Abdullah, Najib Perlu Tanggungjawab
KEKALAHAN BN di pilihan raya kecil Permatang Pauh bukan sesuatu yang boleh dianggap biasa seperti mana kata Muhammad Mohd Taib sewaktu diwawancara secara langsung oleh sebuah stesen tv.
Begitu juga alasan dikemukakan oleh Pengarah pilihan raya itu, Mohd Najib Razak kononnya jenteranya tidak berkesan, tidak mahu akal.
Cuba kalau pilihan raya itu berpihak kepada Ariff Shah Omar Shah, tentu ulasannya bukan seperti itu. Pasti Muhammad Mohd Taib dan semua pemimpin BN akan menunding jari dan mengherdik Anwar sambil membuat kesimpulan mudah bahawa kekalahan Anwar itu sebagai berakhirnya hayat politik Anwar.
Apakah kata-kata itu tidak boleh dipulangkan kepada Umno apabila calonnya kalah? Bahawa Umno kini berada dalam keadaan ‘kuning mata’ dan makin hilang kepercayaan rakyat kepadanya. Umno kini tak ubah seperti orang tua mati pucuk atau orang muda yang inpotem.
Kekalahan itu tidak perkara biasa, tetapi amat luar biasa sekali. Mengapa? Kerana ahli Umno sendiri menolak calon mereka. Dan Anwar pula merekodkan dua kemenangan sekaligus, menang dan majoritinya melebihi undi yang diraih oleh lawan. Perkara seperti ini jarang berlaku dalam pilihan raya kecil yang selalunya menunjukkan parti kerajaan unggul.
Kalau ahli sendiri menolak kepada siapa lagi Umno hendak harapkan undi? Apakah diharap kepada lembu, kambing, kerbau dan ayam itik?
Ahli BN Permatang Pauh sebanyak 26,942 dari jumlah itu ahli Umno saja sebanyak 19,442 orang. Undi yang diperolehi Ariff Shah hanya 15,524. Bermakna kurang separuh ahli BN/Umno tidak mengundi atau tidak keluar mengundi. Tidak mengundi dan tidak keluar mengundi ertinya tidak mahu kepada Umno, tidak suka kepada Umno. Mereka juga mungkin sudah tidak terliur kepada tawaran duit lagi. Umno biasanya akan membuat tawaran wang ringgit dalam meraih undi!
Kerana kekalahan itu perkara luar biasa maka wajar kalau pemimpin utama Umno mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Ia tidak boleh setakat melakukan postmortem seperti mana dilakukan selepas pilihan raya-pilihan raya lain namun perlu melakukan tindakan jauh lebih berani dan bertanggungjawab dari itu.
Dan kekalahan itu tidak boleh disalahkan kepada bumi yang tidak sekata, tetapi harus disalah kepada diri sendiri yang tidak tahu menari.
Pertamanya Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan kedua sebagai Presiden Umno kena bertanggungjawab. Beliau kena memikul risikonya. Kena bertanggungjawab kepada Umno Pulau Pinang dan kedua kena bertanggungjawab kepada Umno Malaysia. Abdullah harus melakukan harakiri dengan kekalahan memalukan itu!
Kalau beliau tidak mahu mengambil tanggungjawab sebagai Presiden, tetapi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang beliau tidak dapat lari. Kekuatan dan kelemahan atau apa-apa saja yang menimpa Umno Pulau Pinang adalah dibawah tanggungjawab beliau. Siapa lagi tuan Umno Pulau Pinang kalau bukan Abdullah bin Ahmad Badawi?
Namun sehingga kini Abdullah diam membisu. Seolah beliau masih mengira pilihan raya itu belum diadakan. Belum kedengaran apa-apa ulasan daripadanya. Mengapa? Mudah saja jawabnya mungkin kerana Abdullah sudah merasakan beliau tidak bertanggungjawab lagi. Hal Umno diserahkan kepada Mohd Najib seratus peratus. Najiblah yang perlu memiku malu dan risiko itu kerana Abdullah dijangka berundur menjelang 2010.
Melihat nasib yang diterima oleh Umno berpandukan pilihan raya kecil Permatang Pauh itu jelas Umno berada dalam sakit. Umno memerlukan penjagaan dan pengubatan yang mujarab. Kalau Umno tidak peka kepada apa yang dialami kini, mungkin parti itu akan dibaham maut tidak lama lagi. Paling lama ialah pada pilihan raya ke – 13 kelak seperti mana diramalkan kebanyakan pemimpin politik termasuk pemimpin Umno sendiri.
Dalam masalah ini Umno perlu segera menukarkan kepimpinnya. Mungkin Abdullah sudah tidak relevan untuk meneruskan kepimpinannya sehingga pilihan raya umum akan datang. Benar seperti kata ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, kekalahan BN di Permatang Pauh itu menunjukkan harga diri Abdullah sudah tidak laku lagi. Wibawa Abdullah dan timbalannya sebagai pemimpin sudah terhakis.
Umno tidak boleh mengharapkan kepada Najib untuk mengganti Abdullah dan memulihkan Umno. Masalah yang tertompok atas belakangnya menyebabkan tidak mungkin Najib akan dilihat pemimpin yang lebih bersih dan baik daripada Abdullah. Umno mungkin menjadi makin teruk lagi kalau diserahkan kepada anak bekas Perdana Menteri itu.
Makanya sempena pemilihan pucuk pimpinan parti berkenaaan Disember depan seharus ahli Umno mengambil peluang itu untuk menyalin pimpinan tertinggi parti itu. Tanpa penyalinan pemimpin sudah pasti Umno akan terus dirundung malang dan tidak mustahil Umno akan berkubur sebelum menjelang pilihan raya akan datang! [d' kota kl 8:30 pm 27/08/08]
Kita masih mahu bercakap dari hal UMNO biarpun dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh itu sebenarnya atas nama Barisan Nasional (BN). Parti-parti komponen BN tentulah merasa kecil hati kerana penglibatan mereka tidak disebut. Pada hal mereka juga menyumbang tenaga.
ReplyDeletePada sisi lain, cuba kita renungkan sejarah.
Dalam Pilihanraya Umum 1969 (PRU69) terlihat tanda-tanda bahawa Perikatan yang merupakan gabungan UMMO, MCA dan MIC juga semakin ditolak rakyat atas sebab adanya elemen perkauman.
Peristiwa 13 Mei yang turut memberi kesempatan Parti Komunis Malaya (PKM) memainkan peranan sama ada menerusi propaganda menerusi corong radio (Suara Revolusi Malaya) atau perjuangan bersenjata.
Kebijaksanaan Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri menjenamakan Perikatan sebagai BN dengan menggabungkan beberapa buah parti termasuk PAS kemudian dapat mengukuhkan kembali UMNO yang menjadi tulang belakang BN.
Setelah kedudukan BN stabil, PAS tiba-tiba disingkir. Tetapi apabila Dato Seri Anwar Ibrahim berada di barisan kabinet, BN dilihat begitu cemerlang. Bila beliau yang pada masa itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, disingkirkan BN terpaksa berpura-pura hebat sekalipun Terengganu terlepas dalam Pilihanraya Umum 1999.
Dalam Pilihanraya Umum 11 (PRU11) 2004 BN berjaya meraih kemenangan besar dan hal ini meyakinkan ia bakal melakar kemenangan besar juga dalam Pilihanraya Umum 12 kelak dan khabarnya begitu angkuh menolak bila PAS mencadangkan agar mereka bermuzakarah. Hampir semua perancangan PAS hendak disekat.
Tapi Allah Maha Kaya dan Maha berkuasa lalu berlaku apa yang disebut 'tsunami politik'. Empat buah negeri terlepas kepada pembangkang yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat (PR) disamping dapat kegagalannya merampas Kelantan yang sudah 18 tahun dikuasai PAS.
Sewaktu Allahyarham Tun Husin Onn jadi Perdana Menteri dahulu khabarnya beliau hampir-hampir mengharamkan Angkatan Belia Islam (ABIM).
Ketika Tun Mahathir jadi Perdana Menteri, kalau tak silap ada ura-ura nak mansuhkan sebutan Islam pada nama parti politik, tetapi tidak dapat direalitikan. Bagaimanapun terdapat hal lain yang jadi 'kosmetik' terhadap anti-Islam. Tak perlulah disebutkan hal ini tetapi cuba renungkan.
Akhir kata kita ingin bertanya: Adakah BN akan tukar jenama lagi?