Thursday, March 25, 2010

Dari Luar Istana 3

Siapa Yang Sah Menjadi Pemangku Raja di Kelantan?

[terkini] 3:20 pm Pada masa ini anggota Exco Kelantan dan para pegawai kerajaan negeri sedang berada di lapangan terbangan Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa untuk menanti keberangkatan tiba Pemangku Raja. Baginda diberitakan berangkat pulang dari Kuala Lumpur.

Sehingga ini tidak ada apa titah dari baginda yang dikeluarkan berhubung pengistyharan perlucutan baginda sebagai Pemangku Raja oleh Wan Hashim Wan Daud. Adalah dijangka baginda nakan memberi titah berhubung perkara tersebut.

JAM 1:29 tengah hari tadi ketika menunggu untuk mengambil anak bongsu dari sekolah saya menerima satu SMS dari seorang kawan yang berbunyi; "Tengku Faris ditamat sebagai Pemangku Raja diganti dengan Tengku Aziz. Kuatkuasa serta merta, itulah kejutan." Bunyi SMS itu agak mengejutkan tetapi ia sedikitpun tidak menyintakkan hati dan perasaan saya.

Saya faham kenapa SMS itu dihantar kepada saya. Ianya memaklumkan maklumat terkini bagi saya, bimbang takut saya terus mengihktiraf Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja. Saya tenang saja menerimanya. Dalam hati berbisik kalau itu takdir Tuhan dan terbaik untuk Kelantan apa salah. Sesiapa pun boleh menjadi sultan kerana jawatan itu bukan untuk dibanggakan tetapi memikul amanah Allah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Kerana itu bagi mereka yang merasakan tidak adil, tidak amanah tidak bersedia untuk menerima jawatan itu kerana ianya sangat berat. Sebaliknya mereka yang tergila mahukan kepada kedudukan, menggunakan kuasa itu untuk merampas dunia merasa gembira dengan jawatan itu. Bahkan akan cuba merebut-rebut jawatan itu dengan apa cara sekali pun.

Menurut laporan beberapa portal berita, perlucutan dibuat oleh Setiausaha Sulit Sultan, Wan Hashim Wan Daud yang baru dilantik dua tiga hari lepas. Wan Hashim hanya membaca titah Sultan sahaja. Mungkin tidak menjadi kesalahan kalau saya meragui akan pengumuman itu. Apa lagi perlantikan Wan Hashim tidak mengikut peraturan dan bidangkuasa Suruhanjaya Perkhdimatan Negeri (SPN). Kesahihannya masih boleh dipertikaikan.

Walaupun saluran dibuat itu sah tetapi pengesahan apakah itu titah Sultan ataupun titah pihak lain perlu disiasat. Dalam keadaan hari ini semua boleh berlaku. Perhati saja apa yang berlaku dalam parlimen sehari dua ini. Seperti saya katakan semua pihak kena patuh dan hormat perlembagaan tubuh kerajaan Kelantan. Kalau pertukaran itu mengikut kehendak dan semangat perlembagaan apa salahnya. Tetapi yang penting apakah benar Tuanku Ismail menitah demikian. Ataupun ianya hanya pandai-pandai orang tertentu saja?


Lama sebelum ini kita pernah mendengar dan membaca bagaimana politik perebutan kuasa berlaku dalam istana. Ia bukan saja setakat berlaku pengurangan, penjara ataupun penyembunyikan fakta tetapi hatta sampai bunuh membunuh. Jadi pergeseran yang berlaku di istana Kelantan ini tidak mengugahkan perasaan saya dan ia tidak sedikit pun memelikkan.

Kes permohonan fail cerai talaq tiga Sultan ke atas isteri kedua tersayang baginda juga menimbulkan keraguan. Belum terjadi dalam sejarah kerajaan Kelantan permohonan cerai dilakukan oleh pihak ketiga. Proses mengesahkan lafaz talaq itu masih diperingkat mahkamah. Harus diingat soal Pemangku Raja itu lebih besar daripada soal penceraian Sultan dengan Cik Puan Elia Suhana.

Berhubung dengan perlucutan Tengku Faris sebagai Pemangku Raja Kelantan ada baiknya kalau semua pihak menanti pengesahan atau pun titah rasmi dari Pemangku Raja atau pun Sultan kerana mereka berdua saja yang boleh membuat apa-apa arahan dan perubahan. Selain daripada dua badan itu, yang lain tidak berhak, apa yang boleh pihak lain lakukan hanya berkhayal sahaja.

Bagaimana pun dengan apa yang berlaku hari ini ia mendukacitakan rakyat Kelantan. Rakyat yang sudah merasai aura Tengku Faris sebagai seorang Sultan tentu terkilan dan sedih. Tentu mereka bertanya kenapa seorang yang mulia seperti Tengku Faris boleh diperolok-olokkan begitu. Bukankah sikap itu menderhaka?
[wm.kl. 2:40 pm 25/03/10]


No comments:

Post a Comment