Wednesday, November 4, 2009

Kenyataan Akhbar

Serbuan Ke atas Dr Asri Dilakukan Secara Biadap

AHLI Parlimen, Ampang yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zurida Kamaruddin menafikan bahawa beliau dan Adun Hulu Klang, Saari Sungip telah menghalang operasi Jabatan Agama Islam (Jais) untuk menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada malam Isnin lalu seperti mana dilaporkan oleh sebuah porta berita.

Katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikirimkan kepada saya, apa yang berlaku beliau dan Saari yang ketika itu berada dalam majlis pengajian itu cuba menenangkan keadaan panik orang ramai atas operasi berkenaan yang dilakukan secara kasar dan biadap.

Berikut adalah kenyataan penuh Zuraida:

Tarikh: 4 November 2009
Penahanan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bekas Mufti Negeri Perlis oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat Islam terutama di Negeri Selangor.

Selaku individu yang berada ditempat berlakunya majlis ilmu berkenaan, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang mengelirukan berdasarkan kepada beberapa laporan akhbar yang saya rasa telah memetik dari sumber yang cuba melindungi kejadian sebenar yang berlaku.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah cara pihak JAIS menjalankan operasi penahanan adalah tidak professional dan mempamerkan kelemahan yang tidak sepatutnya wujud dalam organisasi yang tinggi tarafnya seperti JAIS.

Lebih menghairankan apabila ditahan, pihak JAIS gagal menyediakan kertas pendakwaan bagi mengaitkan Dr Asri dengan sebarang kesalahan melainkan dengan alasan mengajar tanpa tauliah.

Sepatutnya penahan dibuat setelah terbukti sesorang itu telah melakukan kesalahan. Agak menyedihkan dalam kes ini sewaktu mahu menahan Dr Asri, kelihatan pegawai JAIS sendiri tidak membuat persediaan dan sering menggunakan telefon bagi mendapat arahan dari pegawai atasan yang dipercayai ialah Pengarah JAIS sendiri iaitu Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Bagi saya tindakan JAIS yang menggunakan khidmat polis pada malam kejadian juga adalah satu tindakan yang melampau dan meletakkan Dr Asri pada kedudukkan yang tidak sepatutnya memandangkan sebelum ini beliau telah diberi kepercayaan oleh Tuanku Raja Perlis untuk menjaga persoalan berkenaan agama Islam di Negeri Perlis sendiri.

Sepatutnya sebagai seorang bekas Mufti dan memiliki pendidikan sehingga kepada peringkat Doktor Falsafah berkenaan Islam, beliau dialu-alukan untuk mendidik masyarakat. Adakah semua ini masih lagi tidak melepasi kelayakan yang diperlukan oleh JAIS untuk seorang seperti beliau bagi menyampaikan dakwah di Selangor.

Disini saya bertegas mendesak Pengarah JAIS menjelaskan apakah garis panduan yang digunapakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor.

Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, sehingga kini terdapat lebih kurang 7 orang Ustaz yang diantaranya adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dan telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis.

Dengan adanya garis panduan tersebut JAIS akan dapat membendung amalan mengikut selera Pengarah JAIS dan memberi keadilan kapada cendekiawan seperti Dr Asri untuk menyampaikan ilmu.

Dalam tempoh terdekat, pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat Selangor akan menghantar petisyen kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selongor agar menilai semula kedudukan dan fungsi Pengarah JAIS yang jelas telah menjejaskan kedudukan Baginda selaku penaung kepada perkembangan Islam di Negeri Selangor yang bertuah ini.

Melalui kenyataan media ini juga saya ingin menafikan laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Pengarah JAIS bahawa saya dan seorang lagi rakan YB Shaari Sungip telah menghalang tugas pegawai JAIS untuk menjalankan tugas sehingga terpaksa menggunakan polis.

Apa yang berlaku ialah saya dan YB Shaari Sungib cuba untuk menenangkan keadaan kerana para jemaah ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadap oleh saudara Shahrom penolong pengarah penguatkuasa JAIS yang mengaku mempunyai ijazah dari Universiti Al Azhar.

Untuk itu, saya mengesa agar Pengarah JAIS yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini menarik balik dakwaan beliau. Sebaliknya beliau perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan kerana beliau membawa imej JAIS yang dipandang tinggi oleh umat Islam. 


ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat
[wm.kl 5:04 pm 04/11/09]

5 comments:

  1. saya cadangkan MSO juga mendapatkan tauliah mengajar agama di selangor.
    saya percaya pada kredilbiliti MSO sendiri berbanding pengarah JAIS yang nampaknya tak berapa cerdik dalam menangkap dr Asri.

    http://satuummah.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. salam MSO,

    apalah sangatyang berlaku terhadap Dr Asri berbanding dengan apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim mantan TPM dan para golongan agama yang diseksa dalam tahanan ISA.Malaysia dari sudut geografi hanyalah sekecil semut namun kezaliman setanding dengan negara besar seperti Amerika..

    ReplyDelete
  3. Saya rasa kalau Asri dan ustaz2 tu tak cuba menyebarkan fahaman wahabi, tak ada masalah nak dapat tauliah. Baru terserlah ramai MP/ADUN PKR/PAS/UMNO cenderung kepada aliran Wahabi kerana mereka boleh memilih2 hukum yang mudah diantara 4 mazhab terebut. Lagi satu akidah mereka bersandar kepada Ibnu Taymiyyah dan Muhammad Abdul Wahab bukannya para salaf..minta maaflah itulah hakikatnya yang saya dapat lihat...wallahu'alam

    ReplyDelete
  4. Saya merasa suatu kedangkalan pihak
    jais dlm menangani masaalah ini.saya juga rasa ada konspirasi dlm kes ini.satu lagi tahap kelayakan pengerusi jais perlu di kaji kembali dari segi ilmu agama dan kelayakan pengurusan secara berhemah serta kalau buleh mental juga kemungkinan lemah menghadapi beban kerja, siapa tahu...

    ReplyDelete
  5. Erdogan Pro-Anwar: Tangan di Sebalik Kes Dr Asri?

    Penangkapan Dr Asri sebenarnya adalah seperti sambil menyelam sambil minum air oleh golongan Erdogan. Seperti mana yang dijelaskan ole penulis dahulu, teras kepada golongan erdogan adalah mereka yang pernah mendapat tarbiyyah IRC (Islamic Representative Council) seperti Saari Sungip, Dzulkefly Ahmad malahan Zuraida Kamaruddin.

    Sebenarnya, golongan Erdogan ini sendiri mempunyai dendam tersendiri terhadap Dr Asri jika diteliti sejarah gerakan/jamaah Islam terutamanya di Kolej Islam Kelang (KIK). Dr Asri adalah orang yang bertanggungjawab melenyapkan pengaruh IRC di sekolah agama tersebut bersama-sama dengan rakannya walaupun masih bergelar pelajar sekolah menengah dan menubuhkan jemaah PAS Tulen di KIK.

    Oleh itu,tidak hairan jikalau JIM iaitu persatuan yang ditubuhkan oleh puak IRC pada Julai, 1990 merupakan antara pertubuhan yang menandatangani memorandum oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) membantah perlantikan Dr Mohd Asri sebagai YDP YADIM yang baru.

    Rentetan dari itu, terjadi pula kes penahanan Dr Asri berikutan dirinya yang tiada tauliah mengajar di negeri Selangor oleh JAIS.Jika diperhatikan, memang terdapat satu "konspirasi" oleh tangan-tangan yang tersembunyi.

    Masakan tidak, Saari Sungip adalah bekas Amir IRC dan bekas Presiden JIM dari tahun 1990-99, dan Zuraidah Kamaruddin sendiri adalah bekas Ketua wanita JIM dan tidak mustahil adalah bekas amirah dalaman IRC.

    Maka, sukar difikirkan jikalau tindakan JIM bersama dengan PGSM, tidak berkait langsung dengan bekas pimpinan besar persatuan ini. Tidak pula, kedua wakil rakyat bekas JIM ini mengutuk tindakan JIM bersama PGSM.

    Perbuatan mereka ini tidak ubah seperti mainan "polis baik" dan "polis jahat" dalam episod terbaru mereka ini.

    Umumnya,kes ini cuba dipalitkan terhadap Dr Hassan Ali, namun, oleh kerana kefanatikan penyokong PAS, seperti biasa secara apologetiknya, palitan tersebut ditalakan akhirnya kepada UMNO.Maka, gagallah cubaan golongan Erdogan terhadap Dr Hassan.

    Buat masa ini, jikalau Dr Asri dihukum dan Dr Hassan Ali dibuang dari menjadi Pesuruhjaya PAS S'gor,maka yang untungnya adalah IRC/JIM kerana musuh zaman lampau dan musuh zaman sekarang telah berjaya dimusnahkan dengan batu yang sama.

    *tulisan saudara mengesahkan dakwaan saya. harap saudara boleh gunakan maklumat ini untuk bahan saudara.

    ReplyDelete