Sunday, August 1, 2010

Bidasan Ahad

Apa Pemimpin Pas Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri!?

[kemaskini] SAYA hendak melihat dari sisi lain sedikit mengenai reaksi daripada sdr Roslan SMS terhadap pandangannya yang dilontarkan oleh Presiden MCA, Chua Soi Lek yang membayangkan sekiranya rakyat memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang, Pas (pemimpin) boleh jadi Perdana Menteri.

Roslan agak pismis dan menjadi lemah diri mengenai kata-kata Soi Lek itu. Roslan meminta ahli Pas supaya tidak syok atau termakan dengan kata-kata itu kerana ia berunsur dakyah. Dalam perhatian Roslan, Soi Lek sengaja melemparkan kata-kata itu sebagai dakyah berelemen untuk memecah belahkan Pas dan Pakatan Rakyat.

Roslan berandaian Soi Lek bertujuan untuk menimbulkan huruhara dalam Pakatan Rakyat. Dengan melontarkan pandangan begitu menyebab kaum bukan Islam dalam Pakatan Rakyat akan resah ataupun tidak berpuas hati yang akhirnya menatijahkan Pakatan akan pecah. Itulah apa yang ternampak oleh Roslan dari kata-kata Soi Lek itu. Roslan juga merasakan kata-kata itu jahat dengan mengungkitkan soal akhlak orang yang menuturkan kata-kata itu.

Sebenarnya Sok Lek ada alasan kenapa beliau berkata begitu. Salah satunya kerana organisasi Pas lebih tersusun dan keahliannya lebih ramai berbanding dengan dua parti komponen Pakatan lain, PKR dan DAP. Apa yang diperkatakan Soi Lek itu adalah hakikat muasir ini.

Tetapi kenapa Roslan bersikap negatif terhadap pandangan Soi Lek itu? Sekiranya perasaan Roslan itu benar, tampak Roslan tidak yakin dengan masa depan dan kekuatan partinya sendiri. Atau Roslan faham kekuatan partinya dan sengaja membuat penjelasan itu atas tujuan tertentu? Dan kalau dia mengakui kata-kata Soi Lek itu menujukkan Roslan tidak pandai berniaga menggunakan modal orang lain.

Bagaimana pun saya tidak melihat begitu berhubung kata-kata Soi Lek itu. Pada saya Soi Lek berkata sesuatu yang benar pada mata politiknya. Dia memberi gambaran yang ditafsirkan kepada realiti semasa. Dan selalunya pandangan pemimpin China rasional dan berpijak di bumi nyata. Kalau pun orang Cina bermain politik tetapi ia tidak separah orang Melayu.

Kenapa tidak.. kalau dibandingkan dari segi organisasi, Pas ternyata lebih ke depan dengan PKR dan DAP. Pas lebih tua dan parti terbesar dalam pakatan berkenaan. Pengaruh Pas kini bukan saja menyubur di bumi ada padi dan surau saja, – pantai timur dan sebahagian utara, tetapi sudah merebak ke barat dan selatan. Perkembangan ini perlu disedari dan diakui oleh semua pihak.

Mungkin Soi Lek sendiri dapat melihat pengaruh Pas yang membuak-buak di Johor. Kesungguhan Umno untuk berkerjasama dengan Pas kini adalah kerana Pas itu kuat dan berpengaruh. Umno sebagai parti berlandaskan kepada materialistik tidak akan mahu berkawan dengan orang miskin dan lemah. Sebab itulah Umno tidak tergila-gila kepada PKR.

Tetapi malangnya Pas tidak tahu akan kekuatan dirinya. Pas masih lagi suka bertenggek atau ditenggekkan oleh mana-mana individu untuk kepentingan dirinya. Jenis orang Pas jenis suka menjadi hamba dan dihimpit perasaan infrioriti kompleks yang menebal.

Sebelum ini saya sudah tulis dan jelaskan yang Pas sebuah parti yang tidak yakin kepada kekuatan diri sendiri. Pas tidak bijak bagaimana untuk meletakkan kekuatan dan pengaruhnya untuk menjadi parti memimpin. Malangnya Pas suka menjadi hamba dan suka juga membenarkan dirinya ditenggek oleh orang lain.

Dalam masa sama Pas suka mendokong orang lain. Sikap negatif dan rendah diri begini sepatutnya tidak ada kepada Pas. Konsesnus untuk menerima Anwar Ibrahim sebagai PM bukan mengunci segala langkah Pas. Konsensus itu mungkin baik pada waktu ini tetapi bukan selama-lamanya. Satu segi kalau diperhatikan mereka yang menyokong penuh Anwar sebagai PM dari dalam Pas adalah mereka yang 'serahim' dengan Anwar.

Mungkin buat masa ini Anwar adalah relevan menjadi PM dari Pakatan Rakyat. Namun formula atau pilihan itu bukan selama-lamanya. Di masa depan ia harus melihat kepada kekuatan parti dan kepercayaan rakyat kepada sesebuah parti dan bukannya kepada kehebatan, polariti dan ketokohan seseorang pemimpin saja. Di masa depan Pas tidak boleh lagi memilih calon dari mana-mana parti melainkan perlu memilih dari kalangan mereka. Ini juga bagi memastikan pemimpin itu membawa idealisme dan visi perjuangannya.

Mungkin buat masa ini Pas sedang menghadapi masalah mencari calon PM. Pertembungan dalam Pas masa kini juga saya lihat sebagai persiapan untuk mencari calon PM. Presiden dan Mursyidul Am kini sudah pun terlucut dari musimnya. Abdul Hadi Awang dilihat tidak dapat untuk menongkah arus politik semasa pada masa ini yang semakin kronik dan sofistikated. Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat pula sedang dikejar oleh usianya. Tetapi perubahan atau islah politik yang dibawa oleh mereka berdua adalah benih yang akan membuka ruang kepada masa depan Pas untuk menjadi perdana menteri di masa depan.

Baik Abdul Hadi dan Nik Aziz berjaya menepiskan kekeliruan atau persepsi buruk orang bukan Islam terhadap Pas. Walaupun pembaharuan atau politik baru itu kadang-kadang menyenakkan minda namun pada saya inilah kemuncak kejayaan mereka secara peribadi yang kemudian membawa kepada perubahan besar Pas yang perlu ditantang sebaik mungkin pemimpin pelapis.

Mengenai calon PM dari Pas di masa depan Pas tidak 'kasik'. Pas memiliki tokoh-tokohnya sendiri yang kini dalam proses pembinaan diri (syaksiah), membina idealisme untuk menjadi pemimpin besar di masa depan. Mereka inilah nanti yang akan memimpin Pas. Waktu itu kalau Pas sudah berkembang merekalah calon perdana menterinya.

Sesiapa pun jangan perkecilkan nama-nama seperti, Tuan Ibrahim Tuan Man, Husam Musa, Dr Hassan Mohd Ali atau Nasharuddin Mat Isa, Nizar Jamaluddin, Mohammed Sabu dan beberapa lagi. Mereka kini sedar atau tidak, adalah pemimpin masa depan Pas. Baik dari segi latar belakang pendidikan dan bakat semuanya memiliki kelebihan tersendiri. Mereka juga ada pengaruh dan pengikut tersendiri. Masa yang mereka lalu kini adalah masa untuk berlatih dan menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai persediaan itu. Antara mereka ini akan ditentukan kepada sejauh mana istiqamah mereka dengan Pas serta mampu meneruskan 'tahlul' dan idealisme Pas.

Justeru saya yakin untuk masa selewat-lewatnya tiga atau tujuh tahun lagi salah seorang dari mereka akan mengambil kepimpinan utama Pas. Mereka akan menjadi presiden. Sekiranya Pas dapat mengekalkan keadaan dan momentum hari ini, kepercayaan dan harapan rakyat Malaysia sebagai sebuah parti Islam yang adil, praktikal dan universal dalam konteks Malaysia mereka akan jadi tokoh utama. Sekiranya Pakatan masih ada dan menang waktu itu, maka dari kalangan merekalah yang berhak dipilih jadi Perdana Menteri.

Saya tidak fikir dalam tempoh lima tahun akan datang Anwar masih kekal dengan kehebatan yang ada hari ini dan terus diharap untuk menjadi perdana menteri. Anwar pun sekira beliau jujur beliau sudah harus menurunkan wasiat jawatan perdana menteri itu bukan saja dari kalangan pemimpin PKR, tetapi pemimpin-pemimpin Pas itu juga.

Justeru kepada saya apa yang diucapkan Chua Soi Lek itu adalah yang disuluh dari realiti politik masa kini yang kalau-kalau terbawa ke masa depan. Kalau itu berlaku maka apa yang diungkapkan Soi Lek itu bukan mustahil. [wm.kl.2:00 pm 01/08/10]

4 comments:

  1. Pada pendapat saya, Roslan SMS merujuk kepada keadaan semasa ketika ini. Pada ketika ini sememangnya rakyat Malaysia memandang Anwar adalah tokoh yang terkedepan untuk dipilih sebagai perdana menteri. Saya pasti apabila tiba masanya PAS yang akan mendahului senarai yang layak untuk dipilih sebagai perdana menteri. Nama-nama yang tuan sebut sememangnya saya fikirkan adalah pimpinan negara pada masa depan. Tunggulah masanya akan tiba, InsyaAllah...

    ReplyDelete
  2. Assalamu alaikum tuan. Sebenarnya PAS telah membuktikan kebenaran kemungkinan itu. Presiden MCA itu mungkin telah dan memang menerima hakikat kenyataan itu. Walau pun saya punya beberapa andaian perkiraan politik saya sendiri dalam kenyataan itu namun siapa pun tidak menolak bahawa Mohd Nizar Jamaluddin telah terbukti berjaya memnbuka kemungkinan itu pada pandangan Chua Soi Lek.

    Bagi saya mungkin juga kenyataan Presiden MCA itu nak bagi tahu kita yang Anwar akan masuk penjara dengan drama "liwat dua" yang sedang dipentaskandalam pentas politik Malaysia. Kalau itu benar berlaku maka PAS harus bersedia dengan persiapan yang secukupnya kerana PAS seperti kata tuan memang punya orang yang berpontensi.

    Pemimpin terdahulu telah menanam benih tak kan kita akan terus menanam benih. Apakah pemimpin silam gagal menyuburkan tanaman mereka sehingga tiada buah yang boleh dinikmati kelazatannya dalam tempoh terdekat? Insya Allah, PAS sebenarnya cukup berpotensi ke arah itu.

    Mungkin Saudara Roslan hanya sekadar untuk membuat kita berfikir melalui tulisannya itu?

    ReplyDelete
  3. saya setuju pandangan tuan MSO.
    Sdr Roslan tu kadang-kadang terlalu nak jaga rakan-rakan DAP dan PKR. Mungkin kerana kedudukan di selangor agaknya.

    ReplyDelete
  4. Apepon kedudukan dan pengaruh PAS kini semakin kukuh, semakin ramai org2 bukan Islam yg menyokong PAS lihat, lihat saja pada prinsip perjuangan PAS yg sentiasa bersikap adil trmasuk dgn bkn Islam dlm apa2 jua isu walaupon membabitkan isu2 yg menyentuh sensitiviti...

    Maka xheranlah makin ligat Umno-BN nk memburuk2 kn Pas...

    ReplyDelete