SAYA merasakan rencana bertajuk “Realiti Umat Islam Selatan Thai” yang ditulis oleh Zulkiflee Bakar dalam Utusan Malaysia hari ini kurang garam atau kurang maklumat dan tidak pentas dihidangkan sebagai sebuah rencana politik dan sosial oleh akhbar yang berkobar-kobar dengan semangat nasionalis.
Kerana kekurangan itu (tidak membuat tinjauan menyeluruh, adil dan bebas) menyebabkan rencana itu mirip kepada sebuah propaganda murahan untuk pihak tertentu dengan tujuan tertentu pula. Melihat kepada ketidaktelusan dan kebebasannya mungkin rencana itu disengaja dikarang begitu kerana dibayar! Apabila Zulkiflee mengatakan dia telah membuat tinjau mengenai kondisi sebenarnya di selatan Thai ia sangat meragukan jika dibanding dengan apa yang saya dapatkan.
Apakah benar beliau membuat kajian dan tinjauan di selatan Thai atau hanya mendapat maklumat di dalam restoran tom yam atau mendengar cerita dalam land rover keselamatan sambil pusing-pusing bandar di selatan Thai itu?
Daripada apa yang digambarkan dalam rencana itu ia berbeza dengan apa yang dipandang mata umum mengenai selatan Thai pada masa ini. Ada perlindungan fakta dan suasana sebenar tidak didedahkan dalam tulisan itu. Sepantasnya rencana sebegitu hanya layak untuk dibacakan kepada orang buta yang tidak mempunyai keupayaan untuk melihat sendiri apa yang berlaku di selatan Thai sejak empat tahun lalu hingga ke kini. Bagi mereka yang celik dan menjejakkan kaki ke Pattani betapa rencana itu sebuah dendangan murahan untuk menyeronokkan hati pihak tertentu saja.
Rencana itu berat sebalah. Iya bahaya. Kerana beberapa kesan atau mesej yang ditinggalkan oleh rencana berkenaan tidak wajar dikemukakan. Apa lagi dalam konteks hubungan serumpun dan segama rasanya ia tidak membela sebaliknya memberi kesan buruk kepada apa yang berlaku kini.
- Menggambarkan masyarakat Islam di selatan Thai dalam keadaan biasa dan tidak menghadapi apa-apa tekanan dari mana-mana pihak dan hidup aman dan damai.
- Memberi gambaran kejahatan puak pemisahan yang berjuang untuk memerdeka semula tanahair mereka.
- Kekacauan yang berlaku di Thai kini langsung tidak ada kena mengenakan dengan kerajaan.
- Rakyat Islam Thai membenci kekacauan yang berlaku kini yang dilakukan oleh orang Islam sendiri.
Gambaran ini sungguh menyesalkan. Orang Pattani mungkin marah sehingga boleh bertindak membakar akhbar berkenaan yang tidak peka dan prihatin kepada nasib mereka. Apakah benar seperti mana yang digambarkan oleh wartawan ini dalam tulisannya mengenai situasi di selatan Thai itu?
Kebetulan saya juga baru pulang dari selatan Thai dan sempat meninjau ke beberapa buah daerah sambil menziarahi sanak saudara di sana. Seperti mana yang saya catatkan dalam blog sebelum ini, keadaan di sana amat berbeza dengan masa-masa lampau. Kejadian jenayah, perbalahan di selatan Thai berlaku sejak berabad lalu. Namun suasannya tidak separah hari ini. Paling ketara ialah kebanjiran tentera di selatan Thai. Apakah keadaan ini tidak terpandang oleh penulis rencana berkenaan?
Hari ini tentera berada di mana-mana saja. Sepanjang jalan mereka mengawal keadaan. Sekatan jalan raya diadakan setiap satu km, di hadapan sekolah, masjid, kuil Budha dan simpang-simpang jalan di kampung. Apakah maksud gambaran ini? Kenapa tentera Thai perlu berbaris di setiap jalan. Apakah ini tanda kedamaian dan kemakmuran. Apakah keadaan ini disukai oleh penduduk wilayah berkenaan? Ia seharusnya ditinjau oleh Zulkiflee.
Hanya memetik khutbah yang dibaca khatib yang menyeru supaya bersatu atas nama Islam dan janganlah terpengaruh dengan situasi dan usaha untuk memecah belahkan rakyat Pattani, ia tidak memberi gambaran menunjukkan orang Melayu Pattani senang dengan suasana yang wujud di selatan Thai hari ini.
Apa yang berlaku di sekitar masjid Jamek Pattani itu bukan menggambarkan perasaan keseluruhan orang Pattani. Suara dari mimbar masjid itu bukan menunjukkan luahan perasaan masyarakat Islam di Pattani. Masjid itu sendiri dibangunkan dengan kewangan Raja Siam, di mana kekok bagi khatibnya untuk membaca khutbah yang menyuarakan perasaan atau mendedahkan sukaduka rakyat Pattani yang sebenarnya.
Menurut penulis itu dia juga diberitahu mengenai apa yang berlaku sekarang ini daripada pihak tertentu yang merupakan orang dipihak kerajaan. Sudah tentu mereka tidak berkata benar dan memberi maklumat sebenarnya mengenai apa yang terjadi. Gambaran yang diperkatakan ialah gambar indah belaka.
Unuk menghidangkan sebuah rencana yang mempunyai gagasan besar begitu ia tidak sepatutnya bersumberkan kepada bekas pegawai kerajaan seperti bekas Panglima Tentera Thailand Sonthi Boonyaratglin yang dipetik penulis memberi tahu umat Islam tidak berasa kehidupan mereka terancam.
Dari ukuran manakah Sonthi Boonyaratglin boleh berkata demikian? Apakah dia menyelami ke dalam dada dan dasar sanubari setiap umat Islam Pattani? Seperti juga di Malaysia, di Thai ada orang Melayu yang dibayar gaji oleh kerajaan dan ada yang mencari makan sendiri. Mereka yang menerima gaji akan memuji kerajaan dan mengeji perjuangan bangsanya sendiri dan melindungi fakta sebenarnya.
Zulkiflee juga ada menyebut mengenai janji Bangkok untuk mencurah kewangan bagi pembangunan di selatan Thai. Janji sebegini sudah lama kedengaran. Apa yang ada di selatan Thai hari ini. Apakah pembangunan ekonomi yang dijanakan untuk rakyat di selatan Thai? Zulkiflee elok masuk ke kampung dan melihat sendiri corak kehidupan masyarakat Pattani yang relatif miskin dan daif. Di tepi-tepi jalan menuju ke kampung gambaran sebenar masyarakat Pattani akan dapat disaksikan.
Tahukah beliau sudah hampir dua abad Thai menguasai dan menakluk Pattani? Tempoh itu bukan satu masa yang pendek. Kalau betul Bangkok ingin majukan Pattani perubahan kini sudah dapat disaksikan. Melainkan jalan raya perubahan lain tidak ketara. Mungkin pemberontokan dan rasa tidak puas hati ke atas Bangkok tidak akan meruap seperti hari ini. Namun apa yang dijanjikan itu jelas kosong belaka.
Harus juga difahami keperluan bagi rakyat empat wilayah itu bukan saja pembangunan fizikal tetapi lebih penting ialah memaknakan kehidupan mereka atas nama bangsa (Melayu) yang beragama Islam. Sebagai mana juga bangsa Siam mereka juga mahu mendaulatkan bangsa mereka dan menghidupkan agama mereka. Penindasan ke atas hak-hak asasi mereka mengenai bangsa dan agama ini ini jelas berlaku.
Selaku penulis Zulkiflee sepatutnya membuat tinjuan menyeluruh, dapatkan pandangan semua pihak yang bebas dan bukan menjadi agen kepada mana-mana pihak. Cara itulah baru penulisan yang bertanggunjawab dapat dihasilkan dan dilihat waras oleh semua.
Saya tidak fikir penulis melupai tragedi pembunuhan beramai-ramai di Takbai, tragedi dalam masjid Krisek menyebabkan dan paling baru ialah penembakan dalam masjid di kampung Air Tempayan dekat Golok Jun lalu.
Siapakah yang lakukan angkara ini semua? Sebelum membuat rumusan, puak lain yang berlaku zalim, penulis sepatutnya menyelidik siapa pelakunya. Dalam hal ini kena guna akal sendiri dan jangan bersandarkan penjelasan pihak berkepentingan yang sudah tentukan akan menudung fakta sebenarnya.
Di Takbai siapa yang menembak dan menangkap orang yang berhimpun di pejabat kerajaan? Seramai 85 maut dalam kejadian itu. Siapa yang memanggil orang ramai berhimpun kemudian memerangkapnya di situ sebelum ditembak? Apakah ianya ditembak oleh pihak pemisah atau mana-mana pihak lain? Kaji dan selidik juga kenapa kejadian itu berlaku?
Begitu juga serangan dan tragedi di dalam masjid Krisek menyebabkan 32 terkorban dan 16 ditangkap. Siapa yang menembak jemaah dalam masjid itu? Apakah dilakukan oleh puak pemisah atau taukeh dadah yang kononnya ingin menimbulkan huruhara demi perniagaan mereka? Yang pastinya semua yang terbunuh bukan rakyat tempatan dan yang menembaknya ialah tentera Thai.
Tuduhan penulis kepada pejuang pemisah sebagai munafik juga sangat kesat. Kita tidak hafal mengenai sejarah perjuangan rakyat Pattani hampir 200 tahun lalu. Jika kita mengetahuinya mungkin tuduhan rapuh itu tidak akan keluar dari mulut orang yang mengakui Melayu dan mengamalkan ajaran Islam.
Kesimpulannya rencana Zulkiflee Bakar itu bukan menunjukkan realiti sebenar nasib dan perjuangan rakyat selatan Thai (Pattani) dalam mendaulahkan agama, bangsa dan tanahair mereka, tetapi ia sebuah dongengan yang indah namun realitinya tetap pahit. [wm.kl. 3:00 pm 22/08/09]
Salam hormat !
ReplyDeletePenulis ini telah menulis didalam satu kolum diakbar sinar harian(Jika tidak silap)pada suatu ketika dahulu dan telah mendapat kritikan pembaca kerana telah mengelirukan dengan mentafsir soal taubat...bagus juga tulisan beliau tetapi jika diamat amati bolih mengalakkan seseorang muslim itu melakukan dosa kerana katanya tuhan ada tunjuk cara untuk membersihkan diri selepas melakukan dosa....
Apa pun dari pengalaman seingat saya pada tahun awal 60an ketika berusia 5-6 tahun ,dipetani inilah tempatnya saya dipelihara olih seorang keluarga angkat yang juga merupakan saudara disebelah ibu, tujuan kesini adalah untuk mempelajari ilmu keagamaan,pada waktu itu keadaannya masih aman damai,saling berkerja sama walaupun susah,kehidupan mereka bergantung kepada hasil pertanian getah dan tanaman padi namun mereka tetap bersyukur dan selesa dengan apa yang dinikmati dengan sentiasa mengunjungi tempat tempat ibadat sama ada disurau mahu pun dimasjid.
Berlainan sekali perbezaan kehidupan masyarakat islam disana pada waktu ini,pergolakkan yang berlaku amatlah tidak menyenangkan kita kerana sering berlakunya ancaman keganasan dan pembunuhan. Mungkin ini satu ujian keatas masyarakat melayu islam disana kerana banyak dari berita yang kita dengar terdapat dikalangan orang islam sendiri telah tidak bertanggungjawab terhadap agama dengan melakukan kerja kerja yang dilarang olih syarak seperti berjudi laga ayam,laga lembu kerbau,dan bermacam macam lagi perkara yang mengaibkan agama, mungkin kerana itulah agaknya Allah telah menurunkan bala" untuk sebagai pemberi ingatan bagi mereka mereka yang mahu berfikir.. jadi fikir betul !
Maka kerana itu teringat kembali akan tulisan sdr Zulkifli yang memperkatakan bab bertaubat,kadang kala tuhan memberi balasan neraka (bala") secara tunai semasa hidup didunia sebelum sempat bertaubat dan ada juga disimpan kesalahan (dosa) tersebut sehingga keakhirat untuk menentukan pembalasan keneraka mana satu yang sesuai sama ada neraka wil atau neraka jahanam.(neraka pun ada 2 ketegori kah?)
Jika semasa hidup ada nikmat dipanggil "syurga dunia" iaitu syurga sementara dan sudah pasti dialam akhirat juga ada "Syurga abadi" (kekal buat selama lamanya)syurga pun ada 2 juga ka?,DUNIA PARTI POLITIK MELAYU TERBESAR PUN ADA 2 JUGA KA ? (PAS&UMNO). masyaallah..! fikir betul betul...!
Saya ada membuat tinjauan di Selatan Thailand baru-bar ini.
ReplyDeleteTinjauan saya mendapati masyarakat 3 wilayah berkenaan hidup aman damai walaupun bergolak, kawalan keselamatan yang ketat tidak mengganggu kehidupan mereka. Walaupun perintah darurat, namun mereka bebas melakukan urusan niaga, dimana saya ketika itu di Hotel Imperial, Narathiwat turut keluar minum di 'rumah kopi' ketika jam 0030hrs. Kami langsung tidak dihalang oleh pihak tentera. Mungkin pendapat MSO, Pok su dan Zulkiflee Bakar (ZB) berbeza mengikut pandangan sendiri, cuma jgnlah mempertikaikan kebolehan seseorang itu dalam mengeluarkan pendapaat.