Apa Peliknya Kalau Kontrak Musa Ditamat Awal!
KADANG-KADANG melucukan apa yang berlaku dalam negara ini. Macam-macam hal. Semalam bukan main lagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tegas dengan memberi surat tunjuk sebab kepada editor kanan akhbar berbahsa Cina, China Press ekoran penyiaran berita kononnya KPN, Musa Hassan akan berhenti sempena hari polis 25 Mac ini dan diganti dengan timbalannya, Ismail Omar. Musa begitu marah dengan laporan berkenaan.
Menteri KDN, Hishamuddin Hussein juga turut berang dan mengatakan akhbar berkenaan bohong. Walaupun tidak ada siapa membuat spekulasi berhubung kenapa Musa akan berhenti, Hishamuddin menjelaskan hubungan beliau dengan Musa Hassan dan timbalannya Ismail Omar dan pegawai tinggi lain baik dan rapat.
Ekoran itu editor akhbar berkenaan juga akan dipanggil polis untuk direkod keterangan. Keterangan apa dan untuk apa? Mungkin berlaku salah lapor oleh akhbar berkenaan tetapi ia tidak nampak memberi implikasi besar kepada negara berhubung laporan itu kecuali kepada pihak tertentu.
Kedudukan indeks di brusa saham tidak jatuh merudum dengan laporan itu. Perletakan Musa sebagai KPN tidak menjejaskan prestasi negara baik politik dan keselamatan. Lainlah kalau dengan laporan itu menyebabkan indeks bursa saham, keadaan keselamatan negara terganggu, ada munasabahnya kalau pihak KDN atau Musa sendiri perlu bertindak ada laporan berkenaan.
Logiknya kalau tidak ada sumber dalaman yang memberi tahu laporan itu tidak akan keluar. Dalam hubungan ini pepatah yang berbunyi tidak ada angin masakan pokok bergoyang boleh diterima pakai. Cuma kalau pun berlaku kesilapan ialah mengenai tarikh pemberhentian itu saja.
Sesebuah surat khabar tahu tanggungjawab dan peranannya. Para editor juga tahu risiko yang bakal diterimanya sekiranya mereka melakukan kesalahan dan kesilapan. Makanya apa-apa laporan yang bersifat sensitif bukan sengaja dilakukan kalau tanpa sumber yang tepat dan kuat.
Yang menarik diri sini ialah laporan yang dikatakan bohong itu keluar selepas sehari Pesuruhjaya Polis Ramli Yusuf dibebas dan dilepaskan dari tuduhan rasuah. Apakah pembebasan Ramli itu memberi ilham kepada editor akhbar berkenaan untuk membuat spekulasi? Bahawa dengan pembebasan Ramli itu perlu diambil tanggungjawab oleh Musa Hassan yang dikaitkan ada peranan menyebabkan Ramli dihadap ke mahkamah.
Dan hari ini ternyata perkara ini terjawab. Hari ini Hishamuddin Hussein tidak semena-mena mengakui bahawa pengganti Musa akan dilantik pada September ini apabila tempoh kontrak Musa akan tamat. Nah bukan itu menunjukkan spekulasi laporan Chian Press itu benar, cuma bezanya tarikh saja? Bahawa Musa akan diberhentikan juga.
Kata Hishmuddin, dia sudah tahu siapa yang akan mengambil alih tempat Musa Hassan itu. Jadi apakah erti dan maknanya cemuhan dan kekesalan kepada Chian Press semalam. Inilah yang saya katakan pelik dan anih dan macam-macam. Semacam ada sesuatu yang sudah mula berbau yang cuba hendak diselindungkan di sini.
Sebenarnya Musa bernasib baik dengan salah laporan itu menyebabkan Hishamuddin melanjutkan tempoh penamatan sehingga penamatan kontrak berakhir September ini.
Laporan China Press itu tidak menjadi gempar dan menyusahkan Editor akhbar berkenaan kalau Musa Hassan dapat menahan diri tidak memberi komen. Tetapi kerana beliau beriya mempertahankan diri menyebabkan isu pemberhentiannya menjadi sebutan dan persoalan umum.
Dalam politik makin dinafi makin menjadi. Penafian dalam politik hukumnya ya. Dengan penjelasan berkali Hishamuddin yang mengatakan hirerki tertinggi polis akan disusun maka umum boleh mengesahkan bahawa Musa akan bersara dalam masa terdekat. Spekulasi itu walaupun bersifat spekulatif tetapi ternyata ia cukup menekan jiwa Musa. Sebab-sebab kenapa, hanya Musa Hassan sendiri yang mengetahuinya. [wm.kl 8:00 pm 15/03/10]
Inilah realiti menteri yg xlayak jadi menteri ..apa yg dia tahu..rasa ilmu politik pon xada yg lekat dikepalanya..jadi menteri pon sebab bapa dan sepupu..huh!..
ReplyDelete