Tuesday, March 3, 2009

Wacana Pagi

Raja Lawak Sama Dengan Demokrasi

PARA pengulas dan penganalisa hiburan tanah air mengkritik hebat mengenai keputusan pengundi SMS yang memilih Mohammad Amirullah Azmi (Amir) (foto) dari Wakaf Che Yeh Kelantan untuk memasuki ke peringkat akhir Raja Lawak. Pemilihan Amir itu nampaknya tidak disenangi dan ada yang merendah-rendahkan kemampuannya sampai menyebut fasal fizikalnya. Rata-rata mempersoalkan pemilihan itu tidak berdasarkan kepada hakiki kebolehan dan bakat beliau sebenarnya.

Mulanya saya tidak mahu mencampuri isu ini dan biarlah hiburan dikerjakan oleh mereka yang
pakar dan fasih dalam hal ini. Tetapi kerana senario yang diihadapi Amir itu ada persamaan dengan dunia politik, dan kritikan ke atasnya melampau maka tergerak juga untuk mengulas dan memperkatakannya.

Secara jujur saya juga menonton rancangan berkenaan. Walaupun mutu lawaknya tidak cerdik, tidak berkembang dan hanya layak ditonton budak Tadika serta kadang-kadang sungguh menyempah kerana kebabilannya gagal mengubahkan gaya persembahannya walaupun setiap kali ditegus tetapi demi nak release tension, terpaksa juga menontonnya.

Menonton racangan itu ternyata ia lebih seronok berbanding dengan mendengar ceramah ahli-ahi politik yang tidak mahu berfikir jauh dan beretorik serta tidak pernah habis-habis memburukkan antara satu lain. Yang mengakui diri sendiri baik dan pihak lain semua salah.

Saya juga tidak menafikan ulasan dan kemarahan penulis hiburan mengenai Amir itu. Tetapi bila marah dan merendah-rendahkan Amir secara berlebihan saya terpaksa campur tangan sikit. Dalam hal ini Amir tidak bersalah, yang perlu dipersalahkan ialah kepada pemilih mereka yang menghantar SMS mengundinya.

Merekalah yang perlu dimarahi dan dipersoalkan. Namun itu juga tidak adil kerana itu adalah hak pengirim, mereka sanggup menghabiskan duit untuk menyokong mana-mana peserta yang mereka suka mengikut citarasa mereka sendiri. Kita tidak pun tolong top-upkan kredit untuk mereka. Mereka tidak peduli fasal bakat dan kualiti tetapi ada perkara lain yang mereka utama dan lihat.

Cuma bila mengenangkan kejayaan Amir memasuki ke peringkat akhir itu saya teringat kepada dunia politik. Apa yang berlaku dalam raja lawak itulah juga berlaku dalamn dunia politik, di mana selalunya mereka yang jujur, ikhlas dan cerdik selalu kalah. Senario pemilihan Amir itulah juga yang menjadi senerio dalam dunia politik itu berlaku.

Jika orang hiburan mempertikaikan pemilihan Amir, maka penganalisa politik juga mempertikiaikan pemilih calon dan pemimpin dalam sistem demokrasi. Pemilihan wakil rakyat atau pun pemimpin dalam parti bukan berdasarkan kredibiliti, bakat, kebolehan seseorang tetapi berasas kepada perkara yang di luar keperluan itu yang dipengaruhi unsur-ussur ketidakadilan malah elemen-elemen kotor.

Sekali pandang mereka juga senasib dan sama dengan Amir. Dalam politik mereka bukan saja yang tidak berbakat, berkualiti, tetapi yang hamprak dan rendah moral pun diangkat dan dipilih menjadi calon dan pemimpin. Janjinya mereka ada wang, ada kuasa dan ada orang yang sedia menaungi mereka. Untuk dinaungi ini pula mesti oleh god father kena pandai membodek dan menjadi pak sanggup.

Sebab itu dalam politik orang yang bodoh memimpin orang yang cerdik! Mereka yang ada prinsip, tidak mahu terlibat dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan tergamak menjadi ketam di mana untuk melepaskan diri sanggup memijak belakang kawan tidak mahu menyertai politik atau kalau menyertai politik tidak akan berjaya.

Di sini bukan salah mereka, tetapi salah pengundi yang perlu dipersalahkan. Seperti Amir itu juga bukan salah mereka tetapi salah penghantar SMS yang mengundinya.

Seccara adil dan jujurnya juga pemilihan itu bukan salah pengirim SMS atau salah pengundi yang memilih calon dan pemimpin berkenaan. Yang salah ialah sistem atau ruang yang disediakan itu. Bila ada ruang dan kesempatan pengundi akan melakukan mengikut kehendak mereka tanpa dapat dikawal oleh mana-mana pihak.

Dalam isu Amir itu salahnya ialah Astro yang membuat pertandingan raja lawak itu dengan format demikian. Apa-apa keputusan hendaklah dihormati. Begitu juga pemilih pemimpin bodoh, rendah moral, jahat dan sebagainya dalam politik bukan salah pengundi, tetapi salah format – sistem demokrasi yang memberi ruang bagi mereka memilih pemimpin jenis itu.
Apa lagi kalau ada pengundi yang senang dipengaruhi serta dicampur dengan bodoh dan ada pula sedia untuk menerima imbuhan mudahlah diperangkap dalam sistem demikian.

Kesimpulannya kalau nak salah, salahkan kepada sistem yang diwujudkan itu. Salah kepada pencipta rancangan raja lawak itu dan bukan kepada pesertanya. Begitu juga mengenai terpilihnya pemimpin bodoh, kena salahkan kepada sistem demokrasi atau peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah parti itu. Satu cara untuk menyelamatkan ini kembalikan kepada kebenaran sistem pemilihan dan ruang itu perlu dihapuskan. [wm.kl 6:00 am 03/03/09]

1 comment:

  1. Ternyata selama ini pemimpin2 Umno dan Malaysia dipilih dgn sistem yg rosak dan pelawak2 ni lah yg menjadikan Malaysia khususnya di perak sebuah teater lawak yg terbesar dlm sejarah

    ReplyDelete