Thursday, May 1, 2008

Luahan Rasa

Nostalgiaku di Hotel Perdana Turut Terjual

SAYU juga hati saya apabila membaca berita hotel tempat saya sering menginap di Kota Bharu telah dijual dan kini bukan lagi menjadi milik Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim. Hotel Perdana yang terletak di Jalan Mahmod, Kota Bharu telah dijual kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan harga RM26 juta.

Laporan dipetik turut sama dijual ialah kompleks sukannya dengan harga RM4 juta.

Setiap kali saya pulang ke Kota Bharu, hotel itulah menjadi tempat penginapan atau melarikan diri dari kesibukan untuk menulis ataupun bertemu dengan para informa politik saya hingga jam 4:00 pagi.

Di hotel ini juga menjadi bilik gerakan dan kamar analisa persendirian saya setiap kali tiba pilihan raya umum. Biasanya saya akan membawa anak-anak dan isteri sebagai teman pembacuh air atau berkongsi kedukaan bila parti kalah.

Seribu kenangan

Bukan saja kepada saya, hotel ini juga meninggalkan seribu kenangan kepada Naib Presiden Pas, Muhammad Sabu. Cuma kenangan itu mungkin berbeza!


Bertempat di Dewan Bunga Emas di hotel itulah perlancaran buku saya berjudul; Tuanku Ismail Petra: Idealisme dan Keprihatin an Kepada Agama, Bangsa dan Negara (foto bawah) dilancarkan. Ia disempurnakan oleh Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra. Turut sama berangkat Raja Perempuan Kelantan.

Pelancaran itu turut sama dihadiri Menteri Besar, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ahli-ahli Exco dan pegawai kanan Kerajaan Kelantan.

Peristiwa perlancaran buku itu kemudian diikuti dengan majlis makan malam yang juga dihadiri sama oleh Sultan Ismail, Raja Perempuan dan dua anakanda baginda Tengku Temenggong dan Tengku Amalin Ai'shah Puteri, memberi seribu kenangan dan nostalgia kepada saya. Saya rasa sayalah penulis kerdil yang mendapat keistimewaan seperti itu. Bahkan di Malaysia, saya kira sayalah satu-satunya penulis politik yang mendapat keraian begitu besar dan hebat.
Turut tergadai

Majlis itulah menjadikan saya tidak akan dapat melupai Hotel Perdana sampai kapan pun. Jadi apabila hari ini ianya sudah dijual, saya merasakan kenangan manis dan nostalgia saya di Dewan Bunga Emas kira-kira 14 tahun lalu itu juga turut sama tergadai. Ah...Sudin.. Sudin...!

Suatu yang tidak mungkin saya lupa bermula di hotel berkenaan juga; majlis pelancaran buku itu muncul satu lagi peristiwa yang tidak akan terlupa. Gara-gara buku berkenaanlah menyebabkan saya kemudian disaman oleh bekas Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud, menuntut saya membayar ganti rugi sebanyak RM20 juta.

Ekoran berlaku ketidak telusan mengenai kutipan majlis makan malam pelancaran buku itu juga menyebabkan saya disoal siasat oleh polis dan flat kediaman saya digeledah polis. Sepasukan polis lengkap dengan trak datang ke rumah saya, apabila saya telah menulis buku mengkritik pihak tertentu menerusi buku berjudul; Siapa Laga MB Dengan Sultan.

Banyak kenangan dan perisitwa bermula di hotel berkenaan.

Memanglah Hotel Perdana berada dalam keadaan menanggung kerugian sejak ke belakangan ini. Ura-ura ianya hendak dijual sudah lama kedengaran. Kalau kerana ianya tidak dibantah oleh Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mungkin urusan penjualannya sudah lama berlaku.

Memang hotel berkenaan tidak menguntungkan. Makin lama disimpan ia menjadikan bebanan kepada PKINK badan yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbirnya. Hutang lapoknya berlonggok dan makin banyak.

Hairan juga bagaimana hotel berkenaan boleh rugi? Kebanyakan majlis atau function Kerajaan negeri diadakan di hotel berkenaan. Ataupun pengurusan tidak profesional atau terlalu banyak potong harga diberikan kepada agensi dan individu kerajaan menyebabkan ia rugi?

Selalunya begitulah berlaku ke atas aset-aset kerajaan. Ia diambil kesempatan oleh orang tertentu untuk mendapat servis percuma.

Pelanggan Hotel Perdana juga makin hari makin berkurangan. Pelanggan mula melarikan diri kerana tidak ada perubahan dan suasana hotel berkenaan masih stail lama. Bukan itu saja karpet tidak berganti, peralatan eksesori lama, tv tidak berfungsi, plug rosak dan menyedihkan paip juga kadang-kadang meleleh macam budak kencing dedas. Bukan itu saja air yang keluar juga kekuningan bercampur karat.

Tidak mahu mandi

Anak lelaki bongsu saya pernah merungut dan tidak mahu mandi selama menginap di situ. Katanya hotel apa macam ni mak, busuk!

Disebabkan kekurangan dan kelemahan itu makin hari pelanggan mula meninggalkan Hotel Perdana dan mencari hotel baru yang lebih selesa dan menyediakan banyak kemudahan. Nasib hotel itu macamlah orang politik yang sudah tua, sudah tidak berpengaruh dan gagah lagi, di mana ia akan ditinggal dan dibiarkan bersendirian.

Apapun tindakan kerajaan Kelantan menjual hotel itu diharap langkah yang positif. Selepas ini semoga akan ada sebuah hotel baru yang dimiliki kerajaan negeri sebagai mengganti hotel berusia 28 tahun itu. Berapa banyak komisyen orang yang menguruskan penjualan itu jangan ditanya, nanti ada yang melenting macam kambing gila betina! [wm.kl 9:00 am 01/05/08]

No comments:

Post a Comment