"Aku telah melarikan diri ke dalam hutan untuk ikut serta dalam perjuangan bersenjata melawan penjajah British untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya. Masa itu aku berumur 24 tahun. Sejak itu aku telah meninggalkan ibubapaku, keluarga dan kampung halamanku demi kemerdekaan tanahair." - Shamsiah.
TANGGAL 20 Oktober lepas genap setahun Serikandi Rimba, Shamsiah Fakeh, meninggal dunia. Sudah tentu anak cucu, sanak saudara dan para pengkagum serikandi rimba ini telah mengadakan doa dan tahlil mengenang Allahyarhamah.
Tidak mungkin negara dan mana-mana organisasi (siasah) bersemangat Melayu ala Umno mengadakan tahlil buatnya. Kecualilah para sahabat, anak-anak sahabatnya dan mereka yang memahami denyut nadi perjuangan dan kehidupan Shamsiah saja akan mengingat dan mengenang Shamsiah.
Shamsiah yang juga dikenali dengan nama timangan Che Yah meninggal dunia dalam usia 84 tahun di rumah anaknya di Jalan Kucai Lama, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2008.
Biarlah di sini saya menganjurkan untuk mensedekahkan al Fatihan kepada Serikandi Rimba ini untuk sekali seorang.
Sudilah kiranya. Al Fatihah! Kita tahu sebagai pejuang bangsa Shamsiah tidak mengharapkan apa-apa cenderamata atas perjuangan yang dilaluinya selama lebih 40 tahun. Beliau tidak mengharapkan apa-apa ganjaran kecuali pengertian terhadap perjuangannya.
Pangkat, bintang, darjah kebesaran, harta benda dan imbuhan tidak pernah wujud dalam dirinya. Apa yang beliau cari dalam tempoh itu ialah untuk menzahirkan kedamaian kepada nusa dan bangsa ini dan menghalau penjajah.
Memahami betapa pengorbanan besarnya untuk negara, (Malaya) sekiranya ada tawaran dari penjajah (British) kepadanya, kemerdekaan ini memerlukan nyawanya, saya yakin Shamsiah sanggup menyerahkan nyawanya sebagai ganjaran!
Demikianlah pejuang tulen sepertinya tidak pernah merasa kasih dan rindu kepada imbuhan. Selebihnya Allahyarhamah hanya mengharap sejarah akan menilai perjuangannya. Beliau mengarap sejarah akan menghakiskan prejudis dan cemuhan ke atasnya yang dipropagandakan musuh penjajah British. Dalam hal ini sejarah sangat adil dalam menilai hati budi perjuangan seseorang! Hukuman dari sejarahlah yang dinanti-nanti oleh beliau.
Saya merasa sedikit berdosa kepada (ibu bangsa ini) Shamsiah kerana baru minggu lepas membaca memoir hidup dan perjuangannya yang ditulisnya. Kelambatan ini menyebabkan saya ‘sesat’ mengesani segala budi, pengorbanan dan jasa-jasanya. Kebetulan pula saya membaca setelah setahun ketiadaanya, menyebabkan saya dibebani perasaan kesal dan sebak. Kesal dan bersalah kerana tidak sempat untuk menatapnya dari dekat dan bergambar dengannya untuk dimegahi dalam hidup sebagai pencatat sejarah kecil.
Kenapa saya terapla begitu sekali? Apakah saya membenci Shamsiah? Tidak! Selama ini saya tahu dia hanya seorang wanita Melayu yang terjebak dalam gerakan komunis tanpa mendalami dan menggali di mana dan apakah titik mula atau cetus menyebabkan dia bersama Komunis.
Saya sendiri tidak pernah menghukum seperti mana sesetengah tentera atau nasionalis didikan penjajah yang terus membutakan mata untuk menelaah sejarah sebenar di sebalik penglibatan Shamsiah dengan perjuangan dan kemudian menyertai Parti Komunis Malaya. Kerana kekurangan maklumat itu dan terlalu terpengaruh dengan penjajah dan nasionalis 'bendul' menyebabkan mereka ini menghukum Shamsiah sebagai pengkhianat, penderhaka dan pembunuh.
Sebelum ini rakan-rakan yang berkhidmat dengan tentera ada menceritakan perihal dan aktiviti subversif Rejimen ke 10, atau lebih dikenali dengan pasukan Komunis Melayu. Dalam cerita inilah termuat kisah Shamsiah Fakeh yang digambarkan seorang perempuan Melayu yang menjadi komunis. Komunis dalam konotasi lazimnya sebagai orang Cina yang menentang askar atau pasukan keselamatan negara.
Bila sebut komunis apa yang bermain dalam kepala ialah seorang yang tidak mengakui Tuhan dan memiliki ideologinya tersendiri. Bagi orang Melayu pula seseorang yang menolak agama sangat buruk, jijik dan hina. Tetapi setelah membaca memoir itu dan menyelami perjuangannya, baru diketahui hujung jatuh sebenar perjuangan dan siapa dia Shamsiah Fakeh Sultan Sulaiman.
Barangkali di sinilah kebenaran ataupun maksud yang pernah dilapazkan Ghafar Baba (Allahyarham) suatu ketika dulu. Katanya, apa salahnya kalau komunis itu beragama Islam! Walaupun kata-kata Ghafar itu songsang tetapi selepas memerhati dan menilai perjuangan dan ‘komunis’nya Shamsiah ini baru dapat difahami maksud kata-kata Ghafar Baba itu.
Jika ingin menggali perjuangan Shamsiah jangan diambil sewaktu dia menyertai PKM tetapi harus bermula diumbi perjuangannya tatkala dia terlibat dalam PKMM sebagai ketua Awas – Angkatan Wanita Sedar. Shamsiah bermula dengan niat yang suci dan putih dalam perjuangan. Dan niat dan kesucian ini tidak tercalar sampai ke akhir nafasnya.
Sesuatu mengejutkan Shamsiah bukan seperti ditohmahkan. Dia bukan kejam dan pembunuh askar Melayu. Hakikat ini diakuinya; sebenarnya anggota polis dan tentera memang tak perlu berdendam dengan aku kerana sepucuk pistol dan sebutir bom tangan yang aku pakai dalam hutan dahulu itu tidak pernah meletup dan tak sebutir peluru pun yang membunuh polis dan tentera kerajaan. Muka surat - 131.
Pengakuan Shamsiah ini bukan satu pernyataan untuk meraih simpati dan apologetik. Tetapi inilah hakikat sebenarnya. Sesetengah pesara tentera yang bertugas sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, mengakui bahawa mereka tidak pernah ditentang oleh Rejimen ke-10 yang dianggotai oleh pejuang Melayu. Bahkan ada yang mendakwa mereka dilindungi oleh Rejimen ini. Semasa beroperasi di hutan tatakala mereka terserempak dengan Rejimen ini masing-masing mengelak dari bertempur tatkala dikeluarkan isyarat tertentu.
Menyelak memoir ini banyak perkara baru dan tidak terangkat ke muka umum yang dapat ditemui khasnya untuk mengenali manusia Shamsiah seorang Melayu dan seorang penganut agama Islam. Buku setebal 142 yang ditulis pada 1991 dan selesai 2002, ini bukan sahaja dapat mengungkap latar belakang, perjuangan dan kehidupannya, tetapi turut menyelongkarkan latar hidup susah senang Shamsiah dalam perjuangan untuk membebas tanahair dari penjajah British baik di lapangan dan dalam hutan.
Shamsiah seorang perempuan yang gigih dan mempunyai kecintaan tinggi kepada negara. Gambaran ini dapat dilihat semasa beliau menjadi ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas). Kesasaran beliau menyertai PKM ialah kerana nekad besar beliau untuk membebaskan negara dari penjajah. Semangat ini diperolehi semasa menuntut di sekolah agama di Bagan Serai, Perak. Apakah nawaitu itu dianggap salah dan kotor?
Kegigihan dan keberanian Shamsiah bukan saja untuk menentang penjajah tetapi keberanian beliau juga menentang realiti kehidupan seorang wanita yang memiliki musuh semula jadi seperti ditindas oleh lelaki serta hukum dan adat. Dalam sepanjang hidupnya dia telah mengalami keruntuhan rumah tangga sebanyak empat kali. Empat kali adalah terlalu perit dan boleh menyebabkan manusia jadi 'gila' apa lagi keruntuhan rumah tangga itu dalam keadaan tragis yang bervariasi kesedihannya.
Beliau mendirikan rumah tangga pertama dalam usia mentah bersama rakan sekolahnya bernama Yassin Kina. Beliau dicerai setelah diabaikan suami itu berbulan-bulan secara bersendirian. Selepas itu beliau berkahwin dengan talibarut Jepun bernama Rusdi berasal dari Minangkabau. Perceraian dengan Rusdi juga tragis.
Rumah tangganya kali ketiga bersama Beostaman, yang juga sahabat seperjuangannya, juga musnah. Begitu juga rumah tangga ke empat yang dibangunkan dengan teman sepejuangan Wahi Annuar semasa bergerila di hutan Pahang juga musnah.
Kemusnahan rumah tangga ini adalah musuh bagi dirinya seorang perempuan dan sesuatu yang mentragiskan hidupnya. Namun Shamsiah tidak pernah tewas dan mengaku kalah. Keruntuhan rumah tangga itu tidak sedikitpun melemahkan atau menganggu semangatnya untuk memerdekakan negara. Di sinilah kehebatan Shamsiah dapat memisahkan perkahwinan sebagai musuh keperempuannya dengan semangat perjuangan yang mengalir dalam tubuhnya.
Rumah tannganya yang kelima dibangunkan bersama Ibrahim Mohamed baru utuh dan menjadi istana. Dan dari perkahwinan dengan Ibrahim inilah beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata; Jamaluddin, Kamaruddin dan Shamsuddin yang akan menjadi pembetul dan penyapu warna-warna hitam dalam hidup Shamsiah dan Ibrahim Mohamed.
Pada saya sejarah, latar hidup dan perjuangan Shamsiah sungguh cantik dan indah. Dalam kepedihan dan kesengsaraan dihadapinya selama 40 tahun ada banyak yang dapat dikutip untuk diaplikasikan dalam kehidupan ini menjadi azimat dan penawar. Tidak ragu-ragu pada saya, Shamsiah adalah seorang model kegigihan seorang sarikandi utama negara ini yang tidak akan terlawan selamanya.
Sebenarnya Malaysia bertuah memiliki Shamsiah dan hendaknya kebetuahan ini dapat dinikmati oleh kita semua khasnya kaum wanita yang menerjunkan diri dalam medan perjuangan. Muslimat Pas, Puteri Umno dan mana-mana praksi organ wanita wajar menjadikan buku memori Shamsiah ini sebagai buku resepi perjuangan yang perlu didampingi setiap masa dijadikan azimat keramat bagi melestarikan perjuangan dan memasikan anda juga menjadi serikandi bangsa. [wk.kl 6:15 pm 24/10/09]
salam..
ReplyDeleteapa lagi nak dikata..
dari kecil telah ditanamkan segala kebencian dan kemungkaran yang dilakukan oleh komunis oleh pihak yang menggubal kbsm murid2 kita.
'melentur buluh biarlah dari rebung.."
memng tepat.
jadi siapa yang sedang meneguk air yang keruh?
siapa yang diangkat menjadi wira bangsa?
lupakah tentang mereka yang dipenjara dan menderita bagi menegakan maruah bangsa dari penjajah?
akhirnya digelar pengkhianat bangsa?
Assalamualaikum pak chik. Walaupun saya pernah berkhidmat sebagai tentera, saya tidak pernah dan tidak akan lupa pejuang-pejuang kemerdekaan ini kerana saya telah diceritakan oleh dato saya Hashim bin Said yang pernah berjuang dalam PKMM dan API. Beliau pernah ditahan oleh pihak British selama 4 tahun. Jadi sudah sewajarnyalah, pihak yang bertanggungjawab, membetulkan fakta tentang pejuangx kemederkaan ini supaya rakyat tahu perksra yang sebenarnya. Wassalam
ReplyDeletePERJUANGAN SYAMSIAH PAKIH SEMEMANGNYA AMAT DI HARGAI DAN DIKAGUMI. ARUAH JUGA DIHORMATI DAN DIKATAKAN MEMPUNYAI PENGAJIAN AGAMA YG TINGGI..
ReplyDeleteTETAPI PENYERTAANNYA BERSAMA-SAMA GEROMBOLAN PENGANAS KOMUNIS, ITU YG MENCACATKAN KEHARUMAN PERJUANGAN ARUAH DAN JUGA RAKAN-RAKAN MELAYUNYA SEHINGGA BERTUKAR MENJADI HANYIR.
KERANA APA...KERANA SELEPAS JEPUN MENYERAH KALAH KOMUNIS KELUAR DARI HUTAN DAN BERMAHARAJA LELA MEMBUNUH TANPA BELAS..
UNTUK MAKLUMKAN SYAMSIAH PAKEH NI BERASAL DARI NEGERI SEMBILAN..ORANG NEGERI SEMBILAN PATUT BERBANGGA MEMPUNYAI SERIKADI YG BERJIWA BESAR LAGI BERANI SEPERTI ARUAH.
SEMUGA ROH ARUAH DITEMPATKAN ALLAH DIKALANGAN PARA SYUHADA DAN AMBIA..
AMIN..AL-FATIHA..
Tn Hj MSO,
ReplyDeletePada tahun 2004, saya pernah bertemu Allayrhamah Shamsiah dan Allahyarhan suaminya tinggal di Batu 8, Jalan lama Gombak. Pertemuan berlaku di rumaah tuan rumah yang saya sewa, Hj Sulaiman yang bermurah hati mendermakan sebidang tanah untuk Allahyarhamah membina rumah. Malangnya tidak didengar gerakan serius pihak2 tertentu untuk mencari dana bagi membina rumah hinggalah Allahyarmah menghebuskan nafasnya. Banyak perbualan saya dengan Allahyarhamah dan Allahyarham suaminya yang masih tersemat dihati. Terutamanya penglaman tinggal di negara China. Betapa dugaan dalam hidupnya sebagai orang Islam di negara yang pengaruh komunisnya sangat kuat.Namun pegangannya amat dihormati oleh pemimpin di negara China. Saya amat kesal, pertemuan pertama dan terakhir yang amat bermakna itu tidak dirakamkan melalu lensa kamera.Entah mengapa keterujaan bertemu mata dengan tokoh ini yang susah untuk diperolehi orang lain gagal aku abadikan dalam bentuk foto. Satu kesilapan yang amat aku kesalkan sehingga kini..
Al Fatihah...
cili-merah@blogspot.com
slm mso,
ReplyDeletesaya antara generasi muda yg tersemat dlm pemikiran..bhw Shamsiah Fakeh adalah komunis..! Komunis yg sebagaimana kebykkn org fikirkn. Namun anggapan sy tu makin terhakis baru2 ni.
Antara asbabnya..baru2 ni sy telah mendengar & mengamati lirik sebuah lagu yg berjudul (klau tk silap sy..) "Awas Api Perempuan Ini (a.A.P.I) yg trkandung dlm album terbaru 'penyanyi jalanan'..MEOR YUSOF AZIDDIN...'DRUR' (Dari Rakyat Untuk Rakyat).
Antara rangkap yg terkesan di jiwa sy..,"..dia pergi meninggalkn sejarah besar..khalayak yg kecil memberi hormat pada tamat jalan hidupnya...dia bukan jeneral atau menteri...longokkan bangkai-bangkai terpuji...perbarisan di makam yg mahal..atau artifak awetan dalam muzium.."
"kota hening kesibukan dan kerja..jenazah dikebumi bertemu perjanjian..Shamsiah Fakeh srikandi berani...perempuan revolusyener sejati.."
"dia nyalakan api dlm diri...belajar jd laki2 berani...mengangkat saksama manusia...salut ku padanya tk terhingga..".
mohon sy pd pihak yg brtanggung jwb..rungkaiknlh salah anggapan masyarakat trhadap Shamsiah Fakeh & sahabat2 seperjuangannya. al-fatihah buat mereka yg berjuang kerna agama, bangsa & negara. AL-FATIHAH...