Thursday, March 26, 2009

Dari PWTC

Lagi Ulasan Kemenangan Khairy

RUMAH siap pahat masih berbunyi. Itulah sering berlaku dalam budaya dan tradisi kita. Kata orang adat pertandingan ada kalah dan ada menang. Yang menang tentu gembira manakala yang kalah berduka nestapa dan menyesal tidak sudah.

Mengenai pertandingan ketua pemuda semalam, calon yang kalah kena menerima kekalahan mereka. Mukhriz Mahathir menyifatkan ia sebagai adat dan kekalahan itu bukan bermakna perjuangannya sudah selesai.

Suara dari halkum kekecewaan itu sama dengan tagline perjuangan ayahnya, perjuangan belum selesai. Perjuangan tidak akan selesai selagi hayat dikandung badan. Bila sudah meninggal dunia baru perjuangan berakhir. Perjuangan baru akan bermula, menjawab sebagai persoalan di atas dunia termasuk soal rasuah, fitnah, adu dombak dan sebagainya.

Memerhati keadaan semalam Mukriz lebih berani dan 'bertelor' berbanding dengan Khir Toyo. Kelibat Khir tidak nampak pada saat pengumuman hendak dibuat. Khairy saja ke sana ke mari tidak dapat menahan gelodak kegembiraanya. Keberanian Khir melawan Karpal Singh rupa-rupanya satu sandiwara sahaja.

Kenapa Khir tidak muncul? Bukankah Khir seorang pemberani dan seorang beriman, kata Yahaya Ismail. Seorang beriman perlu bersifat tawadauk dan sabar dengan apa saja yang berlaku. Juga hendaklah redha atas qadar dan qada Allah s.w.t.

Kemenangan Kahiry tidak dapat diterima oleh para penyokong Mukhriz. Mereka mempertikaikan tentang Khairy yang dikenakan amaran setelah bersalah terlibat dengan politik wang. Penyokong Mukhriz mencerca dan melaung Khairy rasuah, Khairay rasuah.

Bantahan itu sudah terlewat dan tidak ada gunanya. Kenapa tidak dibuat awal-awal lagi.

Sepatutnya penyokong Mukhriz bergabung dengan Kadar Shah Sulaiman Shah dan Mazlan Harun yang pertikaikan keputusan Lembaga Disiplin dan pengurusan Umno. Tetapi setelah rumah siap baru pahat nak berkokok tidak kenalah.

Kalah terima sajalah kekalahan itu. Kahiry pun tidak mengaku dengan menang. Lebih separuh perwakilan tidak menyokongnya. Dia hanya mendapat 304 undi ini bermakna 486 tidak menyokong beliau. Kedudukan Khairy tidak selesa dan perlu bijaksana dalam mengendalikan Pemuda. Khairy memerlukan ilmu pengasih bagaimana hendak menjinak semua pemuda di bawah kepimpinannya.

Ada sedikit analisa mengenai pertandingan pemuda semalam. Mulanya Khir Toyo berada dalam keadaan selesa. Khir telah meraih sokongan lebih 350 undi. Mukhriz hanya kira-kira 135 perwakilan sahaja, manakala Khairy sekitar 300 undi. Undi Khairy ini adalah undi semula jadi. Sejak awal itulah jumlah undi Khairy... ia tidak bertambah dan tidak berkurang.

Bagaimana pun nasib Khir malang bila berlaku swing disaat-saat akhir. Pengundi Khir telah berpindah kepada Mukhriz inilah yang menjahamkan Khir. Perpindahan itu juga tidak cukup memenangkan Mukhriz dan situasi inilah menyelamatkan Khairy yang sudah pun bernyawa ikan itu.

Perpindahan undi (undi pecah) yang disifat Khairy sebagai pemuda berani itu berlaku setelah pemuda arif menghayati ucapan dan mesej yang disampaikan oleh Najib Razak dan juga Hishamuddin Hussein. Faktor lain juga mungkin disebabkan Pemuda terikut dengan rentak cakap-cakap mengatakan regim Mahathir akan kembali menguasai Umno.

Mungkin mereka percaya kepada dendangan itu menyebabkan pemuda yang cerdik dan membawa semangat kepemudaan terpaksa mengorbankan Mukhriz kerana kalau Mukhirz menang benih Mahathir akan menyubur dalam Umno semula.

Di sinilah silapnya Mukhriz bila nak berlawan membenarkan bapaknya masuk campur. [pwtc kl 9:15 pm 26/03/09]

1 comment:

  1. salam,

    kalah menang memang adat bertanding. terima sahaja kekalahan dan berusaha untuk masa akan datang. at least mukriz berani berdepan dan menerima kekalahan. khir toyo? missing in action. for now, kita tengok la khairy whether dia bleh stand alone after pak lah bersara..

    ReplyDelete