Wednesday, August 4, 2010

Balada Menjelang Maghrib

Kisah Tok Bachok Hukum Murid Merokok

DALAM buku sulit sekolah saya semasa kecil dicatat tiga profesyen yang menjadi cita-cita saya. Pertama, askar, kedua guru dan ketiga penulis. Saya mahu jadi askar kerana nak mempertahankan negara dari ancaman musuh. Musuh yang saya fikir ialah komunis yang memegang senjata. Hari ini musuh komunis sudah bertukar dan senjatanya bukan lagi bedil.

Kenapa saya memilih nak jadi guru ialah kerana mengajar murid. Nak menulis dengan menggunakan kapur di papan hijau (dulu dipanggil papan hitam). Nak pergi sekolah nak bawa bocor (thermos) air, bekalan. Pakai baju tangan panjang dan pakai tie. Ada motosikal, brom... brommm.... lampu besar tanpa topi keledar.

Manakala kenapa saya nak jadi penulis saya tidak tahu. Tetapi saya meminati dunia penulis dari kecil. Buat dan reka pantun sejak dari sekolah rendah lagi. Himpun duit belanja sekolah untuk beli majalah terbitan DBP dan juga akhbar Utusan Pelajar, terbitan Utusan Melayu. Selain itu untuk beli komik.

Akhirnya saya menjadi penulis, menulis apa saja saya nak tulis termasuk kisah ini. Banyak saya tulis hentam orang politik yang jahat atau munafik macam Abdullah Ubai.

Di sini saya nak cerita perihal nasib cikgu yang malang hari ini kerana mengambil tindakan ke atas murid. (Nasib baik saya tak jadi guru) Hari ini saya melihat murid lebih berani daripada cikgu. Murid dibela oleh media massa dan PIBG dan juga berbagai NGO. Keadaan ini menyebabkan guru tidak boleh bengah kepala. Seribu kali yang cikgu buat atas nawaitu untuk mendidik murid, disalah tafsir dan guru dituduh macam-macam. Tidak pelik kalau ada cikgu yang kena tumbuk sampai berdarah hidung.

Dunia hari ini sudah terbalik. Apa lagi kalau di bandar, cikgu tidak berani bertindak ke atas murid. Kalau bertindak esok akan datang ibubapa dengan wartawan akhbar dan televisyen. Suluh ke muka mereka. Jadi walhasilnya kalau ada apa-apa terjadi ke atas murid, mereka hanya diamkan sahaja. Malas basa. Yang selalu susahnya bila mak bapa murid kaya raya.

Saya bersetuju kalau cikgu hanya mengajar murid yang sopan, yang baik dan ingin belajar saja. Murid yang samseng, malas, ponteng dan gedebe biarkan saja. Pedulilah mereka nak jadi apa. Kalau bodoh, mereka.. bukan cikgu.

Apapun saya nak memberi reaksi sedikit kepada tindakan guru terhadap murid di sebuah sekolah di Kedah yang mendenda muridnya dengan suruh hisap curut kerana murid itu menghisap rokok dalam tandas sekolah. Cikgu mana tidak marah kalau terjumpa muridnya hisap rokok di dalam tandas. Kalau saya jadi cikgu juga akan marah.

Murid itu patut dihukum agar dia insaf dan tidak mengulangi lagi perbuatan itu. Tetapi cara menghukumnya biarlah berpatutan dan benar. Tidak diketahui sekumpulan murid sekolah rendah termasuk seorang perempuan itu sudah berapa lama merokok. Kalau perbuatan itu kali pertama wajar ianya dikenakan hukum ringan dan bukan hisup curut, sebagai pengajaran.

Saya teringat bagaimana gemulah Tok Bachok, - seorang guru pondok di Bachok Kelantan menghukum anak muridnya yang didapati merokok dalam kawasan pondok. Beliau tidak denda seperti mana cikgu di Kedah itu. Sebaliknya beliau mengambil puting rokok berkenaan ditambat dengan tali panjang sebesar lengan kemudian disuruh anak-anak pondok termasuk yang tidak merokok menarik puting rokok itu ramai-ramai buang ke laut yang berdekatan dengan pondok berkenaan - pantai Irama hari ini.

Bayangkan bagaimana meriahnya anak-anak pondok yang berjumlah ratusan orang menarik sebatang puting rokok yang diikat dengan tali sebesar lengan. Mereka beratur ramai-ramai menarik puting rokok berkenaan. Tok Bachok mengawasi kerja membuang puting rokok itu dari awal hingga akhir. Ia macam ala-ala pesta pula.

Jelas hukuman yang dikenakan Tok Bachok itu sungguh berhemah dan bijaksana dan bijaksini. Ia memberi keinsafan dan pengajaran kepada semua. Ia dilakukan setiap kali berjumpa puting rokok. Lama kelamaan tidak ada mana-mana anak pondok yang berani menghisap rokok dan meninggal puting rokok dalam kawasan pondok.

Walaupun zaman Tok Bachok zaman beca, zaman tiada eletrik dan tiada televisyen kalar, (colour) namun hukumannya ternyata lebih bersifat simbolik yang memberi makna besar. Beliau tidak mencederakan anak pondoknya, atau memalukan mereka dengan hukuman sadis. Cara hukuman itu juga memberi pengajaran kepada semua anak pondok agar berhati dan saling awas mengawasi agar tidak ada sesiapa yang sampai hisap rokok bagi mengelakkan semua terkena denda.

Kepada guru yang ada masalah dengan murid menghisap rokok, boleh tiru apa yang Tok Bachok lakukan itu. Tetapi saya percaya walaupun ia tidak menyakiti, kalau hukuman itu dikenakan, ia tetap menjadi bualan dan kontroversi di seluruh Malaya. Bukan apa kerana ibubapa dan orang ramai berlebih sangat sayangkan murid daripada guru pada zaman sekarang ini. Aduhai, Mat Maslan kenapa Felda nak bankrup! [wm.kl. 6:30 pm 04/08/10]

4 comments:

  1. Saya sudah mengajar hampir 24 tahun.Menjadi guru disiplin selama 17 tahun.Dan Ketua Guru Disiplin hampir lima tahun.Kesabaran yang tinggi mampu untuk membentuk murid.Dengan sokongan pengetua,kita boleh bertindak bijak dan berhati-hati.Cuma kadang-kadang terdapat penghasut yang mengodam cikgutanpa usul periksa. Sampai sekarang guru berisiko membentuk murid.Prestasi sekolah berdasarkan disiplin.Jadi guru disiplin jadi mangsa jika keputusan peperiksaan awam merosot jatuh.

    ReplyDelete
  2. Susahnya menjadi guru.susahnya nak mendidik murid.susahnya menghukum murid..dan teramat susahnya bila masih ada golongan terpelajar,ibubapa dan masyarakat yg begitu curiga dgn tugas seorg guru.mengapa begitu.?sdgkan guru bukan bertindak utk membentuk penjenayah..cuma mungkin cara mereka berlainan.Matlamat mereka mulia.. sikit silap guru satu dunia melihat itulah sikap guru di Malaysia ni.Ibubapa yg punya anak2 bermasalah kenapa tidak ada siapa yg menegur atau menyindir melalui media masa?kenapa ibubapa yg punya anak2 berkenaan tersenyum lebar.Ibubap cuma dtg ke sekolah utk memukul guru,mengherdik guru, mencaci guru,memaki guru.Setiap ada hari bicara akademik [ utk ambil laporan prestasi ] hanya bapa/ibu yg punya anak2 sahsiah baik sahaja yg hadir.manakala bapa/ibu yg anak mereka ada masalah disiplin seboleh mungkin akan mengelak utk datang.tau pulak malu utk jumpa guru.habis camna nak didik anak jika dipanggil berbincang mcm2 alasan diberi.

    Bagaimana acuan,begitu lah kuihnya.Kemana tumpak kuah kalau tidak ke nasi,bapa borek anak rintik.Kalau anak2 bermasalah sebenarnya itulah gambaran bapak mereka cuma segelintir sahaja yg terkecuali dari perumpamaan ini...

    ReplyDelete
  3. dahulu saya begitu marahkan bapa saya kerana tidak bertindak seperti bapa-bapa yang lain memarahi guru kerana guru menyakiti saya

    apabila saya mengadu ke bapa, bapa akan dua kali memarahi saya malah marahnya kadang-kadang lebih gerun dari guru marah

    lama-kelamaan saya memahami tindakannya dan tindakan guru-guru dahulu, semuanya semata-mata nak menjadikan kita insan yang berguna dan bijaksana takpun sekadar jadi baik tak masuk neraka pun jadilah

    itupun masih ada lagi bapa dan ibu yang tak faham-faham lagi akan tindakan guru, sekiranya ada guru yang bertindak melampau pun itu sememangnya terdapatnya salah asuhan dari rumah, salah bapa dan ibu juga, ya salah mereka....

    * buat cikgu riduan (atau Ridzwan, maaf sudah lupa ejaan) akan saya kenang jasanya hingga ke selama mungkin, terima kasih kerana memahami siapa saya, kekuatan dan kelemahan

    ReplyDelete
  4. Assalamu alaikum tuan. penyapu habuk(feather duster_, bucu pembaris, rotan dan jari untuk mencubit, itulah yang biasa sampai kepada saya oleh guru atas pelbagai kesalahan masa sekolah. Macam mana sakit pun saya kena terima dan tak boleh bagi tahu bapa kerana bagi bapa saya kalau cikgu hukum mesti saya salah dan pastinaya dia akan tambah lagi dengan tali pinggang. Dia kata "jangan malukan aku". Namun semua itu yang tinggal kenangan kini sebenarnya merupakan kekuatan pada saya untuk terus hidupdan mendidik anak-anak.

    Saya setuju, kalau emak bapak yang campurtangan dalam mendisiplinkan anak-anak di sekolah secara berlebihan, biarkan saja anak-anak mereka. Anak-anak yang nak belajar lebih penting dari anak-anak yang ibubapanya begitu. Kalau dah bagus sangat buat apa hantar anak ke sekolah. Jagalah sendiri. Sebenarnya kamu membuang masa guru-guru yang baik dan murid-murid yang memang nak berjaya.

    ReplyDelete