Sunday, May 11, 2008

Rencana Umno

Catatan Sempena Hari Jadi Umno
Mencari Wadah Sebenar Melayu

MSO

KELAMRIN saya menerima satu set kertas kerja yang dibentangkan pada Kongres Permaufakatan Melayu yang berlangsung di Johor Bahru pada 2 - 4 Mei yang lalu. Seorang sahabat lama dari Kota Bharu, Nik Hadijah Nik Mahmood mengirimkan kepada saya. Ingatan kawan ini terhadap saya amat tinggi sehingga mengirimkan kertas-kertas bahasan berguna itu.

Saya percaya tujuannya mengirimkan ialah untuk berkongsi beberapa pandangan dan rumusan yang dibuat oleh pembentang kertas kerja berkenaan berhubung isu ketuanan Melayu yang hangat diperkatakan pada masa ini. Mungkin beliau juga mengharapkan saya tumpang sama mengulas dan mengupas menerusi tulisan kecil ini atau dimanfaatkan pada mana-mana kesempatan!

Kata kawan itu dia mencari saya pada kongres berkenaan. Apabila saya tidak ditemui beliau mengambil inisiatif menghubungi saya dan lantas mengirimkan kertas kerja berkenaan. Terima kasih dan saya mendoakan Allah s.w.t. memberi ganjaran yang layaknya!

Melayu terancam

Terasa rugi kerana tidak hadir pada kongres berkenaan. Khabarnya kongres berkenana hebat dan berjaya. Kehebatan itu mungkin disebabkan ia diadakan dalam suasana Melayu dikatakan terancam dan parti yang mendominasi Melayu selama 62 tahun (Umno) pula dalam kesakitan selepas dibelasah teruk dalam pilihan raya ke-12 lalu.

Kerana kesibukan menyusun buku baru, saya tidak sempat untuk menantapnya semalam. Baru sekejap tadi sambil bersiap untuk tidur saya menjamahnya. Selepas membaca kertas kerja Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengerusi MAS) berjudul 'Kedaulatan Perlembagaan Malaysia' saya menjamah dan menatap pula kertas kerja Prof Madya Muhammad Agus Yusuff, Pensyarah Program Sains Politik, UKM, berjudul 'Kedaulatan Politik Melayu'.

Pemikiran atau pandangan pensyarah sains politik ini berbeza, berani dan agak vokal berbanding dengan pensyarah lain yang begitu ceramat menjaga hati Kerajaan dan periuk nasi sendiri. Beliau bercakap secara terus terang dan mewakiliki jiwa orang Melayu sebenarnya, saya fikir begitu.

Ada beberapa hujah atau pandangan menarik yang dilontarkan Muhammad Agus dalam kertas kerja berkenaan berhubung penyakti dialami Umno yang patut menjadi perhatian orang Melayu dan telah mengundang saya untuk terus menatapinya.

Paling menarik bagi saya ialah mengenai penegasannya, tentang status Umno mengenai kedaulatan Melayu. Menurut Muhammad Agus kedaulatan Melayu bukan mutlak ditentukan oleh Umno tetapi ianya diteguhkan oleh elemen lain. Maknanya di sini bukan bermakna kalau Umno kuat kedaulatan Melayu menjadi kuat. Umno menurut Muhammad Agus bukan elemen menjadi kedaulatan Melayu. Ertinya kehilangan Umno bukan secara automatik Melayu roboh!

Keupayaan kita

Menurut Muhammad Agus ada dua elemen yang memperkuat dan mendaulatkan Melayu; Pertama, kedaulatan politik Melayu adalah ditentukan oleh keupayaan kita (orang Melayu) biarpun apa yang berlaku, teras pemerintahannya mestilah Melayu. Kedua, kesediaan kita untuk mempertahankan raja Melayu kerana itulah simbol kerajaan Melayu yang kita ada.

Dalam erti kata lain kedaulatan Melayu akan terjamin kalau Melayu dapat menjamin dua elemen itu. Di sini jelas bahawa kekuatan Umno dalam keadaan hari ini, (punah kepimpinan, korupsi, ego, dll) belum menjamin Umno kuat. Maknanya di sini orang Melayu tidak perlu merasa bimbang mengenai kedualatan Melayu kalau sekalipun Umno sudah hilang.

Meterjemah pandangan Muhammad Agus itu Umno bukan menjadi penentu kepada kedaulatan Melayu. Di sini boleh difahamkan bahawa Umno tidak mempunyai hak dan boleh mendabit dada mengatakan parti itu sebagai penjaga maruah Melayu. Umno tidak boleh mengatakan dialah pembela dan pejuang Melayu. Mungkin dulu ia, semasa mencapai kemerdekaan namun bukan hari ini lagi.

Pun begitu ada pendapat para sarjana bertentangan mengenai peranan dan perjuangan Umno dalam mencapai kemerdekaaan - membebaskan orang Melayu. Ada yang mengatakan ada puak lain yang lebih tulen dan ikhlas memperjuangkan kemerdekaan Melayu tetapi disengaja dilindungkan kerana kepentingan politik peribadi dan kerana sifat sejak azali orang Melayu, iaitu dengki dan khianat.

Kumpulan subversif

Golongan itu seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Beostaman, Ishak Haji Mohammad dan lain-lain di mana mereka ini dicopkan sebagai golongan kiri oleh Nasionalis Melayu, Umno. Lebih dahsyat lagi mereka ini dikelirukan sebagai kumpulan subversif yang tarafnya sama dengan gerakan Komunis!

Penegasan yang diajukan oleh Muhammad Agus itu seharusnya membuka mata dan minda Umno untuk melihat ke dalam diri mengenai masa depan Melayu ditangan mereka. Umno kena menginsafi kedaulatan Melayu tidak mampu lagi ditangani secara sendirian berhad.

Persoalan sekarang ini sekiranya pandangan Muhamamd Agus itu tepat dan benar dan boleh dikira ia menafikan keupayaan Umno dalam soal medaulatkan Melayu, jadi siapakah yang diharap akan membela Melayu?

Realitinya kesemua orang Melayu harus mengambil bahagian dalam memperkasa rumpunnya, namun mereka perlu berada dalam sebuah wadah atau organisasi bagi menjananya. Tidak mungkin semua orang Melayu mampu melaksanakan tanggungjawab itu secara bersendirian, berjuang dari atas tangga rumah masing-masing. Mereka harus diletak atau berada dalam sebuah bekas yang sama bagi mengerakkan jihad itu.

Dalam asepk politik jika diperhatikan selain Umno ada dua buah wadah yang dilihat sebagai kepunyaan orang Melayu dan menjadikan Melayu sebagai agenda perjuangan, iaitu Pas dan PKR. Apakah setelah Umno sakit orang Melayu boleh menyandarkan harapan dan masa depan mereka kepada kedua parti ini?

Pas adalah sebuah parti ditubuhkan untuk memperjuangkan Islam atau atas semangat dan kesedaran Islam. Secara automatik bila disebut Islam ianya difahamkan memperjuangkan Melayu. Perbezaan Pas dengan Umno hanya dari segi mentafsirkan perjuangan masing-masing. Umno memperjuangkan Melayu yang automatik memperjuangkan Islam, manakala Pas pula memperjuangkan Islam yang automatik memperjuangkan Melayu.

Istilah Islam

Yang membezakan mereka ialah pendekatan ataupun makenisme, taktik dan strategi perjuangan saja. Pas lebih mirip menggunakan wajah-wajah atau istilah Islam (Arab), manakala Umno berwajah Barat dan taktik-taktik sekular atau politik Machiavellisme. Kiblat pemikiran Pas kepada Timur Tengah manakala kiblat pemikiran Umno kepada Barat.

Orang memahami perjuangan Pas apabila parti itu kuat maka Melayu juga akan turut kuat. Tetapi apa yang menjadi masalah kini ialah Pas sendiri sudah mulai perlahan-lahan meredakan semangat Islamnya dan melupai agenda asalnya. Pas tidak lagi bersikap konservertif tetapi cenderung berubah menjadi sebuah parti pragamtis. Perubahan ini sejajar dengan kerencaman ideologi dan latar belakang pendidikan para pemimpinnya kini.

Jika diperhatikan beberapa pendekatan dan tindak tanduk pemimpin Pas saling tidak tumpah dengan Umno. Semua perangai ini akhirnya akan menatijahkan Pas sama seperti Umno. Peranan ulama di dalam Pas walaupun masih berfungsi namun tidak berapa ditonjolkan. Ada kepercayaan kehadiran ulama dan ustaz boleh menganggu jihad Pas.

Pekara paling kecil yang dapat diperhatikan dalam Pas ialah pemakaian imej Pas iaitu kupiah. Pengenaan imej ini tidak lagi konsisten tetapi terpilih pada tempat-tempat tertentu sahaja!

Dalam keadan ini apakah Pas relevan untuk mengambil alih peranan dan harapan yang disangkutkan kepada Umno untuk mendaulatkan Melayu? Kalau Pas diserahkan mandat tetapi fiil sama dengan Umno ia tidak membawa apa-apa erti.

Bersifat majmuk

Sebuah lagi parti Melayu ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kewujduana PKR yang pada mulanya diharap menjadi alternatif kepada Umno sangat besar sekali. Orang memberi tumpuan kepada PKR. Walaupun parti itu bersifat majmuk (multiracial) namun diharap ianya berpaksikan kepada Melayu. Tetapi sekali lagi ketulenan PKR sebagai sebuah parti Melayu nampaknya diragui umum. Politik baru Malaysia yang dibawa PKR seakan tidak meletakkan Melayu di hadapan.

Jadi kini kepada siapa yang boleh disandarkan oleh orang Melayu bagi mendaulatkan Melayu. Nampaknya kesemua ketiga-tiga parti Melayu dan dominan Melayu itu tidak menampakkan perjuangan Melayu yang jelas dan tulen. Kepentingan Melayu yang disuarakan dalam parti berkenaan hanya sebagai tempelan sahaja. Keadaan inilah membimbangan orang Melayu.

Ketegasan yang diperkatakan Muhammad Agus tadi, bahawa kedaulatan politik Melayu tidak ditentukan oleh Umno tetapi elemen lain; mempertahankan kontrek sosial dan juga menjaga simbol iaini raja-raja, (budaya dan adat Melayu- P) perkara benar dan perlu difikirkan bukan setakat direnungi. Kerana tugas itu dapat dibuat oleh oragan yang mewakili Melayu dan bukan secara individu oleh orang Melayu. Masalahnya pula organ Melayu itu kini semuanya rosak atau menghadapi musim kemandulan!

Justeru jalan keluar dari masalah ini hanya ada dua sahaja. Pertama badan siasah Melayu baik Pas, Umno dan PKR kena kembalikan kepada asal penubuhan dan mempraktikan politik seperti mana termuat dalam perlembagaan masing-masing. Sebaiknya untuk mempercepatkan proses ini ketiga parti berkenaan perlu bersatu dan bergabung.

Dan keduanya; apakah mungkin orang Melayu perlu mengagaskan sebuah pertubuhan baru yang terhidar daripada memiliki elemen politik yang diamalkan oleh Umno, Pas dan PKR hari ini? [wm.kl 1:00 pagi 11/05/08]

1 comment:

  1. Saudara Sayuti,

    Saya tidak mahu menyentuh soal ketuan Melayu tetapi mahu menyorot sedikit sikap para ilmuan dan para sarjana (dalam blog DSAI dia menyebut sarjana upahan)yang sebuk mengadakan kongres ketuanan Melayu sekarang ini.

    Kenapa selepas PRU 12 ini baru mereka sebuk berkongres untuk mencari formula penyatuan Melayu? Kenapa tidak sepuluh atau dua puluh tahun dulu?

    Selepas UMNO hilang enam negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) dan UMNO tak dapat 2/3 majoriti di parlimen, baru perasan Melayu berpecah?

    Tidakkah mereka lihat apa yang telah UMNO lakukan kepada orang-orang Melayu di Kelantan dan Terangganu, yang dibawah pentadbiran PAS.

    Bukan sahaja dianaktirikan dari segi bantuan, malahan hasil royalti minyak negeri itu pula dirampas.

    Bukankah majoriti rakyat Kelantan dan Terangganu itu orang-orang Melayu. Pemerintahnya PAS, tetapi mereka orang Melayu...

    MCA dan MIC tidak akan berani menyuarakan supaya orang-orang Kelantan dan Terangganu ditekan, tetapi yang durjananya pemimpin-pemimpin Melayulah yang berbuat demikian.

    Bila berlaku sengketa politik kalangan pemimpin, berapa ramaikah usahawan-usahawan Melayu yang dilihat cenderung kepada pihak lawan, telah ditekan dan tidak diberikan projek kerajaan. Ramai kalangan mereka akhirnya terpaksa tutup kedai dan setengannya jatuh bangkrup.

    Semua ini berlaku semasa sengketa Tun Mahathir dengan Dato' Musa, Tengku Razaleigh dan DSAI.

    Siapa yang rugi? Bukankah orang-orang Melayu...

    Tetapi dimasa itu, dimanakah para sarjana dan tokoh-tokoh ilmuan yang bercakap soal ketuanan Melayu sekarang ini?

    Benar seperti kata saudara Sayuti, "mereka cuba menjaga hati kerajaan dan periok nasi".

    Wahai para iluam dan para sarjana Melayu, muliakanlah diri mu dari mengutip "reja-reja" (sisa) yang dihulurkan oleh penguasa, demi menutup keburukan perangai mereka.

    abd rahim kassim

    ReplyDelete