Friday, November 6, 2009

Menyorot Isu dan Peristiwa

Minyak, Seminar Dan Bola

ADA tiga isu yang menarik bermula kelmarin dan akan berakhir esok. Isu kelmarin ialah mengenai pemberian wang ehsan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Kelantan yang tidak disenangi oleh Pas Kelantan. Pas mempertikaikan pemberian wang itu sebagai tidak betul dan menafikan hak rakyat Kelantan.

Pas Kelantan mahukan wang ehsan itu kekal sebagai wang royalti seperti mana yang disebut dalam perjanjian yang ditanda tangani tahun 1975.

Isu ini masih belum selesai. Kerajaan Kelantan belum membuat keputusan secara sahih sama ada hendak terima atau tidak. Tetapi setakat ini ada pihak yang enggan menerimanya atas alasan rakyat Kelantan tidak mengemis wang ehsan. Rakyat Kelantan mahu hak mereka sebanyak 5 peratus seperti mana sepatutnya. Paling mengejutkan bila mana ada cadangan untuk membatalkan perjanjian tahun 1975 itu.

Saya tidak mahu mengulas panjang perkara ini kerana sudah menyebutnya dalam posting yang lalu dan juga turut memberi pandangan implikasi berhubung perkara ini. Cuma di sini apa yang diharapkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu berunding untuk mendapatkan hak itu. Kalaupun tidak 100 peratus tetapi sekurang-kurang kerajaan negeri mendapat 50 peratus. Maksudnya wang ehsan untuk pembangunan negeri itu dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri dan bukannya menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sahaja.

Saya percaya kalau diajak berunding, Mohd Najib Razak akan sedia untuk berunding. Pemberian wang ehsan itu meskipun dicemuhi atas rasa tamak dan kepentingan politik orang tertentu, tetapi ia telah membuka ruang perundingan ke arah mempraktikan politik yang sihat dan profesional. Dan dalam keadaan Umno tidak segagah dulu Najib sangat suka kalau perundingan untuk kepentingan bersama diadakan.

Saya bimbang kalau Pas terus menghentam dan mengodam Najib keadaan lebih buruk akan berlaku. Dalam konteks ini Pas kena fikir bahawa Najib juga manusia yang ada perasaan, hati, perut dan pedal. Najib saya umpamakan seperti tepong gandum. Sebagai tepong Najib boleh diuli dan dibentuk mengikut kehendak kita, itu pun kalau kita pandai dan ada kemahiran membuatnya.

Bak tepong gandum bila dimasukan air, putih telor dan garam ia boleh dijadikan rotai canai ataupun empeng yang enak. Atau pun apa-apa sahaja kueh yang ingin kita bentukkan. Tetapi kalau tepong gandum ini tersilap adun, dihentam dan diinjak kuat sangat ia boleh bertukar menjadi sebaliknya. Ia boleh jadi kematu, keras dan mungkin menjadi besi.

Makanya selagi nampak ada peluang Najib masih jadi tepong gandum elok kalau Nik Aziz mencari jalan bagi mempergunakan Najib untuk kepentingan rakyat Kelantan. Nik Aziz tidak seharusnya pasrah kepada kehendak orang-orang tertentu saja. Sebaik-baik sikap ialah menerima pakai nasihat dari banyak orang.

Sekali lagi diperingatkan walaupun kerajaan Kelantan terima atau tidak wang ehsan itu tetap akan disalurkan kepada rakyat Kelantan. Maknanya rakyat Kelantan akan mulai dapat melihat bagaimana wang itu akan bakal merubah kehidupan mereka. Kalau tidak pada realitinya tetapi pada matanya. Perubahan yang bakal dijana wang ehsan ini, seperti saya kata ia memberi persepsi berbagai dan tentunya kebaikan kepada UBN.

Tanggapan atau dakwaan mengatakan wang ehsan itu ditolak oleh rakyat Kelantan ia tidak tepat. Perlu diingat dalam pilihan raya dulu bukan semua rakyat Kelantan menolak UBN dan memilih Pas. Masih adanya kira-kira 40 peratus orang Melayu yang tidak menerima Pas. Dalam erti kata lain Pas menang 2/3 kerusi tetapi peratus undinya tidak begitu.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak, (foto) ketika bersembang dengannya di The Mall petang semalam. Katanya sebaiknya kerajaan Kelantan jangan persoal apakah wang itu wang ehsan ataupun royalti. Apa yang penting wang itu akan masuk ke perbendahraan negeri Kelantan.

Pada pengamatannya Najib ada simpati kepada Pas dalam soal ini bila mana beliau bersedia memerikan wang berkenaan. Tindakan Najib jelas berbeza dengan sikap atau pendekatan diambil Dr Mahathir yang terus menghukum rakyat Kelantan menafikan pemberian wang royalti berkenaan. Sekurang-kurangnya Najib ada rasa mahu membantu Kelantan.

Dalam konteks ini menurut Salleh sudah pasti Najib mesti mencari keuntungan dari apa yang dilakukan. "Siapa yang berniaga tidak mahu untung?" tanya Salleh sambil ketawa.

Beliau yakin kalau Pas pandai membodek Najib, mungkin Pas juga akan mendapat separuh daripadanya. Beliau lantas mencadangkan baiknya kalau Pas berunding dan sebuah jawatan kuasa bersama bagi menguruskan wang itu dibentuk antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Pengalaman yang dilakukan semasa memerintah Sabah dimana beliau berpakat dengan PBS mungkin boleh diambil sebagai panduan.

"Tidak salah bagi saya kalau kita berunding, mengambil pendekatan lunak untuk kebaikan rakyat. Bukankah kita ini semua berjuang untuk membantu rakyat?" singgungnya.

Okey isu lain yang menarik ialah mengenai seminar politik yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Taman Melewar, Gombak dan perlawanan bola sepak antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Bukit Jalil. Seminar ini menjadi perhatian bagi kalangan yang gian politik manakala bola sepak akan jadi fokus mereka yang hantu bola.

Walaupun dua acara ini berbeza tetapi ia membawa pengertian dan ada penantian yang menyendak pemikiran umum. Pada seminar itu pemerhati mahu melihat apakah ianya ternatijah seperti mana yang dimaksudkan. Ataupun seminar itu akan meluaskan lagi luka di dalam Pas.

Matlamat seminar itu seperti mana dijelaskan oleh pengarahnya ialah untuk memperkasakan parti. Iya, memang apa juga acara parti termasuk suka rakyat, ia bertujuan hendak memperkasakan parti. Tidak ada acara yang ingin memecahkan parti. Soalnya sejauh manakah seminar itu akan dikendali ke arah mengukuhkan parti.

Sebenarnya saya curigai bila Pas memanggil Abdul Aziz Bari untuk bercakap selama 20 minit dalam seminar berkenaan. Kehadiran dan cakapnya nanti saya tidak nampak akan menjadi gam untuk menguatkan tali ikatan Pas yang sudah sedikit berbulu. Pada saya cakap-cakapnya nanti yang akan membela apa yang ditulisnya sebelum ini menyebabkan timbul masalah lain. Ia akan membuka bekahan menjadi lebih luas.

Sudah tentu mereka yang ingin pemimpin Pas diturunkan atas nasihat Adul Aziz Bari itu akan menjadi lebih semangat. Tentunya juga Aziz Bari akan menokok tambahkan lagi hujah dan bukti-bukti baru kenapa pemimpin tertentu Pas perlu diturunkan. Di sinilah akan berlaku pertembungan antara dua puak yang ingin pemimpin yang dicadangkan itu diturun atas alasan untuk mengubah parti dengan mereka yang ingin mengekalkan atas mahu menjaga keutuhan prinsip parti.

Makanya di sini Abdul Aziz akan menjadi penentunya. Adalah diharap Abdul Aziz tidak akan menggunakan ruang yang diberikan itu untuk merobekkan lagi keadaanya. Kalau ini berlaku maka jelas hasrat seperti mana dipancukan pengarah seminar itu tidak akan kesampaian. Jangan-jangan selepas ini ia akan terheret kepada seminar lain ataupun EGM yang ditolak itu akan dituntut agar diadakan. Tidak mustahil suasana dalam MCA turut berjangkit kepada Pas.

Bagi hemat saya, nawaitu di sebalik EGM dan seminar itu juga rasanya masih sama. Kalau nawaitunya ia berbeza sudah tentu penganjur seminar itu tidak akan memanggil Abdul Aziz Bari. Dengan memanggil Abdul Aziz Bari seolah-olah Pas ingin mengambil pandangan pensyarah itu dan mengharap seminar itu dapat membuat resolusi agar EGM diadakan.

Selepas seminar, akan berlangsung pula perlawanan bola sepak antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Bukit Jalail. Perlawanan ini penting kepada kedua-dua pasukan sebab kedua-duanya belum pernah menjulang piala bersejarah itu. Kedua pasukan akan bermain bermati-matian.

Saya tidak mahu melihat ada lambang politik dalam bola sepak ini dan kekacauan yang melambangkan kesamsengan para pendokong bola sepak. Jadi harapnya tidak akan adalah bendera BN dan Pas kelak. Dan stadium Bukit Jalil nanti tidak akan riuh dan gempita dengan bunyi marcun.

Begitu juga kejayaan Kelantan memasuki ke perlawanan akhir itu bukan bermakna kejayaan Annuar Musa seorang. Ia adalah kejayaan semua rakyat Kelantan yang menyokong bola sepak. Dan tidaklah juga maksud saya di sini hendak membandingkan bola sepak dengan minyak. Kalau dibandingkan jelas Husam Musa tidak berperasaan seperti Annuar yang berjaya membawa Kelantan ke akhir sedangkan Husam gagal mendapatkan wang royalti minyak. Tidak.... pada saya kedua anak Musa ini anak kelebihan dan ada kelebihan tersendiri, dan dalam satu-satu sudut mereka mempunyai karektor yang sama seakan kembar siam pula.

Apa yang ingin saya kata mengenai bola sepak ini ialah mengenai tingkah laku penonton. Hendakanya di stadium nanti tidak akan berlaku kejadian buruk seperti di Kota Bharu ataupun di Perlis. Kejadian membakar marcun membawa bendera parti cubalah elakkan. Kalau ada juga yang hendak membawa bendera Pas, bawalah tetapi simpah dalam kocek seluar jangan ditayangkan. Kalau kebetulan pasukan anda menang, bila sampai rumah nanti kibarlah bendera itu kepada anak bini saja.

Sesungguhnya bolasepak dan sukan tidak molek kalau dikaitakan dengan lambang-lambang dan sentimen politik melampau. Teringat lagi saya kepada kata-kata Salleh Said Kruak, yang bertanya mengenai maksud dalam senikata sebuah lagu. Kata Salleh, seni kata lagu itu berbunyi, andainya aku gugur taburlah bunga di pusaraku.... "selepas komunis sudah tidak ada lagi siapakah yang perlu gugur dan siapakah yang akan mebur bunga?," tanya beliau sinis.

Hujahnya bukankah kini yang sedang kuat berjuang dan berlawan antara satu sama lain ialah antara Melayu sama Melayu? [wm.kl. 10:00 am 06/11/09]

2 comments:

  1. Tuan MSO,
    1. Isu wang ihsan.
    Semmgnya begitulah, ada kalanya kita tak akan dpt apa yang harapkan. Namun lebih baik dpt wang ihsan drp tak dpt langsung. Setidak2nya usaha kerajaan negeri ada juga hasil yang blh dinikmati oleh rakyat wpun melalui JPP.Untuk setrusnya usahakan lagi.

    2. Isu seminar pas.
    Saya juga tidak setuju Ab. Aziz Bari dijemput. Nampak gayanya beliau tidak menyukai TGHH.Macam ada agenda tersembunyi.Kerana pendpt beliau pas kelam-kabut.Takkan kerana kalah satu p/raya kecil presiden perlu diturunkan. Bagaimana dgn kemenangan sblm ini?
    3. Isu bola.
    Mmg menarik minat seluruh rakyat Kelantan. Smoga Kelantan berjaya mencipta sejarah baru bola sepak.

    ReplyDelete
  2. Salam Abg MSO,satu perkara saja yang hendak saya sentuh disini,siapa Aziz Bari ini adakah dia ini salah satu dari hiraki kempimpinan Pas? Kalau sekadar pensyarah sahaja,tak usahlah nak memandai-mandai nasihatkan orang.Pendapat boleh diberi,tetapi tidak semestinya pendapat itu benar! harus diingat dia bukan orang yang turun ke gelanggang berjuang bermati-matian. Janganlah hendaknya ahli Pas hendak menerima bulat-bulat pandangan beliau kerana beliau hanya memberi komen dari sebalik kaca cermin pejabatnya yang berhawa dingin bukan berpanas berhujan seperti pejuang Islam yang lain. Saya bukan hendak emosi atau apa,tetapi saya melihat fenomena orang berilmu tinggi yang berbekalkan kelulusan ini semakin menjadi-jadi pengaruh mereka. Walhal belum terbukti kesetiaan mereka!. Wallahualam

    ReplyDelete