Friday, September 24, 2010

Dari Jakarta

Jakarta Tidak Mancat Dan Tidak Ada Keributan

SEWAKTU hendak berangkat ke Jakarta tengah hari semalam, isteri saya risau mengenai perjalanan saya ke Indonesia kali ini. Kata dan tanyanya, macam mana nak ke Jakarta sambil menghulurkan akhbar Utusan Malaysia. Mungkin isteri saya risau sebab saya ke Jakarta kali ini bersama dua anak perempuan dan dua orang rakannya. Selalunya isteri tidak pernah risau dan merunggut ke mana saja saya nak pergi.

Dia tahu jenis perjalanan dan stail saya. Sangkut beg atas bahu ambil passport menuju airport tanpa diberi tahu ke mana destinasi saya. Sesudah sampai ke tempat baru saya memaklumkan di negeri mana saya berada. Itulah stail saya sejak 25 tahun lalu. Isteri sudah sangat faham dan arif mengenai kehidupan saya.

Teringat pada satu tahun isteri saya masih dalam pantang kerana melahirkan anak perempuan kedua saya, saya telah meninggalkan mereka kerana mengembara ke beberapa buah negara hingga ke Afrika. Hampir dua bulan saya mengembara. Bayangkan bagaimana keadaanya, waktu itu tidak ada kemudahan hand set dan internet. Kemudahan duit juga masa itu kurang. Sebulan tanpa mendengar dan mengetahui apa-apa berita kedua pihak.

Sebenarnya saya bernasib kerana mendapat isteri yang faham dengan perjuangan dan keanihan saya. Ke mana saya nak pergi tidak pernah terhalang. Isteri cukup memahami kehidupan seorang wartawan, apa lagi wartawan politik. Saya sering mengatakan dalam hidup seseorang lelaki (suami) penyumbang utama kejayaanya dan ketenangannya hidupnya adalah isteri. Kalau isteri 'beronar' maka akan beronarlah segala-galanya.

Berbalik kepada hal Jakarta tadi, mungkin disebabkan kerana terpengaruh dengan laporan Utusan itu menyebabkan isteri sedikit bimbang. Semasa hendak berlepas ke airport saya menyilau akhbar berkenaan. Penuh dimuka depannya laporan mengenai keganasan puak Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang marahkan kepada Malaysia. Katanya puak Bendera yang kini sedang 'jajan' dengan motosikal berkempen membenci Malaysia disamping melakukan aksi membakar Jalur Gemilang.

Ada gerun terdetik dalam hati mengenai laporan itu. Dan sewaktu atas kapal terbang beberapa orang pelancong Malaysia, - yang pertama kali ke Jakarta menyatakan kebimbangan itu. Seorang pelancong menjelaskan, kalau bukan kerana tikit dah dibeli awal-awal dia akan membatalkan perjalanan ke Indonesia setelah membaca laporan akhbar itu.

Benarlah kata orang apa yang didengar dan dibaca tak sama dengan apa yang dilihat dan dirasai. Jangan mudah percaya kepada laporan akhbar. Saya awal-awal lagi sudah merasakan akhbar berkenana ada agendnya sendiri. Cara laporan itu, meluahkan kebencian dan bukannya cuba mengawal keadaan.

Saya selalu mempersoalkan mengenai media negara kita berhubung aksi puak Bendera ini. Pendedahan dan pemberitaannya negatif dan sengaja mahu membangkitkan kemarahan rakyat kita kepada mereka - Indonesia. Kita sudah tahu aksi nakal dan biadab itu dilakukan segelintir manusia yang menerima upahan. Tetapi kenapa kita harus memepdulikannya. Rasa tidak sepatutnya kita cuba memberi gambaran yang seluruh rakyat Indonesia begitu.

Masih ada banyak orang Indoensia yang baik, ramah dan sedia membantu. Tidak menipu ataupun memutar belitkan meter teksi. Atau yang menjadi amanah kemudahan dalam masa sama menjadi pelacur sampingan dan jemputan. Tetapi bila corak laporan begitu menyebabkan ia meninggalkan perasaan benci dan rasa takut rakyat Malaysia kepada Indonesia. Ia menggambarkan seolah-olah Indonesia selalu menjeler lidah kepada kita.

Dalam sepanjang perjalanan dari bandara (airport) Seokrno-Hatta, saya tidak terdengar sepatah pun pertanyaan dari pemandu teksi berhubung tindakan Bendera itu. Begitu semasa di hotel di kala bersimbang dengan beberapa tetamu hotel dari kalangan rakyat Indonesia, tidak sepatah pun terkeluar pertanyaan mengenai aksi Bendera itu. Malahan bila diajurkan soal itu masing-masing kelu tidak mengetahui apa. Tidak ada juga bayangan kecurigaan mereka kepada kita.

Jelas tindakan kumpulan Bendera itu tidak disebar meluas di sini. Ia hanya menjadi berita penting dalam media tertentu saja. Dari sini boleh disimpulkan bahawa rakyat Indoneisa tidak berhajat untuk berperang dengan Malaysia, cuma media kita saja melebih-lebihkan laporan mengenai tindakan puak Bendera itu yang memberi gambaran hubungan negara antara berdua dalam keadaan tegang.

Sejak aksi itu muncul saya bertanya sendiri, untuk apa kita melaporkan segala kejadian dan aksi dilakukan puak Bendera itu. Perlu apa kita memberi publisiti murah kepada mereka. Apakah kita mahukan rakyat kita bangkit dan marah dengan Indoensia? Dan kalau begitu tujuan media kita apakah rakyat kita bangkit? Sejak timbul kisah Bendera itu tidak ada apa-apa dari mana-mana pihak di negara kita yang bertindak balas membakar Sangkakala.

Jadi yang bergaduh dengan Indoensia terutamanya dengan puak Bendera itu bukan seluruh rakyat kita tetapi media yang cuba mengajak kita menyerang Indonesia. Tepatnya yang benci melampau kepada Bendera adalah sebilangan kecil media kita.

Saya yakin kalau media kita profesional dan bijak dalam mengawal keadaan dan ada niat untuk tidak mencetuskan rasa kurang senang terhadap Indonesia, media kita akan gelapkan kegiatan Bendera yang tidak bertamadun itu. Biarlah mereka laku apa saja dan kita jangan respos kepadanya. Lagak puak bendera itu persis budak kecil, kalau kita terus mengiku 'erel'nya maka ia akan jadi semakin menjadi-jadi.

Makanya media kita harus mengembalikan fungsi dan peranan mereka sebagai pemandu pemikiran ummah dan bukannya menjadi penghasut di siang hari. [jkt 5:30 am 24/09/10]

3 comments:

  1. Salam.. Saya pernah menetap di Jakarta dan masih kerap ke sana.. Benar seperti yg diperkatakan oleh MSO ini. Bukan lah satu rahsia pun ttg kehadiran penunjuk perasaan upahan ini. Si pengupahnya pun kita dah dapat agak. Ini semua hanya mainan ahli politik utk memalukan SBY. Penunjuk perasaan ini memang kurang ajar dan menghina negara kita tetapi lebih hina lagi jika kita terutamanya akhbar utama seperti utusan terikut dab membantu misi mereka. Publisiti percuma inilah yg semakin menggalakan aksi mereka dan dalam masa yg sama menaikkan lagi kadar upahan mereka. Cubalah jadi lebih pintar sdikit dgn tidak pedulikan si bodoh bodoh ini.

    Yg tambah menyakitkan hati lagi adalah trend seolah olah nak menuju kepada tuduhan bahawa ini adalah satu gerakan oleh Kristian Indonesia utk ganyang Islam Malaysia. Kalaupun benar ianya terjadi, cubalah bersifat menjadi penyejuk kepada bara api yg menyala. Kerajaan pasti tahu apa yg perlu dilakukan.. Berita seperti ini boleh melarat dgn cepat hingga menyebabkan kita bergaduh sesama rakyat Malaysia. Jgn rosakkan pemikiran rakyat.

    ReplyDelete
  2. semacam ada dalang untuk mengeruhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara melayu dan islam ini....

    ReplyDelete
  3. Assalam Tuan,
    Saya sebagai rakyat Malaysia yang sangat cintakan keamanan menyokong penuh pendapat Tuan.Segelintir media di Malaysia hanya mementingkan keuntungan semata mata tanpa memikirkan kesan jangka panjang.Mujur lah rakyat Malaysia tidak sebodoh yang di-mahukan pihak media terutama nya media arus perdana.

    ReplyDelete