Tuesday, April 28, 2009

Ulasan Isu

Najib: Selepas Tamu Nak Balik Baru Nak Buka Pintu

KATA presiden Umno, Mohd Najib Razak, Umno sepatutnya tidak menjadi parti yang eksklusif sebaliknya bersifat inklusif. Apa yang dimaksudkan Najib Umno tidak boleh jadi parti dianggotai kaum elit sahaja sebaliknya ia perlu menjadi milik semua orang termasuk kaum lain dari semua lapisan masyarakat.

Apa yang Najib hasratkan Umno bukan saja menjadi hak orang Melayu tetapi semua rakyat Malaysia! Parti semua kaum dan etnik.

Selain itu katanya Umno juga tidak boleh mengekalkan budaya meminggirkan pihak tertentu yang dianggap tidak menyokong pihak tertentu. Ertinya Najib tidak mahu politik cantas mencantas atau cas kenting berlaku dalam parti berkenaan.

Apakah ini permbaharuan dan islah yang Najib nak bawakan? Najib sedang bergerak ke araha meliberalisasikan keahlian Umno. Menjadikan Umno parti majmuk untuk semua orang seperti mana slogannya Satu Malaysia.

Najib berkata demikian pada majlis makan malam disambutan 15 tahun Umno Cheras di Kuala Lumpur malam tadi.

Hasrat Najib itu memang bagus dalam tindakan untuk memperkasakan parti Umno. Umno perlu diselamatkan sekiranya ia tidak mahu kehilangan kuasa di atas muka bumi ini. Tetapi cadangan dan pembaharuan itu dilihat sudah terlewat. Keghairahan Umno kepada perjuangan Melayunya selama ini perlahan-lahan telah memakan diri Umno sendiri.

Pemulihan yang hendak dilakukan Najib menerusi pendekatan dan perubahan baru itu sudah begitu lambat. Kesedaran serius itu setelah Umno berada dalam keadaan parah dan hilang kepercayaan umum kini. Tidak ada apa-apa tali hayat lagi yang bisa menyelamatkan Umno.

Najib terpaksa membuat anjakan itu mungkin setelah beliau menyedari bahawa orang bukan Melayu tidak lagi boleh menjadi pemangking kepada kekuatan politik Umno. Manakala dari sehari ke sehari jurang di antara orang bukan Melayu dengan Umno semakin senggang dan menjarak. Sesetengah orang bukan Melayu melihat Umno sebagai zalim terhadap mereka.

Apa yang membuatkan keadaan ini ialah kerana dasar dan pendekatan diamalkan selama ini. Politik menyanjung bangsa meneteskan perasaan cemburu dan prejudis yang tinggai di kalangan kaum. Walaupun banyak teguran dan kritikan dilemparkan namun Umno supaya meninggalkan dogma itu ia tidak pedulikannya. Umno lebih percaya monopoli kuasa olehnya menyebabkan parti itu akan kuat selama-lamanya.

Hari ini keadaan berbeza sama sekali. Pihak pembangkang, begitu kuat dan semakin mendapat perhatian. Kemaraan pembangkang untuk menguasai Malaysia kini tidak boleh dihalang oleh apa-apa kuasa lagi melainkan berlaku bencana dan musibah besar kepada pakatan itu.

Hari ini orang Cina maupun India yang masih menerima Umno hanya mereka yang berkepentingan saja untuk menyelamatkan diri dan harta. Sokongan itu umpama menanam tebu di bibir mulut saja.

Lantaran itu cadangan dan hasrat Najib itu dilihat sebagai usaha Najib ke arah untuk meliberalisasikan Umno. Serentak itu ia sekaligus menggambarkan ianya sudah terdesak. Kerana masalah ini tidak mustahil kalau di masa depan Najib akan mencadangkan supaya semua parti komponen BN dibubarkan di BN didaftarkan sebagai sebuah parti.

Pembubaran atau perwujudan parti BN itu bukan dilihat sebagai jalan memperkuatkan Umno atau parti-partinya, sebaliknya ia memperlihat betapa Umno terpaksa mencari tali hayat dengan perubahan itu. Kalau tidak meleburkan Umno bersama komponen lain dalam BN, menyebabkan Umno semakin cepat akan berkubur.

Sepatutnya Umno sudah lama memikirkan ke arah itu menjadikan Umno tidak saja untuk orang Melayu dan menanggalkan semangat nasionalisme. Perwujudan parti-parti atas nama kaum inilah yang memecah belah perpaduan dan menguatkan sentimen perkauman. Jika Pas yang satu masa dulu dilihat bergitu taksub dengan agamanya boleh meliberalkan parti untuk menyesuaikan dengan perubahan masa apalah salah Umno. Umno lebih senang dinuteralkan berbanding dengan Pas.

Apabila baru kini Umno berfikir demikian ia menampakkan Umno sudah terlewat dan terdesak. Cara Najib nak buka pintu Umno kepada semua masyarakat dan lapisan itu tak ubah seperti gelagat tuan rumah yang baru hendak membuka pintu kepada tetamu yang sudah lama mengetuk dan memberi salam ditangga. Langkah itu sudah terlewat kerana tetamu sudah pun berpaling punggung untuk pulang.

4 comments:

  1. Salam.

    Kalau Najib nak jadikan UMNO parti berbilang kaum ... bubarkan saja UMNO tu dan jadikan Barisan Nasional sebagai satu parti. Yang akan menjadi masalahnya nanti, siapa yang akan menjadi dominan? Sudah pasti sesiapa sahaja boleh menjadi presiden!!! Adakah Najib sanggup ini berlaku?

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  3. Secara logiknya kalau umno buka keahlian kepada semua bangsa bermakna mereka seolah membunuh diri. Maksud lain umno akan pupus.

    Tetapi rasanya tidak berlaku begitu. Kerana bagi saya ahli umno hanya menurut apa yang dikatakan oleh ketua mereka.

    ReplyDelete
  4. Salam MSO,

    Saya bersetuju dengan dengan komen komen diatas. UMNO seharus hanya untuk bangsa Melayu dan bukan untuk semua kaum. Jika terbukanya keahlian untuk semua kaum, ini bermakna bangsa Melayu sudah tidak mempunyai tempat mengadu kerana tiada parti yang khusus untuk bangsa Melayu. Ini hanya menguntungkan PR sahaja. Selain itu sudah pasti UMNO akan mempunyai masalah birokrasi di mana semua kaum mahu memastikan wakil wakil mereka berada di atas. Ada baik nya konsep Satu Malaysia digunakan pakai di peringkat BN sendiri dan tidak perlu lah untuk digunakan dalam UMNO. Hanya akan merugikan sahaja.

    ReplyDelete