Friday, June 12, 2009

Selepas Subuh

Pakatan Rakyat Perlu Ada Himpunan Raksasa

KEMAMPATAN dan kesatuan Pakatan Rakyat (PR) akhir-akhir ini sedikit goyah dan bergoyang. Semua rakyat yang rindu untuk melihat perubahan politik dan kerajaan bimbang dengan suasana yang ada kini. Kerana bimbangkan perpaduan itu roboh semua pihak telah bangkit mengambil berbagai langkah untuk menenangkan keadaan. Usaha ini baik secara individu ataupun berpasukan. Bingkasan ini menandakan betapa Pakatan Rakyat telah dijadikan satu pengharapan kepada anjakan politik negara ini.

Suara kebimbangan dan cemas ini tidak dapat dilihat dari luar. Namun dalam blog, internet dan sebagainya kerungsingan dan kebimbangan ini sangat jelas sekali. Sesetengah penyokong Pakatan Rakyat sudah jadi tidak rasional lagi, memaki hamun tanpa hujung pangkal. Kerana kecelaruan dan ghairah itu ada kalanya penawar disangkakan racun! Teguran yang baik dan dianggap sebagai khianat.

Jika dilihat kepada kronologi kocakan ini ia bermula bila mana pemimpin Pas berjumpa dengan pemimpin Umno sebaik selesai pilihan raya umum lalu, merisik khabar untuk mengadakan kerjasama politik untuk menyelamatkan bangsa. Perjumpaan yang setengah dianggap sulit dan setengah terbuka itu menyebabkan timbul berbagai interpetasi. Malang lagi, bukan saja diluar dari kalangan PKR dan DAP, tetapi sesama Pas sendiri juga berpecah pendapat mengenai hal ini.

Kalangan Pas timbul keraguan antara satu sama lain. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Ekoran itu maka berlakulah tuduh menuduh dan nafi menafi antara satu sama lain. Mulanya persoalan Pas berbincang dengan Umno, (ketika itu Abdullah Badawi) sudah pun hampir selesai dan tidak berbangkit lagi.

Bagaimana pun ia timbul semula apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mencampakkan idea unity government. Idea ini ditimbulkan selepas projek 16 September tidak menjadi. Kita tidak tahu kenapakah Abdul Hadi melemparkan cadangan itu. Apakah ia reaksi balas kepada cadangan 16 September? Kerana sebagai presiden sebuah parti gabungan Pakatan Rakyat beliau juga berhak berbuat demikian, mencuba idea untuk berubah! Yang pastinya, ia mempunyai motif dan maksud tertentu. Ada yang mengatakan ia memberi isyarat kepada pihak tertentu dalam Pakatan Rakyat itu sendiri. Isyarat apa?

Ternyata idea ini menjadi kalut dalam Pas. Ia menjadi konflit dan terheret ke luar. Ia diburukkan lagi dengan mainan dan eksploitasi oleh media massa penjilat buntut kerajaan yang mahu melihat Pakatan Rakyat roboh. Masyarakat di luar kalangan penyokong khsusnya yang baru meminati dan mengenali kerencaman dunia politik jadi terkejut. Cadangan itu menjadikan mereka shock dan merasakan satu tindakan ganjil dari Pas?

Nampaknya kecelaruan mengenai unity goverment ini sudah terbwa ke luar. Ia sudah menjadi topik di forum-forum awam dibincang oleh semua lapisan, dari pencandu kopi hinggalah ke bilik kuliah di menara gading. Setiap hari ianya dibincang, kupasan dan ulasannya mengikut nafsu dan maklumat diperolehi masing-masing. Ternyata dalam kupasannya itu menampakan pro dan kontra.

Keadaan ini menjadikan orang ramai keliru mana pihak yang benar dan mana pihak yang salah. Pengerusi DAP, Karpal Singh sendiri juga sudah memberi kenyataan meminta Pas menilai kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat. Pandangan Karpal itu agak melampau kerana ia menggambarkan seolah-olah seluruh orang dalam Pas inginkan kerajaan perpaduan atau bersetuju dengan cadangan Abdul Hadi itu.

Sebagai pemimpin tertinggi, Karpal sepatutnya kena bijak dan beliau kena arif memahami apakah gelora yang berlaku dalam Pas sebenarnya. Bukan semua dalam Pas mahukan kepada unity goverment. Pas sendiri kini berpecah kepada dua puak, satu yang menyokong atas alasan-asannya dan satu lagi yang menentang juga atas alasan-alasannya. Pertentangan ini semakin tegang meskipun sudah ada penjelasan dari pihak yang mahu, namun ia tidak diyakini oleh pihak yang menolaknya. Unity gorvement kini benar-benar menjadi isu dan masalah kepada Pas. Ia seolah-olah menjadi batu loncatan untuk dua pihak dalam Pas ‘berkekah’ antara satu sama lain.

Apa yang berlaku dalam Pas itu merugikan Pakatan Rakyat sendiri. Ia bukan sahaja kepada Pas yang terlibat dengan isu itu tetapi DAP dan PKR juga. Sekiranya Pas berpecah dan sokongan Pas tidak padu ia memberi naas kepada ketiga parti dalam pilihan raya umum nanti. Sudah tentu jika ada perpecahan dan ketidakmantapan, sokongan padu dan jitu seperti diperolehi 8 Mac lalu tidak akan berulang. Kalau ini gagal dipertahankan tidak mustahil prestasi pembangkang akan merudum semula.

Kini sudah sampai masanya ketiga-tiga pemimpin bertindak mengekang perkara ini dari merebak. Untuk ini barang kali elok kalau satu himpunan raksasa Pakatan Rakyat diadakan bagi menggambarkan Pakatan Rakyat masih mantap dan mendapat sokongan padu. Walaupun perjumpaan dan penjelasan akan diadakan di peringkat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah ini. Orang ramai ingin menyaksi sendiri kepaduan dan kerjasama Pakatan Rakyat dengan mata kepala mereka sendiri secara realitas dalam sebuah himpunan perdana.

Penyelesaian dan pengakuan bukan saja setakat dimulut, di blog-blog persendirian atau di dada akhbar terpilih, tetapi haruslah dibumi nyata. Rakyat mahu melihat kenyataan itu dan mahu sesama mereka menjadi saksi.

Untuk tujuan ini mungkin stadium Shah Alam atau Bukit Jalil yang boleh memuatkan 80,000 hingga 100,000 orang boleh dijadikan tempat himpuan itu. Semua penyokong Pakatan Rakyat boleh hadir menyatakan perpaduan dengan membawa lambang dan bendera masing-masing. Kehadirannya kelak nanti akan memberi petanda bahawa semangat Pakatan Rakyat masih utuh dan menyemarak untuk menghancurkan UBN.

Untuk menjayakan ini Penasihat PKR, Anwar Ibrahim adalah seelokknya menjadi kepalanya memandangkan Anwar diterima dan dihormati oleh semua pihak dalam Pakatan Rakyat. Pada himpunan itu nanti semua pemimpin hendaklah memberi ucapan pengukuhan ikatan Pakatan Rakyat dan akur janji terbuka kepada umum mengenai kesatuan dan persepakatan mereka. Bukan saja kalangan pemimpin tetapi aktivis politik, NGO yang bersama Pakatan Rakyat juga perlu diberi peluang sama menyampaikan aspirasi dan gelodak jiwa masing-masing.

Insya-Allah kalau ada himpunan yang gah dan besar nanti masalah kecelaruan dan keretakan, perasaan curiga antara sesama Pakatan Rakyat yang berlaku kini dapat dipulihkan. Dengan terlaksananya himpunan raksasa itu ia akan menjadikan musuh Pakatan Rakyat akan ‘terkanyak’. Dan selepas selesai himpunan itu janganlah lagi ada kenyataan dari mana-mana pihak yang boleh mencetuskan keadaan tidak aman atau salah tanggap dalam Pakatan Rakyat. [wm.kl 6:00 12/06/09]

8 comments:

  1. slm, sy sokong diadakan himpunan besar2an tu. Tapi kene pastikan UBN tk buat kacau @ provokasi. Kene plan betul2 lh. Dan yg paling penting, dlm ape jua masalah, semua kompenen PR kene IKHLAS mencari jln penyelesaian.

    ReplyDelete
  2. mungkin tak yah buat kat stadium tapi diadakan perhimpunan dan perarakan mega besar2an dengan menjadikan putrajaya sebagai lokasi

    ia adalah simbolik yang anytime saja pakatan akan rampas, ia tidak lebih sebagai satu bentuk perang saraf

    ReplyDelete
  3. salam tuan,
    himpuanan raksaksa atau raksaksa berhimpun pun tak kan boleh lagi mengendurkan ketegangan di dalam pakatan serta tak mampu menjadikan landasan untuk menyatukan saf didalam PAS selagi presiden dan mursyidul am terus bertelagah.
    terima kasih

    ReplyDelete
  4. Tuan Sayuti,

    Hentikanlah ketaksuban tuan pada keyakinan yang PR tu bersatu. Tak ada suatu usaha pun nak menjadikan PR tu satu entiti berdaftar. Masing-masing sentiasa mencongak peluang untuk menguasai antara satu sama lain. Langkah beberapa org yang masih sayang kepada PAS dengan mengungkapkan perpaduan dengan UMNO patut di puji. Sekurang-kurangnya ada juga maruah untuk bercakap lain dari apa yang di setkan oleh Anwar. Dan tuan, hentikanlah ketaksuban saudara pada Tok Guru (manusia biasa... tidak maksum) kerana anda lebih menampakkan hipokrasi dalam diri anda. Mana negara Islam? Ingat kata-kata keramat Karpal Singh "over my dead body first"..

    ReplyDelete
  5. Tuan MSO, saya melihat inilah kali kedua TG Hadi Awang tersilap langkah dalam menjadikan Pas sebagai partai yang diterima umum. Dulu selepas PRU 1999 Hj Hadi terperangkap dengan retorik negara Islam sehingga DAP keluar daripada BA. Akibatnya apa? 2004, Pas tersasar jauh dan hampir hilang kuasa di Kelantan. Kini disebut pula Kerajaan Perpaduan yg dikatakan hanya perundingan (dengan Umno). Kalau hanya perundingan utk kepentingan Melayu dan Islam, istilahnya bukan kerajaan perpaduan. Sebut sajalah diskusi, muzakarah atau sembang! Kalau dah sebut 'Kerajaan Perpaduan' orang kampung macam saya pun faham Pas akan bergabung dengan Umno! Maka, Hj Hadi masuk perangkap Umno kali kedua. Ingatkan ulama tidak akan masuk 'lubang yang sama' (maksud hadis)....

    ReplyDelete
  6. Tuan MSO,

    Bagus idea tuan ni. Mudah-mudahan idea ni akan dilaksanakan oleh pimpinan. Ia juga sebagai charge untuk menjana tenaga semula.

    Kepada pembaca-pembaca UMNO... toksah lah kalian masuk campur untuk kononnya beri nasihat kepada PAS. Kalian baikilah parti assobiyah kalian tu kalau nak dapat projek. Kalau kalian nak selamat di akhirat nanti, tinggalkanlah parti assobiyah itu dan bantulah untuk kemenangan Islam.

    Rasulullah telah bersabda dalam hadis sahih yang penyokong assobiyah bukan umat baginda... ertinya apa? fikir-fikirlah...

    ReplyDelete
  7. kali ini aku sokong MSO. mmg betul cdngn tu

    ReplyDelete