Perceraian Sultan Kelantan Dengan Cik Puan Elia Suhana
Apa Ertinya Semua Ini?
BERITA awal dilaporkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra telah memfailkan pengesahan perceraian talaq tiganya ke atas isteri keduanya Che Puan Elia Suhana Ahmad di Mahkamah Syariah Kota Bharu. Kononnya Sultan Ismail telah melafazkan talaq itu pada 12 Februari lepas.
Kenyataan perceraian ini dizahirkan oleh Peguam Syarie, Zainul Rejal Abu Bakar yang memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talaq tiga isteri Sultan Kelantan terhadap isteri kedua baginda dengan mendakwa Sultan Kelantan telah menitah agar ianya difailkan.
Sehari kemudian Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah, Abu Bakar Abdullah Kutty menjelaskan fail itu tidak dilakukan sendiri oleh Sultan Kelantan sebaliknya dibuat oleh seorang perempuan bernama Nik Rohana Wan Abdul Rahman, 60 sebagai platif. Persoalannya Nik Rohana ini mewakili siapa dan apa hubungan dengan Sultan Ismail? Kenapa boleh berlaku kecelaruan begini. Apakah erti semua ini?
Apabila timbul kekeliruan mengenai laporan ini ia menyebabkan akan terheret kepada beberapa persoalan lain pula. Apakah Tuanku Sultan Ismail benar menceraikan isterinya bekas pegawai polis itu dengan talaq tiga? Apakah tahap kesihatan Tuanku sudah mampu untuk baginda berbuat demikian, ataupun ada suara lain yang membisikkan di telinga Tuanku kemudian Tuanku hanya mengangguk-anggukkannya saja?
Atau ada pihak yang pandai-pandai mengarahakan agar difailkan permohonan cerai talaq tiga itu sedangkan Tuanku Sultan tidak tahu menahu atas perasaan tertentu. Menurut Cik Puan Elia Suhana beliau tidak pun tahu menahu dengan lafaz cerai berkenaan sehinggalah setelah membaca laporan media.
Soal perceraian bukan soal main-main. Talaq adalah perbuatan yang dihalalkan tetapi dibenci oleh Nabi. Kejelasan dalam isu ini penting bagi menyelamatkan banyak pihak dari bersubahat dengan dosa. Meruntuhkan rumah tangga samalah dengan meruntuhkan masjid. Sekiranya penceraian itu diragui oleh Che Puan Elia Suhana menyebabkan beliau berada dalam keadaan tidak lepas atau digantung tidak bertali. Ini satu penyeksaan zahir dan batinya kepadanya.
Begitu juga kalau perceraian itu tidak jelas, tetapi ia dianggap sebagai jelas kerana alasan-alasan dan keadaan tertentu ia menyebabkan semua oang yang terlibat dalam memproses penceraian atau pengesahan lafaz cerai itu berada dalam subahat (dosa).
Mengikut hukum syarak penceraian itu tidak sah sekiranya mahkamah sendiri tidak mendengar lafaz cerai oleh tuan tubuh. Pihak plantif atau tuan tubuh yang melafazkan cerai kena bersumpah di mahkamah. Pandangan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abdul Ralip, dari segi prosedur, pendaftaran dan permohonan pengesahan cerai adalah sah jika difailkan oleh pihak ketiga.
Bagaimana pun katanya ia akan menimbulkan masalah semasa prosiding mahkamah ini kerana pihak yang menfailkan tuntutan tersebut perlu bersumpah kepada hakim mengenai tuntutan yang dibuat.
Soalnya bagaimana pihak ketiga ini nak bersumpah jika individu tersebut tidak ada kena mengenai dengan pasangan tersebut. Tambahnya apakah bukti pihak ketiga itu untuk mengesahkan telah mendengar lafaz cerai tersebut?
Di sini adalah baik kalau Mahkamah mendapat penjelasan daripada Tuanku Sultan Kelantan sendiri dalam hal ini. Kalau mengikut peraturan biasa, Mahkamah perlu mendapat pengesahan daripada tuan tubuh berhubung perkara itu. Mungkin untuk memanggil Tuanku ke Mahkamah agak susah kerana baginda sedang gering. Tetapi masih ada cara terbaik iaini dengan Hakim menghadap Sultan dan memaklumkan tujuannya itu.
Hakim boleh istyharkan Istana sebagai mahkamah untuk menyelesaikan masalah ini. Ingatlah dosa yang berlaku itu walaupun melibatkan beberapa orang namun kesannya kepada semua penduduk negeri Kelantan. Dan Cik Puan Elia Suhana juga akan berpuas hati kalau lafaz cerai itu dapat disahkan oleh mahkamah. [wm.kl. 12:00 t/hari 12/03/10]
Salam.Saya sekali lagi bersetuju dengan Pak Sayuti.Sekiranya kes ini diputuskan dan cerai berkenaan di sahkan oleh mahkamah,adakah ini bermakna,sesiapa juga boleh memfailkan pengesahan cerai di pejabat agama,walaupun orang yang memfailkan itu tidak ada kena mengena dengan pasangan berkenaan.Malah suamu isteri itu pun tak tahu menahu akan hal berkenaan.Sekiranya saya menjadi peguam kepada Che Puan Elia Suhana Ahmad, sudah pasti soalan pertama saya kepada plaintif siapa Nik Rohana Wan Abdul Rahman ini?Kalau sekiranya ada individu yang dengkikan satu pasangan lalu pergi ke pejabat kadhi dan failkan cerai,adakah ini dibenarkan di Malaysia?
ReplyDelete