PRESIDEN Umno, Mohd Najib Tun Razak baru saja selesai menyampaikan ucapan dasar sulungnya di perhimpunan agung Umno ke-60. Najib mengambil masa selama 1 jam 28 minit dan terpaksa meneguk air sebanyak enam kali.
Ucapan dasar itu memang ditunggu-tunggu oleh semua pihak bukan saja ahli Umno tetapi para pemerhati dari dalam dan luar negara juga. Pembangkang juga saya percaya (yang tidak ada tugas lain) mengikut ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran tv itu dengan penuh minat.
Selepas ini akan adalah ulasan dan kritikan atau sinisme daripada pemimpin pembangkang ke atas ucapan dasar itu. Mereka akan mengulas mengenai sudut negatif saja dan akan menenggelamkan aspek-aspek positif untuk agama, bangsa dan negara!
Ucapan ini dikira penting dan mempunyai signifiken tersendiri bagi Najib dan Umno. Apa yang ditunggu ialah mengenai kupasan dan ulasan Najib mengenai usaha Umno meminda perlembagaan bagi memulihkan parti Melayu itu. Orang ingin menunggu apakah rasionalnya keputusan Umno meminda pelembagaan itu. Apakah ianya satu tindakan hakiki atau hanya retorik untuk mengabui mata umum saja.
Selain itu penghayatan ke atas ucapan dasar itu juga untuk menyelami dan membaca mesej-mesej tersirat yang dicuba disampaikan Najib bagi difahami bersama.
Nampaknya Umno tidak ada menghadapi masalah dalam pindaan perlembagaan. Ahli Umno sepakat menerimanya atas prinsip untuk melihat parti berkenaan terus kekal sebagai parti pemerintah di negara ini.
Atas kepercayaan pindaan itu untuk memperkuatkan Umno ia akan diterima sebulat suara nanti. Kata Najib menerusi tema ucapan Menjunjung Tradisi dan Menzahirkan Perubahan, Najib yakin demokrasi dalam Umno akan dipulihkan, mendapat kepercayaan rakyat dan Umno terus akan menjadi peneraju kerajaan. Katanya juga tindakan itu sejarah buat Umno dan melambangkan keberanian Umno melakukan perubahan. Ini katanya adalah kesungguhan Umno untuk mengubah dirinya.
Menerima kata-kata Najib ini sebagai satu kebenaran, ini boleh difahami bahawa selama ini, khasnya sejak Umno di bawah kepimpinan Mahathir Mohamad, parti itu sudah tidak demokratik lagi. Ini juga bermakna selama 22 tahun Mahathir memegang jawatan itu dengan pemerintahan ala kuku besi dan menggunakan kuasa veto.
Jika Umno kini rosak parah dan perlu diperbaiki kerana ia tidak demokratik dan menjadi parti dimiliki seorang taukeh, maka orang yang perlu bertanggungjawab dan berdosa mewujudkan ini ialah Mahathir bin Mohamad. Sekiranya Umno tewas dalam pilihan raya nanti, Mahathirlah yang kena bertanggunjawab.
Apakah perubahan itu akan berjaya? Demokrasi dalam Umno akan dapat dipulihkan dan sehubungan itu akan berbondong-bondonglah generasi muda akan menyertai Umno kerana sudah berlalu perubahan itu? Pemilihan kepimpinan dua tahun depan akan menjawab persoalan ini.
Menerusi sistem dan kaedah pemilihan akan datang Umno bukan lagi dipilih oleh 1,500 perwakilan yang sudah dikandangkan, tetapi dipilih oleh 160,000 ahli bawahan.
Soalanya lagi apakah tidak akan berlaku kandang mengandang lagi di kalangan ahli bawahan yang diberi kuasa memilih itu. Kalau 1,500 para perwakilan sebelum ini dikandang dan diberikan makanan yang kompeks dan bergizi dalam bentuk pelet dan sebagainya, apakah ahli sebanyak 160,000 tidak akan dikandangkan dan diberikan makanan rumput dan daun-daun?
Dalam tujuan ini bagi saya, bukan soal jumlah kecil atau banyak kuasa memilih pemimpin yang menjadi sebab berlaku rasuah yang merosakkan Umno, tetapi yang penting kejujuran, kesungguhan dan keikhlasan ahli Umno seluruhnya dalam berorganisasi. Di sini apa yang perlu ditekankan ialah intergriti; kebersihan, kejujuran dan keikhlasan ahli Umno bukan bergantung kepada skla kecil atau besar.
Nampaknya dalam ucapan tadi Najib tidak menekankan aspek dalaman manusia terhadap ahli Umno ini. Tidak ada apa-apa cadangan atau pendekatan berasaskan agama dikemukakan untuk membina dalaman ahli Umno yang tepu dengan keimanan dan pemikiran yang baik. Apakah Najib terlupa mengemukakan ini dalam ucapan dasarnya atau beliau sememang kurang dengan dogma pendidikan Islam?
Adalah diharap semoga akan ada perwakilan semasa membahas ucapan dasar Najib itu mengemukakan cadangan-cadangan untuk merubahkan gaya hidup, pemikiran, sosial orang Umno menerusi pendekatan dan syaksiah Islam.
Meneliti secara umumnya, ucapan Najib sedarhana saja. Roh keseluruhan ucapan itu ialah beliau melahirkan iltizamnya untuk mengukuhkan Umno yang sekaligus memastikan beliau tidak akan menjadi PM hanya satu penggal saja seperti mana yang diramalkan di luar sana.
Kesungguhan dan iltizam itu juga menunjukkan Najib begitu bimbang dan cemas dengan masa depan Umno terutamanya bagi meghadapi pilihan raya akan datang. Kemenangan tidak rasional Umno di Bagan Pinang minggu lalu nampaknya tidak dijadikan azimat besar kepada Najib dan Umno. Umno tampaknya faham kenapa mereka boleh menang besar itu.
Apabila beliau membawa sejarah Umno serta mengemukakan prediction yang tidak tepat terhadap Umno, mencerminkan apa yang bergelora di dalam hati Perdana Menteri itu.
Hujah Najib semua prediction mengenai nasib malang dan kecelakaan yang bakal menimpa Umno yang dibuat selama ini semuanya tidak betul. Katanya, sejak tahun 50-an lagi Umno sudah dibayangkan akan hancur apabila PAS ditubuhkan. Kemudian ia diikuti pada tahun 1969 apabila Perikatan hilang majoriti 2/3 dalam pilihan tahun itu.
Selepas itu beberapa kali lagi prediction dibuat mengenai nasib Umno termasuklah pada tahun 1987 apabila berlaku perpecahan dalam Umno. Dan terbaru apabila UBN kalah teruk tahun lepas sehingga hilang majoriti 2/3 di parlimen serta kehilangan lima buah kerajaan negeri.
Satu perbezaan nyata dan boleh dipuji dalam ucapan Najib ini berbanding dengan ucapan dasar oleh presiden lain, khasnya Mahathir ialah beliau tidak menyerang pembangkang dan mengkritik peribadi. Inilah kehebatan seorang najib. Beliau tidak emosi dan prihatin kepada keadaan semasa dan seorang yang membuat mahasabah ke atas diri dan partinya sendiri. Sikap Najib begini menyerlahkan sikap terbukanya dalam mencari kebenaran.
Najib juga mengambil sikap berbeza, dimana tidak bermusuh dengan sesiapa pun dan tawaduk dengan membuka pintu untuk berkerjasama dengannya atas matlamat untuk membina bangsa dan negara dan sedia mengenepikan kepentingan-kepentingan lain yang remeh temeh.
Dalam pada itu ada dua mesej yang diselit Najib dalam ucapannya tidak boleh dipandang rendah oleh mereka di luar Dewan Merdeka bangunan Umno itu.
Mesej itulah anjurannya supaya orang Melayu bersatu. Saya percaya mesej ini dilemparkan kepada orang-orang Melayu yang berada dalam wadah berlainan, terutamanya Pas. Beliau sangat berharap dalam menghadapi cabaran globalisi ini orang Melayu perlu bersatu dan memahami risiko masa depan mereka. Beliau juga mempercayai orang Melayu tidak perlu dan tidak larat untuk berpecah.
Mesej kedua, dan ini menggerunkan saya sedikit, ialah bila Najib menceritakan kebaikan Umno dan ketidaksediaan Umno untuk mengkhianti demokrasi. Katanya pada tahun 1969 di mana selepas berlakunya Trgaedi 13 Mei, Umno boleh mengubah kondisi politik negara, menjadikan sistem dua parti ataupun menyerahkan pentabdiran kepada tentera ketika itu.
Tetapi menurutnya Umno tidak melakukan itu dan masih memberi peluang kepada sistem demokrasi. Apakah maksud dan tujuan Najib mezahirkan perkara itu memberi gambaran Umno masih berkesempatan dan sedia melakukan tindakan itu?
Saya tidak menolak kenapa Najib meluahkan itu kerana ada buah kilas di sebaliknya. Jika Umno sudah terdesak dan keadaan negara sudah sukar dikawal mungkin Umno dengan kuasa politik yang tersisa akan membenarkannya.
Yang menarik juga bagi saya dalam ucapan ini Najib nampaknya berusaha mendewasaan dirinya dengan elemen-elemen Islam yang mendamaikan hati tatkala mendengarnya. Beberapa perkataan atau intri Arab berhubung dengan siasah dan tarbiah disebutkan Najib dalam ucapannya.
Begitu juga pembukaan ucapan dengan membawa firman Allah dan petikan kata-kata Saidina Ali, ada tanda-tanda Najib kini sedang mendalam falsafah Islam yang mungkin akan diterapkan dalam pentadbirannya ataupun aura Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menjangkitinya sejak beliau menziarahi MB Kelantan yang keuzuran di hospital tidak lama dulu! [*** kl. 11:30 am 15/10/09]
Catatan: Bekas Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Bahagian Ketereh, Annuar Musa didapati tidak hadir semasa ucapan dasar.
Catatan: Bekas Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Bahagian Ketereh, Annuar Musa didapati tidak hadir semasa ucapan dasar.
ya pak mso..ucapan yang menarik...atau adakah sekadar ucapan. biasanya apa2 yang dicadangkan oleh umno semuanya baik,tetapi kita tengok perlaksanaannya pulak. betul kat pak mso faktor rohaniah tidak diberi penekanan dalam aspek rasuah. ini tidak pelik kerana fahaman umno dari dulu lagi...tak pe la, sama-sama kita tengok perubahannya.
ReplyDeleteSalah satu zikir mutaakhir dikalangan ahli politik imma kerajaan waimma pembangkang ialah...rasuah..rasuah..rasuah. Betul rasuah tu berdoa besar tapi kalau disebut berulang kali dan menuduh orang itu ini. Maka untuk membaikinya tiada tetapi menambah parahkannya mungkin ada..
ReplyDelete