Saturday, May 9, 2009

Bukan Musang Berjanggut!

Janggut Panjang Dikalahkan Janggut Pendek

[kemaskini] SATU panggilan dan satu SMS masuk ke dalam telefon bimbit saya lewat petang ini memaklumkan yang anak Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Abduh kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan ditangan Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Nik Abduh kalah dengan 22 undi. Beliau mendapat 56 undi manakala Latiff mendapat 78 undi. Terkejut pun ada, tidak terkejut pun ada dengan apa yang berlaku. Seperti mana saya sebut dalam Surat Merah, kedua mereka adalah adik-adik saya belaka. Jadi tidak elok kalau saya merasa suka atas kemenangan Latiff sebab saya juga kena rasa sedih dengan kekalahan Nik Abduh.

Tak mengapa, saya harap keduanya menerima hakikat begitulah adat perlawanan dan natijah demokrasi. Kepada Latiff diucapkan tahniah dan kepada Nik Abduh usah risau perjalanan perjuangan masih jauh. Kalau kita ikhlas, komited dengan jihad kita boleh memberi sumbangan kepada perjuangan meskipun tanpa jawatan. Sesuatu kena ingat saf pemuda Kelantan hampir separuh bersama Nik Abduh!

Kekalahan Nik Abduh saya sudah merasakan sejak dari pagi tadi memandangkan kepada sikap serba salah dan sikap terbuka ayahnya sendiri. Ayahnya, Nik Aziz boleh membantunya untuk menang, tetapi nampaknya ayahnya tidak mahu membantu anaknya takut dikatakan kroni.

Atas sifat Mursyidul Am Pas, ayahnya boleh panggil Nik Abduh dan Latiff duduk semeja, berkompromi, samada Latiff sebagai ketua atau Nik Abduh mengekalkan kedudukannya sebagai naib ketua. Tetapi malang apa yang boleh dilakukan itu tidak terbuat oleh ayahnya yang percaya kepada ketulusan demokrasi!

Perangkap yang dipasang oleh pihak tertentu untuk melihat Nik Aziz tidak berpihak kepada anaknya sendiri berjaya.

Kompromi bukan tidak pernah dibuat di Kelantan dan Tok Guru bukan tidak pernah menggunakan kuasa prerogetifnya sebagai persuruhjaya Pas. Semasa Mohammad Sabu menang sebagai YDP Kubang Kerian melawan Mohammad Iraq, Tok Guru boleh minta Mat Sabu letak jawatan dan beri laluan kepada Mohammad Iraq wahal pemilihan Mat Sabu itu dibuat dalam mesyuarat yang sah. Dan bila Tok Guru tidak bersedia berbuat demikian terhadap anaknya apakah pada ukurannya, Nik Abduh dan Latiff sama hebat ilmu dan politiknya?

Manakala menurut seorang penjenguk blog Merah Tinta dalam emailnya kepada saya dia merasakan kekalahan Nik Abduh sejak petang semalam lagi. Kata penjenguk itu kebetulan petang semalam dia berada di Pantai Cahaya Bulan (PCB), membawa anak-anaknya bercuti. Dia ternampak Latiff dan beberapa orang sedang menanti seseorang.

Ceritanya, sekejap kemudian Zaki Ibrahim (bekas ketua pemuda Kelantan) datang dan bergabung dengan kumpulan Latiff. Katanya dia ingin meninjau dewan tempat bersidang. Kata penjenguk itu dia hairan dan tertanya-tanya kenapa Nik Abduh sebagai timbalan ketua tidak ada. Sepatutnya Nik Abduh turut tinjau sama.

"Melihat suasana itu saya sudah merasakan yang Nik Abduh akan kalah," kata penjenguk itu melaporkan apa yang beliau saksikan. Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian di sini apakah Latiff dan Zaki bersekongkol atau sebaliknya. Namun apa yang saya tahu keduanya adalah orang Husam Musa.

Seperti saya kata tadi, tidak kisah siapa yang diberikan amanah untuk memimpin barisan Pemuda Kelantan. Yang penting mereka yang menerima amanah itu dapat memikulnya sebaik mungkin untuk kebaikan Pas Kelantan dan sebagai kesinambungan kepimpinan lampau.

Dan paling diharapkan semoga kejernihan akan bertaut balik selepas ini. Jadikan pertandingan itu sebagai biduk lalu kiambang bertaut. Hendaknya Latiff tidak akan membiarkan begitu sahaja Nik Abduh, masih ada guna tenaga dan buah fikirannya untuk perjuangan Pas.

Apa yang nak diulaskan mengenai pertandingan Latiff dengan Nik Abduh itu, saya melihat ia membawa signifiken tertentu. Ia bukan pertandingan biasa sebenarnya. Perlawanan itu adalah ujian pertama kepada masa depan politik Kelantan dan juga kepimpinan dalam Pas hari ini.

Katakan bahawa Latiff adalah proksi kepada Husam Musa yang akan membawa perubahan dan kepimpinan bentuk baru yang sedang digilai kini. Maksudnya yang tidak ekstrem, fanatik dan berwajah ulamak berserebeh dengan janggut panjang yang sering ditunding kepada Nik Abduh. Latiff tidak berjanggut sepanjang Nik Abduh. Begitu juga Husam janggutnya tidak sepanjang janggut Tok Guru. Manakala Zaki Ibrahim pula langsung tidak berjanggut.

Manakala, sekiranya Nik Abduh pula adalah proksi ayahnya, dan satu kem dengan Timbalan Ketua Pemuda Ahmad Baihaki Atiqullah juga ada janggut bermakna puak sebelah Nik Aziz sudah kalah. Maklumat terbaru menyatakan Baihaki tidak mungkin satu kem dengan Nik Abduh walaupun janggutnya sama panjang sebabb adiknya adalah isteri Latiff.

Kalaulah andaian saya ini benar bermakna kumpulan tak berjanggut panjang menang di Kelantan. Kemenangan Latiff yang tidak ada janggut itu membawa makna dan erti besar kepada kumpulan itu di Kelantan yang diketuai oleh Husam. Saya yakin Husam tentu gembira dan berpuas hati dengan anak didiknya itu kerana berjaya menyingkirkan si berjanggut Nik Abduh.

Kemenangan Latiff dengan 22 undi itu memberi isyarat juga kepada kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang berjanggut. Bahawa kepimpinan muda hari ini sudah tidak mahukan kepada orang berjanggut lagi. Kerana Nik Abduh adalah anak Nik Aziz ini bermakna separuh pemuda Kelantan tidak mahu lagi kepada orang berjanggut termasuk kepada Nik Aziz sendiri.

Mungkin bagi Tok Guru sendiri beliau tidak faham dengan perkembangan ini. Dengan jatuh anaknya itu permainan dalaman sudah pun bermula. Signal kepada beliau juga sudah pun bermula. Sekiranya isyarat awal ini tidak diawasi ia bakal memberi bahana kepada kumpulan berjanggut panjang.

Janganlah Tok Guru merasa sedih kalau di masa depan kumpulan anak muda ini akan membuat berbagai telatah termasuk menggesanya agar berundur. Atas alasan janggut panjang tidak diperlukan lagi ataupun kerana sudah terlalu lama, maka mereka akan terang-terang akan meminta agar si janggut pendek menggantinya.

Apapun ini adalah ilusi dan andaian saya saja. Hendaknya semuanya tidak betul dan tidak akan terjadi. Janggut pendek dan janggut panjang akan terus saling hormat menghormati antara satu sama lain. Paling elok janggut panjang dan janggut panjang dihubungkan agar janggut menjadi lebih panjang lagi. [wm.kl. 10:30 pm 09/05/09]

7 comments:

  1. Salam TuanMSO,

    Satu kelebihan kepada mereka yang berjanggut pendek ialah fleksibiliti. Mereka boleh meng'hilang'kan janggut mereka jika suasana memerlukan sedemikian. Yang berjanggut panjang biasanya lebih dogmatik, sensitif dan akan mempertahankan watak berjanggutnya sampai dia diminta membuangnya atau dia dibuang oleh sijanggut pendek. Jadi sijanggut panjang ini sememangnya dilahirkan untuk kalah dan terbuang dalam sistem demokrasi.

    Hakikat hukum karma demokrasi ini mesti diimani oleh sijanggut panjang, bahawa, janggut memainkan peranan yang sangat penting dalam demokrasi.

    Salam,
    TokPakirKD

    ReplyDelete
  2. Salaam Bro:

    Tidak manis sekiranya isu JANGGUT dimainkan, apatahlagi ia adalah telahan saudara semata. Walaupun saya bukan insan politik namun terpanggil untuk meletakkan komentar kerana kita tidak boleh memainkan dengan sesuatu yang kita tidak jelas, dikhuatiri akan membawa kepada fitnah.

    Katakan isu janggut, kemudian kopiah, serban, jubah, pelikat, misai tebal etc tak ke ini jadi benda remeh dan menyukarkan kefahaman orang asing terhadap Islam?

    ReplyDelete
  3. Tuan MSO yang dimuliakan,

    Apakah benar bahawa kekalahan Nik Abduh itu adalah kekalahan kepada 'kumpulan berjanggut' atau 'kumpulan ulamak'. Ataupun sebenarnya kekalahan Nik Abduh itu bukan kekalahan kumpulan ulamak, sebaliknya adalah kekalahan individu, yakni 22 undi itu tidak menolak semua ulamak, sebaliknya hanya menolak Nik Abduh sahaja.

    Dalam dunia realiti, jarang sekali sesuatu 'penolakan' itu didorong oleh 1 faktor sahaja, melainkan oleh gabungan pelbagai faktor yang menghasilkan perasaan tidak puas hati.

    Bagi Nik Abduh dan penyokong-penyokongnya, inilah masanya bagi melakukan pembedahan secara rasional, teknikal dan objektif bagi mengenal pasti faktor-faktor besar dan kecil yang menyebabkan 22 undi telah tidak berpihak kepada mereka.

    Sebagai perbandingan, dalam dunia bisnes buku, apabila buku kami ditolak pembeli, kami tidak menuduh pembeli ataupun pesaing kami. Kami tengok balik buku kami itu, di mana kekurangannya sehingga tidak dibeli orang, supaya lain kali dapat diperbaiki.

    Menyalahkan orang lain adalah fenomena yang disebut 'lokus eksternal' manakala mencari kesalahan sendiri adalah 'lokus internal'.

    Lokus eksternal sangat mudah berlaku kerana dengan mengatakan kita kalah oleh perbuatan orang-orang lain, maka kita dapat menyelamatkan estim (maruah) kita sendiri, kerana kita mengatakan kita betul dan baik, manakala orang lain yang salah dan jahat.

    Lokus internal lebih sukar berlaku kerana ia menghendaki supaya kita mengakui bahawa kekalahan itu berpunca daripada diri sendiri, sesuatu yang sangat mengancam estim (maruah) kita.

    Menyalahkan orang lain adalah psikologi orang berjiwa kecil, manakala menyalahkan diri sendiri adalah psikologi orang berjiwa besar.

    Ya Allah, ampunilah daku.

    ReplyDelete
  4. MSO juga diminta mengulas mengenai kenyataan Takiyuddin dalam sinar harian semalam (9 mei) yang memberi isyarat sokongan kepada ust abduh.

    beliau berpendapat spt pendapat MSO katakan sebelum ini), walhal, dalam tahun 2003, beliaulah yang memberi sokongan kepada proksi abduh untuk memulakan langkah bendul.

    Kalau MSO memandang sinis kepada Zaki Ibrahim, sepatutnya Takiyuddin juga dipandang sinis.

    tetapi hanya MSO yang memahmi diri sendiri.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikumum, kepada Puan Ainon. Terima kasih atas pandangan dan komen. Saya setuju mengenai panangan Puan bahawa seseorang atau puak yang kalah itu jangan saja menunding jari kepada orang (lokus ekstenal) tetapi harus juga melihat ke dalam (lokus internal).
    Pandangan atau teori baik itu rasanya bukan saja terpakai dalam konteks pertandingan Nik Abduh dengan Latiff yang saya ulas itu tetapi harus dan boleh juga diguna pakai dalam kekalahan PK melawan BN, ataupun kekalahan Anwar dalam melawan Mahathir, atau sapa-sapa sahaja.
    Tetapi kekadang sentimen dan emosi kita tinggi sangat dengan hanya mencari dan menuduh salah orang dan tidak cuba mengenali kesalahan diri sendiri.
    Saya percaya kalau sikap diambil Puan Ainon itu meletakkan kenapa orang tidak membeli bukunya kerana ada kelamahan pada buku itu, semua masalah dapat diselsaikan dan akan membuahkan hasil yang baik. Terima kasih.

    ReplyDelete
  6. Salam semua,

    Saya sebagai pemerhati gerak laku orang politik melihat ada kebenarannya pada tulisa tuan MSO. janggut panjang lawan janggut pendek. Juga ada kebenarannya jika saya katakan pertembungan dantara songkok dan kupian/serban. Jika diperhatikan, kumpulan yang didakwa oleh setengah pihak sebagai erdogan, semuanya tergamak meletakkan songkok tinggi macam UMNO BN jugak, cuba lihat Kamaruddin Jaafar, Husam Musa, Abdul Fatah Haron, Abdul Fatah Mahmod, Ustaz Latiff, Zaki Ibrahim, Kiddefella, Anuar Bakri, Hassan Ali, dan yang sewaktu dengannya. Walaupun mampu bellit serban tapi flexcible. Berbeza dengan kumpulan pro ulamak yang barangkali tidak tergamak meletkk songkok walaupun dipagi raya kecuai hanya kerana peraturan mesyuarat dewan. Mereka ni seperti TGHHadi, TGNAziz, Nik Abduh, Omar Mohamed, dan seangkatan dengannya.

    Jika fenomena ini ada kebenarnnya maka kita melihat PAS kini sudah berada di bawah kawalan geng janggut pendek dan pandai bersongkok. Mereka sudah berani membelakangkan pendirian ulama'. Mereka mahu membalas dendam, mereka mahu cepat naik, cepat menang, pemikiran mereka dikawal oleh Anwar Ibrahim (kecuali jika kes anwar kalah) mungkin mereka akan kendur.

    Tuan, MSO. Kedua-dua kumpulan ini tidak akan lari dari asas perjuangan PAS, tetapi tidak mahu menjadi macam ulama' tua dalam PAS yang lambat membuat perhitungan pada musuh. Merekalah yang berjuang bermatian-matian dengan harta tenaga dikala ada Pilihanraya, ulama cuma berada disurau dan masjid dan berdoa sahaja. Mereka beranggapan ulama tidak berapa berperanan.

    Untuk para ulama dalam PAS, terima sajalah kehendak dan dorongan keadaan yang berlari deras sekarang. Bagilah mereka peluang, kita lihat apa yang mereka mampu buat, mungkin ada kebaikannya. Para ulama hendakah memainkan peranan yang besar dalam mentarbiyah mereka supaya tidak lari rel perjuangan yang sebenar.

    Sesungguhnya saya melihat Islam disukai kerana keindahan, keadilan dan kedamainnnya, begitulah PAS sebagai sebuah parti memperjuangkan ISLAM. Kini PAS disenangi bukan kerana kuasa, kekayaan tetapi kerana faktor di atas tadi. Walaupun orang cina tidak mahu masuk Islam, tetapi Islam yang ada pada PAS mendamaikan hati-hati mereka.

    Berdamailah diantara dua kumpulan yang berbalah. Berilah peranan kepada kumpulan yang kalah, jangan dipinggirkan terus. Sesungguhnya Syaitan amat suka kepada dua orang Islam yang bermusuh.

    Salam Perdamaian.

    Andai begitu

    ReplyDelete
  7. Salam,
    Pertandingan sering menjadi tidak adil kepada pihak yang kalah, khususnya kepada para penyokong. Kita berharap agar pegangan ini tidak wujud pada diri Ustaz Nik Abduh dan para penyokongnya. Fiirkanlah hikmahnya.

    Melihat peribadi Tuan Guru Dato' Nik Aziz dan Tuan Guru Dato' Seri Hadi Awang, jelas kesederhanaannya. Adakah nanti, golongan profesional, sekiranya menerajui PAS kelak, akan demikian corak hidupnya atau akan mengagamkan diri mereka seperti puak-puka yang di dalam BN?

    Kita masih kabur, sokongan orang bukan Islam terhadap PAS kerana apa? Kerana Tuan-tuan Guru, kerana PAS itu sendiri, atau ada udang di balik batu?

    Kita wajar mengetepikan prasangka untuk matlamat yang sama tetapi kecurigaan kan perlu ada?

    ReplyDelete