Wednesday, February 3, 2010

Separuh Perjalanan

Catatan Usia Setengah Abad

ALHAMDULILAH menurut amalan ramai (kalendar Masihi) sekejap tadi usia saya telah mencecah setengah abad. Menitis air mata ini mengenangkan kebaikan Allah memberi peluang untuk hidup, dapat menghirup udara dan menikmati segala yang disediakan untuk hamba-Nya. Tidak tahu untuk dibalas dengan apa segala kebaikan Tuhan. Memang pemberian dan anugerah Tuhan tidak akan terbalas sampai kapan pun.

Air mata terus berjujuran jatuh menimpa laptop. Keinsafan ini adalah terima kasihku. Tuhanku, aku bersyukur kepadamu.

Kesyukuran saya tentulah kerana Allah memenuhi banyak kehendak saya. Cita-cita saya hampir tercapai. Tidak ada cita-cita dan impian lain yang tersemat di dada ketika melangkah kaki meninggal laman rumah di Gual Nibong, Kelantan kira-kira 25 tahun lalu melainkan untuk membahagiakan isteri, Naimah dan membesar anak-anak; Mohd Elham, Ernny Erniati, Erma Esmah, Eza Elhanis dan Mohd Eslah Putra.

Saya ke Kuala Lumpur bukan mengejar kekayaan dan pangkat tetapi mencari sedikit ruang untuk membesar anak-anak mendapatkan pelajaran sempurna. Selebihnya saya mahu membuktikan kepada dunia bahawa saya pernah jatuh ke bumi ini dan membesar seperti mahkluk lain juga. Tahu menjaga isteri dan anak-anak. Punya tempat berlindung, cukup kalau pun sebuah rumah setinggan!

Hari ini dalam usia setengah abad, apa yang diimpikan dan didokan siang dan malam kepada Tuhan sudah hampir tercapai. Lebih dari separuh dari lima anak saya sudah pun mendapat apa yang saya ingini. Tiga sudah pun menamatkan pembelajaran pertama mereka dan mula memasuki alam pekerjaan. Terima kasih Tuhan kerana akhirnya anak-anakku ketumbuhan sayap jua! Ini adalah anugerah paling agung untuk aku bergelar seorang bapak dan suami.

Selain itu tentulah terima kasih saya kerana Tuhan memberi keizinan saya terus mengembangkan bakat dan menaburkan budi perjuangan mengikut akal saya menerusi bakat yang sedikit ini. Toh, saya masih istiqamah manulis dan menulis. Juga dalam kaca diri saya sendiri tanpa mempedulikan apa yang orang hemburkan. Cacian, makian dan fitnah adalah pupuk bagi saya untuk menyuburkan bakat dan keimanan.

Penulisan adalah perjuangan! Bukan mudah sebenarnya untuk melayari diri sebagai penulis di tengah gelombang kehidupan di ruang seperti Kuala Lumpur. Calang-calang yang bisa hidup di Kuala Lumpur dengan bertongkatkan pena dan tidur bertilamkan kertas surat khabar. Ramai kawan yang datang ke KL untuk berjuang berakhir dengan kekalahan, mundur dan kembali ke laman asal di kampung.

Begitu juga kalau tidak mempunyai sekeping hati yang cekal, tahan di uji kita akan kalah dan mengalu kalah kepada ujian itu. Cabaran paling besar kepada seorang penulis ialah untuk mempertahankan kebenaran yang diangkatnya. Jika gagal risiko menanti ialah di saman. Alhamdulilah dalam tidak kurang 20 saman setakat ini saya dilepaskan Tuhan kerana ada kebenaran di situ.

Sudah tentu dan sewajibnya semua kebahagiaan dan kejayaan ini aku jadikan piala buat ibu, Mekthom Salleh dan keluarga yang tidak pernah kering mendoakan kebahagiaan aku, isteri dan anak-anak di sini. Mereka tidak membekalkan ketulan emas di sepanjang perjalanan ini tetapi mengiringi dengan doa yang tidak pernah putus siang dan malam. Terima kasih ibu, segala budimu juga tidak akan terbalas.

Salam untuk semua, dan terima kasih atas kiriman dan ucapan selamat hari lahir saya. Tuhan yang mencukupi atas segala kekurangan yang ada kepada kita! [wm.kl. 12:20 t/malam 03/02/10]

3 comments:

  1. terima kasih atas penulisan ini...memberi kami banyak motivasi untuk terus kukuh atas landasan perjuangan suci..terima kasih...

    ReplyDelete
  2. Salam tuan..saya juga baru sahaja melewati usia melebihi 40 tahun...terasa sudah lama peluang hidup diberi-Nya untuk saya hidup di dunia yang fana ini.Sesungguhnya bertambah setahun usia kita di alam fana ini maka usia kita untuk ke alam baka kurang setahun.Maksudnya kita juga makin menghampiri saat kembalinya kita kepada-Nya.Saya mengharapkan dapat 'menemui jalan pulang' yang sebenarnya nanti...saya tidak mahu kesesatan dalam perjalanan 'pulang,
    saya nanti.

    Melewati usia 40-an ini terasa sudah lama saya hidup di dunia fana ini.Mengira hari bilakah saya akan 'dijemput' pulang.Tuan sempat mencecah 50 tahun untuk menikmati dunia sementara ini, saya belum tentu mencecah saat itu...Mudah-mudahan dengan baki usia yang entah bila akan tamat ini, saya mendoakan semoga kita sentiasa dalam hidayah-Nya.Jalanlah dibalik-balik lagi keyakinan yang kita temui kini.Hanya DIAlah yang layak di'sembah' dan ditauhidkan selamanya.Dunia dan segala isinya bukan tukargantinya.Buat ADUKA TARAKGUNA...bertaubatlah segera atas penghinaannya ke atas Siti A'isyah dan Muawiyah.Cukup biadap bahasanya, pekak dan buta agama sehingga sanggup menghina isteri kesayangan Nabi SAW.Sanggup membahasakan mereka berdua itu 'ekor', 'mangkuk' dan 'bangang'.Memang tidak cukup diajar, tidak terdidik dengan penuh kasih sayang...sesat dan lupa diri.Sepatutnya ibudan bapanya perlu direman bersama kerana berani menghina isteri nabi dan sahabat nabi.Entah apa ajaran yang diterima...jelik budi bahsa, jijik pekerti.

    ReplyDelete
  3. selamat hari lahir...semoga panjang umur dan boleh terus menulis, tulislah untuk kebaikan manusia dan agama. hindari sifat dendam, tamak dan haloba. semoga tuan akan sihat dan menulis yang terbaik untuk manusia lain. selamat hari lahir.....

    ReplyDelete