Bersalam Dengan Zahid Berpeluk Dengan Kickdefella
DI GUA MUSANG semalam ada dua peristiwa atau coincidence yang berlaku pada saya yang mana boleh menimbulkan kehairanan kepada mata yang menyaksikannya. Tentu orang tidak percaya ataupun selepas ini akan meletus pula berbagai andaian dan tafsiran panjang untuk saya. Mereka yang otak kemetot ataupun memiliki tahap politik burung puyuh akan tertanya-tanya dan terperagah. Akan terdesah dalam hati apa sudah jadi dengan MSO?
Kejadian pertama ialah pertemuan atau pertembungan dengan Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi di tempat berhimpun rombongan mengiringi calon UBN. Saya nampak Zahid berjalan masuk dengan diekori kawan saya dibelakangnya, sdr Zabidi Saidi. Saya tidak fikir Zahid akan mesra seperti dulu dengan saya sebab saya baru gelarkan dia sebagai Abu Nawas dan sering menyindir dan mengkritiknya dalam blog.
Tetapi itulah Zahid Hamidi yang hebat dengan PRnya. Biarlah pidatonya berabu dalam perhimpunan agung Umno namun kemesraan dan kepekaannya amat tinggi sekali. Beliau berjabat salam dengan saya dan stail lamanya masih ada. Zahid kalau berjabat tangan akan menarik kita rapat kepadanya sambil bertanya khabar dan bergurau. Ketawanya cerianya tidak akan pernah kering.
"Ustaz Sayutiiii..." begitulah serunya sambil menarik tangan saya merapatkan ke arahnya. Untuk beberapa langkah beliau berjalan sambil menggengam tangan saya. Aksi-aksi saya dengan beliau macam ini sudah kerap, cuma akhir-akhir ini setelah beliau mufarakah dari perjuangan reformis yang beliau yakin tidak betul, jabatan salam demikian sudah tidak ada lagi.
"Sihat?" tanyanya. Kemudian melepaskan tangan saya perlahan untuk menyambut puluhan salam lain. Meskipun ada jabatan saya merasakan jabatan tidak seerat dulu. Longgar di hujung jari. Namun hebatnya Zahid beliau masih boleh bersalam dengan saya. Sedikitpun beliau tidak menunjukkan kejengkilan atas apa yang saya lakukan. Mungkin ada marah bersarang dalam hatinya tetapi tidak dipamerkan. Inilah satu lagi kelebihannya menahan marah dalam hati.
Sebenarnya jarang ahli politik bersifat mesra macam Zahid. Banyaknya kalau kita mengkritik mereka akan menarik muka lain ataupun kalau tersua buat-buat tidak kenal dan tidak nampak. Sebab itu pada saya Zahid seorang seolah-olah tidak tahu marah kepada sesiapa juga.
Coincidence kedua ialah berlaku dalam bilik Pusat Media, Jabatan Penerangan di Hotel Kesedar Inn, bersua dengan bloger yang dianggap hantu di Kelantan sdr Syed Azidi Syed Abdul Aziz, atau Kickdefella.
Saya melangkah masuk ke bilik itu untuk mendapat kemudahan internet bagi mengepos catatan dari Galas berhubung proses penamaan calon. Begitu saya masuk, terjenguk beliau. Sebaik nampak saya dia terus bangun dan berjalan ke arah saya sambil mendepa tangan dan kami berpelukan.
Lagak ini bukan baru dan bukan oportunis. Setiap kali berjumpa dengan saya begitulah dia menyambut saya. Entah apa yang menjadikan kami berkeadaan begitu. Hubungan apa yang telah mengikatkan kami. Selepas berpelukan dia akan melagakan pipinya di pipi saya, kanan kiri kanan. Stail Arab. Begitu jugalah pada tengah hari itu.
Tidak ramai wartawan yang menyaksikan peristiwa itu mungkin mereka tidak mengenali siapa kami, dan hubungan kami atau pun balada mengenai kami yang bersebang dalam blog dua tahun lalu. Sdr Jinggo jurugambar profesional sempat merakam aksi yang berlaku dalam tempoh tidak sampai dua minit itu.
"Apa khabar kekanda?" itulah panggilannya kepada saya, baik ketika berinteraksi ataupun dalam blog. Beliau panggil begitu muka saya lebih tua darinya - beruban, berjanggut juga uban.
"Baik, enta sihat?" tanya saya. Dia mengangguk. Wajahnya ceria menunjukkan dia tidak ada apa-apa keterkilan dengan saya. Tidak ada dosa. Saya juga begitu sedikitpun tidak merasai apa-apa. Saya seorang yang tidak akan mengambil kira apa yang seseorang mencerita mengenai saya. Saya hanya mengambil kira kalau cerita itu berdepan dengan saya. Sebab itulah kritikan dari blog-blog hantu anak haram terhadap saya, saya tidak akan memberi respon.
"Saya sudah tahu enta di sini, dan ana dah sampaikan salam bila pengawal Pusat ini memberi tahu menerusi Fb enta disini. Ada dia sampai salam?," tanya saya.
"Tak tak dak...pula," katanya. Tak apalah.
Tidak lama kami menumpahkan perasaan kerana saya tergesa-gesa mahu membuat catatan untuk blog. Saya membuka satu komputer dan berlayar sambil mengisi catatan dan membiarkan Kickdefella yang duduk sederet dengan Jinggo. Setengah jam kemudian dia datang menghampiri dan menyentuh bahu saya sambil meletakkan sebuah buku berjudul: 'Purnama Retak Seribu.'
"Oh buku... sain dulu..," kata saya sambil mengulurkan pen. Saya menerima buku itu seadanya. Dia tahu mungkin saya agak berat untuk menerimanya kerana isinya sedemikian. Tetapi atas sifat sebagai penulis yang harus profesional dan gentleman saya menerimanya, dan membacanya ketika dalam perjalanan pulang malam tadi. Isinya memang memedihkan tetapi ia membuka banyak persoalan dan ada sisi-sisi yang boleh dipelajari mengenai politik oleh orang tertentu.
Apa yang saya hendak jelaskan disini dan nyatakan bahawa kedua perjumpaan tidak terjangka itu menggambarkan jiwa besar kedua mereka itu. Seorang ahli politik, menteri dan seorang lagi penulis, blogger yang yang ditakuti dan dicemuhi. Mungkin bagi sesetengah orang tidak senang dengan apa yang berlaku itu. Kalau boleh usah layan dan biarkan mereka, terutamanya Kickdefella yang sudah dianggap pemberi bala besar kepada Kelantan. Namun semua pihak seharusnya bersikap tasamuh dengan menerima di sebalik bala itu ada nikmat dan hikmat yang belum terjangkau oleh pemikiran kita.
Saya sering mengata saya boleh mengasingkan di antara nafsu dengan perasaan. Antara personal dan perjuangan. Dalam diri saya ada sempadan sempadan yang orang tidak mudah untuk memahaminya. Hari ini saya boleh puji dan angkat seseorang, esok saya boleh lanyak dan timbusnya dengan tinta merah saya. Perangai saya ini memening bagi mereka yang otak kemetot yang beremosi lebih.
Saya berpegang kepada berani kerana benar, takut kerana salah. Saya berlindung kepada Allah bukan meminta kepada manusia. Saya tidak berhutang budi dengan sesiapa maka saya boleh memuntah peluru tanpa kira masa, jika mereka saya fikir salah dan lari dari prinsip asal saya akan membedalnya tanpa ampun maaf. Cuma saya ada nawaitu tersendiri yang tidak siapa dapat mengetahuinya.
Saya tidak akan bergaduh selamanya dengan seseorang. Kerana kritikan saya kepada seseorang untuk kebaikan. Kalau dia sudah kembali jadi baik, kenapa kita harus bermusuh dengannya? Nabi mengajar kita memaaf dan menerima orang yang insaf. Tetapi malang orang tidak faham sempadan atau pun prinsip sebegini.
Kembali kepada sikap dan semangat jiwa besar ditunjukkan oleh Zahid dan Kickdefella tadi ingin saya pesan dan seru semoga anak-anak muda khasnya yang baru memasuki sekolah politik hendaklah belajar dari apa yang berlaku itu. Kita harus berjiwa besar kalau mahu jadi orang besar. Ego, bongkak atau hidup dengan perangai peribadi kita ia tidak akan membawa ke mana sebaliknya akan menyulitkan kita. [wm.kl.7:10 pm 27/10/10]
Ahli politik, penulis politik dan seumpamanya harus seperti ahli sukan. Ber'musuh' hanya atas gelanggang, di luar berpeluk berkawan.
ReplyDeleteSiapa yang benar2 memahami betapa Islam itu indah,memupuk perdamaian, menegur untuk kebenaran dan kebaikan bersama.Berkata kerana kebenaran, memohon kemaafan jika benar bersalah.Menerima kenyataan.Sabar dan redha dengan apa yang ditimpakan ke atas dirinya maka apa yang Tuan MSO paparkan ini wajar menjadi teladan.
ReplyDeleteSilaturrahim perlu dijaga.Prinsip perjuangan kekal selagi tidak bercanggah dgn agama anutan kita.Jika semua faham erti hidup dan kehidupan maka biar pedih dan perit senyum di bibir harus berbunga mesra kerana itu pengikat silaturrahim.Bergaduh bukan membawa faedah.Hidup kita ini akan berakhir dengan mati juga.Di sana berjumpa semula.Di kira semuanya...
Salam Tuan Haji MSO....Bagi saya, orang politik dan wartawan disamping menyampaikan sikap dan pendiriannya yang benar disisinya juga kena pandai pura-pura. Cuma kadang kala pura-pura demi buat kebaikan dan kadang kalanya untuk kejahatan. Minta Tuan Haji MSO ulas, "adakah ini yang dikatakan politik kotor ?"
ReplyDeleteTerharu kawe dengan sikap demo tu. Itulah sebenar satndard orang politik sebenar. Bercanggah fahaman tetapi bila berjumpa hubungan antara sesama manusia tetap terjalin mesra.
ReplyDeleteSayangnya dalam parti tak ramai yang begitu. Warna baju yang dipakai pun diambil kira. Nipis-siat kualiti keprofesionalan dalam berpolitik.
Salam kawe untuk Kickdefella kalau demo jumpa dia lagi. Kawe tak kesempatan ke sana.