Tuesday, January 6, 2009

Perutusan

Selamat Berpilihan Raya Kuala Terengganu

SAAT ini semua pihak parti politik yang akan mengambil bahagian (bertanding) dalam pilihan raya kecil P 036 Kuala Terengganu sudah bersiap sedia untuk menunju ke pusat penamaan calon.

Penyokong masing-masing mula turun dari rumah atau tempat penginapan dan berhimpun sebaik saja selepas Subuh. Tentunya masing-masing datang dengan semangat berkobar-kobar. Yang pastinya bendera atau lambang parti menjadi 'senjata' mengiringi perarakan yang akan bermula kira-kira sejam lagi.

Akan riuh randahlah Kuala Terengganu dengan sorakan dan takbir oleh penyokong parti. Calon-calong diiringi dengan gilang gemilang bagaikan pengganti baru.

Kepada semua pihak yang bertanding diucapkan selamat bertanding dan berjuang. Demokrasi membenarkan kita beradu kekuatan antara satu sama lain. Sesiapa pun berhak mengambil bahagian dan menjanjikan apa juga kebaikan kepada rakyat.

Cuma dalam pertandingan itu ingatlah kepada diri kita sebagai orang Melayu dan bangsa Malaysia. Umat dari bumi di sebelah Timur yang penuh dengan kesopanan dan kesantunan. Tunjukkan semangat demokrasi tulen berdasarkan budaya dan nilai budu kita.

Jangan sesekali hendaknya berlaku sesuatu yang menjolok mata, caci mencaci dan maki hamun sesama sendiri, kejadian itu kurang elok. Batasi emosi masing-masing dan laluilah demokrasi dengan semangat yang tinggi.

Perjuangan untuk merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu bukan perjuangan terakhir ataupun ibu perjuangan sebenarnya. Justeru tidak perlu pilihan raya itu dijadikan tempat untuk mengistyharkan untuk berkerat rotan berpatah arang antara satu sama lain.

Pejuangan bangsa yang lebih besar masih ada di hadapan iaitu untuk menjaga kesejahteraan dan mempastikan negara ini terus berdaulat.

Jadikan pilihan raya di Kuala Terengganu itu sebagai kiambang selepas berlalunya biduk. Apa salah? Kedua pihak Umno - Pas mempunyai cita-cita dan matlamat sama cuma mereka dibezakan oleh pendekatan dan keyakinan sahaja.

Sepatutnya mana yang kurang dalam Umno ditambah oleh Pas, mana yang lemah dalam Pas diperkuat oleh Umno. Peranan PKR dan parti-parti lain juga boleh bertindak menjadi rangsangan menyuburkan lagi demokrasi demi memajukan nusa. Itu sepatutnya berlaku! Bolehkah dilakukan demikian?

Kepada kira-kira 80,000 pengundi Kuala Terengganu diharap mereka tidak akan mabuk dan mudah terpesona dengan janji bersifat sementara yang dilontarkan di sepanjang kempen berkenaan. Gunakan akal fikiran sebelum memangkah. Gunakan medan pilihan raya itu untuk merobah masa depan yang lebih terjamin lagi bukan saja di dunia tetapi akhirat juga.

Perubahan yang besar itu bermula di medan yang kecil. Kuala Terengganu... apakah akan membawa TERANG kepada mereka yang menang? [wm.kl 7:15 06/01/08]

No comments:

Post a Comment