Thursday, October 1, 2009

Keluhan Perantau

Wang Mara Habis Kerana Dirompak

MENJELANG Syawal lalu saya menerima satu email dari seorang penuntut berbangsa Melayu di luar negara yang mengadu masalah mendapatkan bantuan kewangan daripada Mara. Pelajar berkenaan mengeluh dan kesal kerana Mara gagal menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar. Pelajar itu mempersoalkan kenapa berlaku demikian.

Beliau sendiri sudah beberapa kali menghubungi Mara bertanyakan mengenai hal itu. Malangnya pihak Mara menjelaskan institusi itu tidak mempunyai dana untuk menampung bantuan kepada para pelajar yanng mula disalurkan pada tahun 1974 itu.

Pelajar itu mempersoalkan kenapa berlaku keadaan demikian? Sebelum ini katanya walaupun negara dilanda kemelesetan ekonomi, tetapi Mara masih lagi dapat menghulurkan bantuan.

Apakah keadaan kewangan Mara hari ini begitu teruk, tanya beliau? Dan kalau benar teruk apakah tidak ada usaha dan ikhtiar untuk menambahkan dana untuk pendidikan, soalnya lagi?

Menurut pelajar itu disebabkan Mara tidak sedia membantu pelajar menyebabkan pelajar di luar negara yang miskin dan tidak ada sponsor menghadapi dilema, sama ada hendak meneruskan pelajaran ataupun tidak. Untuk pulang sayang kerana pengajian sudah masuk suku atau separuh jalan. Manakala hendak terus wang pula tidak ada.

Tujuan pelajar berkenaan mengadukan masalah itu kepada saya ialah untuk dihebahkan perkara ini. Beliau mahu perkara ini dibaca dan diketahui oleh pihak atasan, ahli politik, pihak Mara dan juga menteri-menteri sampai ke Perdana Menteri. Harapan besarnya semoga masalah yang mereka hadapi diselesaikan dan nasib mereka terbela. "Tolonglah Tuan bagi tahu kepada pihak atasan termasuk perdana menteri," tulisnya.

Sebenarnya keluhan dari pelajar luar negara ini bukan pertama kali tetapi sebelum ini sudah ada beberapa pelajar mengadukan hal yang sama. Manakala surat rayuan untuk mendapatkan derma pengajian tiba di rumah boleh dikatakan setiap bulan, terutamanya pelajar Timur Tengah.

Pelajar itu juga mempertikaikan sikap kerajaan yang memberi galakan anak-anak Melayu mengambil kursus kritikal dan profesional untuk meningkatkan daya dan kualiti hidup. Tetapi malangnya apabila ada anak-anak Melayu menyahut seruan itu, belajar bersungguh kerana untuk mengambil pengajian dalam bidang-bidang kritikal, peruntukan kewangan pula tidak diberikan. Keadaan ini katanya samalah seperti tahu melahirkan anak tetapi tidak tahu membekalkan makanan untuk mereka. (Kejam - MSO).

Sedih membaca email pelajar berkenaan. Apabila beliau mengirimkan kepada saya menceritakan masalah itu menunjukkan ia sudah sampai ke peringkat kritikal memikirkan masalah itu. Pelajar itu juga sudah buntu tidak tahu ke mana lagi hendak adukan masalahnya.

Kita boleh bayangkan betapa susahnya pelajar bersendirian berada di luar negera. Kos hidup dan peralatan pengajian tinggi. Bagi anak ahli korporat, anak pegawai tinggi kerajaan atau anak ahli politik, tidak menjadi masalah. Tetapi bagi anak nelayan, penoreh getah, pengayuh beca, cikgu sekolah rendah di mana nak dapatkan wang?

Dalam pada itu kita memahami masalah kewangan Mara pada masa ini. Kerajaan sudah menjelaskan mengenai hal itu berkali-kali. Justeru itulah pihak Mara sendiri telah membuat rayuan termasuk di akhbar kepada peminjam agar membayar balik pinjaman. Tindakan mahkamah yang kadang-kadang memalukan orang Melayu juga dibuat ke atas peminjam yang sengaja tidak mahu membayar. Ini semua menunjukkan kewangan Mara sudah nazak sampai terpaksa menagih hutang di depan publik.

Tetapi itu sebenarnya bukan alasan. Mara ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang utama; pendidikan dan usahawan. Itulah matlamat Mara. Penubuhannya dibuat menerusi akta Parlimen. Ianya bukan sengaja diwujudkan dan bukan juga secara sembunyi yang perlu diselindungkan kepada sesiapa pun. Mara adalah wadah membantu ekonomi dan pendidikan Melayu.

Kalau benar dana pendidikan Mara sudah kering, Mara harus mencari wang bagi meneruskan bakti mereka kepada anak-anak bangsa. Apa jalan sekalipun perlu diusahakan untuk tidak menghampakan harapan orang Melayu. Kalau Mara terpaksa mencuri dan merompak, ia halal dilakukan demi membantu orang Melayu.

Dalam usaha mendapatkan dana pendidikan Mara ini, pemimpin politik (Melayu) juga perlu kebijaksanan dan keberanian. Banyak instrumen atau saluran yang boleh dibawakan duit untuk Mara. Banyak institusi kerajaan (GLC) yang kaya raya dan boleh membantu Mara. Ingatlah hanyalah peruntukan menerusi Mara sahajalah yang merupakan gratis kemerdekaan kepada orang Melayu yang rebah dan menyulur memerdekakan negara ini. Apakah gratis yang kecil dan tidak seberapa ini pun hendak dihapuskan atau dinafikan juga kerana ada yang mengkritik dan mencemburuinya?

Mengenai masalah Mara ini, sebenarnya ia bukan tidak mendapat peruntukan. Setiap tahun kerajaan menyalurkan peruntukan berbillion ringgit. Tetapi apa yang berlaku ialah penyalahgunaan peruntukan ataupun pengurusan kewangan tidak berhemah dan berlaku pembaziran secara mentah-mentah. Perbelanjaan digunakan secara membazir dan pembaziran itu tidak pada tempatnya. Kekeringan tabung kewangan Mara juga buka kerana ia disalurkan kepada rakyat, tetapi disebabkan berlaku penyelewengan, atau rompakan dalaman Mara itu sendiri yang 'dirangah' oleh para kroni.

Banyak laporan dan gosip-gosip yang menceritakan bagaimana wang Mara disalahgunakan. Akibat ini segelintir kumpulan sahaja yang mendapat manfaat dan orang lain yang sepatutnya berhak menerima dinafikan. Seolah-olah institusi Mara dibangunkan untuk membantu segelintir manusia saja. Selalunya yang mendapat manfaat Mara ialah manusia berbangsa Umno dan kroninya saja ataupun yang menguasai badan berkenaan.

Bentuk rompakan ke atas Mara dilakukan dengan berbagai cara dan taktik. Satu contoh apabila Mara mencadangkan untuk mewujudkan kolej komuniti Mara di setiap bandar besar di negara
ini siapa yang mengaut keuntungan daripada projek berkenaan? Bukankah orang yang mencari bangunan atau tapak untuk kolej itu para pemimpin Umno. Bagaimana penyelewengan berlaku. Mereka akan menaikkan harga berkenaan berlipat kali ganda. Misalnya harga bangunan sebenarnya ialah RM5 juta tetapi dimark up sampai RM25 juta. Jadi yang lebih RM10 juta itu ke mana?

Sebab itulah kroni pemimpin Umno kaya raya dan hidup mewah. Pendapatan mereka adalah daripada projek-projek seumpama itu. Cuba check dan periksa sumber kewangan ketua-ketua bahagian dari mana. Boleh dikatakan semua ketua bahagian Umno ada lesen kelas A ataupun kroni yang memiliki lesen kelas A.

Banyak kalau nak disebut mekanisme untuk mendapat wang panas atau wang terpijak ini dari agensi Mara. Satu lagi contoh ialah mengenai projek yang disalurkan menerusi Tabung Ekonomi Usahawan (Tekun). Cerita Tekun ini saya akan kisahkan lain kali. Panjang kalau nak dihuraikan fasal Tekun di sini. Ada kes special mengenai Tekun ini yang berlaku di depan mata dan menimpa anak buah saya sendiri.

Kesimpulannya di sini kenapa kantong Mara kering kontang ialah kerana ianya dicurah kepada projek-projek berkenaan yang dikendalikan oleh kroni Umno. Selagi tidak ada pemantauan dan pembaiki dalam penggunaan wang ini, laborkan seberapa banyak wang pun ia tidak akan mencukupi. Dan apa yang paling menyesalkan wang sepatutnya digunakan untuk membantu orang Melayu dalam pendidikan dan perusahawan itu melayang ke tangan pihak lain yang tidak memberi pulangan menguntungkan kepada negara. [wm.kl. 12:00 t/hari 01/10/09]

10 comments:

  1. Akhirnya tuan mengakui juga bahawa perlu ada talian hayat untuk orang Melayu seperti MARA.

    Pemimpin2 PAS dengan bangga dan sombong menyindir perjuangan UMNO adalah perjuangan assobiyah meperjuangkan bangsa sedangkan PAS memperjuangkan Islam dan bukan memperjuangkan Melayu.

    Inilah perjuangan UMNO kerana memperjuangkan Melayu adalah juga memperjuangkan Islam!. Simboliknya kerana Melayu itu Islam. Inilah keberkahan yang diberi oleh tuhan kepada seorang Melayu adalah juga seorang Islam,

    Malang bagi orang PAS yang tidak dapat memahami....

    ReplyDelete
  2. Askm,
    Saya terpanggil untuk memberi komen setelah membaca apa yg tuan tulis. Mungkin juga kerana secara kebetulan saya pernah berkhidmat dgn Mara (termasuk di Bhg yg mengendalikan pinjaman pelajaran) untuk suatu tempoh yang agak panjang, walaupun kini telah memulakan perniagaan sendiri.
    Memang selalunya kita sedih bila membaca surat / rintihan dari pelajar yg gagal mendptkan pinjaman Mara. Tidak kira samada bagi tujuan belajar di dlm atau luar negara. Tidak kira bidang pengajian kritikal (perubatan / kejuruteraan) atau yg tidak kritikal.
    Namun begitu, utk tujuan memberi pinjaman, tentulah ada juga garis panduan serta syarat-syaratnya. Tak mungkin kalau pelajar itu bumiputra, kemana shj dia nak pergi belajar (dlm " luar negara), Mara kena beri pinjaman. Perlu ada juga syarat kelayakan akademik, selain syarat taraf sosio ekonomi. keluarga. Kalau pelajar 'miskin' mcm yg sdra sebutkan, saya rasa nak sampai ke luar negara dgn belanja sendiri pun tentu tak akan mampu. Mcmana pula boleh mengharungi pengajian hingga separuh / suku jalan.
    Kdg2 kita cepat melatah dgn hanya mendengar sebelah pihak. Bagaimanapun saya akui juga bahawa dlm menyampaikan perkhidmatannya (Mara), tidaklah 'perfect'. Tetapi biasanya, jika pelajar itu benar2 layak, bantuan akan diberi.
    Tuan, bolehkah Mara bantu siapa sj tanpa ada syarat? Jika nak begitu, mungkin boleh letak suatu peti wang di tepi jln raja laut dan setiap pagi pegawai Mara curahkan wang kedlmnya, siapa perlu bantuan, singgah shj dan ambil secukupnya utk pergi berniaga atau belajar di luar negara (contohnya).
    Berkaitan 'rompakan' yg berlaku di dalam Mara, saya rasa jika ianya sekadar 'dengar orang cerita', adalah tidak profesional untuk penulis selayak tuan utk beri komen lebih-lebih.
    Sebab itu saya sendiri hanya komen berkaitan pinjaman pelajaran krn saya lama terlibat dlm hal2 sedemikian. Wallahualam.

    ReplyDelete
  3. tak tau nak cakap apa tapi lepas ni kami akan sokong PAKATAN RAKYAT hingga ke akhir, bermati-matian, dan tak kira apapun....

    hanya wadah bangsa Malaysia bukan 1Malaysia yang mampu membantu umat Melayu

    ReplyDelete
  4. Saya mempunyai 2 orang anak di TimorTengah menghadapi masaalah yang sama untuk mendapat pembiayaan daripada JPA/MARA. Insyaallah saya akan mencuba mendapat pembiayaan daripada mana-mana kerajaan negeri di bawah PAKATAN RAKYAT. Di fahamkan daripada kawan-kawan tiada masaalah untuk mendapatkannya jika memenuhi syarat. HIDUP PAKATAN RAKYAT!

    ReplyDelete
  5. Assalammualaikum.
    Kalo nak komen sesuatu tu, penulis perlu pertimbangkan banyak alasan. Bukan asyik nak burukkan kerajaan je. Semua yang kerajaan buat tak betul je kalo dari mata penulis. Kalo pembangkang buat semua betul. Ni baru ingat kerajaan boleh mencuri sebab nak kene tolong melayu. Tapi bila pembangkang utarakan kota mara nak bagi bukan bumiputra masuk tak ada komen pulak.
    Berbalik pasal pinjaman mara tadi, memang betul lah kalo mara tak keluarkan bantuan pinjaman sebab takde duit. Takkan mara nak menambahkan lagi peruntukan untuk pinjaman pendidikan sedangkan yang dah banyak sebelum ini tak berbayar. Bukan kerajaan tenat tapi berbelanja berhemah, nak mengelakkan pembaziran duit deberi kepada peminjam degil ni. Penulis patut keluarkan artikel minta peminjam2 tegar mara bayar balik pinjaman yg dah diambil untuk mebantu peminjam2 baru. Bukan nak hentam kerajaan jer.
    Peminjam2 tegar ni waktu meminjam dulu sanggup je sign utk bayar balik. Tetapi sekarang jadi pembangkang sebab nak tukar kerajaan supaya pinjaman ini boleh lupus (itu yang saya dengar sebelum pru 12). Hutang tetap hutang, yang digunakan duit kerajaan, duit rakyat, takkan senang2 je nak lupus. Semua pembayar cukai setuju ker.
    Bantulah stabilkan politik negara, bukan hanya membuat tomahan. Selamatkan bangsa melayu, jangan menyokong membuta tuli sebab dah memang pegang pada prinsip nak jatukkan kerajaan. Kalo kerajaan BN tumbang, bolehkah PR memastikan hak melayu selamat. Yang saya nampak, bagi kawasan dikuasai pembangkang selain pas, memang hak melayu tak diganggu, tetapi hak kaum lain dinaikkan setaraf kaum melayu. Hak kaum melayu ditidakkan dalam diam2 dan sikit demi sikit. Sekian, maaf kalo tulisan sya ni bercanggah dengan penulis. Wassalam

    ReplyDelete
  6. Assalammualaikum Pak MSO,
    Saya ingin memberi pandangan saya. Kepada Happy Pirate bagi saya konsep yang anda dan parti dokongan anda gagaskan itu memang sama sekali tepat. Saya setuju, malahan Professor Ungku Aziz juga setuju, ketua pembangkang juga setuju. Tetapi apa yang parti dokongan anda buat berlawanan sama sekali dengan apa yang dicakapkan. Siapa yang lupuskan syarat ekuiti bumiputera 30% atas alasan yang dangkal. Siapa yang menubuhkan Amanah saham 1 Malaysia? Anda perlu mengkaji impaknya dan kesannya untuk jangka masa panjang. Siapa juga yang menarik orang2 bukan Melayu menjadi kakitangan awam, polis dan tentera. Anda tahukah apa kesannya pada jangka panjang dan pendek? Saya mencadangkan kita sama2 kaji apa impaknya kepada orang Melayu.

    Kepada S apa yang saudara cakapkan mengenai pinjaman pelajaran saya setuju. Tetapi kawan saya juga bekerja di Mara sudah beberapa kali fikir untuk berhenti kerana apa yang disuruh buat oleh bossnya tidak amanah. Berlawanan dengan sifat semula jadi orang Islam. Saya hanya menasihatkannya supaya bersabar dan berharap pengkhianat2 bangsa keluar dari agensi Mara tersebut. Malah ada kawan saya juga ada yang cuba mendapat duit mudah melalui Mara dengan memperbodohkan Mara dengan projek2, bisnis2 yang memang tak masuk akal. Biasanya mereka hanya hendak mengkebas duit MARA. Saya tahu dan kawan saya ini juga dari parti kerajaan. Dengan kuasa Allah beliau tidak dapat mentibai duit MARA. Saya lega dalam diam. Jadi saya harap saudara fikirkanlah sedalam2nya.

    Wassalam

    ReplyDelete
  7. Hamba pernah mendengar seorang YB Pas berkata bahawa memfitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh. Mashaallah. Bagaimana pula agaknya kriteria mengesahkan sesuatu itu fitnah atau bukan.

    Apakah seseorang yang terlatih dalam proses mengesahkan fakta terlepas dari takrif fitnah apabila ia menyebar cerita yang tidak pernah disahkan benar tidaknya.

    Mashaallah.

    Kelebihan seseorang itu adalah satu amanah untuk digunakan dalam membawa rahmat kepada alam ini. Bagaimana kalau kelebihan itu digunakan untuk kerja2 merusakkan pula.

    Mashaallah.

    ReplyDelete
  8. Sedih saya!!! yang komen di sini saya rasa semuanya adalah yang berbangsa Melayu.Namun majoritinya bersikap negatif dengan Melayu.Apa salahnya kalau Melayu yang dapat dan Melayu yang dibantu?ini tidak! berpolitik tetapi masih dengan dendam kesumat seolah-olah dana yang ada itu hasil daripada poket kita seorang sahaja.Ingat cujai yang dikutip adalah dari semua warganegara termasuk kita.jangan nafikan hak bangsa kita.Tentang syarat itu pada saya kita yang tentukan berlebih kurang adalah terbaik.Ini tidak lain dan tidak bukan adalah satu potensi kepada menarik mereka-mereka untuk berlembut dengan kita.Kalau masih berkeras tengoklah api tidak akan padam dengan api malah ianya akan padam hanya dengan air.Ayuh mari bersama untuk kemajuan dan kesejahteraan bangsa kita,jangan negatif!tolaklah sikap taksub dan tidak kebersamaan mari bersama mencari titik persamaan.Musim bertelingkah seharusnya dielak dan dihapuskan.

    ReplyDelete
  9. Salam untuk semua...
    Kuota 10% dicadangkan dibuka kepada pelajar bukan Melayu untuk ke UiTM ditentang hebat.Ada perarakan, polis pun tumpang sama..maksudnya tidak menghalang pun perarakan itu.Naib Misai UiTM pun melenting sama kononnya jiwa jati Melayu, menetang habis2an..macam2 dituduhnya terhadap MB Selangor.Namun bila Tok Jib menghapuskan kuota 30% pemilikan saham bumiputera dalam syarikat senaraian awam..kenapa tiada siapa menentang?Mana pergi Naib Misai UiTM tu? Kenapa tiada perarakan ke Seri Perdana menyatakan bantahan?Tak berani kan?..'telur' pun kecut.Kalau betul perjuangkan hak Melayu,jangan ada 'memihak berpilih'.Lagi satu setiap kali ada PRK..ada la slogan anak emas, DUN Termaju, anak angkat UMNO Pusat dan macam-macam lagi..persoalan yang ingin saya kemukakan kpd semua...kenapa mana-mana DUN atau negeri yang di perintah oleh UBN sekrg ni tidak dimajukan terlebih dahulu?Biar nampak perbezaan yang amat nyata berbanding dengan negeri dan DUN yang dikuasai PR..barulah rakyat boleh membuat perbandingan. Ini tidak...DUN yang ada pun tidak ada apa-apa pembangunan, terpinggir, rakyat pun hidup kais pagi makan pagi, nak dijanjikan DUN baru dlm PRK dengan mcm2 gelaran..anak emas, anak angkat UMNO Pusat dll...Contoh mudah kenapa tidak dibangunkan PERLIS menjadi negeri termaju di utara sana? kenapa nak dijanjikan mcm2 pembangunan di Kelantan sedangkan Kelantan lebih maju dan membangun berbanding Perlis sedangkan Kelantan diperintah PAS..orang PERLIS pasti sakit hati kerana kalau UMNO perintah Kelantan, limpahan pembangunan tidak terfikir oleh rakyat Kelantan akan dibuat oleh UMNO telah dijanjikan.Habis PERLIS tu macam mana?..Buatlah kat PERLIS tu dulu...kalau PERLIS membangun dan memang maju mengatasi Johor ke pasti orang Kelantan pun ada hati untuk memilih UMNO..Ini pun nak kena ajar ke? Berkaitan isu MARA yang susah nak memberi pinjaman..saya menyokong sepenuhnya.MARA memang memilih bulu..anak2 orang berada senang-senang dpt pinjaman, malahan yang tak bayar balik selamat dari tekanan dan ugutan kerajaan.Selesa atas kerusi empu, ada kereta mewah pemandu peribadi, banglo mewah berbilik2..mcm2 lagi.Tender sulit untuk projek tertentu, rakan-rakan saya dalam UMNO bahagian mengakui sendiri perkara ini [ saya cuma berkawan sahaja, kerana saya tidak menyokong UMNO- dulu ya. ]Perjuangan UMNO masa kini adalah perjuangan untuk memperkayakan puak dan kroni semata-mata.Dalam PRK Manek Urai..usah cerita laa kalau orang UMNO sendiri mengaku [ juga kawan saya ,orang kuat bahagian ] wpun UMNO kalah tipis dan itu menunjukkan UMNO sudah mendpt tmpat di hati rakyat Manek Urai [ bacaan sebenar untuk rakyat Kelantan la ] sebenarnya UMNO hampir muflis di PRK Manek Urai..apa maksud MUFLIS tu?..faham2je la.Dulu saya juga memang kuat menyokong perjuangan UMNO tetapi setelah TGNA dan pemimpim pembaharuan PR lain menunjukkan perbezaan antara ukhrawi dan duniawi maka saya rasa rugi dan sia-sia jika menyokong parti yang bersifat ASSOBIYAH memerintah negara..Sedangkan ISLAM memperjuangan kesamarataan, kesarwajagatan tanpa mengira kaum, puak, warna kulit, agama dan keturunan...yang hak tetap hak.Perlu ditunaikan hak dan milik rakyat bawahan. Satu pertanyaan, pemimpin UMNO dan BN lain merompak duit rakyat yang juga antara dari hasil cukai rakyat tu..rakyat rela ke?Rakyat setuju ke?itu lagi besar dan bertaraf 5 bintang tu..jumlah yang disonglap mmg tidak terkira.Kes PKFZ tu macamana?..kepada yang taksub dengan UMNO..buka sikit fikiran tu. sokong PR laaa...

    ReplyDelete
  10. to anafakir...

    semua ni berlaku sbb melayu sudah lemah....Njib tiada pilihan utk menegekal kerajaan dia dia mensti buat sesuatu untuk menarik sokongan org bukan melayu....org melayu masih menyokong umno...cuma bn kehilangan sokongan dr bukan melayu..sebabnya????orang2 melayu dalam parti pembagkang yg cuba menidak kan hak org melayu itu sendiri...membangkitkan isu2 sensitif, hak2 istimewa org melayu,deb yang mana isu begini tidak pernah dan tiada org bukan melayu yg berani membangkitkan isu ini.tp disebabkan org melayu sendri yg membangkitkan isu ini maka meraka melihat ini lah peluan untuk mendapatkan apa jua keistimewaan yg mereka tidak dapat dan tidak berani untuk meminta sebelum ini.Kesannya..org2 bukan melayu yg sokong kerajaan pun sudah pandai meminta2 yg bukan2.Pada org cinba politik is politik.Tapi bila bab2 memperjuangkan hak kaum cina mereka akan bersatu.Tetapi orang melayau????rela bergolok parang...rela menfitnah sesama melayu..melaga2kan sesama melayu..dan yg paling teruk bersekongkol dgn bukan melayu untuk menjatuhkan melayu yg dibenci....ini lah golongan orang2 dari parti PAS dan PKR...

    ReplyDelete