sederhana dari jumlah hukuman itu sahaja. Sebab natijah dan falsafah hukuman itu sendiri untuk dijadikan pengajaran bukan penganiayaan!

Demikian halnya tidakan polis terhadap penganjur majlis Black 14 di kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru malam kelmarin, seharusnya mereka waras dan senantiasa menggunakan budi bicaranya. Tidak akan merealisasikan kehendak kanun (Akta Polis) berhubung kesalahan orang dalam kes itu yang diperuntukan di bawah Seksyen 27 Akta polis yang boleh dihukum denda sampai RM10,000 atau penjara satu tahun.

Apakah dalam hal ini polis tidak boleh menggunakan budibicra ada akal diplomasinya? Banyak ruang dan kebaikannya kalau polis menggunakan diplomasi dan tidak menunjukkan ego kekuasaanya bertindak ke atas penganjur yang mungkin melakukan kesalahan itu?

Kenapa harus disaman Dr Wan Azizah Wan Ismail, Khalid Ibrahim, Mohd Azmi Ali dah Yahya Shari? Apakah tidak ada ruang dan simpati polis untuk mendiamkan saja daripada berbuat demikian yang bakal menimbulkan kemarahan dan kebencian umum kepada polis?

Wahal malam itu - polis berjaya mengyuraikan majlis itu dengan selamat sudah menunjukkan kecemerlangan polis. Dalam keadaan orang puluhan ribu polis boleh menyelesaikan dengan baik, ia suatu kejayaan hebat. Apa kata kalau malam itu rakyat bangkit dan menunjukkan protes mereka? Sudah tentu perperangan saudara akan meletus dan mungkin ada yang luka dan rumput hijau kelab Sultan Sulaiman itu disirami darah!

Melihat kepada semangat rakyat malam itu mereka hanya menanti arahan saja untuk meledakkan kemarahan kepada polis. Manakala pasukan polis yang berjumlah ratusan di luar dan di dalam juga sudah bersiap sedia menghadapi seribu kemungkinan. Peluang untuk meletuskan kejadian buruk malam itu terbuka luas.

Tetapi Alhamdulilah kehendak polis agar majlis itu tidak diteruskan dicapai dengan baik. Anwar Ibrahim sendiri menenangkan orang ramai dan menghentikan ucapan serta merta. Kalau ikut perasaan, sokongan dan sebagainya Anwar boleh bercakap semahunya dan sedia untuk dihadap ke mahkamah kerana mereka yakin kelab itu sebagai perimis mereka. Lagipun bagi Anwar mahkamah adalah destinasi tidak asing lagi baginya.

Sudah terbukti sebelum ini saman yang dikenakan kepada individu politik yang berceramah dalam perimis mereka dilepaskan oleh mahkamah.

Jadi adalah elok kalau polis tidak memanjangkan tindakan ke atas keempat pemimpin PKR itu. Ia sepatutnya diselesaikan malam itu juga dan tidak perlu bangkit lagi keesokan harinya.

Apabila polis pagi-pagi buta lagi sudah hantar saman dan minta Azizah, Khalid, Mohd Azmi dan Yahya ke balai polis untuk memberi keterangan ia menampakkan sikap kejam pihak polis.

Dalam konteks ini orang tidak lihat kepada tugas dan tanggungjawab polis, tetapi rakyat akan melihat betapa polis begitu tegas dan keras ke atas pembangkang.

Dalam suasan hari ini, polis tidak sepatutnya turut memberi saham untuk menyusahkan Abdullah Ahamd Badawi bertegang dengan pembangkang. Apa yang wajar polis pantau ialah mengintai pertemuan-pertemuan sulit di kalangan Umno yang berusaha untuk menjatuhkan Abudllah sebagai Perdana Menteri.

Kerja itu rasanya lebih afdal dan tepat daripada terus-terusan menganggu dan bersikap berat sebelah kepada pembangkang. Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang baru, Syed Hamid Albar boleh fikirkan pandangan yang dilontarkan ini. [wm. kl 11:20 am 16/04/08]

No comments:

Post a Comment