SEMUA pihak sependapat bahawa kemenangan Pas di dalam pilihan raya Parlimen Bukit Gantang kelmarin kerana sokongan pengundi Cina. Baik BN, Pas dan penganalisa politik bebas bersetuju dengan hakikat itu. Berapa peratus undi Cina masuk ke dalam peti undi Pas, belum ada perangkaan yang tepat dan rasmi dikeluarkan.
Ada yang kata lebih 75%, ada yang kata lebih 80%. Berapa peratus pun hakikatnya Cina memberi kemenangan kepada Pas. Kemenangan kerana adanya semangat perkongsian untuk melihat UBN kalah.
Perkembangan ini – sokongan Cina melebihi 50 peratus mengejutkan. Ia membuka satu dimensi baru dalam politik berbagai kaum negara ini. Sekaligus orang Melayu melihat aliran ini dengan berbagai perasaan. Melayu Pas tentu gembira kerana orang Cina menyokong mereka, dan mereka mendapat kerusi itu. Manakala Melayu BN pula merasa sedih dan bimbang kerana sokongan itu bakal melemahkan kekuasaan politik mereka di masa depan sekiranya trend ini berkekalan.
Yang nyatanya Pas kini mula mengutip hasil dari penyemaian bibit politik baru dengan slogan Pas for all. Pas kini mula memasuki acuan politik baru. Dengan maslahat untuk mencapai kemenangan Pas rela meleraikan dasar Islam konservetifnya dan ternyata tindakan ini membawa hasil.
Berlainan pula dengan Umno. Kekalahan mereka kerana tidak mendapat undi Cina mengecutkan perut. Umno mula berfikir songsang kini kerana trend pengundi Cina juga mulai songsang. Kalau dulu Umno menguasai undi Cina dan menjadi sekutu terbaik mereka kini kezaliman itu sudah berubah. Sebab-sebab perubahan tersebut Umno ada jawabannya.
Saya sendiri dalam melihat perkembangan ini diasak oleh dua perasaan gembira dan cemas. Gembira kerana Pas kini sudah mula mengorak langkah ke arah pendekatan politik baru. Pas berjaya memecahkan kejumudan mengenai perbezaan budaya dan agama dalam berpolitik.
Perhubungan antara kaum, Pas, PKR dan DAP yang dapat saya saksi sendiri semasa ceramah di malam kedua terakhir di Tebok, Trong, Bukit Gantang sungguh mengharukan. Betapa ustaz Pas berkupiah bersalaman dan berdakapan dengan pemimpin PKR berbangsa India dan Cina. Saya tengok pemuda Pas tidak kekok untuk duduk berdampingan dengan isteri atau kekasih pemimpin PKR berbangsa Cina. Situasi ini sungguh muhibbah sekali dan tidak terfikir pada tahun-tahun 60-an yang akan berlaku demikian.
Manakala cemasnya tetap juga ada. Cemas kerana apakah Pas tepu dengan pengaruh politik baru yang dicipta Pas kini? Apa yang dibimbangkan disebabkan kerana acuan baru politik yang meletakkan kuasa dan kemenangan itu di hadapan menyebabkan keseronokan itu mengenepikan matlamat asal perjuangan Pas?
Bagaimana pun dalam hal ini Pas hendaklah perlu bijsak dan bersikap menyelam sambil minum dan harus mempunyai serampang banyak mata dalam mengejar matlamat asal jihad. Pas sesekali jangan mengalpakan prinsip perjuangan. Di sinilah saya merasakan peranan ulama yang progresif dalam Pas diperlukan sebagai pengawal menjaga garisan halal dan haram dalam kebebasan dan modenisasi siasah! Tidak harus semudah yang dirancangkan untuk mengenepikan peranan ulama.
Berbalik kepada kemenangan di Bukit Gantang tadi, Pas sebenarnya tidak boleh berseronok sangat kerana kemenangan itu hanya dimenangkan. Jika dilihat kepada sokongan Melayu Pas masih lagi berada di bawah Umno kira-kira 15% atau 20%. Paling penting bagi Pas kemenangan yang diraih kelmarin digunakan untuk mengembangkan pengaruh Pas di parlimen itu. Nizar Jamaluddin harus membuka pusat pengajian agama dan politiknya sendiri di Bukit Gantang untuk menggembur pengaruh Pas.
Secara umumya kemenangan Pas atas sokongan pengundi Cina dan India itu boleh disimpulkan seperti berikut;
- Mereka sudah tidak mempercayai kepada BN yang ditulangi Umno sekarang ini yang semakin lemah dan menuju ke penghujung kekuasaan.
- Mereka mempercayai kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar Ibrahim akan mengambil alih tempat BN. Dasar dan polisi Pakatan Rakyat lebih realistik berbanding BN yang bersemangat nasionalis sempit dan sukuan tebal.
- Dasar atau ideologi campuran Pakatan Rakyat; Islam, sosial demokrat, dan multi racial memudahkan mereka larut di di dalamnya, termasuk mempertahan dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan mereka.
- Mereka menerima Pas dan Pakatan Rakyat kerana dalam pandangan mereka pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat masih bersih dan tidak terlibat dengan amalan rasuah. Kalau ada pun diperingkat kampung melibatkan jumlah kecil seperti berhubung pemeliharaan kambing dan penanaman sayur sahaja, itu adalah titik bengik bagi mereka meskipun dalam konteks agama ia sudah termasuk dalam dosa berat.
- Mereka tertarik kepada Pas sebab Pas dapat menyesuaikan diri dengan kehendak mereka. Dasar Islam sejagat dan keadilan untuk semua dieksploitasikan sebaik mungkin. Mereka juga percaya dasaar Pakatan dan Pas lebih adil, terutamanya Pas yang terikat dengan prinsip dan falsafah Islam.
Itulah daya tarik atau kekuatan yang menyakinkan kaum Cina dan India untuk menyokong Pas dan Pakatan Rakyat. Makanya kebaikan dan amanah ini hendaklah dijaga seutuh mungkin oleh pemimpin Pas dan Pakatan. Paling penting menjaga perangai, sikap dan pembawaan di kalangan pemimpin.
Saya cukup percaya berdasarkan teori mengatakan kawasan pengundi yang Melayunya 90% ke atas akan dapat dikuasai Pas, manakala yang Melayu kurang antara 50% hingga 70% dikuasai PKR manakala yang bukan Melayunya 70% ke atas dikuasai DAP, jika tenaga ketiga parti ini boleh dikombinasikan dan mengekalkan momentum hari ini BN boleh jadi ghuyup pada pilihan raya umum akan datang.
Perubahan dalam Umno dan kepimpinan baru kerajaan di bawah Najib Razak dilihat tidak banyak membawa perubah postitif dan masih belum mampu menyekang pakatan itu yang semakin mendapat kepercayaan umum. [wm.kl. 10:45 am 09/04/09]
Tuan MSO,
ReplyDeleteTembok pemikiran Cina kepada PAS sudah runtuh hikmah daripada krisis di Perak dan by-election kat Bukit Gantang. Seterusnya, PAS perlu mengambil peluang ini dengan penuh hikmah secara kolektif (syura). Keadilan sosial di dalam ajaran Islam lebih totok pasti menawan hati mereka yang sudah terbuka fikiran.
Assalamu 'alaikum,
ReplyDeletePAS sebagai PARTI mesti duduk dan patuh kepada Majlis Syura sebagai satu HARAKAH islamiah.
Jangan sampai PAS lupa, PARTI tu hanya alat sebab nak involve dalam pilihanraya, tetapi sebagai HARAKAH itulah yang utama.
Tazkirah, usrah, tamrin, mukhayyam ibadah, tamrin qiyadi dsb itulah sebenarnya jiwa dan nyawa PAS. Terabai yang ini... tunggulah saat kehuru-haraan yang pasti akan tiba...
Wallahulmusta'an!
Wassalam.
sangFaqir
Saudara MSO,
ReplyDeleteUndi melayu telah makin banyak berkurangan, peningkatan undian dan sokongan kpd PAS DAP PKR dapat di lihat dari PRU 9 lagi hingga sekarang.UMNO telah cuai dalam hal menangani isu ini.
Kalau dalam PRU sebelum kita lihat undian untuk mereka hanya kiraan 2-3 ribu sahaja dan malah ada yang ratusan sahaja di sesetengah tempat.
Maka kerana BN syok sendiri bila dalam berkuasa maka tak heran kalau mereka memang tak nak belajar...
Rozana,
ReplyDeleteSaya ingin membetulkan sedikit fakta sejarah.
Sebenarnya tembok pemisah antara pengundi Cina dan India telah ROBOH beberapa minggu sebelum PRU12 Mac 2008, bukan akibat krisis politik di Perak. Pada PRU12, kali pertama Cina dan India secara terbuka MENGIBAR BENDERA PAS.
Apakah sebenarnya faktor-faktor yang merobohkan tembok tersebut?
Dua perkara penting berlaku beberapa minggu sebelum PRU12.
1. HINDRAF, yang berjuang untuk hak penganut Hindu telah menyebarkan FITNAH bahawa sedang berlaku kempen PENGHAPUSAN KAUM atau 'ethnic cleansing' terhadap kaum minoriti India yang di rancang oleh UMNO. Selain dari membunuh kaum India, UMNO juga dituduh bertanggung-jawab merobohkan kuil-kuil Hindu. FITNAH ini menyatukan perasaan BENCI kaum India terhadap UMNO, MIC dan BN. Anwar Ibrahim mengambil kesempatan dengan MENYOKONG Hindraf.
2. PAS pula telah merobohkan tembok pemisahnya dengan DAP dengan MENINGGALKAN PERJUANGAN MENEGAKKAN NEGARA ISLAM. PAS sebaliknya buat kali pertama memperkenalkan konsep NEGARA KEBAJIKAN. Bagi mengaburkan mata penyokong-penyokong setia PAS, Tuan-Tuan Guru PAS menjelaskan bahawa NEGARA KEBAJIKAN itu samalah dengan NEGARA ISLAM. Sedangkan kepimpinan DAP tahu dan sedar bahawa Negara Kebajikan TIDAK SAMA dengan Negara Islam. Di atas perubahan yang hanya disedari kepimpinan tertinggi PAS dan DAP ini, DAP dengan 'red carpet' menyambut kehadiran PAS sebagai 'sekutu' dalam menjatuhkan BN. Dengan robohnya dasar perjuangan PAS, robohlah tembok pemisah antara PAS dan DAP, dan sekali gus tembok pemisah antara PAS dan pengundi Cina.
Rozana, yakinlah...demi kuasa, PAS telah MENGGADAI matlamat suci murni perjuangannya. Ramai penyokong akar umbi PAS belum menyedari TRAGEDI ini. Namun, apabila penyelewengan kepimpinan PAS ini mula disedari, penyokong-penyokong PAS yang benar-benar ikhlas dengan perjuangan Islam akan mula berhijrah keluar dari PAS.
Yakinlah, PAS akan menghadapi zaman KEHINAAN menjelang PRU13 tiga tahun lagi.
PRU 13
ReplyDeletePakatan akan kalah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak. Pakatan menang yang lain dan bentuk kerajaan Pusat tapi masa tu sokongan Melayu kepda Pakatan dah tinggal sekitar 25% populasi Melayu.
Undi Melayu turun sedikit disebabkan berlakunya fenomena penyokong UMNO yang tidak mahu keluar mengundi. Mereka tidak suka melihat apa yang berlaku pada UMNO, tetapi tidak sampai hati hendak mengundi PAS.
ReplyDeleteFenomena begini berlaku di tempat saya tinggal sekarang, di Janda Baik, Pahang, pada PRU-12 yang lalu. Jumlah undi PR kekal tidak berubah. Jumlah pengundi BN jatuh. Sebanyak 350 orang pengundi UMNO tidak mahu keluar mengundi.
Apabila membaca rencana tuan saya terpandangkan gambar yang menghiasinya seakan-akan menunjukkan orang-orang pas sudah bercampur gaul dengan yang bukan mahram.
ReplyDeleteSaya amat memahami bentuk 'perang psikologi' sebegini yang seakan-akan menunjukkan 'orang' pas tersebut sudah tidak kisah tentang halal haram. Tetapi apa yang berlaku adalah beliau duduk bersebelahan wanita cina tersebut dalam kumpulan orang ramai.
Apakah yang Tuan cuba buktikan disini? adakah beliau sepatutnya menjauhi wanita berkenaan meskipun wanita berkenaan yang datang dan duduk sebelahnya. Adakah apabila masuk PAS, seseorang itu tidak boleh duduk sebelah wanita atas apa jua alasan sekalipun.
Atau adakah tuan cuba nak menunjukkan bahawa tuan cuba memberi ulasan sama rata dan tidak memihak kepada mana-mana pihak sedangkan hakikatnya jelas bahawa tulisan tuan selama ini memihak kepada pembangkang?