Tuesday, July 7, 2009

Jenguk Manik Urai 2

Kenapa Ramzi Digambarkan Bersama Tuan Aziz?

LEBIH daripada dua kali saya tepandang calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat ditampilkan di kaca tv dengan didampingi Ketua Umno Kuala Krai, Ramzi Abdul Rahman. Kali pertama ialah semasa beliau memberi kenyataan akhbar selepas pegumumannya sebagai calon UBN oleh Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin, dan kedua selepas selesai proses penamaan calon tengah hari semalam.

Kedau-dua kali penampilan itu Ramzi (foto) berada di sebelah kanan Tuan Aziz, dan kebetulan memakain baju yang sama!. Walaupun ada beberapa pemimpin lain tetapi Ramzilah yang ditonjolkan. Yang difokuskan oleh cemera. Ramzi pula tidak berkata apa-apa cuma tersenyum dengan mengembangkan pipinya yang sedia tembam (maaf).

Mungkin keadaan itu sudah menjadi kebiasaan. Seseorang calon atau bakal calon perlu dikapit oleh penyokong dan pemimpin untuk memberi semangat dan aura kepadanya. Untuk menampakkan kepada khalayak penonton yang dia disokong sepenuh hati oleh pemimpin tertinggi partinya. Tetapi bila yang cuba ditonjolkan tv hanya muka penuh Ramzi menyebabkan timbul pertanyan di kepada saya, kenapa?

Misalnya kenapa Muhyiddin Yassin tidak mendampingi Tuan Aziz? Apakah aura Ramzi melebihi arua yang ada kepada timbalan presiden Umno itu. Ataupun penampilan Muhyiddin di samping Tuan Aziz tidak berjaya menarik undi dan minat pengundi Manik Urai. Apakah orang Manik Urai tidak kenal dengan timbalan perdana menteri itu dan tidak dapat mempengaruhi penduduk Manik Urai?

Barang kali ya juga. Kerana seingat saya inilah kali pertama Muhyiddin menjijak bumi Manik Urai. Sudah lebih 30 tahun jadi pemimpin UBN tetapi baru kali ini tergerak hendak ke Manik Urai. Mungkin kalau Pak Su Weil tidak mati Muhyiddin tidak akan menjejakkan kakinya lagi Manik Urai.

Begitu juga dengan Najib Razak masih belum tergerak nak merasai lembut dan lunaknya tanah Manik Urai. Kalau dalam keadaan berpilihan raya ini pun Najib masih lagi tidak nak mencemar duli untuk memijak kawasan spara pedalaman itu, bila lagi? Waktu inilah sepatutnya Najib memijak bumi Manik Urai bersama pemimpin lokal yang lain dan bersalaman dan merasai bagaimana kasarnya jari jemari penduduk Manik Urai.

Berbalik kepada soal penonjolan wajah Ramzi di kaca tv tadi, saya rasa kalau hendak dibandingkan antara aura Ramzi dengan Muhyiddin jauh lebih hebat aura Muhyiddin. ‘Perfume’ yang dipakai Muhyiddin lebih menyengat lubang hidung rakyat Manik Urai daripada perfume yang dipakai Ramzi. Muhyiddin ialah timbalan perdana menteri yang boleh mengumumkan apa-apa saja projek kepada penduduk Manik Urai. Berbeza dengan Ramzi, hanya seorang ketua bahagian biasa dan menjadi pengerusi Kesedar. Apa yang boleh dilakukan oleh Ramzi?

Lagipun kedudukan Ramzi sendiri ‘cokngik cakdong’ di Kuala Krai. Nasibnya sendiri masih belum tentu. Sekiranya pemilihan kepimpinan bahagian tidak lama dulu dilangsungkan dalam keadaan betul tanpa ada helah mungkin Ramzi sudah bungkus di Kuala Krai. Kehebatan Razmi merudum dengan tiba-tiba apabila mentornya tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Namun disebabkan ada permainan ilat, di mana beberapa cawangan yang menyokong lawannya Wan Zahid Wan Abdullah dimatikan, maka Ramzi selamat, menang tanpa bertanding.

Tindakan dan cara Ramzi itulah menyebabkan wujud kudis. Situasi dan permainan inilah menyebabkan 24 daripada 42 cawangan Umno bahagian Kuala Krai dikatakan tidak berpihak kepada Ramzi. Mungkin gara-gara inilah juga menyebabkan Ramzi walaupun ketua bahagian terlepas untuk dicalonkan sebagai calon di Manik Urai.

Umum sedia maklum Tuan Aziz ialah orang kanan kepada bekas ketua, Wan Zahid yang gagal untuk menentang Ramzi dalam pemilihan dulu. Selain itu Ramzi juga ada kudis lain dengan Tuan Aziz. Tuan Aziz pernah diturunkan pangkat dalam Kesedar. Orang yang bertanggungjawab menurunkan pangkat ialah Ramzi. Pernah berlaku tunjuk perasaan dari kalangan peneroka menentang penurunan pangkat Tuan Aziz itu. Kenapa Ramzi berbuat demikian tentulah ada kena mengena dengan sokongan Tuan Aziz kepada seteru politiknya, Wan Zahid.

Jadi senario itu saya rasa dapat difahami kenapa tv beriya sangat nak menonjolkan Ramzi sering mendampingi Tuan Aziz? Tujuannya ialah untuk memberi tahu dunia Manik Urai sampai ke Oslo, bahawa Ramzi menyokong penuh pencalonan Tuan Aziz. Bahawa beliau tidak terkilan dan sedia memastikan kemenangan Tuan Aziz. Tujuan dipamerkan itu untuk memberi gambaran bahawa Umno Kuala Krai tidak ada masalah. Bahawa Tuan Aziz bertanding dengan sokongan padu dari semua pihak lawan dan kawan dalam Umno sendiri.

Itulah tujuanya kenapa Ramzi di tampilkan sering bersama dengan Tuan Aziz. Umno ingin menyembunyikan masalahnya di Manik Urai. Sebaliknya dengan cara penojolan berlebihan itu menyebabkan orang ramai makin mengetahui masalah dihadapi Umno; bahawa Ramzi dan Tuan Aziz tidak nggam.

Kesimpulannya berpandukan kepada sejarah dan budaya Umno tidak mudah seseorang yang terkeduh hati untuk memberi sokongan padu kepada seseorang lain dalam meraih kemenangan. Apa lagi kalau kemenangan itu bakal membawa binasa kepadanya. Lainlah kalau selepas selesai pilihan raya kecil Manik Urai ini Ramzi mengistyharkan diri bersara dalam politik dan kembali ke tempat asalnya di Kubang Batang, Tumpat. [wm.kl. 11:30 am 07/07/09]

1 comment:

  1. ramzi dan tuan aziz memang bermasalah, tetapi usaha menyelesaikannya sentiasa dibuat. itulah kehalusan budaya politik umno.
    tetapi isu kekalahan husam dan calon2 kelantan dalam muktamar pas, muzakarah, pengharaman dakwah kepada umno, UG dsb, terus dipanjang2kan oleh mullah nik aziz dan wokyek2nya. dituduh us nasha tak hadir di MU kerana malu alah, dikatakan itu dia punya pasal,,, seorang mullah memburuk2kan sesama pimpinan!!! sedang hakikatnya pimpinan pas kelantan putuskan tidak membenarkan us nasha datang ke MU hinggalah selesai proses pengundian!!!!!! harap2 Tuan MSO ada maklumat ini!!

    ReplyDelete